Adsense

Isnin, 8 November 2010

Berita Harian: Hip

Berita Harian: Hip


Mangsa fitnah

Posted: 07 Nov 2010 05:05 PM PST

Hip

pix_gal0
Engku Emran dan Erra masih bahagia selepas tiga tahun berkahwin

HANYA kerana kelibat suami kepada aktres jelita Erra Fazira tidak kelihatan pada pementasan muzikal Tun Mahathir, timbul spekulasi mengatakan rumah tangga pasangan selebriti itu sedang bergolak.

Gosip itu bertambah kencang apabila sekali lagi Engku Emran Engku Zainal Abidin tidak kelihatan menemani isterinya pada Festival Filem Malaysia (FFM) ke-23 yang berlangsung baru-baru ini. Bayang Emran yang kononnya tidak kelihatan pada kedua-dua acara besar itu semakin rancak dijadikan 'modal' oleh pemfitnah untuk mengukuhkan lagi bukti mereka yang kononnya pasangan itu pernah mendapatkan khidmat kaunseling di mahkamah bagi memulihkan hubungan rumah tangga mereka yang diuji badai.

Dihubungi baru-baru ini, suara Emran yang kini bertugas sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Bernama TV, kedengaran cukup tenang di hujung talian. Lelaki yang berjaya menambat hati primadona filem Melayu itu ternyata cukup profesional, tanpa sedikit pun cuba 'melarikan diri'. Panggilan telefon laju diangkat dan sebaik memperkenalkan diri, Emran bagai sudah mengagak soalan yang akan diajukan.

Dalam suara keletihan gara-gara sibuk merangka strategi baru untuk saluran yang dikemudi sejak setahun lalu, Emran bersedia menjawab segala spekulasi. Bagaimanapun dia meminta jasa baik Hip supaya menghormati permintaannya agar tidak menulis beberapa perkara yang disifatkan boleh mendorong kepada fitnah yang lebih hebat.

"Saya tak marah dan kami juga tak melatah. Ini pun bukan kali pertama rumah tangga kami difitnah sedemikian rupa. Saya menganggap gosip yang dimainkan oleh media sebagai teguran. Nampaknya selepas ini saya harus menemani isteri ke mana saja acara supaya rumah tangga kami tidak dituduh bermasalah.
"Mungkin kerana wajah saya tiada pada majlis pratonton pementasan itu, menyebabkan orang menyangka rumah tangga kami benar-benar bermasalah. Saya sebenarnya ada menonton pementasan itu sekali kerana saya tahu, isteri amat mengagumi Tun Dr Mahathir. Ketika saya pergi, pihak produksi mengundang Tun Dr Siti Hasmah sebagai tetamu khas, tetapi media tak diundang sama.

"Bagaimanapun saya ada terserempak dengan seorang pengarang hiburan sebuah akhbar pada hari itu. Dia sendiri agak terkejut apabila keluar laporan di sebuah akhbar mingguan mengatakan saya langsung tidak memberi sokongan kepada isteri. Sebaik terbaca laporan itu, dia terus menghubungi saya," kata Emran.

Sebagai seorang CEO, tentu sekali jadual kerja Emran amat sibuk. Bebanan tugas yang banyak juga menjadi antara punca kenapa dia tidak boleh selalu berada di Istana Budaya memberi sokongan kepada Erra.

Pada masa sama juga kata Emran, ketiadaan pembantu rumah mereka yang sedang bercuti juga menyebabkan kehidupan mereka menjadi kelam kabut. Dia terpaksa bergegas pulang ke rumah lebih awal untuk menjenguk puteri sulung mereka Engku Aleesya yang kini berusia setahun tujuh bulan.

"Saya dan Erra terpaksa bergilir-gilir menjaga Aleesya kerana ketika itu pembantu rumah kami pulang ke kampung. Memandangkan Erra sibuk dengan pementasan Tun Muzikal pada ketika itu, saya perlu pulang cepat ke rumah untuk menjaga anak kami.

"Kadang kala kami terpaksa meminta bantuan daripada kedua-dua ibu kami atau teman rapat untuk menjaga Aleesya sekiranya kami berdua sibuk. Ketika FFM berlangsung baru-baru ini pula, saya tak dapat hadir kerana faktor kerja.
Lagipun isteri saya pergi sebagai penyampai anugerah, bukannya bertanding. Sekiranya isteri saya bertanding, tentulah saya akan pergi untuk memberikan sokongan kepadanya.

"Walau bagaimanapun dakwaan mengatakan kami berdua mendapatkan khidmat kaunseling tidak benar sama sekali. Mungkin orang yang mereka nampak seakan-akan dengan kami," kata Emran lagi.

Ketika berita mengenai pergolakan rumah tangga dipaparkan, pasangan itu pada hakikatnya sedang berkumpul di rumah keluarga Emran yang sememangnya sudah menjadi rutin mereka setiap minggu.

Emran memberitahu, dia dan Erra tidak terkejut sebaik saja terbaca berita itu. Mereka juga nyata tetapi kurang selesa apabila keluarga dipaparkan dengan cerita tidak benar. Lebih-lebih lagi dalam keadaan ibunya yang tidak begitu sihat.

"Saya faham dengan tugas wartawan, tetapi cerita seperti itu tidak begitu enak. Lebih-lebih lagi emak saya pun tak berapa sihat, dia jenis yang cepat risau. Jadi saya bimbang cerita seperti itu akan mempengaruhi keadaan kesihatannya.

"Alhamdulillah sepanjang tiga tahun berkahwin, rumah tangga kami masih lagi okey dan kami juga masih bahagia," kata Emran menjelaskan segala-gala.

Info:

* ENGKU EMRAN dan Erra bertunang pada 7 September 2007 setelah beberapa bulan bercinta. Emran berkata, tarikh pertunangan ini dipilih atas nasihat keluarga kedua-dua belah pihak dan pihak lelaki menyerahkan lima dulang hantaran berbalas sembilan

* PASANGAN selebriti ini berkahwin pada 25 Oktober 2007 dalam acara yang diadakan di Restoran Puteri, Taman Tun Dr Ismail, di hadapan 400 tetamu.

* PADA 30 Mac 2009, Erra selamat melahirkan bayi perempuan yang dinamakan Engku Aleesya Engku Emran di Pusat Perubatan Pakar Damansara, Petaling Jaya, pada jam 11.40 pagi.

* NOVEMBER tahun lalu, gosip mengatakan rumah tangga pasangan ini goyah muncul di media massa. Namun Erra tampil menafikan khabar angin kononnya wujud orang ketiga dalam hubungan mereka berdua.


Full Feed Generated by GetFullRSS.com, sponsored by USA Best Price.

Belum berakhir

Posted: 07 Nov 2010 05:02 PM PST

Hip

SAIDA bersama suami.

SAIDA bersama suami.

Saida dan suami cuba jernih kekeruhan dalam rumahtangga

DI lubuk hatinya yang paling dalam, tersimpan sebuah rahsia yang tidak mungkin dikongsi dengan sesiapa. Mulutnya dikunci rapat. Seboleh mungkin dia tidak mahu gelora yang melanda bahtera rumah tangganya menjadi bualan khalayak. Benar, dia seorang artis yang sering dikatakan menjadi milik masyarakat. Namun gelaran itu bukanlah lesen untuknya bercerita kepincangan yang berlaku terhadap rumah tangga yang dibina sejak 14 tahun lalu.

Sejak cerita penyanyi Siti Nursaida Tarudin atau Saida memfailkan permohonan cerai terhadap suaminya Mohd Ghazali Yahya Zikri dihidu media, bekas peserta program realiti Akademi Fantasia musim keenam ini dilihat seperti cuba melarikan diri. Telefon tidak diangkat, SMS tidak berjawab, jauh sekali mahu bertemu wartawan untuk menceritakan kisah sebenar. Memang sukar untuk mendapatkan Saida kerana ibu kepada empat cahaya mata ini memang tidak mahu berkongsi langsung perihal perkahwinannya yang dikatakan bergoncang itu. Malah, usaha media bertandang ke rumahnya untuk bersemuka juga bertemu jalan buntu.

Bagaimanapun, diam Saida tidak lama. Entah dari mana datangnya kekuatan, penyanyi yang baru saja muncul dengan album Apresiasi ini akhirnya terbuka hati untuk bertemu wakil media. Pun begitu, kesudiannya itu bukan untuk membuka pekung di dada ataupun menuding jari pada mana-mana pihak. Sebaliknya dia mahu semua spekulasi yang tidak benar, yang sedang bertebaran ketika ini, dihentikan serta-merta.

"Saya bukannya mahu melarikan diri daripada media, tapi dalam situasi seperti ini, saya rasa lebih baik untuk saya mendiamkan diri. Kalau boleh saya memang tidak mahu kisah rumah tangga saya diperbesar-besarkan. Ada banyak hati yang perlu saya jaga - keluarga saya, keluarga mentua dan juga suami saya sendiri.

"Suami saya sendiri risau apabila saya katakan yang saya mahu bertemu media hari ini, kerana bimbang proses memulihkan kembali hubungan kami akan terjejas gara-gara cerita yang tidak benar tersebar," luah Saida membuka bicara.
Daripada gerak tubuh dan riak wajahnya, jelas Saida sangat tidak selesa untuk membicarakan kemelut itu dengan lebih lanjut. Berkali-kali dia meminta supaya tidak ditanya apakah punca dia bertindak memfailkan perceraian.

"Apa yang berlaku, biarlah saya, suami dan Tuhan saja yang tahu. Namun, apa yang boleh saya katakan, perkara ini tidak ada kena mengena dengan kehadiran orang ketiga ataupun populariti yang dikecapi sejak saya bergelar artis," tegas kakak kepada penyanyi nombor satu negara, Datuk Siti Nurhaliza ini.

Saida memfailkan permohonan cerai secara baik terhadap suaminya, Mohd Ghazali, 40 di Mahkamah Syariah Kuala Lumpur, 6 Oktober lalu.

Memang sukar untuk menebak apa yang tersirat dalam hati wanita bertubuh kecil molek ini. Meskipun bibirnya sentiasa menguntumkan senyuman namun gelora di hati, siapa yang tahu? Dan melihat kepada diri Saida sendiri, mana mungkin dia boleh bertindak seperti itu jika hati wanitanya tidak disakiti.

"Sewaktu bertindak memfailkan perceraian itu, saya memang nekad. Bulat sudah hati ini sewaktu membuat keputusan itu. Semuanya saya lakukan atas kerelaan sendiri tanpa merujuk mana-mana pihak.

"Disebabkan itulah apabila cerita saya memfailkan perceraian itu tersebar, keluarga saya terkejut besar. Malah suami saya juga tak sangka saya boleh bertindak sejauh itu. Mungkin selama ini saya lebih banyak memendam rasa dan berlakulah tindakan yang tidak diduga seperti itu.

"Saya akui, sebagai manusia saya juga ada kelemahan diri. Ada ketika saya memang membuat keputusan mengikut kata hati sendiri," luah Pengurus Kewangan Siti Nurhaliza Productions (SNP) itu.

Bagaimanapun, selepas mengambil kata nasihat yang diberikan keluarga, Saida akhirnya bersetuju untuk menyelesaikan krisis rumah tangganya itu dengan cara mereka sendiri. Ibarat menarik rambut di dalam tepung, rambut tidak putus, tepung tidak berombak.

"Semua pihak mengharapkan kemelut ini dapat dipulihkan dengan segera. Justeru, saya amat berharap supaya masyarakat di luar sana memberi ruang buat kami menyelesaikan masalah kami tanpa sebarang gangguan cerita yang tidak benar, yang boleh menjejaskan usaha kami ini," tegasnya yang turut menghadiri kaunseling sebagai usaha memulihkan kembali hubungan mereka suami isteri.

Pada prosiding 26 Oktober lalu, peguam syarie, Noor Azlina Che Hasan yang mewakili Saida memohon agar mahkamah memberi tempoh dua bulan kerana kedua-dua pihak berhasrat berbincang semula, sama ada mahu meneruskan permohonan itu atau sebaliknya.

Mahkamah bagaimanapun menetapkan kes itu disebut semula pada 20 Disember depan.

Bercuti bersama

BUKAN calang-calang wanita mampu berdepan dengan masalah rumah tangga. Apatah lagi jika keputusan yang bakal diambil itu berkait rapat dengan perceraian. Silap cara, boleh trauma jadinya. Namun, bagi Saida masalah itu tidak pernah menekan hidupnya.

"Setakat ini, saya okey saja. Saya masih menjalani kehidupan macam biasa. Begitu juga dengan soal karier, masih berjalan seperti biasa. Masalah ini tidak menjejaskan langsung perjalanan kerjaya nyanyian saya," katanya.

Kata Saida lagi, jika tiada aral melintang, sempena cuti persekolahan ini, dia, suami dan anak-anak akan pulang ke kampungnya di Kuala Lipis, Pahang bagi meraikan Aidiladha.

"Saya akan gunakan peluang ini untuk memperbaiki kembali hubungan kami dan saya harap peminat semua mendoakan yang terbaik buat kami sekeluarga," pinta Saida penuh pengertian.


Full Feed Generated by GetFullRSS.com, sponsored by USA Best Price.