Kosmo Online - Hiburan |
Mallika cantuman bijak dan seksi Posted: Mallika cantuman bijak dan seksiOleh JESSABELL SOO TIDAK menafikan dirinya seksi, Mallika Sherawat juga pernah membuat kenyataan bahawa dia menyukai lelaki matang. Berani tanpa meletakkan sempadan dalam hidup atau karier, itu yang menjadikan bintang Bollywood ini lebih popular. Sentiasa fokus untuk mengekalkan imej sebagai wanita seksi, Mallika mahu dirinya seksi pada setiap inci badannya. Malah, aktres itu pernah memberitahu bahawa dia suka menjayakan babak seksi melampau dalam filem lakonannya. Menembusi pasaran antarabangsa menerusi karya The Myth (2005) bersama Jackie Chan, Mallika berterima kasih kepada pengarah, Stanley Tong kerana memberikan dia peluang untuk terlibat dalam filem yang diedarkan kepada 175 buah negara. Ini kerana Mallika memiliki harapan besar. Dia mahu menembusi Hollywood kerana sebuah produksi India hanya akan disaksikan di 14 buah negara sahaja. Aktres itu semakin menghampiri impiannya apabila menerajui filem kerjasama India dan Amerika Syarikat, Hisss (turut dikenali sebagai Nagin: The Snake Woman). Memegang watak Nagin, dewi ular, filem itu akan ditayangkan di Malaysia bermula 29 Oktober ini. Namun, sebelum filem itu ditayangkan, aktres itu sudah menimbulkan gejolak ramai untuk menyaksikan lakonannya. Bukan sahaja kerana jalan cerita atau solekan ular yang akan memenuhi badan Mallika tetapi difahamkan dia berbogel sepenuhnya untuk beberapa babak. Tidak tahu bagaimana babak itu akan dipersembahkan, Mallika ketika ditanya dalam satu temu bual telefon yang diaturkan oleh Nusantara Edaran Filem bersama media tempatan enggan mengulas panjang. "Jika anda ingin mengetahui sama ada saya berbogel atau tidak, anda perlu menonton sendiri filem ini. Tidak seronok jika saya memberitahu anda. Terokai sendiri untuk mengetahuinya," kata Mallika. Digandingkan bersama Irfan Khan, Hisss menyaksikan bagaimana watak Mallika yang boleh bertukar menjadi ular dan manusia menyeksa serta membunuh lelaki apabila mereka mencemarkan atau mencerobohi ular tedung yang menetap di sebuah kuil misteri dalam hutan tebal. Selama 4,000 tahun, cerita seram mengenai dewi ular itu disebarkan ke seluruh India sehingga kini. Pada tahun 2008, seorang lelaki Amerika Syarikat, George dengan berbekal peralatan berteknologi tinggi mengembara ke dalam hutan larangan tersebut. Sepanjang pengembaraan itu, dia berjaya menangkap seekor ular tedung yang mempunyai saiz sebesar ular sawa. Melakukan penyelidikan ke atas ular itu dalam makmal berteknologi tinggi, George tidak sedar apa yang bakal dihadapinya. Kejam dan pendendam "Di India, sudah banyak cerita ini dibikin dan ramai aktres yang pernah memainkan watak popular ini. Namun, dalam Hisss, dewi ular ini akan menelan mangsanya. Ia lebih pendendam dan kejam. Sesiapa yang ingin terus hidup perlu memujanya," jelas Mallika lagi. Sarat dengan kesan khas, Mallika sentiasa ingin memberikan kesegaran kepada audiens. Bukan sahaja kerana mahu mendapatkan perhatian dunia, aktres itu mahu mencabar dirinya. Hiss contohnya menyaksikan bagaimana dirinya 'menjadi' seekor ular. "Bukan mudah untuk menggambarkan diri sebagai seekor ular. Saya banyak membuat penyelidikan untuk mempelajari pergerakan seekor ular. Selain daripada itu, saya juga diperlukan untuk mencium ular serta perlu kelihatan mesra dengan ular. "Nasib baik saya bukan seorang yang takut dengan ular. Pada saya ular merupakan haiwan menakjubkan," ujarnya yang menceburi bidang hiburan pada tahun 2002.
Merindui Malaysia selepas hadir untuk mempromosikan filem The Myth bersama Jackie Chan lima tahun lalu, Mallika perlu menghabiskan masa selama empat hingga lima jam sehari hanya untuk bersolek dan memakai kostum. "Ia satu penyeksaan bagi saya. Bayangkan saya perlu duduk berjam-jam lamanya untuk memakai kostum serta bersolek. Selepas memakai kostum, saya sudah tidak boleh pergi ke tandas. Jadi saya tidak boleh minum air sehingga kekurangan air dalam badan. "Kostum itu begitu ketat sehingga saya perlu diangkat ke set penggambaran. Selain kostum, babak paling sukar untuk saya adalah ketika lintah berada di atas badan saya. Rakaman itu dijalankan semasa hujan yang sejuk dalam hutan Kerala," katanya yang popular menerusi filem Murder. Hisss menamatkan penggambaran sekitar tahun 2009. Namun, disebabkan kesan khas, proses pasca produksinya menggunakan masa lebih panjang. Disebabkan cerita dewi ular sudah banyak kali dibikin, Hisss juga menggunakan cerita-cerita ular lain sebagai inspirasi. "Terdapat beberapa buah filem dengan watak Nagin pernah diterbitkan dalam bahasa Hindi. "Di China, Hong Kong, Jepun dan Indonesia juga mempunyai filem seumpama ini. Pengarah Hong Kong, Tsui Hark mengarahkan Green Snake lakonan Maggie Cheung dan Joey Wong. Namun, peliknya, saya menggunakan filem An American Warewolf In London sebagai inspirasi. Semasa kecil, saya menyukai Sridevi menjayakan watak Nagin" tambahnya. Menggunakan khidmat pengarah AS, Jennifer Chamber Lync, adakah dia memahami budaya serta lenggok cerita tersebut yang kaya dengan mitos serta legenda? Apa yang utama, karya itu bakal dibandingkan dengan filem-filem seumpamanya. Kata Mallika, Hisss merupakan pembikinan semua cerita lama dengan penambahan elemen baru. Menariknya, Jennifer mampu memberikan pendekatan kreatif. Ia membuatkan sebuah filem tradisional menjadi kontemporari. | ||
Sekitar Festival Filem Dokumentari Malaysia Ke-2 Posted: Sekitar Festival Filem Dokumentari Malaysia Ke-2Oleh JESSABELL SOO BARISAN pemenang pada Festival Filem Dokumentari Malaysia ke-2 yang diumumkan baru-baru ini. MENYAKSIKAN peningkatan daripada 60 kepada 80 penyertaan, Festival Filem Dokumentari Malaysia Ke-2 (FFDM2) bukan sahaja berjaya menarik lebih banyak penglibatan tetapi produk-produk yang bertanding juga lebih berkualiti. Berlangsung pada 16 Oktober lalu sempena Festival Filem Malaysia Ke-23 (FFM23), dokumentari yang bertanding dibahagikan kepada empat kategori iaitu Kesenian/Kebudayaan, Isu Semasa/Kemasyarakatan, Ilmiah/Sejarah dan Alam Semula jadi/Pelancongan. Menerusi keempat-empat kategori itu, kategori Ilmiah/Sejarah menerima penyertaan tertinggi dan merupakan kategori paling sukar untuk dinilai. "Disebabkan penglibatan daripada National Geographic, Discovery Channel dan Astro, ia telah menjadi platform kepada peningkatan kualiti. "Maka, semasa penilaian, kami berdepan dengan kesukaran untuk memilih pemenangnya. Kami perlu menonton kesemua 80 dokumentari dalam masa seminggu dan membuat keputusan. Kini bentuk dokumentari yang dibikin lebih jelas dari segi kategorinya. Itulah kualiti yang dikehendaki," kata ketua juri festival tersebut, Mohamad Zaki Abdul Rahim yang ditemui selepas berakhirnya festival tersebut. Diadakan di Kompleks Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), Hulu Klang, Kuala Lumpur, Mohamad Zaki juga memberitahu hampir kesemua dihantar sudah mampu menyampaikan mesej dengan jelasnya. Paling ketara adalah karya yang mempunyai kaitan dengan isu politik seperti Laskar Senoi dan Botak Chin. "Peningkatan mutu juga boleh dilihat menerusi penyelidikan serta persediaan yang dilakukan oleh pihak produksi. Kesungguhan pengarah untuk membuat babak imbasan seperti lakonan semula juga meningkatkan nilai dramatik sesebuah dokumentari itu," tambahnya. Mendapat penyertaan sehingga 18 Jun lalu, kemenangan yang banyak berpihak kepada hasil syarikat besar menimbulkan sedikit perasaan tidak puas di kalangan pembikin dokumentari amatur. "Kami sedar ia memang tidak begitu adil kerana bajet yang digunakan amat jauh bezanya. Kalau bagi pembikin amatur, mereka menggunakan antara bajet RM30,000 hingga 50,000. Bagi yang profesional pula, mereka menggunakan anggaran RM200,000. Jadi, mungkin pada masa akan datang kami akan membahagi kepada dua kumpulan berlainan," jelasnya lagi. Turut dihadiri oleh Timbalan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Manglin Dennis D'Cruz, Timbalan Ketua Setiausaha (Kebudayaan) dan Pengerusi Finas, Datuk Mohamad Mohd. Daud dan Ketua Pengarah Finas, Mohd. Mahyidin Mustakim, pemenang keempat-empat kategori utama membawa pulang wang RM5,000, trofi serta sijil penghargaan. Sementara, pemenang lain membawa pulang wang bernilai RM3,000, sijil penghargaan dan trofi. Pemenang Dokumentari Terbaik Keseluruhan (Anugerah Perdana) yang akan membawa pulang RM10,000, trofi dan sijil penghargaan serta dana penerbitan dokumentari Finas akan diumumkan semasa penganugerah FFM23 pada 24 Oktober ini. |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Hiburan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |