Adsense

Rabu, 10 Ogos 2011

Utusan Online - Hiburan

Utusan Online - Hiburan


Fizz rimas dengan gosip

Posted:

Fizz rimas dengan gosip

Fizz rimas dengan gosip


Fizz Fairuz tidak menyimpan perasaan dendam pada mana-mana pelakon.


FIZZ Fairuz yang terkenal dengan watak Aidil dalam drama bersiri Nur Kasih tidak kisah apabila namanya kurang menjadi bualan ramai seperti mana adiknya, Adam, lakonan Remy Ishak.

Katanya, setiap orang ada rezeki masing-masing dan sudah menjadi lumrah, benda baru akan menjadi sanjungan dan yang lama akan dilupakan.

Menurut Fizz, setiap orang yang menceburi bidang seni perlu bersedia menghadapi putaran roda kerana ada ketikanya berada di atas dan ada masanya di bawah.

"Mungkin disebabkan saya sudah lama dalam bidang ini, jadi orang tidak beri perhatian. Biasalah setiap kali ada orang baru dan kebetulan drama itu mendapat sambutan dan Remy pelakon utama, sudah tentu namanya diperkatakan.

"Pada saya, biarlah orang nak kata saya popular atau tidak kerana setiap kali berlakon saya sentiasa memberikan yang terbaik tanpa mengira dengan siapa saya digandingkan," katanya jujur.

Fizz yang ditemui pada majlis memperkenalkan Koleksi Rantaian Kasih 2011 Habib Jewels di Kuala Lumpur, baru-baru ini berkata, dia tidak pernah ada perasaan dengki terhadap Remy atau sesiapa yang pernah berlakon dengannya.

Fizz yang turut berlakon sebagai Taufik dalam drama bersiri Stanza Cinta yang disiarkan pukul 9 malam setiap Ahad di TV3 berkata, dia tahu sejauh mana kemampuannya dalam bidang seni.

"Sebagai pelakon, saya sentiasa bersedia menerima kenyataan ada ketikanya nama di atas dan bila sampai waktu, nama di bawah. Itu semua adalah lumrah.

"Alhamdulillah, setakat ini saya sentiasa mendapat tawaran berlakon," katanya terus terang.

Sementara itu, Fizz turut terpilih bersama Aznil Nawawi, Dynas Mokhtar, Irma Hasmie, Scha Al-Yahya, Julia Ziegler dan Ifa Raziah turut menggayakan koleksi terbaru barang kemas Habib Jewels untuk promosi Koleksi Rantaian Kasih 2011 sempena Ramadan ini.

Lebih 1,000 jenis barangan kemas rekaan baru berkonsepkan tradisional dan kontemporari dikeluarkan khas buat semua golongan, termasuklah kanak-kanak.

Selain mengeluarkan koleksi baru, Habib turut menawarkan perkhidmatan penilaian zakat, membersihkan dan membuat penilaian barangan kemas.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by Used Car Search.

Vokal terbaik pilihan Siti

Posted:

Vokal terbaik pilihan Siti

Vokal terbaik pilihan Siti

Oleh SHAZRYN MOHD. FAIZAL
shazryn.faizal@utusan.com.my
Gambar MOHD. AZIM ABD. RAHMAN


GANDINGAN mantap Siti Nurhaliza (kiri), Azlan & The Typewriter dan Dayang Nurfaizah sewaktu menyampaikan lagu Jeritan Batinku dan Merisik Khabar mendapat tepukan gemuruh penonton.


JIKA disingkap kembali program hiburan Syawal tahun lalu, nama biduanita muda ini sememangnya berada di takhta teratas.

Mana tidaknya. Hampir semua saluran televisyen di negara ini telah menayangkan program yang melibatkan dirinya sehingga menimbulkan rasa kurang selesa kepada segelintir pihak.

Barangkali untuk peminat setia Datuk Siti Nurhaliza, ia tidak menjadi hal kerana pada hari yang istimewa ini sahajalah peluang mereka menonton persembahan artis kesayangan mereka itu.

Bagi stesen televisyen pula, pemilihan Siti Nurhaliza atau lebih mesra disapa Siti itu dalam setiap program hiburan mereka tidak lain hanyalah untuk mengejar rating sekali gus menempatkan diri dalam kedudukan tertinggi.

Akibatnya, kredibiliti Siti mula dipersoal sehingga ada yang berkata penyanyi jelita itu tidak lagi menjaga eksklusifnya sebagai penyanyi tersohor negara.

Malah, dengan kekerapan wajahnya di televisyen sepanjang Syawal lalu juga telah membuatkan segelintir pihak tadi melahirkan rasa tidak puas hati mereka.

Kata mereka, industri hiburan tempatan seolah-olah ketandusan penyanyi wanita yang mampu diketengahkan sehingga Siti sahaja yang diberi peluang.

Tetapi mengenali Siti, sepanjang 16 tahun menjadi anak seni, apa sahaja kata orang yang dilemparkan kepadanya bukanlah satu kudis baginya.

Berbeza tahun lalu, nampaknya Syawal kali ini menyaksikan juara Bintang HMI 1995 itu akan mengurangkan kemunculannya di televisyen.

Setakat ini, Siti sudah pun menyelesaikan rakaman program Datuk Siti Nurhaliza bersama IK3 untuk TV9 dan Gegar Raya Kampung Pening Lalat terbitan Radio Televisyen Malaysia (RTM) untuk siaran TV1, baru-baru ini.

"Apabila memperkatakan tentang program Raya, saya hanya memenuhi permintaan stesen televisyen. Seandainya tidak bertembung dengan jadual saya, insya-Allah, saya akan melakukannya.

"Selepas TV9 dan RTM, saya akan terlibat dengan sebuah lagi program raya terbitan Global Station untuk siaran Astro yang menampilkan saya, Ramlah Ram dan Ella.

"Saya tidak pasti sama ada dapat memenuhi permintaan TV3 kerana berkemungkinan besar tarikh yang diberikan mereka itu saya berada di Mekah mengerjakan umrah bersama suami," jelas Siti yang ditemui usai rakaman program tersebut yang berlangsung di Auditorium Perdana, Angkasapuri, Kuala Lumpur.

Idea

Biarpun jam sudah melewati pukul 12.30 tengah malam, namun Siti tetap sudi meluangkan masanya untuk ditemu ramah dan menjawab setiap persoalan yang diajukan kepadanya.

Mengulas lanjut tentang program Gegar Raya Kampung Pening Lalat, Siti memberitahu ia merupakan idea daripada pihaknya yang mahu memberikan kelainan dari segi kandungannya.

Tidak hanya menampilkan sajian hiburan seperti lazimnya, Gegar Raya Kampung Pening Lalat turut menampilkan sketsa di samping acara permainan dengan melibatkan audiens di auditorium.

Lebih menarik lagi apabila setiap permainan menawarkan hadiah yang tidak kurang hebatnya bagi pemenang dan peserta yang menyertainya.

"Begitu juga dengan pemilihan artis di mana ia merupakan hasil perbincangan pihak kami dan RTM yang kami lihat mampu memberikan impak tersendiri untuk program ini," jelas pemilik vokal lagu Siti Situ Sana Sini dan Ya Maulai ini lagi.

Selain Siti, Gegar Raya Kampung Pening Lalat turut menampilkan pelawak popular, Saiful Azam atau lebih dikenali sebagai Saiful Apek, kumpulan Sepah serta penampilan istimewa Azlan & The Typewriter dan Dayang Nurfaizah.

Kata Siti lagi, sehubungan dengan sambutan ulang tahun kemerdekaan negara ke-54 yang jatuh pada Hari Raya Kedua tahun ini, senarai lagu yang dipilih turut menyelitkan lagu kemerdekaan seperti Bahtera Merdeka dan 31 Ogos.

"Memandangkan saya juga kini salah seorang askar wataniah, saya selitkan juga elemen-elemen itu dalam program ini bagi menyemarakkan lagi sambutan kemerdekaan itu," kata Siti yang membuat gimik dengan memakai seragam askar dengan diiringi lapan orang askar di awal kemunculannya dalam program itu.

Menghiburkan

Menghadiri rakaman program tersebut sememangnya telah membangkitkan bahang sambutan Aidilfitri walaupun pada ketika itu, Ramadan hanya akan menjengah dua hari lagi.

Dengan rekaan set dan permainan warna yang melatari pentas di auditorium itu, Gegar Raya Kampung Pening Lalat berjaya dihidupkan dalam acuannya sendiri.

Ditambah dengan kehadiran sebilangan audiens yang memakai baju berwarna-warni seolah-olah membuatkan hadirin berada di Kampung Pening Lalat yang sebenar.

Seperti kebiasaannya apabila Siti membuat rakaman di RTM, kehadiran penonton pastinya melimpah-ruah sehingga mereka sanggup duduk di tangga biarpun sedar rakaman mengambil masa berjam-jam lamanya.

Gandingan Saiful Apek dan Sepah ternyata berjaya menambat hati audiens dengan keletah serta gelagat mereka di atas pentas.

Lawak bersahaja dan spontan mereka sudah cukup membuatkan penonton tidak kering gusi sepanjang rakaman berlangsung.

Ternyata sengat Saiful Apek sebagai pelawak kegemaran ramai masih lagi berbisa walaupun bergandingan dengan kumpulan Sepah yang kini sedang dipuja peminat.

Bukan hanya melawak, kedua-dua pelawak itu juga menunjukkan bakat nyanyian mereka apabila menyampaikan lagu-lagu raya malar segar.

Antaranya termasuklah Kepulangan Yang Dinanti nyanyian Saiful Apek, Raya (Sepah) dan rangkaian medley iaitu Pulang Di Hari Raya, Selamat Berhari Raya dan Selamat Hari Raya yang dinyanyikan bersama.

Mantap

Kemunculan Azlan & The Typewriter menyampaikan lagu Cahaya Di Aidilfitri juga tidak kurang hebatnya dan mendapat tepukan gemuruh audiens.

Begitu juga dengan persembahan Dayang Nurfaizah yang menyampaikan lagu Setahun Sekali nyanyian asal Amy Mastura dan lagu terbarunya, Saat Itu.

Sudah pasti kemunculan Siti memang dinanti-nantikan para peminatnya yang tidak lelah menunggu persembahannya dari awal.

Lagu-lagu seperti Balik Kampung, Bahtera Merdeka, Nazam Lebaran dan lagu terbarunya, Falling In Love menjadi pilihan Siti dalam program terbitan Unit Hiburan TV RTM yang diterajui oleh Norkhuzaimah Abdul Aziz itu.

Auditorium Perdana terus digegarkan dengan persembahan istimewa Siti, Dayang dan Azlan & The Typewriter yang bergandingan menyampaikan dua lagu klasik, Jeritan Batinku (Allahyarham Tan Sri P. Ramlee) dan Merisik Khabar (Allahyarham Datuk Sudirman Haji Arshad).

Tidak syak lagi, gandingan mantap dan jitu daripada tiga penyanyi itu merupakan kemuncak rakaman program tersebut.

Melihatkan kepada sambutan dan tepukan gemuruh audiens, memang sudah tiba masanya untuk ketiga-tiga penyanyi yang memiliki bakat istimewa ini disatukan di pentas yang lebih besar.

Jika Konsert Satu Suara yang menggandingkan Siti, Faizal Tahir dan Aizat di Istana Budaya tahun lalu sukses, tidak mustahil gandingan terbaru ini mampu mencipta kejayaan serupa.

Sambil ketawa kecil saat diajukan cadangan itu, Siti tidak menolak untuk menampilkan Dayang dan Azlan & The Typewriter dalam satu konsert seandainya diberi peluang kelak.

"Saya memang mengagumi bakat kedua-duanya dan lagu yang dipilih ini adalah mengikut kepada kesesuaian vokal kami. Sudah pasti mereka yang memiliki kualiti vokal terbaik akan menjadi pilihan saya," ujar Siti tersenyum.

Rakaman program Gegar Raya Kampung Pening Lalat diakhiri dengan lagu-lagu seperti 31 Ogos, Selamat Hari Raya dan Sesuci Lebaran.

Pastikan anda tidak ketinggalan menonton program istimewa ini yang akan ditayangkan pada 2 September ini pukul 9 malam di TV1.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by Used Car Search.