Harian Metro: Rap |
Antara ‘glam rock’, soal peribadi Posted: 28 May 2012 06:55 AM PDT SEJAK awal langkah dan gayanya diperhatikan, Adam Mitchel Lambert sudah diangkat antara ikon pelik dan punya identiti sendiri. Baik dari perspektif gaya pemakaian mahupun perjuangan muziknya, Lambert sudah meletakkan namanya di gelanggang tersendiri. Meskipun gagal meletakkan bakat dan namanya terpahat selaku juara program realiti yang memperkenalkannya di dunia seni, American Idol musim kelapan dulu, namun berada di tangga kedua selepas juaranya, Kris Allen sudah cukup untuk memimpin anak muda berusia 30 tahun ini mengejar impiannya menjadi seorang penghibur. Katanya, dalam temu bual mengulas isu kekalahannya walaupun ramai mengandaikan kemenangan sepatutnya di pihaknya sebelum ini, Lambert optimis dan positif menyifatkan semua itu sudah ditentukan tanpa perlu dipersoalkan. Kini merentasi hampir empat tahun berdiri sebagai anak seni, menerima pelbagai pengiktirafan menerusi kejayaan album sulungnya, For Your Entertainment pada 2009 anak muda kelahiran Indiapolis, Amerika Syarikat ini teguh dengan pendirian dan tidak sesekali goyah dengan apa juga halangan mendatang.
televisyen, baru-baru ini. "Apa saja yang diperkatakan orang atau paparan media, saya tidak pernah ambil pusing kerana semua itu saya anggap sebagai pembakar semangat. Jika terlalu sensitif atau mudah terusik, memang perjalanan saya tidak lama dalam lapangan ini kerana itulah hakikat menjadi selebriti," katanya. Tambah Lambert yang menyifatkan American Idol adalah ruang terbaik sepanjang hidupnya, apa yang penting adalah dirinya dan bukannya orang lain yang hanya pandai membuat andaian. "Imej dan gaya saya memang menjadi perhatian sejak dalam American Idol lagi. "Justeru, soal kritikan atau pandangan orang pada diri, tidak pernah saya jadikan alasan untuk berasa putus asa, apatah lagi mengundurkan diri kerana pasrah. Itu bukannya prinsip diri saya," katanya. Menjawab persoalan mengenai tindakannya membuat pengakuan mengenai orientasi personalitinya kepada umum yang sememangnya mengundang spekulasi dan kontroversi, penyanyi yang sebelum ini popular dengan lagu Whataya Want From Me tegar dengan pendiriannya yang ingin memperjuangkan muzik dan karya, bukannya personaliti atau soal peribadi. "Jika seseorang peminat itu bijak dan menghargai apa yang saya berikan, mereka tidak mudah menjatuhkan hukuman atau menabur persepsi kerana soal orientasi seksualiti itu adalah peribadi dan tidak perlu dijadikan kayu ukur untuk menilai seseorang. Pengakuan itu saya lakukan kerana ingin bersikap terbuka, jujur, telus dengan teka-teki banyak pihak. "Saya rasa ia jalan terbaik kerana terus hidup dalam kepura-puraan bukanlah diri saya. Namun, saya tidak langsung berasa tergugat dengan penerimaan masyarakat kerana impian untuk menghiburkan peminat dan mereka yang menghargai bakat. Saya tidak pernah terfikir untuk menjadi ikon atau idola kepada sesiapa seperti didakwa banyak pihak kononnya saya memberi impak negatif kepada peminat. "Bagaimanapun, setakat ini, saya gembira dan bersyukur kerana peminat dapat menerima saya dengan baik," katanya. Lambert sendiri pernah mengulas yang dia sendiri tidak selesa apabila banyak pihak bagai mengambil kesempatan dan mengeksploitasi status personalitinya itu. "Saya hanya ingin menjadi penyanyi dan menghiburkan peminat. Itu saja. Sejak awal beratur mengikuti uji bakat dulu, saya memang mengimpikan peluang menjadi penyanyi. "Lagipun saya bukannya pengamal politik, pendidik mahupun pengasuh kanak-kanak untuk dijadikan subjek hentaman sesetengah pihak. Saya hanya ingin menyanyi dan terus menyanyi serta menghasilkan album," katanya yang mengharapkan peminat atau mana-mana pihak bersikap profesional dan tidak lagi mencampuradukkan soal peribadi dan kerjayanya. Trespassing selit karya ciptaan Bruno Mars, Pharrell Williams SELEPAS kejayaan album sulungnya dengan pelbagai pengiktirafan, penyanyi yang terkenal dengan imej 'glam rock' dengan suntikan konsep 'gothic' ini akhirnya kembali menggegarkan dunia muzik antarabangsa dengan album keduanya, Trespassing. Album yang sudahpun berada di pasaran sejak pertengahan Mei lalu itu mengandungi 12 lagu yang menjanjikan kelainan dan penuh eksperimen. Katanya yang juga penulis lirik dan penerbit bersama untuk proses rakaman album keduanya ini, Trespassing adalah album yang menceritakan pelbagai situasi namun digarap dalam bentuk muzik yang amat diminatinya, rock dan glam progresif. "Trespassing adalah album kedua yang masih mengangkat genre muzik sama. Namun, kali ini penuh dengan eksperimen yang dilakukan terutama pada aspek susunan muzik dan proses rakamannya. Saya percaya peminat yang selama ini menyokong muzik saya akan dapat menikmati satu pembaharuan dan kelainan cuba ditampilkan dalam album ini. "Malah kali ini, ramai penerbit hebat yang turut bekerjasama dengan saya seperti Pharrell Williams, Dr Luke, Claude Kelly, Benny Blanco, Josh Abraham, Oligee, Bruno Mars dan ramai lagi bagi memberikan bunyi berbeza dan jauh lebih segar," katanya. Trespassing memperkenalkan lagu Better Than I Know Myself sebagai single pertamanya yang kini sudahpun berada di tangga teratas carta stesen radio selain muzik videonya yang mendapat sambutan baik di laman sesawang YouTube. Kini, percaturan Lambert lebih sengit apabila bersedia untuk memperkenalkan pula lagu keduanya yang ditulis penyanyi popular, Bruno Mars berjudul Never Close Our Eyes. Tambahnya lagi, album keduanya ini akan mengundang kepuasan berbeza kepada pendengar kerana konsepnya yang ada sisi gelap dan cerah dalam mencerminkan identiti dirinya. "Bagai dibahagikan kepada dua bahagian, album ini disuntik emosi dan ekspresi berbeza. Lihat saja muzik video Better Than I Know Myself dan dengar liriknya yang lebih menceritakan ekspresi gelap, memberontak dan menterjemah perasaan sengsara namun masih memberikan jiwa penuh warna. Lain pula lagu kedua, Never Close Our Eyes yang banyak pembaharuan dari sudut susunan muziknya. "Saya yakin peminat akan merasakan kepuasan berbeza seperti saya sendiri yang begitu seronok sepanjang proses rakaman ini," katanya lagi. Trespassing yang diedarkan syarikat pengurusan dan rakaman Lambert di Malaysia, Sony Music Malaysia sudahpun berada di pasaran. |
Posted: 28 May 2012 06:46 AM PDT SELESAI menunaikan solat Maghrib, majlis tahlil bagi mengingati pemergian Allahyarham Datuk Sudirman Haji Arshad serta penggiat seni tanah air lain berjalan lancar seperti yang dirancangkan di Masjid As-Syakirin, KLCC, Jumaat lalu. Dianjurkan Astro Oasis (Saluran 106), ia juga diadakan sempena tarikh ulang tahun kelahiran penghibur legenda berasal dari Temerloh, Pahang yang mencipta pelbagai kejayaan sepanjang kariernya dulu.
Majlis diketuai Imam Masjid As-Syakirin ini turut disertai Pengurus Saluran Astro Oasis, Izelan Basar; Mudir Imam Muda 3, Datuk Hassan Mahmud Al-Hafiz serta barisan peserta Imam Muda 3. Turut hadir, Pengurus Program Sinar FM, Rostam Said serta muslimin dan muslimat lain yang juga bersama-sama mengimarahkan program bermakna ini. Difahamkan, anak saudara kesayangan Allahyarham Datuk Sudirman, Razman Azrai atau Atai juga hadir sama.
Majlis tahlil itu yang disusuli bacaan Yassin berakhir sebelum solat Isyak.
Tidak berhenti di situ saja, kemuncak program berlangsung sehingga jam tiga pagi dengan sesi qiamullail dan solat Tahajud dipimpin Imam Muda Aran dan Imam Muda Hassan dan berakhir selepas solat Subuh. Izelan yang ditemui berkata, dia gembira dengan sikap prihatin sebahagian masyarakat yang hadir bersama-sama memberi sokongan pada majlis sebegini. "Biarpun menjurus kepada mengingati Allahyarham Sudirman, majlis ini sebenarnya turut dibuat untuk semua anak seni yang sudah pergi meninggalkan kita. "Memang kami sudah lama merancang untuk buat. Insya-Allah selepas ini akan dijadikan sebagai acara tahunan. Kami pernah anjurkan program kerohanian seperti qiamullail dan sambutannya sangat menggalakkan. "Saya lihat memang sepatutnya kita selalu buat program sebegini sebagai satu cara untuk menguatkan fizikal dalaman. Artis juga boleh mengambil peluang ini dengan menjadikan masjid sebagai tempat beribadah bagi mencari keredaan Allah SWT," katanya. Sementara itu, Rostam pula berkata, Sinar FM sememangnya dilantik menjadi stesen rasmi untuk filem Hoore! Hoore! dan sepanjang Mei ini, mereka menjadikan Allahyarham Sudirman sebagai 'Artis Bulan Ini' di Sinar. "Setiap tiga jam, kami akan putarkan lagu Sudirman. Memandangkan hari ini (Jumaat 25 Mei) adalah hari kelahiran beliau, kami tukarkan Sinar FM menjadi Sudirman FM selama 24 jam. "Manakala slot Sinar Pagi ditukar kepada Hoore! Hoore! Pagi. Semua pengisian ini mendapat respons positif daripada peminat. Kuiz mengenai Sudirman turut mendapat sambutan menggalakkan. "Kempen ini mungkin akan dilanjutkan sehingga konsert 'tribute' iaitu Konsert Kenangan Sudirman berlangsung pada 3 Jun ini di Stadium Bola Sepak Cheras," katanya. |
You are subscribed to email updates from Harian Metro: Rap To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |