Berita Harian: Hip |
Posted: 22 Oct 2010 08:37 PM PDT Hip Mallika Sherawat SEKSI itu cukup sinonim buat pelakon popular ini. Memiliki tubuh yang menggiurkan dan seraut wajah jelita membuatkan Mallika Sherawat begitu cepat meledak, sekali gus meletakkan namanya setaraf dengan pelakon Bollywood lain. Walaupun ada yang menganggap Mallika hanya menjual paras rupa dan bentuk tubuh berbanding bakatnya yang sebesar hama itu, namun pemilik nama sebenar Reema Lambha ini tidak pernah mempedulikan kata nista seperti itu. Sebaliknya dia tetap teguh dengan pendirian untuk terus mengekalkan imej seksinya. Malah, aktres itu pernah berkata dia suka menjayakan babak seksi melampau dalam setiap lakonannya. Begitulah pengakuan berani mati yang pernah dilafazkan pelakon yang pernah menembusi pasaran antarabangsa menerusi filem The Myth, sekitar 2005 ini. Biarpun ada yang memperkecilkan bakatnya, pelakon yang juga model ini tidak pernah tunduk pada cercaan seperti itu. Semangatnya tidak pernah pudar, bahkan semakin marak dan secara perlahan-lahan, hasratnya untuk beraksi di persada Hollywood menjadi kenyataan apabila terpilih menjadi pelakon utama filem yang menyaksikan kolaborasi antara India dan Amerika Syarikat.Bukan calang-calang watak yang dipegang Mallika dalam filem ini. Selepas Reena Roy dan Sridevi, kini watak Dewi Ular yang cukup popular suatu ketika dulu kembali semula ke layar lebar apabila Mallika melakonkan peranan berkenaan dalam filem berjudul Hisss, yang turut dikenali sebagai Nagin: The Snake Woman. Bayangkan bagaimana keadaannya apabila Mallika membawakan watak ular jadian? Pastinya ramai yang tidak sabar menanti filem yang bakal ditayangkan di Malaysia pada 29 Oktober depan. Sebaik saja melihat sedutan filem ini menerusi internet, tidak dinafikan Mallika menggunakan setiap inci tubuhnya untuk menarik perhatian penonton, sehinggakan ada babak yang menunjukkan seolah-olah dia berbogel di depan kamera. Ketika diajukan pertanyaan kepada si empunya diri apakah dia memang berlakon tanpa seurat benang dalam filem itu, Mallika lebih senang membiarkan perkara itu menjadi tanda tanya.
Walaupun belum pernah bertentang mata, namun Mallika cukup ramah di talian. Setiap patah bicaranya, disulami dengan ketawa terutama apabila perbualan kami menyentuh hal-hal yang melucukan. Bukan mudah memegang watak ular, banyak kerenah yang terpaksa dihadapinya. Namun sedikit pun dia tidak merungut walaupun mengakui hakikat watak itu benar-benar mencabar kredibilitinya sebagai seorang anak wayang. "Untuk membawakan watak seekor ular ini saja, saya perlu menghabiskan masa selama empat hingga lima jam sehari untuk memakai kostum dan mengenakan solekan yang sesuai. Sangat menyeksakan, terutama apabila sudah mengenakan kostum ular.
"Saya juga banyak melakukan kajian mengenai watak ini. Saya buat penyelidikan untuk mempelajari pergerakan seekor ular. Mujurlah saya seorang yang tidak takut pada reptilia itu. Memandangkan ada babak yang memerlukan saya mencium dan bermesra dengan ular, jadi saya biasakan diri dengan bermain dengan haiwan berkenaan sehinggakan pengarah filem ini terkejut melihat kemesraan kami," katanya yang menjadikan Sridevi sebagai idola untuk filem ini. Komitmen Mallika terhadap Hisss nampaknya sangat tinggi sehinggakan dia sanggup hadir bersama ular sawa sepanjang 6.7 meter ketika menyertai Festival Filem Cannes 2010, semata-mata untuk mempromosikan filemnya. Hisss menceritakan kisah dewi ular, Naagin, yang menjelma menjadi wanita cantik demi membalas dendam. Naagin mengembara ke bandar untuk mencari pasangannya yang diambil dari hutan oleh warga Amerika bernama George bagi tujuan penyelidikan, tanpa mengetahui musibah menanti dirinya. Uniknya filem ini, ia ditangani seorang sutradara dari Amerika, Jennifer Lynch. Sebagai orang luar, tertanya-tanya juga apakah pengarah ini memahami selok-belok budaya serta lenggok cerita terbabit, yang kaya dengan mitos serta legenda yang begitu berkait rapat dengan masyarakat di sana? "Walaupun dia orang luar, dia mampu memberikan keseimbangan antara mengekalkan ciri-ciri tradisional dan juga menambah elemen kontemporari," kata pelakon berusia 29 tahun ini, sekali gus memuji Jennifer yang disifatkannya sebagai sutradara cukup kreatif. Dalam Hisss, Mallika bukan saja berlakon, sebaliknya dia turut menyumbangkan suara untuk dimuatkan dalam album runut bunyi filem berkenaan. Lebih menarik apabila dia menyanyikan lagu yang dicipta khas oleh anak John Lennon, Julian, menerusi lagu Sway. "Memang seronok apabila diberi peluang untuk menyanyi dalam filem ini. Teruja kerana berpeluang bekerjasama dengan Julian dan dia seorang yang hebat," pujinya. Selain bahasa Inggeris, Hisss juga dibuat dalam versi bahasa Tamil, Telugu dan Malayalam. Filem terbitan Venus Records & Tapeni ini membabitkan lokasi penggambaran di hutan Kerala, Mumbai, Chennai, Madh Island dan di studio Filmistan (Mumbai). Ia menampilkan lakonan hebat Irfan Khan, Divya Dutta, Raman Trikha dan pelakon Amerika, Jeff Doucette. |
Posted: 22 Oct 2010 08:35 PM PDT Hip CHRISPINE dan Denzel Washington digandingkan dalam filem aksi arahan Tony Scott. FILEM seram digital pertama Asia, The Child's Eye, menunjukkan taringnya apabila menguasai filem pecah panggung negara ini pada hujung minggu lalu. Selain mengetepikan filem komedi aksi Hollywood, The Other Guys, ia turut menafikan percubaan komedi seram tempatan, Jangan Pandang Belakang Congkak 2, untuk bertakhta di tangga pertama. Filem berkenaan ditulis dan diarahkan oleh adik-beradik Pang, Oxide dan Danny, yang sebelum ini menghangatkan panggung di benua Asia menerusi filem The Storm Warriors lakonan Ekin Cheng dan Aaron Kwok. Dilakonkan oleh Elanne Kwong, Rainie Yang, Shawn Yue, Ka Tung Lam, Izz Xu dan Rex Ho, filem ini bercerita mengenai rancangan Lam Lam dan rakannya yang terbantut di Thailand akibat beberapa siri kejadian seperti krisis politik, halangan di lapangan terbang antarabangsa dan sekatan jalan.Dengan berat hati, mereka tinggal di sebuah hotel lama yang tidak terurus. Sebaik saja mendaftar masuk, mereka bertembung dengan tiga kanak-kanak pelik dan seekor anak anjing. Seterusnya, satu demi satu kejadian aneh mula berlaku. Tentunya bagi penggemar filem seram, garapan terbaru dua beradik pintar berkenaan sukar untuk dilepaskan. Apatah lagi ia dibarisi bintang masa kini yang sedang ligat mencipta nama dalam dunia hiburan Asia. Mula diputarkan di pawagam negara ini pada 14 Oktober, The Child's Eye ditayangkan secara perdana pada Festival Filem Venice, September lalu.
Washington kembali beraksi lasak di layar lebar selepas memaparkan persembahan memberangsangkan menerusi filem The Taking of Pelham 123 pada tahun lalu, serta The Book of Eli, awal tahun ini. Kali ini, pelakon berusia 55 tahun dari New York itu dipasangkan dengan bintang muda dalam ciptaan, Chris Pine, yang pernah membintangi filem popular Star Trek pada 2009. Unstoppable diarahkan sutradara Inggeris, Tony Scott, yang antara lain turut menghasilkan filem Top Gun, Beverly Hills Cop II, The Last Boy Scout, True Romance, Crimson Tide, Enemy of the State, Man on Fire dan Deja Vu. Melihat kepada senarai filem aksi dan thrillernya yang terdahulu, maka peminat sudah tentu boleh mengharapkan sebuah lagi hiburan hebat menerusi filem arahan terbaru Scott. Selain Washington dan Pine, turut sama beraksi dalam filem thriller aksi ini ialah Rosario Dawson. Filem ini mengisahkan percubaan dua lelaki, seorang jurutera veteran (Washington) dan seorang lagi pemandu muda (Pine), untuk menghentikan sebuah kereta api tanpa pemandu dipenuhi bahan toksik dikenali sebagai The Beast, yang bergerak laju di kawasan desa. Kedua-duanya cuba mengelakkan insiden lebih buruk berlaku seandainya kenderaan terbabit memasuki daerah yang penuh dengan manusia. Dengan menaiki kereta api lain, mereka cuba untuk menghentikan The Beast, menggunakan segala kudrat dan kebijaksanaan yang ada. Carta pecah panggung: 1 - The Child's Eye
|
You are subscribed to email updates from Berita Harian: Hip To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |