Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi! |
- Keluarga Bimbang Gosip Percintaan Shahir dengan pelakon jelita Rozita Che Wan
- Rozita Tak Reka Kontroversi Mahu Bersara
- "Saya Tidak Diraba" - Intan Ladyana
- Cabaran Bob Ubah Shaheizy Sam Dalam 'Ngangkung'
- Fazley Letak Jawatan Kerana Ijazah Palsu
- Acha Tidak Kekok Bertemu Irwansyah
- Wajah Baru MyTV3
- Penubuhan Badan Kawal Selia Industri Muzik - Rais Yatim
- Rumah tangga Jimmy Shanley bergelora?
- Lebih 2,000 peserta hadir uji bakat Raja Lawak Astro
- Enggan ulas dakwaan mempunyai ijazah Sarjana dan Ph.D palsu
- Inspira hasil kerjasama Proton, Mitsubishi
- Hutan Indonesia musnah akibat letusan Merapi
- Hanya yang terbaik pasti menang
- Fazley undur demi reputasi FIC
- Perodua kekal terajui pasaran
- Hakim lihat kereta dipandu aminulrasyid
- Budak 3 tahun dibiar naik bas seorang diri
- Penulis nafi buku punca bunuh
- Dua maut nahas Proton Iswara terbabas
- Kos naik haji 2011 dikaji semula
- TBM percepat projek salur air mentah Pahang ke Selangor
- Remaja jumpa bom dalam guni
- UEM, KWSP dapat lampu hijau daripada PLUS
- Henry, Daphne temui jiwa sebenar
Keluarga Bimbang Gosip Percintaan Shahir dengan pelakon jelita Rozita Che Wan Posted: 10 Nov 2010 07:57 PM PST PETALING JAYA: Juara Akademi Fantasia musim ke lapan (AF8), Ahmad Shahir Zawawi, 22, mengakui gosip percintaannya dengan pelakon jelita Rozita Che Wan menimbulkan rasa bimbang keluarganya. Bagaimanapun, menurut Shahir, keluarga sudah memahami situasi sebenar yang berlaku dan hanya memberikan nasihat agar tidak terlalu gusar dengan khabar angin. "Ibu saya tahu fasal gosip ini. Dia beri nasihat agar saya elakkan dari gosip yang boleh menimbulkan fitnah. Mereka juga percayakan saya berbanding khabar angin tersebut. "Tentang Rozita, ibu saya tidak pernah campur atau beri sebarang komen, dia hanya beri nasihat secara umum sahaja. Lagi pula saya tidak pernah berbincang mengenai perempuan dengan keluarga sejak kecil lagi," katanya. Dalam pada itu, Shahir yang beberapa kali menafikan perkara itu menganggap Rozita sebagai seorang artis yang perlu dicontohi. "Saya menghormati dia sebagai artis lebih senior. Dia pandai bawa diri serta mempunyai kelasnya tersendiri dan bersih dari gosip-gosip hangat," ujar Shahir yang pernah bekerjasama dengan pelakon tersebut dalam drama Lawaknya Raya terbitan Astro. Selain itu, dia juga menafikan khabar angin memiliki kereta-kereta mewah selepas bergelar artis. "Tentang kereta mewah itu sebenarnya bukan kepunyaan saya, saya pinjam daripada saudara yang mana saya tinggal bersama mereka. "Sejak kemalangan selepas raya Aidilfitri lalu, saya tiada kenderaan untuk pergi kerja dan mereka tawarkan supaya gunakan sahaja kereta yang ada di rumah itu. Saya hanya tumpang kesenangan mereka sahaja," katanya. | ||||
Rozita Tak Reka Kontroversi Mahu Bersara Posted: 10 Nov 2010 07:55 PM PST PETALING JAYA: Aktres Rozita Che Wan yang meluahkan hasrat untuk bersara dari industri seni menjelang Januari 2011 menegaskan dia tidak mengada-adakan cerita itu. Dalam nada tegas, aktres drama Kiah Pekasam ini menepis dakwaan berhubung kenyataannya untuk bersara hanyalah gimik yang dilakukan untuk tahun 2011. Malah, dia tetap dengan pendiriannya dan mahu semua pihak melihat sendiri sama ada hasrat untuk bersara benar ataupun tidak. "Tunggu dan lihat sama ada saya buat gimik atau tidak. Siapa pun boleh bercakap saya nak buat gimik atau publisiti murahan tetapi hakikatnya saya lebih tahu. "Saya rasa seperti ada orang dengki dengan saya. Saya tak fahamlah, cakap salah, tak cakap pun salah. Lagipun selama ni bukannya saya yang jaja publisiti tetapi media yang cari saya," ujarnya. Kakak kepada aktres Ayu Raudhah ini tidak menafikan selepas membuat keputusan itu, semakin banyak pula tawaran berlakon dan undangan menjadi model diperolehnya sedangkan Rozita hanya ada satu bulan sahaja lagi sebelum mengundur diri dalam bidang seni. Menurutnya, tarikh terakhir dia akan berlakon adalah 21 Disember ini. Selepas itu, dia akan kembali menjalani kehidupan sebagai orang biasa dan menumpukan perhatian kepada perniagaan. "Sehingga sekarang, ramai pihak dari Astro yang mahu menawarkan lakonan kepada saya. Tetapi saya terpaksa menolak kerana sudah pilih untuk tidak berlakon lagi pada tahun depan," ujarnya yang sedang menjalani penggambaran drama Kempink untuk TV3. Selepas ini, dia akan teruskan dengan penggambaran telefilem Kuala Pilah Next Top Model dan drama 13 episod Ungu Hani. Menyentuh tentang pakaian yang diperagakannya semasa Malaysia-International Fashion Week 2010 (MIFW'10) baru-baru ini yang dikatakan agak seksi, Rozita hanya mengikut kehendak pereka fesyen Zery Zamry. "Saya cuba membantu Zery menyampaikan fesyen menerusi pakaian tersebut. Saya cuma model "catwalk" yang perlu memperagakan pakaian. "Saya rasa pakaian itu tidak terlalu seksi," katanya. | ||||
"Saya Tidak Diraba" - Intan Ladyana Posted: 10 Nov 2010 07:55 PM PST PETALING JAYA: Pelakon Intan Ladyana menjelaskan dia tidak diraba oleh sesiapa ketika menyertai program Jom Heboh anjuran TV3 di Pulau Pinang minggu lalu seperti yang didakwa dalam sebuah blog hiburan. Bagaimanapun, dia mengaku ada membawa tabung untuk mengutip derma daripada orang ramai bagi membantu mangsa bencana banjir anjuran stesen televisyen itu "Saya juga terkejut blog berkenaan mengatakan bahawa saya diraba ketika sedang membawa tabung untuk mengutip derma mangsa banjir di Kedah. "Jika saya diraba sudah tentu saya dapat rasakan perbuatan itu ataupun pembantu peribadi saya juga melihat perkara tersebut," katanya ketika dihubungi mStar Online, Selasa. Jelas Intan, perkara tersebut hanya sekadar khabar angin atau gurauan penulis blog berkenaan semata-mata. "Tiada siapa yang kena raba dalam program itu. Mungkin ada pihak yang nampak saya macam kena raba tapi sebenarnya ia tidak berlaku seperti yang didakwa,"ujarnya yang kini sedang menjalani penggambaran drama di Pulau Aman, Pulau Pinang. Intan bakal membintangi drama terbaru slot Akasia menggantikan drama Chinta yang akan bermula pada 18 November ini. Drama tersebut juga membariskan pelakon-pelakon handalan seperti Kamal Adli, Cat Farish dan Aida Khalida. | ||||
Cabaran Bob Ubah Shaheizy Sam Dalam 'Ngangkung' Posted: 10 Nov 2010 07:54 PM PST PETALING JAYA: Pengarah filem Ngangkung, Ismail Bob Hasim yang pertama kali diberi peluang sebagai pengarah oleh Metrowealth Pictures mengakui berdepan cabaran yang besar untuk menggarap watak pelakon utamanya, Shaheizy Sam. Dia mahu Shaheizy Sam tampil berbeza daripada wataknya dalam filem Adnan Semp-it. Menurut pengarah yang mesra disapa Bob itu, imej dan identiti watak Adnan lakonan Sam dalam filem arahan Ahmad Idham itu telah meninggalkan impak yang besar kepada penonton. Ini sekaligus memberikan cabaran buatnya untuk memastikan agar karakter komedi Sam dalam filem Ngangkung pula tampil dalam bentuk yang lebih segar dan berlainan. "Saya tidak nafikan badi watak Adnan lakonan Sam dalam filem Adnan Semp-it memang kuat melekat pada minda penonton. "Sebagai pengarah yang juga tampil dengan filem komedi, saya menggalas cabaran besar untuk menggarap elemen segar dan kelainan pada watak Sam dalam filem sulung saya ini. "Saya tidak mahu jika penonton nampak 'jelmaan' watak Adnan dalam diri Sam. "Saya cuba sedaya upaya menyuntik kelainan pada watak Azim lakonan Sam agar ia berbeza dan tersendiri. Mujurlah Sam sendiri adalah seorang pelakon yang berkaliber serta banyak memberikan idea dan penterjemahannya sendiri pada watak tersebut. "Saya harap ia berkesan dan penonton akan nampak sisi komedi yang berbeza pada lakonan Sam kali ini," katanya yang ditemui selepas sesi pratonton filem itu di Cathay e@curve, Damansara, Isnin. Ujarnya, bagi memberikan impak yang berbeza pada watak dan perjalanan filem itu, kebanyakan dialog dan babak komedi dalam Ngangkung turut dipinda dan diperkemas secara spontan ketika berada di lokasi penggambaran. "Apabila berada di lokasi, saya dan pelakon-pelakon banyak berbincang untuk memberikan lebih impak pada skrip asal. Bukan ia tidak bagus cuma apabila kami berbincang sebelum memulakan sesebuah babak, banyak pandangan dan idea lebih menarik dan lucu boleh dimasukkan dalam babak atau dialog tertentu. "Jadi, kebanyakan babak dan dialog komedi dalam filem ini dipinda sewaktu penggambaran dijalankan. "Berdasarkan respons penonton pada sesi pra-tonton, ia nampaknya memikat, lucu dan berkesan. Jadi, apa yang kami lakukan itu ternyata berhasil. Saya harap penonton akan terhibur dan dapat mesej yang diterapkan dalam filem ini apabila ia ditayangkan nanti," katanya. Sebelum mengarahkan Ngangkung, Bob yang berpengalaman dalam bidang penerbitan drama televisyen selama 16 tahun pernah menjadi Penolong Pengarah 1 dalam filem-filem arahan Ahmad Idham. Antara drama-drama bersiri yang mendapat sentuhan Bob termasuk Jangan Tegur, Adnan Semp-it dan Jangan Pandang Belakang Congkak. Filem ke-42 terbitan Metrowealth Pictures itu berkisar kepada cerita tiga sahabat iaitu Azim, Tasnim dan Wan yang merupakan kaki judi dan suka membeli nombor ekor untuk mengubah nasib kehidupan masing-masing. Dek ketaksuban terhadap nombor ekor, mereka sanggup melakukan pelbagai cara demi untuk mendapatkan nombor ekor yang paling tepat termasuklah melakukan perbuatan mengangkung pada pendita. Namun, nombor bertuah yang diharapkan itu tidak muncul tetapi telah mengubah segala-galanya sehingga memporak-peranda kehidupan mereka dan keluarga masing-masing. Filem yang turut dibintangi oleh Azad Jasmin, Angah Raja Lawak, Putri Mardiana, Eira Syazira, Farisya Fatin, Mazlan Ahmad dan ramai lagi ini bakal menjengah pawagam pada 25 November ini. | ||||
Fazley Letak Jawatan Kerana Ijazah Palsu Posted: 10 Nov 2010 07:53 PM PST PETALING JAYA: Penyanyi Fazley Yaakob (gambar) membuat keputusan melepaskan jawatannya sebagai Pengarah Eksekutif, Fazley International Collage (FIC) ekoran pendedahan Perbadanan Penyiaran British (BBC) berhubung kelayakan akademik penyanyi itu. Fazley menerusi akaun Twitter miliknya berkata, peletakan jawatan itu semata-mata untuk menjaga hubungan baik FIC dengan University of Wales, United Kingdom. "Betul... saya telah meletakan jawatan demi hubungan baik dengan Wales (University of Wales)," katanya, Rabu. Dalam Twitter berkenaan Fazley turut menjelaskan dia akan memberi kenyataan berhubung perkara itu dalam waktu terdekat selepas segala perbincangan dilakukan dengan Ahli Lembaga Pengarah FIC dan juga peguamnya. Peletakan jawatan Fezley itu dibuat apabila University of Wales menggantung kerjasama dengan FIC selepas penyanyi itu dikatakan mempunyai Ijazah Sarjana dan Ijazah Doktor Falsafah (Ph.D) palsu dalam bidang pentadbiran perniagaan. Laporan BBC turut menyebut Fazley mendakwa mempunyai kelulusan daripada European Business School tetapi ia sebenarnya adalah palsu. University of Wales telah menandatangani perjanjian dengan FIC pada tahun 2007 dan terpaksa menggantung hubungan berkenaan sehingga satu siasatan dijalankan. Fazley dalam kenyataannya kepada akhbar Kosmo, Rabu berkata dia sudah lama tidak menggunakan gelaran Dr selepas mengesyaki sesuatu yang tidak kena dengan tempat dia menerima ijazah berkenaan. | ||||
Acha Tidak Kekok Bertemu Irwansyah Posted: 10 Nov 2010 07:53 PM PST BEKAS pasangan kekasih Acha Septriasa dan Irwansyah akan beraksi dalam sebuah filem cinta berjudul Love Story yang bakal ditayangkan tahun hadapan. "Filem ini adalah versi filem Heart tapi telah diperbaharui agar ia bersesuaian untuk tahun 2011. Kepada mereka yang tidak berpeluang menonton versi lalu bolehlah menonton filem ini tahun hadapan," ujar Acha. Acha ditemui ketika tayangan perdana filem Heart 2 Heart bersama kekasih barunya, manakala Irwansyah turut hadir bersama pasangannya, Zaskia Sungkar. "Kami berterima kasih dengan filem Heart yang menaikkan nama kami berdua. Walaupun kami sudah berpisah tapi kami saling menyokong antara satu sama lain," katanya. Menurut Acha, dia tidak kekok lagi untuk berlakon dengan Irwansyah walaupun mereka bukan pasangan kekasih lagi kerana kedua-dua mereka sudah boleh menerima hakikat perpisahan itu. Malah Acha juga sering kali meminta pendapat Irwansyah mengenai sesuatu babak yang bakal mereka lakonkan bersama. "Saya sering bertemu dia dan berlakon bersama, jadi kami sudah jadi seperti rakan dan tiada lagi perasaan sakit hati seperti awal-awal dahulu," katanya. | ||||
Posted: 10 Nov 2010 07:52 PM PST PETALING JAYA: MyTV3 kini berwajah baru dengan kelahiran program 30 minit yang telah bersiaran pada 7 November 2010, pukul 6 petang. Lebih padat dengan perisian program-program baru, MyTV3 juga mewujudkan satu interaksi dan komunikasi yang lebih rapat bersama ahli-ahlinya di samping menghargai sokongan padu mereka selama ini. Pelancaran wajah baru MyTV3 telah diadakan di gerai MyTV3 bersempena dengan Karnival Jom Heboh di Stadium Batu Kawan, Pulau Pinang minggu lalu. Ahli-ahli MyTV3 dijemput untuk meraikannya bersama krew MyTV3, MyTV3 Roverz dan juga artis-artis jemputan seperti Intan Ladyana, Erry Putra, Comel Hotel Mania dan Munir. Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Rangkaian Televisyen, Media Prima Berhad, Datuk Sri Farid Ridzuan, MyTV3 bertujuan memberi pendekatan kepada ahli-ahli untuk menjadi sebahagian daripada warga TV3. "Setiap ahli ditawarkan keahlian seumur hidup dengan bayaran RM10 bagi dewasa dan RM5 bagi mereka yang berumur 18 tahun ke bawah. "Mereka bukan sahaja berpeluang menghadiri acara berprestij stesen itu, malah mereka juga diberikan keutamaan untuk diterima sebagai pelatih stesen TV3 dalam menimba ilmu di bidang penyiaran. Ini merupakan satu inisiatif ideal dan bermakna kepada para penonton setia kami khususnya ahli-ahli MyTV3." "Sepanjang penubuhannya, kami amat berbesar hati kerana MyTV3 masih terus menerima jumlah pendaftaran ahli baru yang membanggakan di gerai MyTV3 menerusi Karnival Jom Heboh, aktiviti bersama kolej dan universiti serta pendaftaran SMS. "Dengan pembaharuan yang dilakukan selepas menukar konsep siaran dari kapsul 5 minit, sehari dua kali kepada siaran program penuh selama 30 minit, kami berharap dapat memberi manfaat maksimum kepada ahli-ahli MyTV3 di seluruh Malaysia," ujarnya. Program ini dihoskan oleh personaliti yang tidak asing lagi, Aidid Marcello. Ia memberi peluang kepada ahli-ahli untuk mengikuti perkembangan terkini MyTV3 menerusi empat segmen eksklusif iaitu MyDREAMS, MyMEMBERS, MyDAY dan MyZONE. Sejak memulakan operasinya secara tidak rasmi di Karnival Sure Heboh (kini dikenali sebagai Jom Heboh) pada tahun 2004, sesi pendaftaran dan pengambilan ahli-ahli baru MyTV3 rancak dijalankan selama 7 tahun. Sehingga kini, MyTV3 masih berdiri kukuh dengan jumlah keahlian hampir 1 juta orang. | ||||
Penubuhan Badan Kawal Selia Industri Muzik - Rais Yatim Posted: 10 Nov 2010 07:48 PM PST KUALA LUMPUR: Masalah pendapatan hasil industri muzik negara yang semakin menurun kebelakangan ini akan ditangani dengan lebih berkesan selepas badan selia industri berkenaan diwujudkan, kata Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim. Rais berkata pendapatan industri muzik negara yang pada satu ketika mencatatpendapatan sebanyak RM250 juta setahun hasil jualan cakera padat dan mediumterbabit, kini hanya mencatat RM70 juta, sangat membimbangkan. Kementerian sedang merangka Rang Undang-undang Pembangunan Industri MuzikMalaysia sebelum dibawa semula ke Kabinet untuk kelulusan bagi dibentangkan diParlimen, katanya kepada pemberita selepas merasmikan Simposium AntarabangsaIndustri Muzik Malaysia 2010 di sini hari. Rais berkata ini merupakan sebahagian daripada program pembangunan industrimuzik di bawah Rancangan Malaysia ke-10. Kerajaan pada Disember tahun lepas meluluskan cadangan bagi penubuhan badanrasmi berbentuk penyelia, pengemaskini dan penggerak industri muzik yangmenggabungkan usahasama kerajaan dengan 13 persatuan muzik di negara ini,katanya. Rais berkata pada masa ini hanya filem sahaja yang mempunyai badan menyeliaiaitu Finas, tetapi muzik tidak ada. "Jadi penggiat muzik juga mahukan satu badan seperti Finas. Tetapi perludiingat pihak swasta juga perlu memainkan peranan. Kerajaan semata-mata takmampu dan tidak boleh mengadakan satu modal besar untuk wujud perbadanan muzik," katanya. Beliau berkata sektor swasta akan mewakili sekurang-kurangnya 40 peratusbadan menyelia industri muzik itu. Selain badan itu, katanya usaha lain bagi mengukuhkan industri muzik negaraadalah pelaksanaan dasar muzik termasuk rangka latihan di peringkat anak muda,galakan program 'Tiada lama tiada baru'. Seminar selama empat hari itu dihadiri penggiat, pengamal, tokoh muzik danpendidik dari dalam dan luar negara dengan sebanyak 17 kertas kerja akan dibentangkan selain beberapa pengisian praktikal dan konsert turut diadakan. Mengenai jawatan Ketua Pegawai Operasi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimediabagi menggantikan Datuk Mohamed Sharil Mohamed Tarmizi, Rais berkata jawatan itu kini disandang oleh pengerusinya Tan Sri Khalid Ramli, mengikut peruntukan aktaterbabit. Baru-baru ini Mohamed Sharil dilantik sebagai penasihat komunikasi kepada Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan. | ||||
Rumah tangga Jimmy Shanley bergelora? Posted: 10 Nov 2010 07:47 PM PST Belum reda kisah pasangan selebriti Rita Rudaini dengan pemain bola sepak kebangsaan, Aidil Zafuan Abdul Radzak, kini pergolakan rumah tangga 'pengantin baru' Jimmy Shanley, 30, dan Nursuhaila Eliani Datuk Suhaimy, 24, pula dikatakan sedang bergelora. Usia perkahwinan baru memasuki angka dua bulan tetapi rumah tangga pasangan itu dikatakan retak menanti belah apabila Nursuhaila yang juga anak kepada pengasas produk kecantikan Nastasya, Datin Muniroh Kasim, bertindak meninggalkan rumah. Jimmy yang dihubungi Sinar Harian semalam ternyata tidak menyangkal rumah tangganya sedang bergelora, namun menafikan isterinya meninggalkan rumah seperti yang didakwa. "Apa yang boleh saya katakan, setiap pasangan yang baru mendirikan rumah tangga, pasti ada pasang dan surutnya. Bagi saya, itu semua lumrah hidup pasangan yang baru berkahwin. "Saya hanya berserah. Itu yang boleh saya katakan buat masa ini. Agak sukar untuk saya ceritakan apa yang berlaku kerana hingga ke hari ini, saya sendiri masih kabur dengan kehidupan baru saya ini. "Maklum sahaja, baru 41 hari kami melayari bahtera perkahwinan. Inai pun masih merah di jari. Lagipun ini peringkat permulaan untuk mengenali hati budi masing-masing," kata Jimmy yang kini sedang menetap bersama keluarga mentua. Bekas pengacara Trek Selebriti itu juga menjelaskan, hubungannya dengan keluarga mentua sangat baik, malah dia akan mula bekerja dengan syarikat mentuanya tidak lama lagi. "Kami memang rapat. Boleh dikatakan saya selalu keluar dengan mentua saya. Pergi pasar, membeli-belah dan banyak lagi kami lakukan bersama-sama. Saya seronok dengan kehidupan baru saya dan cukup bahagia. "Cuma saya tidak mahu cerita lebih-lebih kerana ini melibatkan keluarga. Berilah masa kepada kami. Yang pasti, saya berada di pihak yang benar. Jika tidak, pasti saya yang keluar dari rumah mentua. "Apa yang berlaku, saya lalui dengan tenang dan sentiasa senyum. Orang kata diam lebih elok, kan? Jadi itulah yang saya gunakan agar segala-galanya baik-baik sahaja," kata Jimmy yang cuba melakukan yang terbaik demi mengekalkan keharmonian rumah tangganya. Sementara itu, isterinya, Suhaila gagal dihubungi bagi mendapatkan penjelasan mengenai perkara ini. Datin Muniroh Kasim pula enggan mengulas lanjut berhubung isu ini. | ||||
Lebih 2,000 peserta hadir uji bakat Raja Lawak Astro Posted: 10 Nov 2010 07:46 PM PST Setelah lebih sebulan berkunjung ke enam buah uji bakat di seluruh Malaysia, pencarian bakat baru Raja Lawak Astro musim kelima berakhir di The Mall, Kuala Lumpur, hujung minggu lalu. Lebih 2,000 peserta hadir dan mencatatkan jumlah peserta uji bakat paling ramai berbanding empat musim Raja Lawak Astro sebelum ini. Pencarian bakat baru Raja Lawak Astro turut menjelajah ke Kuantan, Pulau Pinang, Kota Kinabalu, Johor Bahru dan Kuching. Sesi uji bakat memulakan penjelajahannya pada setiap minggu (Sabtu & Ahad) dari jam 10 pagi hingga 10 malam sejak 2 Oktober lalu. Sesi uji bakat yang diadakan secara terbuka di tempat tumpuan awam menarik minat pengunjung menonton aksi dan memberi semangat kepada peserta. Pertandingan realiti bakat lawak, Raja Lawak Astro (musim kelima) ini terbuka kepada seluruh lapisan masyarakat Malaysia berumur 18 tahun ke atas dan haruslah mempunyai bakat dan minat dalam bidang komedi. Juri akan menilai peserta berdasarkan beberapa kriteria pemilihan seperti kelucuan dan elemen jenaka dalam sesebuah persembahan; keaslian persembahan dan kreativiti; bakat, kemahiran lakonan dan sama ada peserta berpotensi diketengahkan sebagai pelawak terkenal. Pengurus Saluran Astro Prima, Nizam Sani berkata, barisan peserta akhir Raja Lawak musim kelima akan diumumkan pada 27 Disember ini. | ||||
Enggan ulas dakwaan mempunyai ijazah Sarjana dan Ph.D palsu Posted: 10 Nov 2010 07:45 PM PST Terlalu awal untuk membuat sebarang kenyataan balas mengenai pendedahan Perbadanan Penyiaran British (BBC) berhubung kelayakan akademik penyanyi Fazley Yaakob. Laporan BBC menyebut Fazley mendakwa mempunyai kelulusan daripada European Business School tetapi ia sebenarnya adalah palsu. "Buat masa ini saya tidak boleh mengeluarkan sebarang kenyataan tanpa mendapat kebenaran Ahli Lembaga Pengarah Fazley International Collage (FIC). "Bagaimanapun, apa yang boleh dikatakan, perbincangan bersama telah cuba dibuat dan kami cuba menyelesaikan masalah yang timbul, " katanya melalui khidmat pesanan ringkas (SMS). Kontroversi mengenai status ijazah kedoktoran dan status kerjasama antara FIC dan Universiti of Wales tercetus apabila BBC mendedahkan bahawa kelayakan ijazah Sarjana dan Doktor Falsafah (Ph.D) yang diterima Fazley dari European Business School Cambridge tidak diiktiraf. Dorongan daripada kes itu, University of Wales menggantung penglibatan mereka dengan FIC dan tidak akan mengambil mana-mana pelajarnya untuk belajar dalam bidang MBA dan pengurusan perniagaan sehingga siasatan selesai. Bagaimanapun, Fazley menjelaskan, buat masa ini semua pelajar yang masih dalam pengajian di FIC tidak terjejas oleh prestasi arbritasi dan rujukan semula. "FIC yakin spekulasi ini akan terungkai dan tamat sebaik sahaja pemahaman menyeluruh mengenai perkara ini difahami dengan jelas oleh semua pihak," katanya. Menyentuh tentang status gelarannya, Fazley berkata, dia sudah lama tidak menggunakan gelaran Dr setelah mengesyaki ada sesuatu yang tidak kena dengan pengiktirafan diterimanya. "Saya tidak menerima ijazah PhD, sebaliknya menerima ijazah 'Doctor of Business Administration' (DBA) yang boleh membawa gelaran Dr," katanya. Ketika diminta mengulas mengenai reputasinya yang mungkin terjejas selepas isu ini, Fazley berkata, dia menyerahkan kepada masyarakat untuk menilai. "Saya akan membuat kenyataan penuh selepas segala siasatan melalui pihak yang benar (legal) selesai. "Kemudian terserah kepada masyarakat untuk menilai apa yang telah saya katakan nanti. Saya berani dan yakin kerana di pihak yang benar," katanya yang akan mengadakan sidang media khas berhubung isu itu pada masa terdekat. | ||||
Inspira hasil kerjasama Proton, Mitsubishi Posted: 10 Nov 2010 07:45 PM PST Debaran menanti kemunculan kereta terbaru keluaran Proton Holdings Berhad, Inspira, berakhir semalam apabila ia dilancarkan secara rasmi Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti), Datuk Seri Mustapa Mohamed. Pelancaran itu menunjukkan pencapaian Proton dalam melakar sejarah terbaru sejak beroperasi lebih 25 tahun lalu. Pengerusinya, Datuk Seri Mohd Nadzmi Mohd Salleh berkata, sejak pelancaran pengenalan pada 14 Oktober lalu sehingga semalam, Proton Inspira menerima tempahan 1,800 unit. "Setakat ini, anggaran tempahan adalah 100 unit sehari," katanya pada majlis pelancaran Proton Inspira di Subang Jaya, semalam. Hadir sama, Penasihat Proton, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Pengarah Urusan Kumpulan, Datuk Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir. Mohd Nadzmi berkata, Proton Inspira dilahirkan menerusi kerjasama Proton dengan syarikat automotif dari Jepun, Mitsubishi Motors Corporation. Menurutnya, daripada aspek perniagaan, pembangunan sesuatu model bukan induk melalui kerjasama adalah jauh lebih efektif jika dibandingkan kos pembangunan secara sendiri. Dalam pada itu, beliau berkata, Proton menyasarkan 40 peratus komponen tempatan dalam model kereta nasional terbaru ini sehingga akhir tahun. "Jumlah kandungan komponen tempatan ini akan ditingkatkan untuk tahun-tahun akan datang dan ini mampu memapankan perniagaan dan pada masa sama, membangunkan kebolehan serta kepakaran jaringan pembekal komponen tempatan," katanya. Sementara itu, Syed Zainal Abidin ketika mengendalikan persembahan multimedia berkata, pelanggan yang membuat tempahan Proton Inspira sehingga 15 November ini bakal menikmati servis percuma selama dua tahun atau 50,000 kilometer perbatuan. | ||||
Hutan Indonesia musnah akibat letusan Merapi Posted: 10 Nov 2010 07:44 PM PST YOGYAKARTA - Letusan terbaru Gunung Merapi di Indonesia menyebabkan lebih 860 hektar hutan di kawasan sekitarnya musnah, mengakibatkan kerugian yang dianggarkan sekurang-kurangnya 33 bilion Rupiah (RM11 juta). Letusan itu memusnahkan beberapa kawasan hutan termasuk sebahagian daripada Taman Negara Gunung Merapi dan ladang pertanian milik penduduk tempatan Yogyakarta. Agensi Perhutanan Yogyakarta melaporkan sehingga kini, lebih daripada 270,000 pokok musnah akibat letusan Gunung Merapi. Menurut agensi tersebut, haiwan di dalam hutan berdekatan gunung itu terpaksa berpindah ke kawasan lain dan tapak sarang burung helang Jawa juga musnah akibat bencana itu. Sekurang-kurangnya 191 terkorban setakat ini dan 340,000 penduduk lain yang terjejas terpaksa tinggal di dalam kem perlindungan sementara sejak gunung itu meletus, bulan lalu. | ||||
Hanya yang terbaik pasti menang Posted: 10 Nov 2010 07:19 PM PST ATLET yang beraksi lebih baik pasti dapat menghadiahkan emas buat negara di Sukan Asia 2010 di Guangzhou yang bakal dibuka secara rasmi, Jumaat ini. Begitulah luahan pemain skuasy nombor satu negara, Mohamad Azlan Iskandar seandainya dia bakal bertemu rakan senegara, Ong Beng Hee pada perlawanan akhir nanti. "Siapa pun yang akan bertemu di perlawanan akhir nanti pada saya hanya yang terbaik akan menang. Pada masa sama saya berharap semua pemain negara dapat melangkah ke pusingan akhir dalam semua acara nanti. "Bagaimanapun lebih baik tumpuan diberikan pada perlawanan peringkat pusingan terlebih dahulu daripada memikirkan soal perlawanan akhir," katanya selepas majlis penyerahan tajaan kepada pasukan skuasy ke Sukan Asia, semalam. Pada majlis berkenaan, syarikat pengeluar barangan sukan Mizuno menaja pakaian semua pemain skuasy negara yang bertanding di temasya empat tahun sekali itu. Azlan dan Beng Hee dijangka memiliki peluang cerah untuk berentap sesama sendiri di perlawanan akhir acara individu lelaki. Namun saingan sengit tetap menanti Azlan juga pemegang pingat perak di Sukan Asia 2006 daripada pemain Pakistan seperti Aamir Atlas Khan dan Saurav Ghosal dari India. Saingan hanya akan bermula 18 November ini, dengan Azlan dan Beng Hee masing-masing mendapat 'bye' di pusingan pertama untuk mara ke pusingan kedua. Sementara itu, pemain ranking 44 dunia, Sharon Wee, yang bakal membuat penampilan untuk kali ketiga di Sukan Asia bangga dan gembira apabila terus di diber kepercayaan menggalas misi negara. Melihat perkembangan dan peningkatan pemain muda yang bakal berentap di Sukan Asia, Sharon mengakui kehebatan pemain seperti Datuk Nicol David dan Low Wee Wern yang menjadi sandaran utama meraih pingat. "Sudah 20 tahun saya berkecimpung dalam sukan ini dan 10 tahun bermain sebagai profesional. Jadi sudah tentu saya mengharapkan lebih ramai pemain muda akan menonjol. "Bagi kejohanan ini nanti, saya akan bermain dalam acara berpasukan. Apa yang penting adalah percaya pada diri sendiri dan yakin ketika beraksi," katanya. Seorang lagi pemain skuasy wanita negara, Delia Arnold yang hanya bermain dalam acara berpasukan gembira dapat beraksi buat pertama kalinya di Sukan Asia dan berharap semua pemain dapat menyumbang mata buat pasukan wanita. | ||||
Fazley undur demi reputasi FIC Posted: 10 Nov 2010 07:19 PM PST
KUALA LUMPUR – Penyanyi yang popular dengan lagu Asmara Ini, Fazley Yaakob bertindak melepaskan jawatannya sebagai Pengarah Eksekutif di Kolej Antarabangsa Fazley (FIC) kelmarin ekoran kontroversi berkaitan kelayakan akademiknya yang dipertikaikan. Menurut Fazley, peletakan jawatan yang berkuat kuasa kelmarin itu dibuat sebagai langkah untuk memelihara dan menjaga reputasi FIC yang ketika ini sedang mengukuhkan nama di kalangan institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) di negara ini. "Selain atas kerelaan diri, pengunduran daripada pentadbiran FIC juga merupakan atas nasihat dan perbincangan yang diadakan bersama lembaga pengarah FIC serta penasihat undang-undang," katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini semalam. Perbadanan Penyiaran British (BBC) dalam program Week In Week Out: University Challenged kelmarin mendakwa Fazley memiliki ijazah doktor falsafah (Ph.D) palsu dan kini mengendalikan kolej yang menawarkan kursus sarjana muda dengan kerjasama University of Wales. Dalam program itu, Fazley dituduh memiliki kelulusan tersebut dari sebuah universiti palsu iaitu European Business School iaitu sebuah universiti antarabangsa Irish yang didedahkan BBC sebagai palsu pada tahun 2008. Ekoran laporan program itu, pihak University of Wales di United Kingdom menggantung hubungannya dengan FIC sehingga satu siasatan berhubung status Fazley selesai dijalankan. | ||||
Posted: 10 Nov 2010 07:18 PM PST KUALA LUMPUR – Perusahaan Otomobil Kedua Sdn. Bhd. (Perodua) mengekalkan status selaku pengeluar kereta terlaris di Malaysia untuk lima tahun berturut-turut dengan angka jualan meningkat 15 peratus kepada 157,200 unit dari Januari hingga Oktober lalu. Prestasi jualan itu memberikan Perodua penguasaan 31.1 peratus daripada pasaran kenderaan di negara ini yang dianggarkan kesemuanya berjumlah 570,000 buah setahun. Pengarah Urusan Perodua, Datuk Aminar Rasyid Salleh (gambar kecil) berkata, syarikat itu kini berada di landasan yang betul untuk mencapai sasaran jualan tahun ini sebanyak 185,000 unit. "Kejayaan Perodua banyak disumbangkan oleh produk yang menepati cita rasa pengguna seperti faktor reka bentuk, harga, penjimatan bahan api serta nilai jualan semula yang tinggi. "Buat masa sekarang, Myvi terus menjadi model paling laris dengan jualan antara 6,500 hingga 7,000 unit sebulan, diikuti Viva dan Alza," kata Aminar ketika dihubungi Kosmo! semalam. Hari ini, Perodua akan melancarkan varian terbaru Viva yang ditambah baik, Viva Edisi Eksekutif. Edisi terbaru Viva, model yang pertama kali dikeluarkan pada 2007, dijangka melonjakkan lagi penguasaan Perodua. Tempahan untuk model itu sudah dibuka dengan maklumat lanjut boleh diperoleh dengan menghubungan talian khidmat pelanggan Perodua di 1800-88-6600. | ||||
Hakim lihat kereta dipandu aminulrasyid Posted: 10 Nov 2010 07:17 PM PST SHAH ALAM - Hakim Mahkamah Sesyen di sini, Latifah Mohd. Tahar semalam meluangkan masa kira-kira sejam untuk melihat sendiri kesan tembakan dan kerosakan pada kereta Proton Iswara berwarna putih yang dipandu Aminulrasyid Amzah pada malam dia mati ditembak April lalu. Ketua unit senjata api daripada Seksyen Kriminalistik, Jabatan Kimia, Shaari Desa menyambung keterangannya dengan menunjukkan semua kesan tembakan, kerosakan pelanggaran dan kesan kerosakan lain yang terdapat pada kereta bernombor pendaftaran BET 5023 itu kepada hakim, pihak pendakwaan dan pembelaan. Kereta itu sebelum ini berada dalam stor barang kes pihak polis dan ditunda ke tempat letak kereta mahkamah bagi membolehkan mereka melihat sendiri kesan-kesan tersebut seperti yang diterangkan oleh Shaari dalam prosiding kelmarin. Saksi ke-24 pendakwaan itu turut menunjukkan kepada Latifah, Timbalan Pendakwa Raya, Mohd. Dusuki Mokhtar dan Idham Abd. Ghani serta peguam M. Athimulan dan Salim Bashir ukuran lubang peluru yang menembusi cermin belakang dan tempat letak kepala kerusi pemandu menggunakan alat pengukur. | ||||
Budak 3 tahun dibiar naik bas seorang diri Posted: 10 Nov 2010 07:17 PM PST
KUALA LUMPUR - Melihat seorang kanak-kanak lelaki (gambar) yang berumur sekitar tiga tahun sudah berani menaiki bas pasti mengundang takjub kepada orang ramai. Namun timbul persoalan siapa ibu bapa kepada kanak-kanak itu yang begitu cuai melepaskan anak mereka berbuat demikian. Itulah yang berlaku terhadap seorang budak yang dijumpai oleh seorang wanita berumur 40 tahun ketika dia menaiki sebuah bas menuju ke ibu kota semalam. Dalam kejadian pukul 12.30 tengah hari itu, wanita tersebut curiga apabila ternampak kelibat seorang kanak-kanak memegang botol susu yang kemudian menaiki bas yang berhenti di Flat Seri Sabah, Cheras di sini. Atas dasar prihatin, wanita itu memanggil budak terbabit duduk bersamanya sebelum dia menghubungi polis. Apabila sampai di Plaza Kota Raya di sini, Timbalan Ketua Polis Daerah Cheras, Supritendan Abdul Rahim Hamzah Othman berkata, wanita itu membawa kanak-kanak terbabit ke Balas Polis Tun H.S Lee di sini untuk membuat laporan. | ||||
Posted: 10 Nov 2010 07:14 PM PST BESUT – Penulis buku Perubatan Islam Menangkis Kejahatan Makhlus Halus menyangkal dakwaan mengatakan buku tulisannya itu menjadi punca kepada tindakan seorang anak membunuh ibunya di Felda Chini Timur 1, Pahang kelmarin. Sharhan Shafie yang berkelulusan Bahasa Arab dan Pengajian Islam dari Universiti Al-Azhar, Mesir kesal jika ada di kalangan ahli keluarga mangsa mengesyaki isi kandungan buku tulisannya itu telah mendorong pada tindakan suspek yang membunuh ibunya. Menurut beliau, buku sulung yang ditulisnya itu langsung tidak mengandungi unsur-unsur kurafat yang boleh mendorong seseorang untuk bertindak di luar kawalan termasuk membunuh. Malah kata Sharhan, dalam proses penulisan buku itu, beliau banyak membuat rujukan kepada tokoh-tokoh agama termasuk mufti dari beberapa buah negeri bagi memastikan buku yang ditulis itu tidak mengandungi perkara yang bercanggah dengan agama. Beliau memberitahu, tujuan utama penulisan buku yang diterbitkan pada tahun 2005 itu ialah semata-mata untuk berdakwah selain menggalakkan umat Islam yang menghidap penyakit menggunakan al-Quran dan hadis sebagai rawatan. "Cara terapi al-Quran ini mengelakkan umat Islam menggunakan kaedah rawatan khurafat dan karut serta lebih banyak menghabiskan wang. "Kalau dilihat, hari ini ramai di kalangan umat Islam yang gemar mengamalkan perubatan mengunakan kaedah menurun dengan jin sebagai pendamping yang salah di sisi agama Islam," kata beliau kepada Kosmo! di sini semalam. | ||||
Dua maut nahas Proton Iswara terbabas Posted: 10 Nov 2010 07:14 PM PST KANGAR – Selepas memadu kasih sehingga awal pagi, sepasang kekasih yang tergesa-gesa pulang maut apabila kereta dinaiki mereka terbabas dan merempuh sebatang pokok di jalan persisiran pantai Kuala Perlis-Sungai Baru di sini semalam. Dalam kejadian pada pukul 1.20 pagi itu, mangsa yang terkorban ialah seorang pelajar, Nur Shahirah Mat Akhir, 20, dan teman lelakinya, Zul Hairi Basir, 21. Ketua Polis Daerah Kangar, Supritendan Abdul Rahman Mohd. Noordin berkata, semasa kejadian kereta Proton Iswara tersebut dipandu oleh Shahirah dengan laju untuk menghantar pulang kekasihnya di Ayer Hitam, Jerlun, Kedah. "Sebelum itu, pasangan itu pergi ke Kuala Perlis untuk makan malam dan berjalan-jalan di tepi pantai tersebut. "Menyedari hari sudah lewat malam, mereka pulang dan dipercayai Shahirah memandu dengan laju di jalan yang tiada lampu dan licin," kata beliau ketika dihubungi di sini semalam. | ||||
Kos naik haji 2011 dikaji semula Posted: 10 Nov 2010 07:13 PM PST SEPANG - Kerajaan sedang meneliti kos mengerjakan haji bagi tahun hadapan berikutan beberapa faktor yang dilihat mempengaruhinya kelak, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom. "Kita meneliti secara mendalam dan mengikuti perkembangan yang berlaku di Mekah," katanya ketika ditemui pemberita di Lapangan Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini sebelum berlepas ke Tanah Suci semalam. Katanya, kajian meliputi kos penginapan perlu dilakukan berikutan banyak bangunan hotel telah diruntuhkan termasuk bangunan berdekatan Masjidil Haram yang disewakan kepada Lembaga Tabung Haji. "Sebahagiannya sudah tamat tempoh sewaan, jadi bangunan baru akan ambil kira kos yang baru," katanya. Pembangunan fasa keempat Masjidil Haram dan kawasan sekelilingnya yang menelan kos berbilion Saudi Riyal sedang giat dilakukan sejak dimulakan pada 2007 dan dijangka siap sepenuhnya pada 2020. Jamil Khir berkata, beberapa faktor lain turut perlu diambil kira seperti kos pengangkutan berikutan kenaikan harga minyak dunia dan kos bahan makanan yang turut meningkat. Namun, beliau memberi jaminan sebarang perubahan tidak akan membebankan jemaah haji. | ||||
TBM percepat projek salur air mentah Pahang ke Selangor Posted: 10 Nov 2010 07:12 PM PST HULU LANGAT - Kerajaan yakin projek penyaluran air mentah dari Pahang ke Selangor akan siap dalam tempoh yang ditetapkan iaitu menjelang pertengahan tahun 2014. Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Peter Chin Fah Kui berkata, penggunaan mesin pengorek terowong khas atau Tunnel Boring Machine (TBM) berupaya mempercepatkan kerja-kerja mengorek terowong penyaluran air itu. "Kita harap ia dapat siap seperti yang dijadualkan kerana mesin tersebut mampu mengorek sejauh kira-kira satu kilometer sebulan," katanya pada majlis pelancaran TBM 3 di sini semalam. Mesin pengorek bernilai RM68 juta yang dilancarkan itu akan mula beroperasi pada 22 November ini. Peter Chin berkata, projek itu bertujuan memenuhi peningkatan permintaan bekalan air di Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya. | ||||
Posted: 10 Nov 2010 07:12 PM PST
TUMPAT - Seorang pencari barangan lusuh nyaris maut kerana tidak menyedari guni yang ditemuinya di pusat pengumpulan sampah di Kampung Kelaboran di sini semalam berisi empat butir bom mortar lama Mohd. Firdaus Sabri, 19, dari Kampung Tujuh di sini berkata, guni tersebut dijumpainya dalam timbunan sampah yang disangka mengandungi besi buruk kira-kira pukul 10 pagi. Menurutnya, dia kemudian mengangkat guni tersebut dan menuangnya untuk mengetahui kandungan di dalamnya. "Saya terkejut apabila melihat empat butir bom mortar tercampak keluar dari guni tersebut. Setiap butir bom tersebut berukuran kira-kira 60 milimeter," katanya ketika ditemui di sini semalam. Mohd. Firdaus berkata, ketika kejadian terdapat kira-kira 20 orang rakannya yang turut mencari barangan lusuh di tapak pengumpulan sampah tersebut. | ||||
UEM, KWSP dapat lampu hijau daripada PLUS Posted: 10 Nov 2010 06:35 PM PST KUALA LUMPUR - UEM Group Bhd. (UEM) dan Lembaga Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) telah mendapat kebenaran daripada PLUS Expressways Bhd. (PLUS) bagi tawaran bersama untuk pengambilalihan semua aset dan liabiliti operator lebuh raya terbesar di Asia Tenggara bernilai RM23 bilion. Menurut kenyataan yang dikeluarkan UEM dan KWSP, tawaran berkenaan akan dibentangkan pada mesyuarat agung luar biasa PLUS bulan depan. "Pemerolehan semua aset dan liabiliti PLUS akan dilaksanakan oleh perantara pelaburan tujuan khas, yang mana 51 peratus akan dimiliki UEM dan 49 peratus dipegang oleh KWSP," kata kenyataan itu. Pengarah Urusan/Ketua Pegawai Eksekutif UEM Group, Datuk Izzaddin Idris berkata, kumpulan akan terus mengekalkan standard penyelenggaraan dan perkhidmatan pengendali lebuh raya itu untuk keselamatan pengguna lebuh raya. | ||||
Henry, Daphne temui jiwa sebenar Posted: 10 Nov 2010 06:34 PM PST SENANG dan lancar berbicara dengan dua figura ini. Tanpa perlu banyak disoal, tutur kata mereka laju berjalan ditambah dengan keselesaan yang mereka tebarkan. Itu pesona yang terpahat pada diri Daphne Iking dan Henry Golding, dua individu yang sudah sebati dengan kotak kaca televisyen. Kembara perjalanan mereka dalam melakari himpunan portfolio mereka bukan sehari dua. Bukan mudah untuk membina nama selesa seperti sekarang. Hasil segala usaha dan kerja keras yang jitu, nah hari ini mereka disenaraikan dalam kategori Personaliti TV Kegemaran dalam sebuah acara anugerah urban - Anugerah Shout! yang bakal berlangsung 20 November ini. Anugerah yang diilhamkan oleh 8TV yang memasuki musim kedua itu masih mengekalkan lokasi sama iaitu di Stadium Putra, Bukit Jalil dan bakal bersiaran secara langsung pada pukul 8.30 malam di 8TV. Santai berbicara tentang tugasan mereka sebagai pengendali program, kedua hos terkenal ini sempat berbicara perkembangan terkini dan evolusi diri yang sedang dilakar perlahan-lahan dalam diri mereka. Daphne kembara kerohanian Lucu kata Daphne Eleanor Iking apabila usai dirinya dianugerahkan Pelakon Wanita Harapan di FFM23 lalu, perspektif sesetengah orang terhadap dirinya sedikit berubah. "Ada yang sudah menyangka saya sudah menaikkan harga, walhal perkara itu tidak terbit langsung dalam pemikiran," ujarnya yang bakal muncul dengan sebuah filem etnik berlandaskan suku kaun Kadazan tahun hadapan.
Pelakon filem Belukar berusia 31 tahun ini kemudian membuka cerita, mahu membawa diri dan perasaan jauh ke negara India. Terinpirasi keras dengan buku tulisan Elizabeth Gilbert yang bertajuk Eat, Pray, Love, Daphne memanjangkan langkahnya ke India. "Satu kembara kerohanian di samping menziarahi teman saya yang bakal mengadakan resepsi perkahwinannya di sana,"ujarnya yang bakal bercuti pada 11 Disember kelak dan mahu menikmati indah dan spiritulism negara India. Sebelum sibuk dengan agenda kerohaniannya, ibu kepada Isobel Daniella, 3 tahun, ini terlebih dahulu akan terlibat dengan Anugerah Shout! dan membawa tugasan sebagai pembaca nominasi. Dia yang merupakan bunga di antara kumbang yang tercalon dalam kategori Personaliti TV Paling Digemari berasa berbesar hati dibariskan dengan Ally Iskandar, Aznil Haji Nawawi, Henry Golding dan Zizan Raja Lawak. "Mereka yang berada dalam kategori yang sama dengan saya merupakan raja segala raja bagi program televisyen. Itu yang membuatkan saya berbesar hati dan teruja," ujarnya yang dicalonkan melalui program The Breakfast Show. "Saya juruskan soalan kepada kriteria personaliti TV di mata Daphne yang sudah lama bergelumang dalam persekitaran itu. Dia menjawab lancar, seakan menonton dirinya di kaca TV. "Seorang personaliti TV itu perlu ada attitud yang betul. Tidak diva dan juga tidak sombong. Dia harus mencari program yang sesuai dengan karakter dirinya. Saya lihat, Aznil dan Ally serta diri saya, kami mempunyai pengetahuan dan latar belakang berasaskan jurnalism. Ini menyenangkan kerja kami sebagai hos program kerana sudah tahu banyak aspek seperti kamera, edit dan belakang tabir. "Seorang personaliti TV juga sepatutnya tidak terlalu lantang dengan vokal yang kuat. Mungkin kerana saya diajar dalam cara sedikit konservatif tetapi bagi saya, hos juga tidak sepatutnya mempunyai pergerakan tanda dagang yang kelak akan menghalangnya daripada mengambil program lain," ujar Daphne yang kagum dengan pesona yang melekat pada diri Henry, Aznil dan Ally.
Selesai dengan penggambaran bersama Mejar Dr. Faiz Khaled melalui program Idea: Malaysian Inventors' Challenge, Daphne tidak berhenti-henti mengucapkan rasa syukur kerana arus rezekinya masih bertali. Walau dihimpit pelbagai kontroversi, dia tenang dan tahu ada hikmah yang bakal menjengah diri. Tidak segan-segan juga dia mengaku sedang mengenali seseorang dan senyuman di wajahnya tidak menipu apatah lagi sinar matanya. "Saya melalui evolusi diri. Dulu saya terlalu mempedulikan pandangan dan hati ramai pihak. Tetapi saya sedar bahawa bukan semua hati boleh disenangkan. Dulu saya asyik membela diri saya dan di penghujung hari, orang masih menyalahkan saya dalam banyak hal. Kini saya lebih relaks. Saya percaya bermula dengan niat yang baik, kita bakal didatangi dengan perkara-perkara yang berunsur kebaikan juga akhirnya," ujar Daphne melemparkan aura positif di seluruh persekitarannya. Lima peratus Henry Golding "Sedap dan cantik," ujar Henry diselangi ketawa besar. Itu merupakan dua perkataan bahasa Melayu yang lancar di bibirnya. Jujurnya dia baru menguasai bahasa tersebut dalam lingkungan lima peratus dalam durasi masa dua tahun menetap di Malaysia. Bukan tidak mahu atau enggan mencuba tetapi mindanya agak lambat untuk mencerna patah perkataan bahasa itu. Tetapi untuk ditanyakan dalam bahasa kebangsaan tersebut, dia selesa. "Menjadi masalah juga sewaktu saya mengendalikan program 8TV iaitu Welcome To The Rail World. Saya perlu berkomunikasi dengan orang-orang di desa tetapi saya banyak dibantu oleh krew produksi dan saya mencuba serta belajar," ujarnya yang teruja dengan kecantikan semula jadi Malaysia terutamanya di sebelah utara. Dia juga menamakan kampungnya, Sarawak mempunyai tempat yang istimewa di hatinya. Jejaka berusia 23 tahun ini mengaku, dia kurang selesa membawakan sesuatu berbaur sukan. Bukan jiwa, kata Henry lalu pengalaman bersama program Football Crazy di saluran sukan antarabangsa ESPN tahun lalu disimpan sebagai salah satu portfolio berharga. Kini lelaki kacukan Inggeris (bapa) dan Iban (ibu) menjumpai jiwa dan semangat sebenar yang terletak di aliran penjelajahan. "Saya bertemu jurusan saya yang sebenar. Program berunsur pengembaraan (travel) adalah jiwa sebenar. Malah ia juga adalah tapak transformasi dalam diri saya. Saya rasa dekat dengan program-program tersebut dan yang penting selesa mengendalikannya," luah Henry yang bakal terlibat dengan sebuah lagi program pengembaraan Eropah di bawah payung Bernama. Bukan hanya dinominasikan dalam kategori Personaliti TV tetapi si jejaka yang dicalonkan melalui program The Quickie ini juga terpilih dalam senarai Anugerah Lelaki Panas (Hot). "Bunyinya sedikit kontroversi, bukan? Saya berasa sedikit malu kerana lain orang berbeza pandangan dan cita rasa. Mungkin daya tarikan saya mengatasi rupa paras saya, mungkin? Tetapi jujur saya katakan bahawa ia merupakan satu pujian besar untuk saya apabila disenaraikan. "Jujurnya saya lebih selesa di kategori yang satu lagi. Ia mempamerkan kerja keras kami sebagai hos TV selama ini dan dihargai. Semua yang disenaraikan merupakan nama-nama besar dalam lapangan masing-masing. Saya berbesar hati," senyum Henry pemegang status kerjaya model, pengacara dan jurucakap jenama Canon ini. |
You are subscribed to email updates from Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi! To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |