Adsense

Isnin, 8 November 2010

Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi!

Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi!


Nora Danish Bakal Lembut Hati Dengan Fasha Sandha

Posted: 08 Nov 2010 07:45 PM PST

KUALA LUMPUR: Setelah sekian lama pelakon Nora Danish bermain 'tarik muka' dengan seorang lagi pelakon, Fasha Sandha, kini Nora berkemungkinan besar akan berlembut hati dengan kekasih bekas suaminya, Jejai, itu.

Kata Nora, dia mungkin akan berlembut hati dengan Fasha di mana dia akan memberi Fasha meluangkan masa bersama-sama dengan anaknya, Rayqal, jika pelakon drama Chinta itu berkahwin dengan Jejai.

"Sebelum ini, saya ada bertanya pada diri sampai bila saya nak halang dia (Fasha) bertemu dengan Rayqal, memandangkan ayah Rayqal adalah kekasihnya?

"Tapi, jika mereka sudah berkahwin, mungkin saya akan berubah hati. Lagipun rasanya sekarang ini mereka tidak merancang lagi untuk ke peringkat seterusnya (kahwin)," katanya pada sidang akhbar program Kamilah Bintang di restoran Fullhouse, Isnin.

Tambah Nora, buat masa ini, dia sememangnya tidak suka jika Fasha bertemu dengan anaknya itu.

Baru-baru ini, Fasha dikatakan telah membeli barang permainan untuk Rayqal di sebuah kedai permainan kanak-kanak yang menjadi pilihan Jejai untuk membeli barang permainan anaknya itu.

Ditanya adakah Nora tahu tentang hal itu, katanya:"Mungkin barang permainan itu dibeli untuk orang lain kot.

"Lagipun anak saya ada ibunya sendiri dan itu kehidupan saya, bukan urusan dia untuk membeli sesuatu untuk Rayqal.

"Mungkin orang nampak pelik dengan kata-kata saya ini, tapi bagi saya, kita hanyalah manusia biasa dan hati saya tidaklah sekuat mana.

"Apapun, Jejai faham dengan pendirian saya. tapi tak tahulah, kalau di belakang saya macam mana." jelas Nora yang akan bercuti ke Jepun dan Korea bersama-sama dengan keluarganya dan Jejai.

Jangan Terus Aibkan Saya - Linda Onn

Posted: 08 Nov 2010 07:44 PM PST

PETALING JAYA: Penyampai radio Suria FM, Linda Onn meminta agar tidak terus diaibkan sehingga menjejaskan imejnya sebagai seorang selebriti dan ahli perniagaan.

Kata Linda, dia kecewa dengan laporan sebuah akhbar mingguan Ahad yang menyiarkan artikel di ruangan gosip yang memberi gambaran jelas terhadap dirinya.

"Sudah sudah mengaibkan saya, kesabaran manusia juga ada batasannya. Dari peristiwa karpet merah di LA (Los Angeles) sehingga kisah percintaan dan pergaduhan dengan Fahrin Ahmad saya berdiam sahaja. Kini timbul pula kisah saya cuba untuk berlagak dengan hobi baru.

"Walaupun ruangan itu tidak mendedahkan siapa penyampai radio yang dimaksudkan, tapi gambaran yang diberikan jelas menunjukkan bahawa saya orang itu," ujarnya ketika dihubungi mStar Online, Isnin.

Jelas Linda, perkara itu telah menimbulkan tanggapan negatif peminat dan rakan niaga terhadap dirinya.

"Sebelum saya membaca artikel tersebut ramai yang sudah memberitahu dan menasihatkan saya bersabar setelah membacanya. Ramai yang membacanya jelas mengetahui orang yang dimaksudkan.

"Ia memberi persepsi buruk kepada saya sebagai penyampai radio dan ahli perniagaan," ujarnya.

Dalam pada itu, Linda juga kecewa kerana kerjasama yang diberikan selama ini dibalas dengan tanggapan buruk oleh beberapa pihak.

"Saya tidak mahu membesarkan perkara ini, saya berharap mereka menghormati saya sebagai artis yang sudah lama dalam industri ini dan selidik dahulu perkara tersebut.

"Saya sudah beri kerjasama sebaik mungkin, dan saya harap mereka juga beri kerjasama kepada saya agar tidak terus menerus memburukkan nama saya," ujarnya kesal.

Terdahulu dalam blog peribadi miliknya, Linda telah menjelaskan bahawa dia tidak menggunakan motor berkuasa besar kepunyaannya itu atas tujuan keselamatan.

Sam Jelaskan Dirinya Bukan Aktor Yang Ditahan Polis

Posted: 08 Nov 2010 07:43 PM PST

Shaheizy Sam

PETALING JAYA: Susulan laporan sebuah akhbar mengenai seorang aktor ditahan oleh polis ekoran penyalahgunaan dadah, malam Jumaat lalu, pelakon popular Shaheizy Sam turut mendapat tempiasnya apabila timbul desas-desus yang mengaitkan namanya dengan aktor tersebut.

Justeru itu, peluang bertemu dengan pemenang anugerah Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik pada Festival Filem Malaysia ke-23 (FFM23) itu, Isnin, memberi ruang kepada mStar Online bagi mendapatkan penjelasan daripada adik kepada aktres Zizie Ezzette itu sendiri.

Sam yang terkejut apabila diajukan soalan itu berkata, ia hanya spekulasi dan dakwaan kosong yang tidak berasas sama sekali.

Akui pelakon filem Ngangkung itu, sebaik saja berita itu disiarkan di akhbar memang dia mendapat panggilan dan pertanyaan yang bertalu-talu daripada banyak pihak untuk mendapatkan kesahihan.

Bagaimanapun, Sam sama sekali tidak melenting atau marah dengan dakwaan tersebut, sebaliknya menyifatkan ia sebagai strategi akhbar terbabit untuk menarik perhatian pembaca.

"Saya memang terkejut apabila ramai yang menghubungi dan bertanyakan saya tentang berita itu tapi tiada apa yang saya perlu bimbang atau cemas sebab ianya tiada kena-mengena dengan saya.

"Malah, berdasarkan info yang disampaikan kepada saya, aktor yang ditahan polis itu sebenarnya tiada kaitan pun dengan Festival Filem Malaysia ke-23. Jika dilihat pada umur dan beberapa maklumat berkaitan aktor yang ditahan polis itu pun, ia langsung tidak berkaitan dengan saya.

"Mungkin ada kesilapan di mana-mana sehingga orang salah anggap atau hanya strategi akhbar tersebut untuk memancing perhatian, sekaligus membuat spekulasi yang mengaitkan dengan saya pula," katanya.

Apabila diminta mengulas mengenai kes tersebut, Sam berkata, manusia memang tidak pernah lepas daripada melakukan kesilapan dan menasihatkan aktor tersebut perlu lebih berhati-hati dalam segala tindak-tanduknya.

"Saya pun bukannya baik sangat. Jadi, tiada hak untuk komen tentang isu-isu serius sebegini. Saya pun pernah melakukan kesilapan sebelum ini cuma apa yang boleh saya katakan kepada aktor itu mahupun sesiapa saja perlulah berhati-hati dalam segala tindakan yang kita lakukan," katanya.

Dalam laporan sebuah akhbar pada Ahad, seorang aktor berusia 30 tahun dan tunangnya yang dipercayai terbabit dalam penyalahgunaan dadah jenis methamphetamine telah ditahan oleh pihak polis ketika sedang menunggu bekalan dadah di sebuah stesen minyak di Lebuhraya Lingkaran Tengah (MMRR2), Ampang, Selangor, malam Jumaat lalu.

Aaron Aziz Tempuh Segala Rintangan

Posted: 08 Nov 2010 07:43 PM PST

BUKAN mudah untuk menjadi seorang perantau di negara orang apatah lagi untuk mengejar impian sebagai pelakon yang tersohor.

Pemilik nama Aaron Mustapha Aziz atau Aaron Aziz, mula melakar namanya di negara kelahirannya, Singapura sekitar tahun 2002.

Namun kepuasannya sebagai pelakon di negara sendiri agak terbatas lalu dia nekad berhijrah ke Kuala Lumpur sekitar tahun 2004 menerusi drama pertamanya, Sumaiyah.

Bangga dengan pencapaiannya berdasarkan asahan bakat lakonan sendiri, Aaron kini selesa dengan kehidupan serta kerjaya yang dibinanya di sini.

Cuma, sehingga kini, impian Aaron seperti tersekat apabila sering kali tidak berpeluang untuk dicalonkan dalam mana-mana anugerah berprestij hanya kerana dirinya seorang rakyat Singapura.

"Sudah tiba masanya untuk saya dicalonkan untuk anugerah yang diperkenalkan. Saya agak kecewa apabila lakonan saya sukar untuk diberi pengiktirafan hanya kerana saya seorang rakyat Singapura.

"Bagi saya, apabila tercalon atau pun memenangi anugerah, barulah kita dapat melihat sejauh mana tahap kemampuan kita. Sudah lama saya menantikan peluang itu.

"Oleh itu, saya nekad untuk memohon menjadi penduduk tetap (PR) di Malaysia. Walaupun agak sukar untuk mendapatkan PR di sini, saya akan cuba sampai dapat. Sebab itu saya bawa isteri dan anak-anak menetap di sini," tuturnya pada sesi fotografi bersama Mingguan mStar di pusat pameran kereta mewah, Kuala Lumpur & Temasek Enterprise Sdn. Bhd (KLT).

Menanggung risiko dengan kritikan yang bakal diterima oleh rakyat Singapura, kata Aaron dia perlu membuat keputusan untuk mendapatkan kehidupan dan kerjaya yang terbaik untuknya serta keluarga.

Ujarnya, sebelum ini dia perlu berulang alik dari Kuala Lumpur ke Singapura untuk bertemu dengan isteri, Diyana Halik serta tiga anaknya iaitu Danish Anaqi,7, Dwi Ariana,5, dan Dahlia Arissa yang berusia setahun. Kata Aaron dia tidak sanggup berjauhan dengan mereka terlalu kerap.

"Saya tak kisah jika masyarakat Singapura menghina saya dengan berkata saya ini mahu melupakan tanah air sendiri. Saya perlu membuat keputusan demi kerjaya dan keluarga. Kalau dulu, saya akan berulang alik ke Singapura kerana terlalu rindukan keluarga.

"Mereka kena faham, agak sukar untuk kita berjaya dalam industri hiburan di Singapura. Bila isteri dan anak-anak berada dekat dengan saya di Kuala Lumpur, ia lebih memudahkan saya menguruskan keluarga serta kerjaya.

"Sebab itulah saya selalu membawa isteri dan anak-anak bersama jika ada penggambaran di luar Kuala Lumpur kerana peluang yang agak terhad untuk bertemu mereka. Kalau nak tahu, saya ibaratkan industri hiburan tempatan sebagai Hollywood Malaysia," ujarnya sambil tersenyum.

Pernah tidur dalam kereta

Semua tahu, untuk menapak dan mengukuhkan nama di persada seni bukannya mudah. Pelbagai onak duri yang perlu dilalui untuk menjadi seorang pelakon.

Begitu juga dengan Aaron. Poketnya pernah kosong pada awal pembabitannya dalam dunia seni. Malah, Aaron juga sanggup tidur di dalam kereta kerana tidak mahu menghabiskan wang kerana terpaksa menyewa hotel.

"Memang agak susah juga saya nak bernafas pada mulanya. Sebelum berlakon drama Sumayyah sebanyak 13 episod, memang poket saya kosong. Kemudian barulah saya berduit sikit. Bayangkan dengan duit yang saya dapat, bila ditukar kepada mata wang Singapura, ia menjadi sikit.

"Duit itu jugalah saya kena beri kepada ibu bapa saya serta isteri dan anak-anak. Sekarang ini, bila dapat bayaran lakonan, saya terus asingkan 30 peratus daripada gaji saya dan berikan kepada Diyana untuk disimpan," tuturnya.

Sengaja mengusik adakah pernah isterinya cemburu tatkala dia dikelilingi pelakon-pelakon wanita cantik setiap kali berlakon, Aaron bersyukur, Diyana begitu memahami kerjayanya itu.

Namun, dia percaya, walaupun tidak pernah melafazkan kata-kata cemburu kepadanya, sebagai seorang wanita, sedikit sebanyak perasaan itu pastinya ada.

"Memandangkan Diyana faham dengan kerjaya saya, saya juga perlu menjaga hati dia. Saya perlu menjaga batasan saya sebagai seorang suami dan ayah.

"Oleh itu, setiap kali habis penggambaran, saya akan terus pulang ke pangkuan keluarga. Nak melepak dengan rakan-rakan artis pun jarang melainkan ditemani Diyana.

"Saya seorang yang mementingkan keluarga kerana merekalah menjadi tulang belakang saya ketika susah dan senang.

"Saya percaya, sebagai seorang isteri mesti dia ada perasaan cemburu bila melihat saya berlakon di sisi pelakon-pelakon wanita lain. Cuma dia tidak luahkan saja.

Walaupun, dia tak cakap apa-apa, kadang-kala saya tetap jelaskan pada dia kenapa saya perlu beraksi seperti itu," katanya.

Kami Sekadar Bergambar, Tiada Yang Luar Biasa Pun!- Zain Saidin

Posted: 08 Nov 2010 07:42 PM PST

PETALING JAYA: Aktor Zain Saidin (gambar) menafikan wanita dalam gambar mesra yang tersebar di ruangan hiburan sebuah akhbar, pada Ahad merupakan aktres Rozita Che Wan.

Malah dia mengaku wanita yang dimaksudkan hanya kawannya. Tiada reaksi negatif yang dipamerkan, sebaliknya terdetik perasaan kelakar kepada pelakon drama Kiah Pekasam dan Duyong Aridinata itu apabila membaca artikel tersebut.

"Nampak seperti Rozita Che Wan ke? Bukan dia lah. Kalau nak kata dengan Rozita, di Facebook saya banyak gambar kami berdua dan juga bersama-sama artis lain," katanya ketika dihubungi mStar Online.

Zain turut menafikan dia memeluk wanita itu dalam gambar tersebut malah menganggap gambar itu cuma gambar biasa dan tiada apa-apa keistimewaan sebalik gambar yang dirakamkan.

Dia menjelaskan, wanita terbabit bukanlah kekasihnya. Tambah Zain, tidak bermakna dia menukarkan gambar mereka berdua kepada gambarnya seorang di status BlackBerry Massanger (BBM) miliknya kerana telah 'terkantoi'.

"Gambar itu biasa sahaja dan kami tidak berpelukan seperti didakwa. Saya dan wanita dalam gambar itu hanya berkawan.

"Saya tergelak apabila melihat gambar itu. Saya tak suka gambar tu sebab saya nampak kelakar dalam gambaer tu. Jadi, sebab itu saya tukar gambar saya seorang diri semula.

"Kami sekadar bergambar, bukan ada yang luar biasa pun. Tapi seperti yang saya cakap tadi, saya cuma tergelak sebab gambar tu nampak kelakar. Saya tak sangka gambar ni yang dipilih," ujarnya lagi.

Hujan Lancar Album Baru 25 November Ini

Posted: 08 Nov 2010 07:41 PM PST

PETALING JAYA: Selepas tampil dengan album Mencari Konklusi, kini kumpulan Hujan (gambar) muncul dengan album terbaru berjudul Lonely Soldier Boy pada 25 November ini.

Hujan dianggotai oleh Noh, Hang Dimas, AG, Izat dan Am.

Album edaran Warner Music Malaysia itu memuatkan 14 buah lagu termasuklah lagu Lonely Soldier Boy, Kotak Hati, Bagaikan Matahari dan Di Kala Bulan Bermain Biola.

Untuk album ini, Hujan masih mengekalkan ciri-ciri muzik alternatif biarpun mereka cuba bereksperimentasi dengan sesuatu yang baru.

Ironinya, kesemua lagu-lagu ini diperolehi dari demo yang telah dimuatturunkan ke dalam internet.

Namun, peminat Hujan yang dikenali sebagai Raingers masih berupaya untuk menikmati album istimewa ini, kerana terdapat 10 buah lagu lagi yang masih baru dan belum pernah dimainkan.

Hujan akan bekerjasama dengan Warner Music Malaysia untuk melancarkan Lonely Soldier Boy pada 25 November ini di Berjaya Times Square, pukul 5.30 petang.

Dalam majlis tersebut, Hujan akan mengadakan persembahan secara langsung buat julung julung kalinya dengan menyanyikan beberapa buah lagu yang dipetik dari album Lonely Soldier Boy ekslusif untuk para media dan peminat.

Sempena pelancaran Lonely Soldier Boy di Berjaya Times, bagi raingers yang ingin mendapat pass ekslusif untuk showcase Hujan, mereka boleh mendengar Era FM, X- Fresh FM, MTV dan Astro Hitz TV untuk mendapat ekslusif rock zone pass.

Dan juga sesiapa yang inginkan pass ekslusif Rock Zone, mereka juga boleh mendapat pass itu dengan membeli album Lonely Soldier Boy pada acara itu.

Dalam album ini, Hujan mempertaruhkan single pertama mereka iaitu Muda.

Jamil Sulong Perlu Dikenang

Posted: 08 Nov 2010 07:41 PM PST

KETIKA kita meraikan bulan memperingati perjuangan Tan Sri P.Ramlee yang disambut sepanjang Oktober ini, kita juga tidak harus lupa terhadap perjuangan Datuk Jamil Sulung (gambar) yang sememangnya begitu rapat dengan seniman Agung itu.

Tanpa disedari, Jamil yang suatu ketika dahulu bekerja sebagai penterjemah di Malay Filem Production pernah menghasilkan lagu dan lirik yang dinyanyikan oleh P.Ramlee seperti Berkorban Apa Saja, Azizah, Anak Ku Sazali, Tiada Kata Secantik Bahasa, Tiru Macam Saya dan Merak Kayangan.

Populariti lagu-lagu itu berjaya menaikkan nama P.Ramlee dan filem-filem yang memuatkan lagu berkenaan.

Sayangnya ketika lagu-lagu itu berkumandang, ramai yang tidak menyedari lirik dan lagu yang penuh puitis tersebut adalah hasil nukilan Jamil.

Malah, hubungannya yang rapat dengan P.Ramlee membuatkan Seniman Agung itu mempercayai karya-karya Jamil untuk diterjemahkan dalam filem-filem arahan P. Ramlee sendiri.

Jamil pernah meluahkan kesedihan apabila orang lebih mengenali P.Ramlee berbanding karya yang beliau hasilkan.

Mungkin kerana populariti P.Ramlee membuatkan orang ramai menyangka lagu-lagu itu adalah hasil ciptaan seniman agung itu tanpa mengetahui ia sebuah karya bermakna daripada seorang yang bernama Jamil Sulung.

Walau bagaimanapun tiada siapa yang melupakan Jamil kerana ketika menjangkau usia 84 tahun, beliau yang agak uzur ketika ini tetap diingati apabila Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) menganjurkan Malam Legenda Perdana, Tiada Kata Secantik Bahasa di Pusat Dagangan Dunia Putera (PWTC) pada Ogos lalu.

Ia diadakan bagi memperingati jasa Jamil selama penglibatannya kira-kira 60 tahun dalam bidang seni.

Keadaan dirinya yang sudah uzur itu tidak langsung menyekatnya untuk berkarya sehingga dia mampu menghasilkan sebuah buku Warisan Dan Wawasan yang memuatkan kisah-kisah menarik sepanjang penglibatannya dalam bidang seni.

Dengan terhasilnya buku itu, Jamil berasa amat tenang kerana segala perasaannya dapat diluahkan dalam bentuk naskhah yang akan dikenang oleh generasi akan datang.

Katanya, sebagai anak seni memang banyak cabaran tetapi jika seseorang itu telah memilih untuk terlibat dalam bidang seni, mereka harus menempuh segala pahit maungnya.

Sepanjang aktif sebagai pengarah, Jamil telah menghasilkan 17 buah filem. Filem terkahirnya ialah Raja Melewar, diterbitkan pada 1998 yang turut dibintangi oleh Eizlan Yusof, Saharuddin Thambi, Norish Karman dan Aziz Jaafar.

Ady Putra Elak Watak Berulang

Posted: 08 Nov 2010 07:40 PM PST

Ady Putra sentiasa memilih watak agar tidak berulang.

BANDINGKAN bakat lakonan anak jati Singapura ini dengan mana-mana aktor lain tanah air, kredibilitinya menterjemahkan pelbagai watak dan emosi memang tidak diragukan.

Malah, dengan pakej fizikal yang dimiliki jejaka bergelar Ady Putra ini bagai melengkapi syarat untuk bergelar bintang popular.

Ironinya, selepas lapan tahun bertapak di arena seni lakon, populariti Ady masih 'samar' di minda penggemar filem dan drama Melayu.

Apabila diaju pertanyaan itu, Ady cukup tenang mengatur bicara. Tanpa perlu runsing tentang soal populariti, yang menjadi keutamaan buat aktor berusia 29 tahun ini sebenarnya adalah perkembangan watak dalam naskhah yang disertainya.

Itu pandangan anak seni ini apabila berhujah tentang populariti dan karier lakonannya. Apa yang lebih penting adalah untuk mengeksploitasi lebih banyak watak sekali gus mencabar diri menerusi karya yang lebih berkesan.

"Bukan populariti itu tidak penting cuma untuk bergelar pelakon yang berkaliber, kerja dan penterjemahan watak yang kita sampaikan kepada penonton lebih penting daripada palitan populariti.

"Saya selalu percaya jika kita bekerja dengan ikhlas dan meninggalkan mutu lakonan yang berkesan, penonton akan lebih menghargai kerja kita berbanding populariti kosong yang didambakan oleh ramai selebriti," katanya.

Mengulas lanjut tentang pengukuhan jenamanya di persada seni tempatan hari ini, Ady yang bermula sebagai krew produksi ini mengakui begitu bertuah dengan kepercayaan yang diberikan oleh penerbit dan pengarah filem dan drama di Malaysia kepadanya.

"Langkah saya masih jauh dan terlalu banyak ilmu lakonan yang perlu dicari tapi saya bersyukur dan gembira di atas kepercayaan yang diberikan setakat ini.

"Kalau diukur pada aspek populariti, saya bukanlah pelakon yang terkenal tetapi saya cuba memberikan impak lakonan yang terbaik setiap kali bekerja dan mungkin itulah yang menarik perhatian penerbit dan pengarah," katanya.

Jelas Ady, untuk menjadi pelakon yang dihormati dan dikenang, dia sentiasa percaya bahawa aktor tidak boleh terperangkap dalam satu-satu jenis watak saja.

Sebagai pelakon, seseorang itu perlu bijak menilai watak yang diterima dan sewajarnya mengelakkan daripada menerima watak yang sama berulang-kali.

"Saya kerap ditawarkan watak 'hitam' yang antagonis kerana mungkin kebanyakan penerbit dan pengarah melihat karakter itu pada diri saya tetapi saya tidak mahu terus dilabel sebegitu. Bukan tidak menghargai kepercayaan orang cuma jika saya ingin terus berjaya dalam bidang ini, saya rasa perlu mempelbagaikan watak yang dipersembahkan.

"Amat penting bagi seseorang pelakon itu bersikap selektif dan elakkan membawa watak yang sama secara berulang-kali. Ambil contoh pelakon hebat Hollywood seperti Johhny Depp. Dia cukup versatil dalam mempelbagaikan wataknya. Hitam dan putih pada sesesuatu watak itu yang saya idamkan dan ingin terus dipasak dalam karier lakonan," ulasnya.

Kehebatan P. Ramlee Jadi Inspirasi Monoloque

Posted: 08 Nov 2010 07:13 PM PST

Loque (dua dari kanan) bersama-sama anggota Monoloque yang lain.

PERCAYA atau tidak, kumpulan Butterfingers yang agak popular suatu ketika dahulu masih belum lagi berkubur cuma namanya sahaja sudah ditukarkan kepada Monoloque.

Diterajui oleh vokalis barunya iaitu Loque dan bukan lagi Emmet, perjuangan kumpulan itu juga berubah haluan berbanding genre muzik Butterfingers sebelum ini.

Ironinya, biarpun tanpa Emmet, anggota kumpulan Butterfingers masih bersatu dan bagi Loque, mana mungkin mereka boleh mengekalkan sisa-sisa peninggalan Emmet yang telah berhijrah ke Kanada.

Bertitik tolak daripada semangat dan nafas baru, Loque atau nama sebenarnya Khairil Ridzwan Annwar, 32, memulakan misinya untuk menghidupkan Monoloque.

Selain Loque, Monoloque turut dianggotai oleh Mohd Fakharudin Mohd Bahar (Kadak), 32, Noor Haffizal Rashid (Loco), 36, Adam Shahrir Omar (Adam "senyap"), 29 dan anggota baru iaitu Izwan Omar (Iju "gagak hitam"), 30.

"Saya punya perjuangan nasionalisme serta mahu seimbangkan antara muzik Nusantara. Kalau boleh saya mahu menghasilkan muzik yang boleh melawan muzik yang dipamerkan di MTV iaitu muzik generasi yang mengikut trend di Amerika Syarikat.

"Sekarang saya sedang cuba menghasilkan lirik yang lebih berterus-terang sebagai eksperimen terbaru. Misalnya, saya telah berhasil membuat eksperimen menerusi lagu Kekanda Adinda. Saya akan cuba membuat lirik lagu bersifat cinta universal seperti itu lagi," katanya kepada Mingguan mStar.

Jika diikuti setiap bait lirik Loque, boleh dianggap seperti dia berfalsafah memandangkan liriknya penuh dengan maksud tersurat dan tersirat.

Misalnya boleh dikaitkan dengan lirik lagu terbaru Monoloque berjudul Halimunan Abad Ke-21 yang memberikan gambaran tentang kehidupan abad ke-21.

"Saya turut menggunakan bahasa Sanskrit untuk menggambarkan kehidupan metropolitan pada abad ke-21 nanti. Kenapa saya menggunakan halimunan? Kerana orang tak nampak secara simbolik kehidupan pada masa itu.

"Kita seolah-olah menjadi hamba teknologi dan mangsa globalisasi di sebalik isu yang kita nampak pada mata kasar.

"Ia boleh jadi juga cerita dongeng seorang lelaki dari zaman Parameswara yang mengalami kejutan budaya apabila melalui zaman modenisasi. Saya hanya tukang cerita dalam lagu itu dan mungkin juga halimunan itu ada dalam diri saya secara realistik atau datang dalam mimpi," ujarnya penuh bermakna.

Biarpun orang menganggap lagunya seperti pelik dan penuh tersirat, namun dia tetap mahu berkarya dan mengambil contoh idolanya, Allahyarham Tan Sri P. Ramlee di mana lagu seniman kebanggaan ramai itu dikenang dan diingati sehingga sekarang.

"Kalau boleh saya nak jadi seperti P. Ramlee, lagunya tidak ditelan dek zaman. Insya-Allah, jika tiada aral saya mahu membuat cover album menyanyikan semula lagu-lagu P. Ramlee seperti yang pernah dilakukan oleh Datuk Sheila Majid.

"Antara lagu yang menjadi pilihan saya seperti Mengapa Riang Ria, Tidurku Di Rumput Yang Basah, Joget Tari Lenggang dan Nenek Nenek.

"Saya teruja dengan P. Ramlee ketika beliau di era Jalan Ampas kerana waktu itu beliau merupakan seorang yang bekerja keras untuk menjadi seorang artis," katanya yang turut meminati seniwati Normadiah dan komposer R. Azmi.

Loque berkata, sebolehnya dia mahu terlebih dahulu menukar minda orang tempatan yang lebih mengagungkan muzik Barat.

Tegasnya, sepatutnya bukan kita yang mengikut seperti mereka (Barat) sebaliknya kita perlu belajar untuk menjadi diri sendiri.

Pesakit HIV Tak Perlu Merempat Lagi

Posted: 08 Nov 2010 07:12 PM PST

MUKADIMAHSECARA tidak langsung, anak yatim, orang kurang upaya (OKU), warga emas dan ibu-ibu tunggal akan terus terpapar di kotak fikiran setiap kali kita berdiskusi atau membuka topik tentang golongan istimewa atau yang kurang bernasib baik.

Kesinambungan kepada apa yang bermain di minda itu tentulah pusat-pusat penjagaan dan rumah perlindungan yang ditubuhkan khas di sana-sini bagi membela nasib golongan tersebut.

Tertubuhnya pusat perlindungan anak-anak yatim, pusat penjagaan OKU dan rumah-rumah kebajikan orang tua membuktikan betapa masyarakat hari ini prihatin dan tidak pernah melupakan golongan tersebut.

Namun, berapa ramai di antara kita pernah terfikir tentang nasib pesakit Aids/HIV yang hilang tempat berlindung gara-gara disisihkan keluarga dan sanak-saudara?

'Ibarat sudah jatuh ditimpa tangga', golongan yang kebanyakannya pernah terjebak ke kancah hitam ini akhirnya hidup melarat dan terpaksa merempat di kaki-kaki lima kerana tiada tempat berteduh.

Malah, sedikit masa dulu terdapat pesakit Aids/HIV beragama Islam yang tiada pilihan lalu berlindung di gereja kerana itulah satu-satunya tempat yang sudi menerima penyakit, kuman dan penderitaan yang ada bersama diri mereka.

Kini, Rumah Perlindungan HIV Darul Ukhuwah yang ditubuhkan pada 1 Ogos 2009 sudi menerima golongan ini sekali gus membuktikan masih ada yang sayang dan peduli terhadap mereka.

Rumah Perlindungan HIV Darul Ukhuwah menjadi tempat pesakit-pesakit HIV terbiar berteduh dan meneruskan hidup.

Tidak perlu merempat lagi

YANG berlalu biarkanlah berlalu! Tiada gunanya menuding jari kepada mana-mana pihak apabila sedikit masa dulu ramai pesakit-pesakit HIV/AIDS di negara kita hidup merempat, berselerakan tidur beralaskan kotak dan berbumbungkan langit cuma.

Lupakan juga kisah pesakit beragama Islam yang pernah menumpang ehsan di gereja tidak lama dulu kerana tiada tempat untuk berlindung. Kini Rumah Perlindungan HIV Darul Ukhuwah sentiasa membuka pintunya, sudi menerima kehadiran pesakit HIV/AIDS tersisih terutama yang insaf dan ingin berubah.

Siapa sangka, dalam diam rumah yang 'memayungi' ramai pesakit HIV/AIDS terbiar dan dibuang keluarga ini telah berjaya menyelamat dan memulihkan kira-kira 50 pesakit yang datang dari seluruh negara.

Bermula dengan tempat tinggal kurang selesa di kawasan Subang Jaya pada Ogos 2009, sebulan selepas itu Darul Ukhuwah berpindah ke sebuah banglo lebih selesa yang terletak di Seksyen 4, Petaling Jaya.

Menurut Pengurus Rumah Perlindungan HIV Darul Ukhuwah, Khairul Azmy Abdul Rahman, setiap penghuni di situ mempunyai sejarah dan latar belakangnya yang tersendiri.

Khairul Azmy

Sejarah hitam, latar belakang jenayah dan tindakan penghuni melanggar peraturan dan tegahan agama akhirnya dibalas dengan penyakit yang perlu ditanggung sepanjang hayat iaitu HIV/AIDS.

Ditambah sikap masyarakat yang membayangkan HIV/AIDS sebagai penyakit paling digeruni dan mengaibkan, Darul Ukhuwah menjadi destinasi terakhir kelompok ini untuk berteduh dan meneruskan sisa hidup.

Berdasarkan rekod, hampir 90 peratus penghuni Darul Ukhuwah terdiri daripada mereka yang terbabit dengan dadah. Majoriti penghuni datangnya dari negeri Pahang.

"Setiap mereka ada kisah hitam dan sejarah masing-masing. Kebanyakan mereka bekas penagih, pernah masuk pusat pemulihan dan pernah masuk penjara.

"Apa yang saya tahu, mereka yang pernah dipenjarakan atau masuk pusat pemulihan ini tak pernah serik, insaf pun sekejap saja. Tak lama lepas itu diulangnya lagi perbuatan sama.

"Sehinggalah mereka disahkan ada HIV dan menderita sakit, barulah mereka betul-betul insaf. Bila mereka insaf keluarga pula buang mereka sebab malu atau tak sanggup nak jaga," katanya kepada Mingguan mStar.

Bukan sekadar tempat berteduh

Setiap hari, banglo dengan lima bilik itu akan menyaksikan aktiviti-aktiviti harian yang dilakukan penghuni Darul Ukhuwah. Aktiviti yang disusun memberi fokus kepada pemulihan jiwa dan rohani yang memberi kesedaran, seterusnya mampu memulihkan kesihatan serta fizikal penghuni.

Tanpa alasan, mereka perlu solat berjemaah, menghadiri kuliah subuh, mengaji al-Quran, mengikuti tazkirah dan senaman; aktiviti yang tidak pernah atau jarang-jarang dilakukan mereka sebelum ini.

SELESA...Suasana di bilik tidur penghuni Darul Ukhuwah

Menurut Khairul Azmy, selain membantu pesakit HIV/AIDS dengan menyediakan tempat tinggal, matlamat utama Darul Ukhuwah ialah memberikan pemulihan penuh kepada penghuninya.

"Kita cuba didik mereka walau ada yang ke sini pada mulanya sekadar nak berteduh dan makan-minum 'free'. Bila mereka pulih, kita harap mereka dapat kembali kepada masyarakat dan berdikari.

"Tapi, boleh dikatakan 70 peratus yang datang ke sini memang berazam mahu berubah," jelasnya.

Tambahnya, adalah menjadi harapan dan tangunggjawab pihaknya juga untuk memastikan pesakit yang telah meninggal dunia diuruskan mengikut amalan Islam.

"Kalau boleh kita mahu mereka ini pulih. Tapi kalau sampai ajalnya, kita harap dapat uruskan jenazah dengan cara sepatutnya dan disemadikan di tempat yang betul, " ujarnya.

Lebih setahun menguruskan Darul Ukhuwah, beliau mengaku terselit juga beberapa penghuni nakal dan penagih tegar yang tidak dapat menyesuaikan diri dengan situasi dan aktiviti yang diatur untuk mereka.

"Kita tak bagi pilihan untuk mereka. Jika mereka nak tinggal di sini dan nak berubah mereka kena berdisiplin.

"Di sini tak boleh hisap rokok dan keluar ikut suka hati. Kalau buat macam tu, kita keluarkan mereka. Kalau buat salah kecil, kita denda cuci rumah atau sebagainya," tegasnya.

Mempunyai hubungan baik dengan Hospital Sg.Buloh, Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Darul Ukhuwah sama sekali tidak pernah mengabaikan rawatan untuk penghuni-penghuninya.

"Kita bagi rawatan terperinci. Cukup masa mereka kena makan ubat. Setiap pesakit kita bawa ke hospital seminggu sekali dan waktu rawatan agak lama. Itulah yang ramai ahli keluarga tak sanggup nak tanggung," katanya.

Pada masa kini, rumah perlindungan ini mempunyai 15 penghuni. Penghuni paling muda berumur 27 tahun dan paling tua berumur 56 tahun.

Difahamkan, sehingga kini terdapat lapan pesakit di hospital sedang menunggu untuk masuk ke rumah ini.

Sepanjang rumah perlindungan ini dibuka, seramai lima penghuni telah meninggal dunia dan jenazah mereka diuruskan sendiri pihak Darul Ukhuwah.

Peruntukan MAIS

Kewangan yang kukuh merupakan salah satu elemen penting bagi melancarkan operasi Darul Ukhuwah. Dari segi rawatan dan ubat-ubatan, ianya dibekalkan secara percuma oleh tiga hospital yang bekerjasama dengan rumah perlindungan ini.

"Kita sangat berterima kasih kepada hospital, doktor-doktor dan jururawat yang banyak membantu tak kira masa dan tenaga," katanya.

Selain itu, Darul Ukhuwah juga menerima peruntukan daripada Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) berjumlah RM30,000 setiap bulan.

Begitu juga sumbangan yang diterima daripada Majlis AIDS Malaysia. Peruntukan tersebut digunakan untuk membayar sewa rumah, membayar pekerja dan sukarelawan, belanja makan dan minum penghuni serta kos-kos lain seperti petrol dan sebagainya.

"MAIS juga turut menyumbangkan dua buah van dan katil hospital untuk penghuni di sini dan kita amat berterima kasih," katanya sambil memberitahu jumlah yang diperuntukkan itu sebagai mencukupi.

Darul Ukhuwah dikendalikan oleh seorang pengurus, dua tukang masak, dua orang penyelaras program, dan pekerja am.

Cabaran Besar Urus Pesakit AIDS/HIV

Posted: 08 Nov 2010 07:11 PM PST

MELIHAT penderitaan pesakit AIDS/HIV terutama yang merana akibat disisih keluarga telah membuatkan Pengasas Rumah Perlindungan HIV Darul Ukhuwah, Muhamad Abdullah nekad menubuhkan sebuah tempat perlindungan untuk golongan tersebut.

Katanya, setiap yang hidup sebagai hamba di muka bumi tidak akan terlepas daripada membuat dosa dan kesilapan, begitu jugalah penghuni-penghuni Darul Ukhuwah yang pernah terjebak dengan perkara tidak baik.

"Tidak kiralah agama apa sekali pun yang dianuti, kesilapan sebesar zarah atau dosa yang maha besar tetap akan dibalas dengan hukuman setimpal. AIDS dan HIV adalah salah satu hukuman dan peringatan supaya mereka bertaubat," katanya kepada Mingguan mStar.

Bersimpati dengan nasib pesakit AIDS/HIV yang tersisih, beliau dan beberapa rakan terpanggil untuk membantu golongan yang sememangnya wajar diberi bantuan ini.

Muhamad b Abdullah

Menurut Muhamad yang pernah dipanggil memberi ceramah kepada pesakit-pesakit HIV yang terbiar dan dijaga oleh pihak gereja sebelum menubuhkan Darul Ukhuwah, beliau difahamkan pihak gereja menghabiskan RM470,000 setahun untuk melancarkan operasi membantu golongan yang sama.

"Kita masih baru. Sudah tentu agak terhad untuk menyaingi program yang telah mereka atur dan buat sejak sekian lama. Tapi saya bersyukur dengan apa yang ada. Semoga satu hari nanti Darul Ukhuwah mampu menyediakan kemudahan yang lebih baik," katanya optimis.

Cabaran yang perlu dihadapi tidak terhenti begitu sahaja kerana dugaan turut datang daripada penghuni-penghuni sendiri.

"Mereka hilang semangat bila tahu mereka ada HIV. Cabaran paling besar ialah untuk pulihkan semangat mereka.

"Ada di antara mereka mempunyai latar belakang gelap. Satu cabaran juga untuk membiasakan mereka dengan program agama," katanya.

Walau berbeza sejarah dan latar belakang diri, setiap penghuni tidak akan terlepas daripada melakukan aktiviti yang telah disusun oleh rumah perlindungan

Mengenai sikap keluarga yang membuang terus ahli keluarga yang menghidap HIV dan stigma masyarakat terhadap golongan tersebut, Darul Ukhuwah bersama Yayasan al-Ijabah mengambil inisiatif mengadakan program kesedaran tentang mengapa golongan ini perlu dibela.

Kerjasama dengan Institusi Pengajian Tinggi (IPT) dilakukan bagi melatih mahasiswa supaya peka dengan kebajikan umat Islam dan membiasakan diri berkhidmat demi agama.

"Kita juga akan buat program dengan ahli keluarga bagi menghilangkan tanggapan negatif mereka pada golongan ini. Sebab itu Darul Ukhuwah menggalakkan ahli keluarga atau sanak-saudara melawat penghuni-penghuni," katanya.

Muhamad juga mempunyai prinsip dan pegangannya sendiri dalam mengendalikan rumah perlindungan yang sentiasa diuji dengan pelbagai ujian ini.

"Kadang-kadang, kita pun terasa agak lemah semangat untuk melangkah. Jadi ia dikuatkan dengan hadis mengenai ganjaran besar bagi orang yang membantu dan membebaskan golongan Riqab iaitu orang yang terhamba diri mereka," jelasnya bersungguh-sungguh.

Di Selangor, pesakit AIDS/HIV diisytiharkan sebagai golongan Riqab oleh MAIS. Hadis mengenai golongan Riqab ini telah ditampal di dinding rumah Darul Ukhwah sebagai pembakar semangat kepada sesiapa sahaja yang sama-sama membantu.

Masalah pekerja, sukarelawan

Muhamad menjelaskan beliau membandingkan Darul Ukhuwah dengan gereja memandangkan kedua-duanya menjalankan operasi dengan matlamat yang sama.

Ini ada kaitannya dengan masalah Darul Ukhuwah yang sukar mendapatkan pekerja dan sukarelawan kerana tidak ramai yang ingin bersama-sama dalam usaha dan kerja kebajikan ini.

"Gereja lebih mudah mendapat sukarelawan termasuklah dari luar negara untuk menjaga pesakit HIV dalam tempoh tertentu.

"Kita banyak iklankan kerja kosong. Tapi bila mereka dapat tahu kena kerja dengan pesakit HIV, mereka batalkan hasrat itu.

"Pokok pangkalnya ialah hati. Kalau ada yang ikhlas mahu buat kerja ini, tanpa pengetahuan dan kemahiran pun mereka mampu buat dengan baik," katanya.

Muhamad juga melihat penubuhan Darul Ukhuwah sebagai cabaran paling besar terhadap beliau dan rakan-rakan.

"Walaupun rumah ini menjadi rumah pertama khusus untuk pesakit HIV yang sebatang kara berteduh, saya tak pernah menganggapnya sebagai kejayaan.

"Saya lebih memikirkan cara untuk kekalkan kelancaran operasi dan mencari pelapis yang dapat meneruskan perjuangan ini," katanya.

Tak perlu takut dengan pesakit HIV

Rosnani Ibrahim

"Saya tak pernah rasa takut dengan pesakit HIV dan saya memang suka buat kerja amal, sebab itulah saya di sini," kata Penyelaras Program Rumah Perlindungan HIV Ukhuwah, Rosnani Ibrahim.

Tidak pernah terfikir tentang risiko yang dihadapi apabila setiap hari perlu berdepan dengan pesakit-pesakit AIDS/HIV, Rosnani yang telah berkhidmat di situ lebih setahun sentiasa berfikir positif.

"Saya berkongsi pinggan mangkuk dengan mereka. Saya juga turut serta dalam aktiviti dan program yang melibatkan mereka.

"Mengapa perlu takut sebab HIV tak berjangkit dengan mudah. Ramai jururawat beritahu saya banyak lagi virus lain yang mudah berjangkit dibandingkan HIV," katanya, serius.

Beruntung kerana keluarga tidak pernah membantah, Rosnani berkata masyarakat harus faham bagaimana penyakit ini menjangkiti orang lain.

Beliau turut bangga kerana mampu berkhidmat dan membantu golongan tidak bernasib baik termasuklah pesakit AIDS/HIV yang tersisih.

"Mereka adalah insan yang sedang berdepan dengan ujian dan musibah.

"Apa yang dapat saya belajar, tak semua penagih 'diberi' penyakit ini dan tak semua orang sanggup untuk berdepan dengan mereka setiap hari," katanya.

Beberapa program telah dianjurkan bagi memupuk kesedaran masyarakat terhadap keperluan membantu golongan ini termasuklah Simposium Jangan Tinggal Daku iaitu program kerjasama dengan Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya (UM), Hari Terbuka Jangan Tinggal Daku dengan kerjasama Pusat Kawalan Kusta Negara (PKKN) Sungai Buloh dan Hi-Tea Amal Aidilfitri bersama Pusat Hemodialisis Masjid Jamek Sultan Abdul Aziz, Jalan Templer, Petaling Jaya.

Siapa mahu bantu kalau bukan kita?

Aishah Ahmad, 70, yang berkhidmat membantu memantau kelancaran operasi rumah perlindungan ini menganggap khidmat yang diberikannya sebagai amal jariah.

Tanpa dipaksa sesiapa untuk berkhidmat di sini, lama-kelamaan Aishah mesra dan berhubungan erat dengan penghuni-penghuni Darul Ukhuwah.

"Saya anggap mereka sebagai anak angkat. Kalau mereka buat salah saya tegur dan bagi nasihat. Tak pernah saya rasa takut-takut dengan penyakit mereka. Bukan cakap besar, tapi saya serah semuanya kepada takdir.

Saya selalu fikir, kalau bukan kita yang bantu mereka, siapa lagi?," katanya.

Walaupun menerima saguhati daripada MAIS setiap bulan, namun bukan itu yang diharapkan Aishah sebaliknya beliau lebih memikirkan nasib pesakit-pesakit yang hilang tempat bergantung terbabit.

Tak Bimbang Mati Tepi Jalan

Posted: 08 Nov 2010 07:10 PM PST

LAUNGAN azan menandakan masuknya waktu solat Asar berkumandang di Darul Ukhuwah. Hati amat tersentuh apabila pengurus rumah perlindungan itu memberitahu lontaran azan merdu itu keluar dari mulut penghuni rumah itu sendiri. Siapa sangka!

Sebelum menantikan masuknya waktu Asar, penulis sempat minum petang bersama-sama mereka. Malu dan tersipu-sipu mereka cuma seketika sahaja. Walaupun tidak pernah bersua, mereka tetap mesra, menyambut baik kehadiran insan yang dinamakan tetamu.

Nyata, kesemua 15 penghuni yang ada menyimpan pelbagai kisah dan cerita. Ada yang berkongsi bersama penulis dan ada juga yang sebaliknya, segan barangkali.

Yang pasti, cerita Pak Ya, penghuni berusia 50 tahun ini agak tragis. Pak Ya, atau nama sebenarnya Yahya Hasan merupakan salah seorang daripada penghuni yang terpaksa menggunakan 'empat kaki' untuk bergerak.

Waktu makannya bertemankan tongkat, tongkat jugalah menjadi teman tidurnya. Paling mengagumkan, dengan tongkat itu jugalah Pak Ya menunaikan solat.

Sebelum ke Darul Ukhuwah, dia pernah menumpang kasih di gereja selama dua tahun kerana hilang tempat berteduh gara-gara dia menghidap HIV.

"Masa itu saya tiada pilihan. Saya tak mahu mati di tepi jalan dan merempat. Hanya gereja yang terima orang macam saya," Pak Ya membuka cerita.

Sebagai penghuni paling lama di Darul Ukhuwah, dia bersyukur kerana akhirnya ada juga saudara seagama yang prihatin terhadap nasib dia dan rakan-rakan bernasib sama.

Pak Ya, bekas penagih dadah dan pernah beberapa kali keluar-masuk Pusat Serenti ini mengakui kehidupannya lebih baik selepas berpindah ke Darul Ukhuwah.

"Di gereja pun bagus, mereka layan macam menatang minyak yang penuh. Tapi di sini hidup saya lebih bermakna sebab aktiviti yang dapat membentuk peribadi mulia. Ada ceramah, solat jemaah dan sebagainya. Penjagaan kesihatan pun tak diabaikan," katanya.

Menurutnya, dia hidup sebatang kara sejak sekian lama.

"Saya pernah ada isteri tapi dah bercerai. Anak pun ada, tapi mereka tak sanggup nak jaga saya sebab mereka pun belum stabil dan kehidupan sendiri yang perlu dijaga," katanya, pilu.

Pak Ya terdiam seketika apabila ditanya tentang masa depannya sebelum menjawab: "Kalau boleh saya nak keluar dan bekerja macam orang lain. Tapi saya tak mampu nak buat macam tu," ujarnya.

Pun begitu, Pak Ya mengakui dirinya semakin pulih, sihat dan bersemangat sejak berada di Darul Ukhuwah.

Malah, dia bertambah gembira kerana anaknya juga sudi beberapa kali menjenguk dirinya di situ walaupun tidak selalu.

Walau sakit dan bertongkat, Pak Ya tidak pernah lupa tanggungjawab menunaikan solat

Ibu bapa malu

Fara (bukan nama sebenar), 27, merupakan wanita pertama yang mendapatkan perlindungan di Darul Ukhuwah.

Dia yang disahkan menghidap HIV ketika kandungannya berusia tujuh bulan akhirnya disisihkan ibu bapa dan keluarga kerana tidak sanggup menanggung malu.

"Ibu bapa boleh terima kenyataan saya ada HIV. Tapi sampai sekarang mereka tak bagi saya bawa balik anak ini ke kampung sebab malu dengan jiran dan sanak saudara," katanya.

Selepas melahirkan bayi luar nikah, Fara tiada tempat untuk dituju. Atas saranan pihak hospital, dia bersetuju dibawa ke sebuah pusat penjagaan khusus untuk mereka yang senasib dengannya.

"Saya terkejut bila dihantar ke gereja, tapi saya tiada pilihan. Selepas seminggu di situ, mujur ada orang Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) datang dan bawa saya keluar," katanya.

Cerita Fara, pada mulanya 'bapa' kepada anaknya yang berusia 10 bulan itu menunjukkan tanda-tanda untuk bertanggungjawab walaupun tahu dia menghidap HIV. Tetapi sejak kebelakangan ini sikapnya mula berubah.

"Saya tanya dia, sebab apa? Sebab saya sakit ke? Dia jawab tidak dan bagi alasan. Tapi saya tahulah dia nak tinggalkan saya sebab saya sakit. Bukan semua lelaki nak terima orang macam saya sebagai isteri," katanya sedih.

Mengimbas kisah silamnya, Fara yang berasal dari Pantai Timur pernah bekerja sebagai pelayan di sebuah hotel di ibu kota.

Setiap malam, dia akan bertukar-tukar pasangan dan melakukan hubungan seks walaupun dengan lelaki yang baru dikenali.Apa yang mahu dilakukannya sekarang ialah membesarkan anaknya itu walau sesusah mana sekali pun.

"Masa mengandung dulu, ada juga perancangan nak gugurkan kandungan. Tapi bila dah selamat lahir, saya rasa tak sanggup kehilangan dia. Ramai yang nak ambil sebagai anak angkat pun saya tak bagi," katanya.

Fara juga mengaku menyesal terhadap perbuatannya yang lalu dan berazam tidak akan mengulanginya lagi.

"Penyakit ini adalah balasan kepada perbuatan saya yang lalu. Saya nasihatkan kepada remaja di luar sana supaya berfikir sebelum bertindak," katanya.

Sakit, tapi mahir menjahit

Menjahit juga menjadi salah satu aktiviti penghuni di sini

Zack, 54, melahirkan rasa syukur kerana wujudnya rumah perlindungan seperti ini.

Selepas sembilan bulan terlantar di hospital, dia akhirnya dibawa ke Darul Ukhuwah oleh pengasas rumah ini.

Berbeza dengan penghuni lain, Zack mahir menjahit pakaian dan menerima tempahan. Oleh kerana itu, setiap hari dia menghabiskan masanya menjahit baju kurung, kebaya dan baju Melayu yang ditempah orang ramai.

"Keluarga memang sisihkan saya, isteri pun tak ada. Syukur kerana ada tempat ini, malah pihak pengurusan menghargai bakat dan kemahiran saya.

"Duit upah itu bolehlah dijadikan duit poket dan disumbangkan kepada Darul Ukhuwah," katanya.

Disahkan menghidap HIV pada 2006, dia tidak dapat membayangkan bagaimana keadaan dirinya jika dia tidak berada di situ.

Pernah terlibat dengan dadah, dia mengaku sudah banyak berubah berbanding dirinya yang dahulu.

Pengalaman Sukarelawan Rawat Mangsa Banjir Di Pakistan

Posted: 08 Nov 2010 06:43 PM PST

KEGHAIRAHAN untuk melakukan kerja-kerja amal mendorong Dr Leong Kin Fon, 38, menwarkan khidmat secara sukarela untuk membantu mangsa-mangsa banjir besar di Pakistan baru-baru ini.

Beliau yang berkhidmat di Hospital Kuala Lumpur bertolak ke Peshawar, di sempadan antara Afghanistan dan Pakistan pada awal September lalu untuk melakukan kerja-kerja sukarela selama dua minggu di sana.

Menceritakan pengalamannya, Dr Leong berkata, kawasan yang dikunjunginya dianggap 'panas' kerana dilabel sebagai sarang atau 'universiti' yang melatih kumpulan militan Taliban atau Al-Qaeda.

"Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dari Amerika Syarikat dan Jerman yang pergi ke situ tidak berani mendedahkan mereka adalah orang putih. Mercy Malaysia tidak dibenarkan menghantar pasukan sukarelawan secara persendirian. Oleh itu, Mercy terpaksa bergabung dengan 30 NGO lain di bawah naungan Pakistan International Medical Corps untuk menawarkan bantuan," katanya kepada Mingguan mStar.

Menurut Dr Leong, beliau dan sukarelawan yang lain beroperasi dalam satu pasukan kecil terdiri daripada seorang doktor dari Malaysia, seorang pegawai tempatan dan seorang pegawai logistik dari Mercy yang menguruskan makan dan minum, pada satu-satu masa.

Keadaan di kem perlindungan mangsa banjir di Peshawar, Pakistan

"Memandangkan kami dihantar tiga atau empat minggu selepas banjir besar itu, saya dapati kebanyakan mangsa banjir di Peshawar menghidap penyakit kulit.

Oleh itu, pasukan kami banyak memberi tumpuan untuk merawat mangsa-mangsa yang menghidap sakit kulit," ujar Dr Leong yang telah bertugas sebagai doktor sejak 1998.

Doktor yang masih bujang itu berkata, beliau mempreskripsikan ubat kulit kepada mereka yang datang mendapatkan rawatan.

Pun begitu, memandangkan bilangan pesakit terlampau ramai berbanding dengan pasukan perubatan yang sedikit, tambahan pula tempoh waktu berada di kawasan itu agak singkat, tidak semua pesakit dapat dirawat.

Semua kekangan ini menyebabkan ramai pesakit kanak-kanak tidak dapat diberi perhatian berbanding pesakit dewasa.

Bagaimanapun, untuk tidak menghampakan kanak-kanak yang penat menunggu tetapi tidak sempat diberi rawatan, Dr Leong turut membawa bekalan pelekat-pelekat kartun untuk diedarkan kepada mereka, sekurang-kurangnya mereka berasa terhibur.

Kanak-kanak mangsa banjir di Pakistan menanti untuk mendapatkan makanan mereka

"Walaupun pelekat kartun ini dianggap perkara biasa bagi kebanyakan kanak-kanak di negara ini dan lain-lain negara yang aman damai, namun bagi kanak-kanak di Peshawar ini ia merupakan hadiah yang sangat dihargai," jelas Dr Leong yang tahu mangsa kanak-kanak di negara yang ditimpa bencana alam atau peperangan amat gemarkan pelekat sedemikian berdasarkan pengamatannya semasa menyumbangkan khidmat perubatan.

Sebelum ini pun, Dr Leong pernah terlibat dalam kerja-kerja amal di negeri-negeri pantai timur.

Beliau juga pernah berkhidmat sebagai doktor selama sembilan tahun di Sarawak seperti di Bario dan Sungai RejangSejarah penglibatannya dalam kerja-kerja sukarelawan di luar negara bermula pada 2003 apabila beliau menawarkan bantuan di rumah anak yatim Kristian di Nepal.

Pada 2005, Dr Leong menyertai rombongan Mercy ke Pakistan selama tiga minggu untuk membantu mangsa gempa bumi yang melanda wilayah Bagh di sempadan antara Pakistan dan Kashmir.

Dr Leong menghabiskan kira-kira tiga minggu di Pakistan yang kebetulan jatuh pada bulan Ramadan ketika itu.

Beliau mengakui amat tersentuh hati melihat ketabahan yang ditunjukkan oleh mangsa-mangsa terbabit.

"Salah satu sebab saya pergi ke situ adalah untuk memastikan mereka gembira, tetapi mereka sebenarnya lebih tabah daripada apa yang saya fikirkan. Telahan awal saya ternyata meleset. Ingatkan mereka akan menangis, tetapi mereka, mahu pun kanak-kanak adalah lebih tabah menghadapi dugaan hidup dan bersemangat tinggi," katanya yang bersyukur kerana mempunyai bos yang memahami dan menyokong usaha kesukarelawanannya.

Mengenang kembali hari pertama di Bagh, Dr Leong berkata, beliau berkunjung ke sebuah khemah yang hanya dilengkapi beberapa perabot kayu.

Beliau sangat tersentuh hati apabila seorang kanak-kanak menghulurkan sekeping biskut kepadanya dengan senyuman manis walaupun di pinggan kanak-kanak itu cuma berisi beberapa keping biskut.

Kemesraan mereka yang kurang bernasib baik meninggalkan kesan yang mendalam di jiwanya. Dr Leong tidak kisah berdepan dengan ancaman yang mendatang kerana ajal maut ditentukan oleh Tuhan.

Kanak-kanak mangsa banjir di Pakistan mengalami masalah kulit ekoran terdedah pada air yang kotor dan tercemar.

Dr Leong berkongsi pengalaman menceritakan perihal beliau terperangkap di dalam sebuah bangunan kerajaan bersama seorang wartawan dari Belanda dan seorang ahli farmasi dari Jerman ekoran perintah berkurung yang dikuatkuasakan oleh pihak tentera.

Ketika ditanya oleh wartawan Belanda itu sama ada beliau takut, Dr Leong berkata beliau tidak menyimpan rasa takut dan kalau ada pun, beliau akan berhati-hati.

"Anda tidak memikirkan perkara negatif apabila anda melakukan bungee jumping, sky-diving. Anda boleh mempelajari banyak perkara apabila melakukan kerja-kerja yang mengghairahkan kita," kata doktor yang berasal dari Ipoh dan merupakan anak kelima daripada enam adik-beradik.

Hakikat ini menjelaskan kenapa Dr Leong masih tidak putus-putus menyumbangkan segala kudratnya untuk membantu orang lain di mana-mana sahaja.

Raja Farah berdebar, gementar

Posted: 08 Nov 2010 06:43 PM PST



Jika artis seusianya masih fokus terhadap karier dan menikmati kehidupan di usia awal 20-an, aktres bernama Raja Farah ini mengambil keputusan besar dengan menamatkan zaman bujangnya.

Pada usia 22 tahun, pemilik nama Raja Farah Raja Abdul Aziz kini menghitung hari untuk diijabkabulkan bersama pasangan pilihan, Megat Bashirun Qhuyum Zakaria, 25, pada 12 November ini.

Majlis akan diadakan di rumah Raja Farah di Bukit Jelutong, Selangor pada jam 10 pagi.

Pada sebelah malam, satu majlis kesyukuran akan diadakan di rumah keluarga Raja Farah, manakala majlis persandingan kedua-dua belah pihak dijangka berlangsung awal tahun depan.

"Farah akui berdebar dan gementar memandangkan tinggal empat hari sahaja lagi menjelang hari pernikahan Farah. Kini Farah memahami perasaan bakal pengantin yang menunggu masa untuk dinikahkan.

"Boleh dikatakan setiap hari sebelum dan selepas bangun tidur, topik utama Farah dan keluarga adalah mengenai rencana majlis perkahwinan Farah. Memandangkan Farah anak pertama yang berkahwin, jadi keluarga Farah juga gementar.

"Semua persiapan siap sepenuhnya dan Farah berharap, majlis pernikahan ini akan berjalan lancar seperti dirancang," kata anak ketiga dari empat beradik ini ketika dihubungi Sinar Harian.

Menurutnya, baju pernikahan direka Shahrir Norden dengan tema putih bercampur warna biru muda, manakala hantaran ditaja Reka Teemoor. Raja Farah akan menyerahkan sembilan dulang hantaran berbalas tujuh dulang.

Mengimbau detik perkenalan dengan buah hati tersayang, Farah berkata, dia mengenali Megat melalui kawan atas kawan.

"Bagi Farah kami sekepala dan serasi bersama. Kami berkenalan sekitar awal Januari tahun ini dan serius sebulan selepas itu. Megat juga berbeza dengan lelaki yang pernah Farah kenal.

"Dia mempunyai sifat sebagai ketua keluarga, ada pegangan agama dan sanggup melayan kerenah Farah," katanya mengenai bakal suaminya yang juga seorang ahli perniagaan.

Raja Farah dan Megat melangsungkan pertunangan pada 9 Oktober lalu walaupun pada mulanya upacara bertandang itu adalah majlis merisik.

Namun atas permintaan keluarga lelaki, majlis tersebut bertukar menjadi majlis pertunangan yang sepatutnya dilangsungkan pada 12 November ini.

Kata Raja Farah lagi, selepas berkahwin, dia akan meneruskan karier seninya seperti biasa, namun bakal suaminya telah meletakkan beberapa syarat.

"Dia minta saya berbincang dengan dia dahulu jika mahu menerima apa-apa watak dan meminta saya tidak menjalani penggambaran lebih daripada waktu ditetapkan. Bagi Farah jika kita sudah bergelar isteri, suami memang patut didahulukan dan Farah tidak kisah menerima syarat itu," katanya yang akan sibuk dengan penggambaran Kau dan Aku 2 sehingga hujung tahun ini.

Sementara itu, Raja Farah meminta semua pihak tidak lagi membuat apa-apa spekulasi sebelum menyiasat dahulu perkara tersebut. Dia juga berharap spekulasi mengarut mengenai dirinya akan dihentikan serta memberi ruang untuk dia dan bakal suaminya menikmati kehidupan normal.

“Saya bukan pengkid”

Posted: 08 Nov 2010 06:42 PM PST



Namanya mungkin kurang dikenali dalam arena seni tanah air, tetapi lakonan berkesan pada beberapa drama dibintanginya membuatkan kelibat gadis comel ini sentiasa dinanti.

Chomell Fana, begitulah sebaris nama secomel orangnya. Namun tika baru meniti membina nama dalam industri seni, nama Chomell terpalit kontroversi tatkala gambarnya yang menampilkan imej tomboi tersebar di internet.

Nyata, ketika dihubungi Sinar Harian mengenai perkara itu, Chomell terkejut, tetapi mengakui foto yang tersebar adalah gambar lamanya.

"Saya akui gambar itu adalah gambar saya. Saya sendiri yang masukkan gambar tersebut dalam Facebook, tetapi itu gambar tiga tahun lepas.

"Saya akui sebelum menyertai bidang seni, saya aktif dengan sukan seperti bola sepak dan menyebabkan saya memotong rambut pendek seperti lelaki. Kemudian selepas otot saya koyak, saya berhenti bersukan," katanya yang kini bernaung di bawah KRU.

Katanya, dia mula menyertai bidang seni dari belakang tabir sebelum pengarah, Aziz M Osman mempelawanya berlakon dalam drama bersiri Comel.

"Sejak itu, saya mula menyimpan rambut atas nasihat dan permintaan pengarah serta penerbit," katanya.

Oleh kerana imej lamanya tidak ubah seperti lelaki, maka tidak hairanlah ada suara sumbang yang mengaitkannya dengan isu pengkid. Bagaimanapun, Chomell menafikan perkara itu dan berharap, orang tidak akan menilai dirinya berdasarkan gambar lamanya.

"Saya akui seorang lasak, kasar dan gila-gila, tetapi itu tidak bermakna saya berjiwa songsang. Lagipun saya kenal siapa diri saya. Cuma saya berharap orang di luar sana tidak sewenang-wenangnya membuat andaian mereka sendiri.

"Saya berambut pendek kerana saya aktif dengan sukan dan berasakan rambut panjang tidak sesuai dengan jiwa saya. Bagaimanapun, selepas saya menyertai industri seni dan menyimpan rambut panjang, saya rasa sayang mahu memendekkannya," katanya.

Kata Chomell, apa yang pasti, dia bukan berjiwa songsang dan walaupun rambutnya panjang, dia masih meminati sukan.

Dia yang kini terlibat dengan perlawanan pool remaja berkata, tidak bertindik di dagu seperti didakwa.

"Saya hanya melekatkan subang di dagu kerana pada ketika itu memang terkenal dengan fesyen bertindik di dagu. Sebagai remaja, saya teringin mengikuti gaya semasa," katanya.

Chomell berkata, dia berharap masyarakat sekeliling memberinya peluang membina nama dalam industri.

Dia juga berharap peminat melihat bakat yang ada dalam dirinya dan tidak menggembar-gemburkan perkara remeh seperti itu.

Heliza terima banyak tawaran ceramah

Posted: 08 Nov 2010 06:42 PM PST

Penyanyi dan pelakon Heliza Helmi, 24, yang sudah bergelar graduan Universiti Malaysia Sabah (UMS) pada 11 Oktober lalu, kini mengorak langkah sebagai penceramah motivasi.

"Saya tidak sangka selepas tamat belajar, saya banyak menerima tawaran memberi ceramah di sekolah. Minggu lepas, saya baru sahaja menerima undangan di Sekolah Menengah Kebangsaan Tawau, Sabah untuk memberi ceramah tentang pemakaian tudung dan imej Muslimah.

"Selepas ini, saya turut menerima jemputan memberikan ceramah di sebuah sekolah di Perak. Walaupun sibuk, saya tetap akan cuba memberikan sumbangan kepada pelajar, sekali gus dapat mempraktikkan bidang pendidikan yang saya pelajari sebelum ini," kata graduan dalam bidang Pendidikan Sains, Biologi dan Kimia ini.

Jelas Heliza, setiap peluang diterima membuka minatnya untuk menjadi penceramah motivasi lebih serius pada masa akan datang.

Bagaimanapun, minatnya dalam bidang seni masih utuh, apatah lagi dia sudah memiliki produksi sendiri, Heliza Helmi Production (HHP) yang beroperasi awal tahun lalu.

"Bukan mudah untuk saya uruskan kedua-dua bidang ini pada satu masa sama. Apa pun, demi minat dan cinta saya yang mendalam menerusi bidang akademik dan seni, saya harus bijak membahagikan masa.

"Untuk bergelar sebagai penceramah berjaya, saya kena tambahkan lagi ilmu. Malah saya juga berhasrat sambung pengajian pada peringkat sarjana, Insya-Allah," kata anak jati Kuala Lumpur ini.

Buruh ditetak terima 100 jahitan

Posted: 08 Nov 2010 06:40 PM PST

KOTA BHARU - Gara-gara menegur seorang pemuda yang menangkap ikan menggunakan elektrik, seorang lelaki menerima lebih 100 jahitan di kepala dan badan akibat ditetak di Kampung Bahagia, Cabang Empat, Tumpat, kelmarin.

Bagaimanapun, mangsa yang cedera parah nekad menyelamatkan dirinya dan dalam keadaan kepala serta badannya berlumuran darah dia menggagahkan diri memandu keretanya sejauh 600 meter untuk pulang ke rumahnya.

Dalam kejadian kira-kira jam 11 malam itu mangsa, Mohammad Salleh, 52, parah di kepala dan badan dikejarkan ke Hospital Tumpat oleh sepupunya.

Ketua Polis Daerah Tumpat, Superintendan Khalid Munap berkata, mangsa yang bekerja buruh dikatakan ditetak lebih 15 kali oleh seorang pemuda dikenali Bujal.

Menurutnya, kejadian itu juga berlaku dipercayai berpunca daripada dendam lama suspek terhadap Mohammad.

"Hasil siasatan mendapati kesan tikaman di bahagian tepi badan sebelah pinggang kanan mangsa dan sebaik menerima laporan, polis menahan isteri pemuda terbabit berusia 17 tahun untuk siasatan.

"Kejadian berlaku ketika mangsa yang menaiki sebuah kereta jenis Proton Wira bersendirian dalam perjalanan pulang ke rumah selepas minum di sebuah kedai kopi di kampung itu," katanya, semalam.

Mangsa sebelum ini menerima rawatan di Hospital Tumpat kemudian dirujuk ke Hospital Raja Perempuan Zainab (HRPZ) II untuk mendapatkan rawatan susulan.

Akibat cedera parah di kepala, sekali lagi mangsa dirujuk ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian untuk menjalani pembedahan dan keadaannya kini dilaporkan stabil.

Sementara itu, anak mangsa Siti Hajariah, 21, berkata, dia mengetahui kejadian itu selepas dikejutkan ibunya Faridah Musa, 49, kira-kira jam 11.15 malam.

"Ayah memberitahu dia ditetak dengan 'kelewang' ketika pulang selepas minum di sebuah kedai kopi," katanya.

Kecuaian bank semakin serius

Posted: 08 Nov 2010 06:39 PM PST


ADUAN pengguna yang semakin meningkat secara tidak langsung memperlihatkan tahap kecekapan bank-bank di negara ini boleh dipersoalkan. - Gambar hiasan


KUALA LUMPUR - Sejak tiga tahun lalu, Bank Negara Malaysia (BNM) mendapati jumlah pertanyaan serta aduan berkaitan isu-isu melibatkan bank dan institusi kewangan di negara ini meningkat dengan ketara.

Rekod BNM memperlihatkan jumlah aduan dan pertanyaan pada tahun 2008 berjumlah 133,439 sebelum meningkat mendadak sebanyak 90.2 peratus kepada 253,801 pada tahun 2009.

Bermula dari Januari hingga Mei tahun ini, sebanyak 117,554 pertanyaan serta aduan telah dicatatkan, meningkat berbanding 103,222 bagi tempoh yang sama tahun lalu.

Pengarah Jabatan Komunikasi Korporat BNM, Abu Hassan Alshari Yahaya berkata, antara aduan yang diterima ialah berkaitan kesukaran mendapat pembiayaan, penstrukturan dan penjadualan pinjaman, penipuan dan pengeluaran wang tanpa kebenaran, yuran dan caj, tidak puas hati dengan tawaran dan penyelesaian serta tingkah laku ejen.

"Ramai yang datang ke BNM mahu mendapatkan laporan kredit atau merasakan mereka mahu satu pihak bebas untuk mendengar isu atau rintihan terutama mereka yang tidak berpuas hati dengan jawapan pihak bank.

"Berdasarkan data yang diperoleh daripada ibu pejabat, cawangan dan perkhidmatan Telelink BNM memang berlaku peningkatan aduan," katanya ketika ditemui Kosmo! di sini baru-baru ini.

Remaja terima darah HIV kini hidap AIDS

Posted: 08 Nov 2010 06:39 PM PST


MUHD. KHAIRUN memeluk remaja lelaki malang yang kini dijangkiti AIDS di Kuala Lumpur semalam.


KUALA LUMPUR - Penderitaan seorang remaja yang dijangkiti virus HIV sejak 11 tahun lalu gara-gara kecuaian kakitangan Hospital Segamat, Johor semasa melakukan pemindahan darah ke atasnya berterusan setelah dia kini disahkan menghidap AIDS.

Remaja lelaki berusia 14 tahun itu dikesan menghidap AIDS sejak empat bulan lalu.

Dia dijangkiti virus HIV ketika mendapatkan rawatan di Hospital Segamat sewaktu diserang penyakit kuning ketika umurnya tiga tahun.

Pengerusi Biro Aduan Komuniti UMNO, Datuk Muhd. Khairun Aseh berkata, pemindahan darah tersebut dilakukan tanpa mendapat sebarang persetujuan daripada keluarga remaja itu.

"Pihak hospital mengakui kesilapan yang mereka lakukan dan memberi pampasan sebanyak RM100,000 bagi meringankan beban pesakit. Bagaimanapun, ia jumlah yang amat kecil dan dianggap tidak berpatutan dengan kesalahan yang mereka lakukan.

"Lebih malang, remaja itu sekarang hidup menderita apabila disahkan menghidap AIDS oleh pihak Hospital Kuala Lumpur (HKL) kerana sel darah putihnya semakin berkurangan," katanya di pejabat Biro Aduan Komuniti UMNO di sini semalam.

Menurutnya, remaja tersebut kini terpaksa menjalani rawatan yang terperinci di HKL akibat implikasi penyakit berbahaya tersebut kerana terdapat jangkitan kuman pada limpanya.

Mesin pengumpulan habuk meletup

Posted: 08 Nov 2010 06:38 PM PST


ANGGOTA bomba dan penyelamat memadam kebakaran mesin pengumpulan habuk yang meletup di sebuah kilang di Perai semalam.


PERAI - Lapan pekerja sebuah kilang membuat rim motosikal, Excel Rim Sdn. Bhd. di Tingkat Perusahaan Enam, Kawasan Perindustrian Perai di sini cedera apabila sebuah mesin pengumpulan habuk (dust collector) di kilang itu meletup secara tiba-tiba semalam.

Dalam kejadian pada pukul 10.15 pagi itu, letupan yang didakwa bagaikan letupan bom itu turut mengakibatkan kebakaran kecil di sekitar mesin pengumpulan habuk terbabit.

Turut mengalami kerosakan ialah sebahagian bumbung dan ruang pejabat kilang berkenaan.

Dua buah kilang lain yang terletak dalam jarak kira-kira 100 meter di hadapan kilang membuat rim motosikal itu turut rosak. Salah sebuah daripada kilang itu rosak teruk di bahagian hadapannya apabila hampir keseluruhan cerminnya pecah.

Namun kira-kira 70 lagi pekerja kilang yang sedang bekerja semasa kejadian itu tidak cedera.

Tinjauan Kosmo! di lokasi kejadian mendapati terdapat beberapa serpihan besi dipercayai daripada mesin pengumpulan habuk yang pecah dan melayang ke merata-rata tempat sehingga ada yang sampai ke seberang jalan yang terletak 50 meter dari lokasi kejadian.

Penolong Pengarah (Operasi) Bomba dan Penyelamat Pulau Pinang, Mohd. Razam Taja Rahim berkata, seramai 33 anggota bersama beberapa jentera termasuk dua jentera berat jabatan itu dikejarkan ke tempat kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan pada pukul 10.20 pagi.

Nyaris terbakar hidup-hidup

Posted: 08 Nov 2010 06:37 PM PST


SEBUAH kereta milik ahli keluarga Lai rosak dipercayai disimbah cat merah oleh ah long di Seremban baru-baru ini.


KUALA LUMPUR - Tindakan ah long yang menggunakan kekerasan untuk mengutip hutang nampaknya tiada kesudahan.

Terbaru, 13 sekeluarga menghadapi detik cemas apabila mendakwa mereka nyaris terbakar hidup-hidup apabila ketiga-tiga buah rumah teres yang didiami mereka dikatakan dilempar dua bom petrol oleh ah long di Taman Desa Rasa, Seremban, Negeri Sembilan baru-baru ini.

Difahamkan, kejadian pada pukul 1.30 pagi 27 Oktober lalu itu berkait rapat dengan kegagalan salah seorang ahli keluarga mereka berusia 27 tahun yang gagal melunaskan hutang dengan 12 ah long berjumlah RM140,000 sejak awal tahun ini. Wang pinjaman itu digunakan untuk bermain judi.

Dua biji bom buatan sendiri tersebut dilemparkan di depan dan belakang rumah hingga menyebabkan beberapa bahagian luar premis tersebut terbakar. Lebih teruk sebuah kereta salah seorang mangsa rosak akibat disimbah dengan cat merah.

Ketua keluarga tersebut, Lim Lai, 63, berkata, mereka semua terselamat apabila kejadian tersebut disedari oleh jiran yang terus menjerit dan mengarahkan mereka yang ketika itu sedang tidur supaya segera keluar.

Dakwanya, ini merupakan kejadian kali kedua di mana kenderaan salah seorang mereka pernah disimbah cat 10 hari sebelum itu.

Tiga ditawar pertuduhan pilihan

Posted: 08 Nov 2010 06:34 PM PST


SALAH sebuah bangunan yang terdapat dalam kawasan PKFZ.


SHAH ALAM - Tiga individu yang menghadapi pertuduhan membabitkan jumlah berjuta-juta ringgit dalam projek pembangunan Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) semalam ditawarkan pertuduhan pilihan oleh pihak pendakwaan bagi kesemua pertuduhan asal mereka.

Bekas pengurus projek Kuala Dimensi Sdn. Bhd. (KDSB) Law Jenn Dong, 52; arkitek Bernard Tan Seng Swee, 49, dari BTA Architect dan Ketua Pegawai Operasi KDSB, Stephen Abok, 52, mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan terhadap 24 pertuduhan pilihan menipu OSK Trustees Bhd. untuk membuat pembayaran berjumlah RM116.85 juta kepada KDSB bagi dua projek di PKFZ.

Kesemua kesalahan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan itu didakwa dilakukan di OSK Trustees Bhd, Plaza OSK, Ampang, antara 30 Jun 2006 dan 20 Jun 2008.

Jika sabit kesalahan mereka boleh dipenjara sehingga 29 tahun dan sebatan serta denda.

Ketiga-tiga mereka didakwa menipu OSK Trustees untuk mempercayai bahawa kerja-kerja infrastruktur elektrikal untuk sistem 33kv bagi PKFZ, Pulau Indah telah dilaksanakan sedangkan mereka mengetahui bahawa kerja-kerja tersebut tidak dilaksanakan.

Jenn Dong, Abok dan Seng Swee juga didakwa menipu OSK Trustees untuk mempercayai bahawa sistem 33kv ke Precint 2 dan Precint 8 bagi PKFZ bernilai RM116.85 juta telah dilaksanakan sedangkan mereka mengetahui bahawa kerja-kerja tersebut tidak dilaksanakan.

Selain itu, Abok dan Seng Swee juga mengaku tidak bersalah terhadap dua lagi pertuduhan pilihan menipu OSK Trustees untuk mempercayai bahawa sistem 33kv ke Precint 2 dan Precint 8 bagi PKFZ telah dilaksanakan dan justeru mereka telah mendorong OSK Trustees untuk membuat pembayaran berjumlah RM5.42 juta.

Hasrat ragut wanita tak sampai

Posted: 08 Nov 2010 06:33 PM PST


MAYAT penjenayah yang ditembak mati oleh anggota polis dihantar ke Hospital Tuanku Ja'afar, Seremban semalam.


SEREMBAN – Seorang penjenayah yang cuba meragut seorang wanita ditembak mati oleh polis ketika dia melarikan diri dan cuba melawan anggota polis yang mengejarnya di Kawasan Perusahaan Senawang dekat sini semalam.

Dalam kejadian pada pukul 11 pagi, lelaki yang berusia 32 tahun itu dikatakan cuba meragut seorang wanita yang menunggang motosikal seorang diri di satu persimpangan lampu isyarat di Senawang.

Bagaimanapun, tindakan suspek yang menunggang motosikal Yamaha RXZ itu disedari oleh dua anggota polis yang masing-masing menunggang motosikal.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Saiful Azly Kamaruddin berkata, suspek yang menyedari tindakannya diperhatikan oleh dua anggota polis itu membatalkan niatnya untuk meragut dan terus memecut motosikalnya meninggalkan mangsa.

Menurut beliau, seorang anggota polis yang menunggang motosikal Modenas Kriss mengejar suspek sehingga ke Kawasan Perusahaan Senawang, kira-kira empat kilometer dari lokasi peragut itu dikesan.

"Ketika dikejar suspek beberapa kali cuba menendang motosikal anggota polis yang mengejarnya sebelum suspek kemudian berhentikan motosikalnya di tepi jalan dan melarikan diri ke satu kawasan berpaya di situ," kata beliau di sini semalam.

Anggota polis itu juga turun dari motosikalnya dan mengejar suspek itu ke kawasan paya sambil mengarahkan lelaki itu menyerah diri.

"Namun, suspek terus cuba menyerang anggota polis itu dengan topi keledar sehingga menyebabkan tangan kiri anggota polis terbabit cedera," kata Saiful.

Barang seludup bernilai RM4 juta dirampas

Posted: 08 Nov 2010 06:32 PM PST


AZIZAH (dua dari kiri) melihat sebahagian barang seludup iaitu rokok dan minuman keras yang dirampas pada sidang akhbar di KLIA semalam.


SEPANG - Kastam Diraja Malaysia (KDRM) Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) berjaya merampas barang seludup bernilai hampir RM4 juta daripada 67 kes rampasan yang melibatkan pelbagai kesalahan.

Pengarah Kastam KLIA, Datuk Azizah Idris berkata, rampasan terbesar dicatatkan pada bulan lepas dengan jumlah sebanyak RM1.18 juta melibatkan cukai bernilai RM3.4 juta.

Katanya, antara barang yang dirampas bagi bulan itu termasuk rokok, minuman keras dan tiga buah kereta mewah iaitu Mercedes Benz, BMW dan Nissan Fairlady.

"Empat rakyat tempatan berumur antara 20 dan 40 tahun turut ditahan untuk membantu siasatan berhubung penyeludupan kereta mewah tersebut.

"Mereka telah dibebaskan dengan ikat jamin sementara menunggu siasatan selesai," katanya kepada pemberita di Kompleks Kastam di sini semalam.

Beliau berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 kerana memiliki barang belum lulus Kastam.

Jika sabit kesalahan, kata Azizah, mereka boleh didenda tidak kurang 10 kali nilai barang dan tidak melebihi 20 kali nilai barang atau penjara lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Pemandu lori maut rempuh treler

Posted: 08 Nov 2010 06:29 PM PST


BEGINILAH keadaan lori yang remuk menyebabkan pemandunya maut dalam kemalangan di Kilometer 25.2, Jalan Maran-Bandar Jengka, Maran semalam.


KUANTAN - Akibat gagal mengawal kenderaan, seorang pemandu warga Bangladesh maut apabila lori yang dipandunya merempuh sebuah treler di Kilometer 25.2, Jalan Maran-Bandar Jengka dekat Maran semalam.

Semasa kejadian pada pukul 5.15 pagi itu, mangsa yang dikenali sebagai Babu, 27, mati di tempat kejadian akibat parah seluruh anggota badan, remuk di kepala serta putus kaki kanan selepas merempuh treler yang diletakkan di bahu jalan.

Ketua Polis Daerah Maran, Deputi Supritendan Ahmad Johari Shahabuddin berkata, mangsa yang memandu lori membawa muatan mi itu gagal mengawal kenderaan sebelum merempuh treler tersebut.

"Mangsa dalam perjalanan ke Bandar Pusat Jengka dikatakan gagal mengawal kenderaan kerana laluan berselekoh sebelum merempuh treler yang diletak di bahu jalan.

"Dia didapati tersepit di tempat duduk pemandu manakala kelindan berusia 32 tahun cedera ringan. Bomba mengambl masa kira-kira sejam untuk mengeluarkan mangsa," kata beliau semasa dihubungi.