Kosmo Online - Hiburan |
Posted: Tak popular tapi bahagiaPETANG yang penuh syahdu, diusik samar cahaya dari belakang banglo milik Asmawi Ani, 31, majlis kenduri doa selamat dan tahlil ringkas buat puteri tercinta, Cahaya Malaika berlangsung lancar. Puteri sulung milik pasangan Mawi dan isterinya, Nor'Asikin Rahmat atau Ekin itu kini sudah memasuki usia tiga bulan selepas selamat dilahirkan pada tanggal 28 Februari lalu. "Majlis ini diadakan untuk tujuan akikah Cahaya memandangkan majlis cukur jambul, berzanji dan marhaban dibuat terlebih dulu sempena perkahwinan adik saya di Kulai, Johor, sebelum ini," ujar Mawi ketika ditemui di kediamannya di Bangi Golf Resort, Bandar Baru Bangi, Selangor kelmarin. Ditanya mengenai signifikan tarikh yang dipilih untuk mengadakan kenduri berkenaan, ujar Mawi, tiada yang istimewa melainkan bagi tujuan memudahkan urusan memandangkan cuti hujung minggu. "Tiada yang istimewa pun tarikh untuk kenduri kesyukuran hari ini (Ahad), tapi sebab cuti hujung minggu, jadi tetamu pun senang datang sebab ada kelapangan. "Kebetulan pula keesokan hari iaitu (Isnin), umur Cahaya genap tiga bulan," tambah Mawi. Nama Cahaya Malaika dipilih sendiri oleh Mawi dan Ekin ketika dalam tempoh kehamilan yang membawa maksud Cahaya Permaisuriku. Ujar lelaki yang namanya meledak selepas menyertai program realiti Akademi Fantasia musim ke-3 (AF3) lebih lima tahun lalu itu, dia bahagia melihat perkembangan anak perempuannya membesar di depan mata dan teruja menantikan perubahan demi perubahan yang bakal dilalui Cahaya. "Sekarang kalau ada cerita kartun di kaca televisyen, Cahaya akan diam dan tengok saja, buat masa sekarang pembesarannya sama seperti bayi lain," luah Mawi berukir senyuman. Mawi bagaimanapun tidak menolak sekiranya Cahaya mengikut jejak langkah kedua ibu bapanya sebagai orang seni, namun perlu disusun dan diatur kehidupannya dengan berhemat. "Selagi baik untuk dia, kami sebagai ibu bapa sokong, tak kisah kalau dia suka untuk terlibat dalam bidang seni. "Kalau dia mahu jadi artis, jadilah artis yang baik, kami ikut saja apa yang dia suka," kata Mawi yang pernah berjauhan daripada Cahaya dalam tempoh empat hari ketika membuat persembahan di Kota Kinabalu, Sabah baru-baru ini. ANUGERAH terindah dalam hidup Mawi dan Ekin, Cahaya Malaika. Anak sulugnya itu disifatkan sebagai tidak banyak meragam. Tak popular Raut wajah pelantun lagu Aduh Saleha itu berubah kala ditanya mengenai populariti. Dahinya berkerut. Pernah suatu ketika juara AF3 itu meraih pelbagai anugerah dan dilimpahi rezeki tak putus-putus ketika namanya berada di puncak. Namun kini, dia lebih akur akan perjalanan seninya yang semakin perlahan dan barangkali sudah tidak selaris dahulu. "Saya masih menerima undangan untuk mengadakan persembahan, cuma tidak sebanyak selepas saya keluar daripada AF dulu. Sekurang-kurangnya empat atau lima kali dalam masa sebulan. "Walaupun kadar bayaran sekarang tidak seperti ketika saya popular dahulu, tapi saya masih boleh menyara kehidupan keluarga saya. Tuduhan bahawa saya sudah muflis sebelum ini tidak benar sama sekali dan Insya-Allah saya masih boleh hidup dalam bidang seni," tegasnya. Malah, Mawi sudah membuat persediaan awal untuk menjamin kelangsungan hidupnya sebagai seorang penyanyi dan selebriti yang senantiasa menjadi bahan perhatian. "Saya sudah bersedia dari awal-awal lagi, selain bidang nyanyian yang merupakan sumber periuk nasi, saya turut mencuba bidang penerbitan. Saya yakin bidang yang sedang saya usahakan ini berkekalan untuk jangka masa yang panjang," getusnya penuh yakin. Tambah Mawi lagi: "Selagi peminat mahukan saya menyanyi, saya akan terus menyanyi. Saya tidak akan berundur." Siapa Dapat Lisa Sementara itu, Mawi dijadualkan keluar bersama single terbaharu berjudul Termolek ciptaan Datuk M.Nasir dan lirik oleh Ad Samad tidak lama lagi. "Penggambaran klip video single itu akan dijalankan pada bulan Jun nanti bersama sebuah lagi single Siapa Dapat Lisa," singkap Mawi. Siapa Dapat Lisa juga akan diterbitkan sebagai sebuah telefilem sempena Hari Raya Aidilfitri pada 23 Ogos nanti dan akan memulakan penggambaran tidak lama lagi. Telefilem terbitan syarikat milik Mawi sendiri, MW Entertainment Sdn. Bhd. itu akan dibintangi oleh anggota kumpulan Sepahtu (Shuib dan Jepp), Didie Alias serta Yasmin Hani. Mawi juga dalam perancangan menerbitkan album kumpulan Sepahtu. Mawi dan Ekin melayan tetamu yang hadir pada majlis akikah anak sulungnya. Dalam perkembangan lain, Mawi yang bekerjasama dengan Art Effect bakal merakamkan sebuah album Asma Ul-Husna yang dipecahkan kepada 10 buah lagu. "Melodi nyanyian lagu kerohanian ini masih sama seperti yang kita dengar setiap hari cuma menariknya dipecahkan kepada beberapa track," katanya yang dijadual memulakan projek itu bersama Hafiz Hamidun pada bulan Ramadhan nanti. | ||
Puteri Sarah rancang buka hotel Posted: Puteri Sarah rancang buka hotelOleh RONI HIDAYAT RIDWAN
SEBELUM ini, nama pelakon Puteri Sarah Liyana Megat Kamaruddin, 27, sering menjadi tumpuan ramai gara-gara pelbagai kontroversi yang melanda dirinya, terutama yang membabitkan kisah bersama kekasihnya, Ammar Alfian. Mengambil iktibar daripada pengalaman lalu, Puteri Sarah membuat keputusan untuk mengambil sikap mengelakkan diri daripada sebarang publisiti agar tidak lagi dihimpit dengan sebarang kontroversi murahan. Ikuti temu bual bersama pelakon yang dikenali menerusi drama bersiri Asmaradana itu yang ditemui pada majlis pelancaran drama Indera Joned di Kuala Lumpur baru-baru ini. Kosmo!: Sudah lama kisah anda jarang dipaparkan media. Adakah anda sudah tidak aktif berlakon sekarang? PUTERI SARAH: Saya masih lagi bergiat dalam bidang seni sehingga ke hari ini. Cuma kisah mengenai diri saya sekarang semakin jarang dipaparkan media. Sehingga ada peminat yang menyangka saya sudah tidak lagi aktif berlakon. Saya mengambil keputusan untuk bersikap low profile bukan bertujuan hendak melarikan diri daripada mana-mana pihak, tetapi ini adalah langkah terbaik agar tidak timbul lagi sebarang cerita negatif mengenai diri saya. Selain berlakon, apa lagi aktiviti yang anda lakukan? Mungkin ramai yang tidak tahu sepanjang tempoh setahun ini, saya sibuk menyambung pelajaran di Kolej Olympia, Petaling Jaya, Selangor. Di kolej tersebut saya mengikuti kursus peringkat ijazah dalam bidang Pengurusan Perniagaan dan pengajian sudah tamat pada bulan April lalu. Ini merupakan ijazah yang kedua kerana pada awal Januari 2011, saya telah menamatkan pengajian di peringkat Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Pelancongan dan Hospitaliti Kolej Taylor, Kelana Jaya. Apa yang menyebabkan anda mengambil dua ijazah? Pada usia yang masih muda ini, seharusnya saya mengambil peluang untuk menimba sebanyak ilmu pengetahuan. Lagipun, dua ijazah yang saya ambil ini berlainan bidang dan dengan cara itu pelbagai pengetahuan dapat saya peroleh menerusi kedua-dua bidang tersebut. Adakah anda mempunyai sebarang perancangan selepas menamatkan pengajian? Sebenarnya saya mempunyai cita-cita untuk membuka sebuah hotel sekiranya tidak lagi berlakon. Jadi, saya mahu bekerja dalam bidang perhotelan untuk menimba pengalaman terlebih dulu. Kalau diikutkan, saya sudah merancang untuk berhijrah ke luar negara, sama ada ke Amerika Syarikat atau Australia selepas tamat belajar dan bekerja dengan mana-mana hotel dalam tempoh empat atau lima tahun. Mengikut perancangan awal, saya akan pergi sebaik sahaja tamat pelajaran, tetapi jadual lakonan yang padat membuatkan saya terpaksa menangguhkannya. Mungkin saya akan pergi pada tahun hadapan. Kenapa anda mahu bekerja di hotel luar negara, sedangkan di Malaysia sudah banyak hotel yang bertaraf lima bintang? Sudah tentu cara kerja di Malaysia dan negara lain mempunyai banyak perbezaan. Maka, dengan segala pengalaman yang saya peroleh di luar negara nanti akan dapat membantu saya untuk membuka hotel sendiri di negara ini pada masa akan datang. Memang saya berkeinginan besar untuk merasai suasana kehidupan di negara lain. Lagipun, semua adik-beradik saya telah berpeluang menyambung pelajaran di luar negara, kecuali saya sahaja yang belum lagi ada peluang. Bagaimana pula hubungan anda dengan Ammar? Buat masa ini dia masih lagi kekasih saya, dan kini sudah empat tahun kami bercinta. Namun, kami berdua belum terfikir mengenai perancangan untuk mendirikan rumah tangga kerana saya mahu memberikan tumpuan terhadap apa yang saya rancang sekarang ini. | ||
Posted: Preity Zinta cari klon
AKTRES Preity Zinta kini dilaporkan dalam misi pencarian klon seperti dirinya yang mempunyai lesung pipit pada pipi kanan. Pencarian tersebut dibuat Zinta untuk memenuhi tuntutan karakter dirinya sewaktu kecil bagi filem perdana miliknya yang berjudul Ishqk In Paris. "Agensi saya sedang mencari kanak-kanak usia empat hingga tujuh tahun yang mempunyai lesung pipit pada pipi kanan untuk memainkan watak saya sewaktu kecil. "Hakikatnya, sangat sukar untuk menemui kanak-kanak yang boleh dijadikan klon saya kerana tidak ramai yang mempunyai lesung pipit pada pipi kanan seperti saya," tulis Zinta dalam Twitter peribadinya. Oleh kerana sukar mencari klon dirinya itu, Zinta turut meminta bantuan daripada para pengikutnya di Twitter. Dia menulis: "Jika sesiapa ada mengetahui tentang kanak-kanak dengan lesung pipit pada pipi kanan dan boleh berlakon untuk menjadi saya sewaktu zaman kecil, tolong hantarkan gambar mereka ke alamat ishakqinparis.casting@gmail. com. Terima kasih." |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Hiburan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |