Adsense

Rabu, 10 November 2010

Berita Harian: Hip

Berita Harian: Hip


Bukan sedikit cabaran

Posted: 09 Nov 2010 03:14 PM PST

Hip

Juliana Evans melakonkan watak Natrah.

Juliana Evans melakonkan watak Natrah.

Juliana harap semangat Natrah dapat serlahkan bakat dan kebolehan lakonan

ENTAH di mana silapnya, sepanjang empat tahun melayari dunia lakonan belum ada watak yang mampu mengingatkan penonton kepada Juliana Evans.

Oleh itu, tawaran untuk menerajui Natrah dianggap sebagai peluang membuktikan keupayaan diri sebagai pelakon muda yang memang ada bakat dan berkebolehan. Watak gadis Belanda bernama Maria Bertha Hertogh atau nama Islamnya, Natrah menguji kemampuan gadis berusia 21 tahun itu apabila perlu bermain dengan emosi disebabkan situasi getir yang melanda kehidupan - tersepit di antara keluarga kandung dan ibu angkat berlainan agama hingga mencetuskan api rusuhan.

Malah dek terbawa-bawa emosi watak yang diamanahkan kepadanya, Juliana cukup mudah mengalirkan air mata sebaik saja berada di hadapan kamera sedangkan sebelum ini dia sangat sukar menangis apabila di dalam set biarpun untuk babak sedih.

"Memang saya akui cukup teruja sebaik ditawarkan peranan ini hingga mencari bahan bacaan berkaitan terutama naskah tulisan Datin Fatini Yaacob. Kisahnya tragis dan menyayat hati kerana perebutan itu mengakibatkan rusuhan yang mengorbankan banyak nyawa.

"Saya sepanjang membawa tulisan itu malah dapat digambarkan bagaimana perasaan Natrah selaku seorang anak dan isteri yang terpaksa berpisah dengan insan kesayangan berikutan undang-undang ciptaan manusia. Tanpa sedar, saya akan menangis setiap kali babak sedih," kata pelakon berdarah campuran Melayu-Inggeris itu.
Rasa teruja pelakon terbabit jelas terserlah daripada gambaran watak serta plot drama bersiri empat episod ini. Malahan sesekali mimik wajahnya berkerut seakan-akan membayangkan maklum balas ramai.

Apatah lagi demi buah tangan arahan Wan Hasliza Wan Zainuddin, Juliana sanggup mengenepikan tawaran membintangi drama lain semata-mata mahu menumpukan sepenuh perhatian sekali gus menghayati sepenuhnya watak Natrah.

Bergandingan dengan Sherry Merlis yang membawakan watak ibu angkatnya, Che Aminah, kemesraan di luar set hingga Juliana memanggil dramatis itu sebagai ibu diakui turut menghidupkan pertalian sekali gus menampakkan keserasian antara kedua-duanya di dalam drama.

Katanya, walaupun baru pertama kali dipasangkan dengan Sherrie Merlis, pelakon berpengalaman itu tidak lokek berkongsi ilmu.

Begitu juga barisan pelakon lain seperti Natasha Hudson sebagai ibu kandung, Adeline Hertog, Fikree Bakar (Mansor Adabi), Shahrolnizam dan Namron.

Tanpa berselindung, bakat yang lebih dulu diperkenalkan menerusi arena pengacaraan itu mengakui cukup besar cabaran membawakan watak yang menjadi sebahagian lipatan sejarah kerana perlu lancar menuturkan bahasa Indonesia selain berbual dalam dialek Terengganu.

"Setiap penerbitan sememangnya akan memberikan cabaran tersendiri, tambahan pula kisah yang mengambil latar zaman 50-an dengan sebahagian besar tercatat dalam sejarah negara. Perwatakan Natrah sudah cukup mencabar, belum termasuk gaya, pertuturan serta personalitinya.

"Sepanjang babak, saya perlu berbual dalam dialek Terengganu bercampur bahasa Indonesia. Pada mulanya agak gusar tetapi menerusi bimbingan guru yang disediakan produksi selain di luar set juga kami diminta berbual seperti di Terengganu, segala-galanya berjalan lancar," katanya sambil tersenyum.

Bertemu Juliana di lokasi penggambaran di pinggir ibu negara, jelas terserlah keayuan serta kelembutan seorang Natrah seperti digambarkan pengarah walaupun realitinya gadis Belanda itu baru mencecah 13 tahun sedangkan Juliana lapan tahun lebih berusia.

Apa pun, karektornya yang masih tampak keanak-anakan serta tubuh kecil molek menyenangkan lagi misi produksi terbabit cuma barangkali perkara yang agak sukar adalah memastikan pakaian, latar tempat dan pertuturan tidak lari daripada era pengkisahan.

"Saya turut teruja dapat mengenakan baju kurung era berkenaan dengan diacukan kerudung. Jika selama ini watak yang saya bawakan hanya menjurus kepada gadis moden, kini saya seakan kembali semula ke akar umbi keluarga sebelah ibu saya.

"Berbanding pengacaraan yang bermula lebih awal daripada lakonan, kedua-dua bidang ini menjanjikan kepuasan tersendiri malah saya juga mencabar diri sejauh mana saya boleh pergi selain menggenggam ijazah," katanya yang aktif dalam iklan TV sejak berusia 12 tahun.

Diusik soal berkasih sayang, bekas kekasih Sam Bunkface itu mengakui kekosongan hati belum terisi tetapi tegasnya tidak perlu mengejar cinta kerana pada saat ini dirinya sibuk dengan tanggungjawab sebagai penuntut kuliah, pelakon dan pengacara.

PROFIL

Juliana Sophie Johari Evans

Tarikh Lahir: 5 Julai 1989
Asal: Petaling Jaya, Selangor
Adik Beradik: Anak bongsu daripada tiga bersaudara
Keturunan: Inggeris di sebelah bapa manakala Ibu Melayu
Pendidikan: Tahun Dua dalam pengajian Ijazah Sarjana Muda Komunikasi Massa, Sunway University College
Iklan: Tracia Eternal, Fair & Lovely, Nokia 2600 dan Clean & Clear
Hos: E-Zone (Astro Ria), Majalah Moral (TVIQ), Bintang Kecil Raya (TV9) dan Remaja (TV3)
Drama: Kami The Series,, Ghost, Kasut Tumit Tinggi, Warkah Terakhir, Sabar, Cornetto Inikah Cinta
Filem: Kami The Movie dan Hooperz.


Full Feed Generated by GetFullRSS.com, sponsored by USA Best Price.

Jawablah!: Tidak ada pilih kasih

Posted: 09 Nov 2010 03:09 PM PST

Hip

Penyanyi, penganjur berminat buat persembahan di IB mesti sanggup sediakan kos sendiri

TINDAKAN Istana Budaya (IB) membenarkan penyanyi yang sama untuk membuat persembahan mengundang persoalan seolah-olah sudah tidak ada orang lain beraksi di situ. Persoalan ini ditimbulkan apabila penyanyi bersuara mantap, Jamal Abdillah sekali lagi diberi penghormatan menghiburkan peminatnya di lokasi terbabit.

Bukan niat untuk menafikan rezeki Jamal, jauh sekali bersikap dengki apabila perkara itu ditimbulkan, apalah salahnya kalau IB turut memberi peluang kepada penyanyi lain yang tidak kurang hebatnya. Malah kalau nak dihitung, rasanya masih ramai bakat tempatan yang berwibawa untuk diketengahkan beraksi secara solo di pentas IB.
"Kami tidak pernah mengamalkan sikap pilih kasih. Masalah kami adalah, tidak ramai penyanyi yang mencuri peluang keemasan ini untuk menghantar kertas kerja, membuat permohonan untuk mengadakan konsert di sini. Macam Jamal sendiri, dia sudah pun menghantar kertas kerja sejak dua tahun lalu"

Mohamed Juhari Shaarani
Ketua Pengarah IB

Apakah IB sebenarnya begitu cerewet ataupun pilih kasih? Terpanggil untuk memperbetulkan tanggapan itu, Ketua Pengarahnya, Mohamed Juhari Shaarani atau lebih mesra dikalangan media dengan panggilan Abang Jo, berkata tiada berlaku sebarang pilih kasih dalam menentukan siapakah penyanyi yang layak untuk membuat persembahan di IB.

Cuma masalahnya, kata Juhari, tidak ramai penyanyi yang membuat permohonan dan menghantar kertas kerja serta beberapa faktor lain yang membuatkan mereka tidak mempunyai pilihan selain menampilkan orang yang sama dalam kalendar persembahan IB.

Hip: Boleh jelaskan bagaimana prosedur atau kaedah memilih penyanyi membuat persembahan di IB.

Juhari: Saban tahun memang IB ada memberi peluang kepada penyanyi mengadakan konsert solo di sini. Bagaimanapun, tidak semua penyanyi boleh membuat persembahan di IB. Peluang hanya diberikan kepada penyanyi yang benar-benar terbaik dan juga mempunyai pengikut tersendiri. Kalau dilihat dari sejarah penganjuran konsert artis solo di Panggung Sari, IB, boleh dikatakan semuanya mempunyai peminat atau pengikut yang ramai. Antaranya Datuk Sharifah Aini, Datuk Siti Nurhaliza, M Nasir, Jamal Abdillah, Amy Search, Ella. Mereka memang diakui memang mempunyai tarikan tersendiri serta persembahan yang menghiburkan. Selain itu, kita juga memastikan konsert mereka itu tersendiri, konsepnya lebih eksklusif dan tidak dapat ditonton dalam mana-mana persembahan di tempat lain. Sebaik saja kami menerima kertas cadangan mereka, di situlah nanti kami akan membuat penilaian sama ada konsert itu sesuai untuk diadakan di IB atau tidak. Selain itu, produksi yang membuat permohonan haruslah memastikan bahawa mereka mempunyai penaja sendiri dan tidak mengharapkan IB semata-mata untuk membiayai kos persembahan mereka.
Hip: Bagaimana dengan isu penyanyi yang sama menjayakan persembahan di IB. Sebagai contoh Jamal Abdillah.

Juhari: Mengenai Jamal, kita memang mempunyai beberapa sebab mengapa dia sering menjadi pilihan untuk membuat persembahan di IB. Pertama, setiap kali Jamal membuat persembahan di IB, dia pasti akan mengetengahkan konsep berbeza. Jika sebelum ini dia muncul dengan konsep persembahan mengenai perjalanan hidupnya sebagai anak seni, untuk persembahan akan datang, dia menyampaikan lagu yang pernah dipopularkan oleh mereka yang pernah bergelar legenda dalam bidang seni. Alasan seterusnya, Jamal juga sanggup menggunakan duit sendiri untuk membiayai konsertnya itu. Itu lebih memudahkan situasi berbanding ada sesetengah penyanyi yang lebih mengutamakan berapakah bayaran yang diterimanya jika diberi peluang membuat persembahan di IB. Selain itu, Jamal juga seorang yang tidak pernah berkira dan sentiasa mengingati asal usulnya. Untuk konsert ini, dia sanggup memberikan hak cipta kepada RTM untuk merakamkan konsert itu supaya boleh disiarkan untuk tontonan peminat yang tidak berpeluang menyaksikan konsert itu tanpa mengenakan sebarang bayaran. Sikapnya itulah yang membuatkan kami rasa dia memang layak untuk membuat persembahan di IB.

Hip: Tapi, tidakkah itu dilihat seperti satu perbuatan pilih kasih serta tidak adil buat artis lain?

Juhari: Kami tidak pernah mengamalkan sikap pilih kasih. Masalah kami adalah, tidak ramai penyanyi yang mencuri peluang keemasan ini untuk menghantar kertas kerja, membuat permohonan untuk mengadakan konsert di sini. Macam Jamal sendiri, dia sudah pun menghantar kertas kerja sejak dua tahun lalu. Biasanya pada setiap Ogos adalah tarikh tutup menghantar permohonan membuat persembahan untuk kalendar yang akan datang. Terus terang, kami memang ketandusan permohonan untuk membuat konsert solo daripada penyanyi kita. Jadi, saya harap selepas ini ada produksi yang mengambil peluang keemasan ini. Bagaimanapun, permohonan itu nanti haruslah mempunyai ciri-ciri seperti yang dikehendaki iaitu setiap persembahan artis itu mestilah ada elemen kelainan itu tidak boleh ditonton di tempat lain kecuali IB. Penyanyi itu mestilah yang terbaik, popular dan mempunyai pengikut sendiri serta mampu menyediakan bajet sendiri. Tugas IB hanya menyediakan lokasi dan teknikal serta artis tari. Selebihnya, biarlah produksi itu yang menguruskannya.

Hip: Pernah menolak mana-mana permohonan penyanyi yang ingin membuat persembahan di IB sebelum ini?

Juhari: Setakat ini, kami tak pernah menolak permohonan persembahan penyanyi solo. Cuma penyanyi sendiri kadang-kadang sering menolak tuah. Pernah IB menawarkan kepada beberapa penyanyi untuk membuat persembahan di IB. Malangnya, mereka meminta bayaran yang tak masuk akal. Ada yang meminta bayaran yang jumlahnya sama seperti IB membuat tiga konsert penyanyi solo yang berbeza. Jadi, kami tak dapat melayan permintaan seperti itu.

Hip: Belum dipentaskan, Natrah 2 sudah pun menimbulkan kontroversi apabila ada pihak yang masih tak puas hati apabila pengarahnya, Erma Fatima masih mempertahankan babak salib di bawa ke pentas IB. Apa pendirian IB sendiri berhubung isu ini?

Juhari: Saya tidak boleh mengulas lanjut perkara ini. Tapi apa yang saya boleh katakan, Natrah 2 ini memang ada kelainan dan sarat dengan kejutan. Jadi, jika mahu melihat kelainan dan kejutan itu, jangan lupa saksikan sendiri Natrah 2 yang akan mula ditayangkan di Pentas Sari, IB mulai 25 November ini.


Full Feed Generated by GetFullRSS.com, sponsored by USA Best Price.