Hip
SELAMA ini dirinya dipuja jutaan peminat, terutama gadis remaja, sebagai penyanyi berwajah keanak-anakan yang terkenal dengan imej bersih.
Daripada gaya rambut hinggalah penampilan, Justin Bieber menjadi ikutan ramai di seluruh dunia. Tidak syak, dia antara artis muda paling berpengaruh sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Namun kelmarin, cerita yang dicetuskan penyanyi berusia 18 tahun ini agak berlainan. Artis yang baru saja muncul bersama single popular berjudul Boyfriend itu mencipta kontroversi apabila dia didakwa menyerang seorang jurugambar! Menurut laporan media, penyanyi berasal dari Kanada itu keluar bersama teman wanitanya, Selena Gomez, ke sebuah pusat beli-belah, The Commons di Calabasas, California, apabila insiden berkenaan berlaku.
Jurugambar terbabit dikatakan cuba merakam foto dua selebriti ini apabila Justin mula naik berang dan cuba menghentikan perbuatan lelaki itu.
Kemudian, pergaduhan berlaku antara jurugambar dan penyanyi terkenal berkenaan.
Menurut laporan, paparazzi terbabit kemudian menghubungi 911.
Lelaki itu mendakwa, akibat insiden itu, dadanya berasa sakit dan dia dibawa ke hospital. Bagaimanapun, apabila pihak polis tiba di tempat kejadian, bintang pop yang bakal muncul bersama album baru bulan depan sudah pun meninggalkan lokasi itu, bersama-sama kekasihnya.
Kini, pihak berkuasa dilaporkan cuba mendapatkan keterangan daripada Justin sendiri untuk mengetahui
kejadian sebenar.
Difahamkan, Justin semakin berang apabila jurugambar terbabit tidak henti-henti merakamkan gambarnya. Ada juga laporan mengatakan, kereta Justin dihalang, menyebabkan remaja popular itu semakin hilang sabar.
"Jurugambar berkenaan membuat laporan polis dengan menamakan Justin sebagai orang yang bertanggungjawab ke atas kejadian itu. Polis kini menyiasat kes terbabit sebagai tindakan serangan," lapor laman gosip TMZ.
Selena pula dikatakan cuba meredakan ketegangan, apabila dia dilihat membisikkan sesuatu ke telinga Justin dalam usaha menenangkan dirinya. Dia juga membantu penyanyi terbabit memungut kembali topi, begitu juga sebelah kasutnya yang tertanggal akibat insiden berkenaan.
Selena yang memakai gaun monokrom dilihat bertindak sebagai pakar emosi yang berjaya menenangkan Justin, sambil mengusap lembut tangan kekasihnya.
Dia juga dilihat bercakap dengan penyanyi itu dalam nada yang lembut. Mungkin dia cuba memberi kata nasihat supaya remaja terbabit tidak terus bertindak di luar kawalan.
Sementara itu, Justin yang pada mulanya seperti harimau kelaparan mula reda dan kembali menyarungkan kasut.
Dia juga kemudian dilihat memandang kekasihnya dengan wajah sesal kerana bertindak melulu, sambil memegang serta menundukkan kepalanya. Dia dikatakan menyesal dengan tingkah lakunya yang mengejutkan itu.