Adsense

Rabu, 10 Ogos 2011

Berita Harian: Hip

Berita Harian: Hip


Jiwa patriotik

Posted: 09 Aug 2011 06:45 PM PDT

Hip

MENGIBARKAN bendera, menyertai larian serta menyanyikan lagu-lagu bertemakan patriotik antara aktiviti yang diisi oleh pemilik nama Siti Adira Suhaimi atau Adira sepanjang bulan kemerdekaan muncul sejak usia remaja lagi.

Gadis kecil molek kelahiran rancangan realiti televisyen ini ketika ditemui pada Majlis Perasmian Kempen Negaraku: The Best of 1Malaysia, berkata sudah menjadi tradisi bagi keluarganya di Kundasang, Sabah untuk mengibarkan lebih daripada 50 bendera kecil di sekeliling rumah.

"Sejak dari kecil lagi, saya dan ibu sering menggantungkan bendera kecil di sekeliling rumah. Tidak cukup bendera kecil, kami juga akan meletakkan beberapa bendera besar di hadapan rumah bersama bendera negeri Sabah. "Kiranya sesiapa yang mahu mencari rumah saya di Kundasang pada bulan Kemerdekaan ia adalah perkara yang mudah kerana rumah kami paling banyak menggantungkan bendera," katanya yang memberitahu semangat menyambut kemerdekaan sudah disematkan di jiwa dia dan adik beradiknya yang lain oleh ibu tersayang sejak kecil.

Gadis yang dilahirkan pada 19 September 1991 ini, turut memberitahu kenangan ketika menyertai acara larian yang dianjurkan sekolahnya sentiasa menjadi kenangan paling mengusik jiwa sebagai pelajar satu ketika dulu.

"Bukan saja menyertai larian, saya juga menyertai pertandingan koir, puisi dan sajak bertemakan kemerdekaan di sekolah.

"Pengalaman itu tidak sesekali saya lupakan malah sehingga kini jika ada masa lapang, saya akan pastikan dapat menyertai acara larian kemerdekaan yang diadakan kerana ia sungguh menyeronokkan," kata anak kelahiran Ranau ini bersemangat dan terkenal aktif menyanyi dan menyertai kumpulan nasyid ketika sekolah lagi.
Malah, Adira sebelum ini pernah menyertai beberapa pertandingan nyanyian di Sabah dan pernah menjadi juara dalam Pertandingan Karnival Budaya 2008.

Walaupun masih belum menginjak usia dewasa, gadis petah berkata-kata ini mempunyai semangat patriotisme yang tinggi walaupun perwatakan peribadinya dilihat lebih kepada sifat kebudak-budakan.

Katanya, sebagai rakyat Malaysia, dia sungguh teruja apabila pada tahun ini sebagai Muslim, dua peristiwa besar hadir dalam hidupnya.

"Ini adalah penghormatan besar buat saya apabila kali pertama bakal menyambut kedatangan Syawal dan Hari Kemerdekaan secara serentak.

"Namun sebagai artis, kehadiran dua hari besar ini memberi makna kepada saya.
Kalau ada kelapangan, saya juga seperti orang lain mahu bersama-sama meraikan hari kemerdekaan ini dengan menyertai acara sambutan yang diadakan," kata gadis Kadazan Dusun ini.

Berkisar kepada kisah sambutan raya pula, anak kepada Suhaimi Rajiman serta Rujinah Suringin, ini berkata sempena Syawal yang dinanti penuh debaran ini, dia bercuti selama seminggu untuk pulang ke kampung halamannya di Sabah.

"Ini kali kedua beraya sebagai artis dan tahun ini saya bersyukur kerana dalam kesibukan bekerja, saya masih berpeluang kembali ke kampung halaman di Kundasang walaupun pada 30 Ogos ini mungkin jatuh pada hari raya.

"Saya tidak sabar mahu berjumpa ahli keluarga dan rakan di sana," katanya tersenyum mungkin membayangkan saat-saat indah beraya di kampung halaman.

Menanti kemunculan Sakura

Pernah terpilih antara selebriti EH! 20 YANG ANGGUN 2010, Adira yang mempunyai hobi mendengar radio dan suka berangan ini, berkata bergelar penyanyi membuatkan sedikit sebanyak kehidupan dan sambutan raya berbeza daripada sambutan sebelum ini.

"Tentunya berbeza sambutan raya saya setelah bergelar artis. Jika dulu berada dengan keluarga di kampung dan membantu ibu memasak juadah berbuka di kampung, semuanya itu tidak dapat lagi saya rasakan kini kerana kesuntukan masa memenuhi jadual sebagai artis

"Di sini, jika tidak berbuka dengan kakak, saya hanya berbuka seorang dan hanya membelikan hidangan siap sahaja," katanya sambil memberitahu hidangan bubur ayam, bubur kacang serta mi sup adalah air tangan ibu yang tidak dapat dilupakan sempena Ramadan ini.

Bercerita berkenaan negeri tanah tumpah darahnya itu yang terkenal sebagai kawasan bukit bukau dan pergunungan, Adira berkata, selalunya dia terpaksa meredah sehingga dua jam setengah untuk sampai di rumah keluarganya itu.
"Jika jalan berkabus masa yang diambil agak panjang kerana pemandu perlu berhati-hati. Maklumlah kawasan di sana berbukit.

"Disebabkan itu juga saya jarang ke bazar Ramadan di sana dan lebih selesa makan apa yang ibu masak. Jika mahu ke bazar saya perlu menaiki bas bagi memudahkan perjalanan," katanya yang memberitahu akan menyarungkan pakaian raya berwarna biru mengikut tema keluarganya pada tahun ini.

Istimewanya, gadis ini memberitahu, dia amat menyukai kuih batang buruk yang dihidangkan ibunya pada setiap lebaran untuk anak-anak dan saudara-mara yang datang bertandang.

"Saya tidak akan lupakan kuih batang buruk yang dibuat ibu kerana ia lain daripada yang biasa dijual di sini. Ibu tidak menggunakan serbuk yang menjadi ramuan untuk membuat batang buruk sebaliknya menggunakan serbuk Nestum. Rasanya berbeza, sedap dan unik, " katanya yang turut menggemari minuman teh ais.

Dia yang turut meminati Fasha Sandha serta Scha Alyahya sebagai ikon dalam industri seni, berkata ini adalah tahun kedua baginya sebagai artis untuk mengadakan rumah terbuka buat peminat dan keluarga.

"Mungkin saya akan mengadakan rumah terbuka pada 6 atau 16 September. Seronoknya mengadakan rumah terbuka apabila dapat berkumpul bersama-sama keluarga dan peminat," katanya yang sangat teruja pada warna seperti putih, biru dan hitam.

Beralih kisah perkembangan diri, Adira yang cintakan muzik Pop Punk, memberitahu dia baru selesai menjalani program raya bertajuk Akustik Ria di Danau Kota, baru-baru ini bersama Hazama dan beberapa rakan artis lain.
Dia juga akan melahirkan single ketiga pada September ini yang ditangani komposer terhebat, Audi Mok.

"Judul single ini adalah Sakura dan jika dengar tajuknya juga kita sudah mampu mengagak yang ia mengarah kepada muzik Jepun dan dalam genre balada.


Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by Used Car Search.

Ikut lunas syariat

Posted: 09 Aug 2011 06:29 PM PDT

Hip

Izelan diapit (dari kiri) Zawiah, Dr Muhaya, Dr Robiah dan Siti Rohani.

Izelan diapit (dari kiri) Zawiah, Dr Muhaya, Dr Robiah dan Siti Rohani.

Ustazah Pilihan mungkin tampilkan wajah peserta saja

PELBAGAI persoalan bermain dalam fikiran tatkala pihak Astro mengumumkan mereka bakal muncul dengan sebuah program yang akan mencari ikon dalam kalangan Muslimah, iaitu Ustazah Pilihan. Sebagai program berkonsepkan keagamaan dan menampilkan wanita sebagai subjek utama, pastinya hasrat murni itu tidak akan dapat dilaksanakan dengan mudah.

Bukan bersikap skeptikal terhadap usaha murni saluran berbayar itu untuk mencari pendakwah dalam kalangan wanita yang dikatakan ketandusan, tetapi tertanya-tanya juga, apakah pihak produksi mampu melaksanakan program itu mengikut syariah ditetapkan.

Maklum saja, berbanding program Imam Muda yang menampilkan peserta lelaki, pastinya program ini ada banyak keterbatasan yang perlu dijaga supaya ia tidak berakhir dengan kontroversi. Apatah lagi untuk menjadi tontonan ramai apabila ditayangkan kepada khalayak. Lebih-lebih lagi banyak pantang larang yang perlu dipatuhi apabila program itu membabitkan agama dan wanita. Begitupun, Ketua Saluran Oasis, Izelan Basar ketika menjawab persoalan itu memberi jaminan program Ustazah Pilihan tidak akan sesekali melanggar syariat dan akan mengikut prosedur yang sudah diperbincangkan lebih awal.

"Sewaktu kami mencadangkan untuk menerbitkan program ini, persoalan seperti ini sudah pun kami bangkitkan. Saya juga sedar ia produksi yang cukup sukar dan mencabar. Namun insya-Allah, kami akan pastikan setiap rakaman program ini akan mengikut lunas yang ditetapkan syariat. Konsep rakaman juga berbeza dengan apa yang kami lakukan terhadap program Imam Muda.

"Sebagai contoh, dari segi sudut rakaman, kita takkan ambil visual penuh peserta. Mungkin kita akan ambil gambar wajah saja. Sebelum ini kami pernah merakamkan gambar penuh membabitkan tubuh peserta dan mendapat teguran. Jadi kami akan pastikan dari segi visual yang ditayangkan nanti tidak akan menyinggung sensitiviti mana-mana pihak.

"Lagipun pihak penaja utama sendiri sudah memberi peringatan supaya kami mengikut garis panduan yang betul sewaktu menerbitkan program ini supaya tidak menimbulkan sebarang kontroversi \ kemudian hari," ujar Izelan pada sidang media memperkenalkan tiga peneraju utama Ustazah Pilihan, serta pengacara yang bakal mengendalikannya.
Mereka yang terpilih sebagai Mudirah (pengetua) ialah Pakar Motivasi dan Kaunseling Keluarga, Dr Robiah K Hamzah, manakala dua tenaga pengajarnya (Mursyidah) ialah Profesor Dr Muhaya Hamad dan Ustazah Zawiah Hassan. Penyampai radio Ikim.FM, Siti Rohani Surani bertindak sebagai perantara.

Sebelum ini juga ada terdengar desas desus kononnya stesen terbabit ingin membuat pembaharuan yang mungkin disifatkan sebagai sesuatu yang mustahil untuk dilaksanakan, iaitu mewujudkan kumpulan produksi yang akan dikendalikan oleh wanita. Ia juga satu daripada cara Oasis untuk mengelakkan program ini menjadi bahan pertikaian ramai.

"Memang ada cadangan untuk kami berbuat demikian. Buat masa ini, perkara itu masih lagi dalam perbincangan dan saya tak anggap ia sebagai sesuatu yang mustahil. Siapa tahu, untuk peringkat final program ini, kami hanya mengundang golongan wanita saja untuk menyaksikan program ini secara langsung dan orang lelaki hanya menonton di rumah," kata Izelan optimis.

Ditanya mengenai wujudnya program yang hampir sama dengan Ustazah Pilihan terbitan sebuah stesen televisyen lain, Izelan tidak pernah menganggapnya sebagai persaingan.

"Ini program agama dan tujuannya juga murni, iaitu untuk mencari seorang muslimah sejati, jadi kami tak kisah," ujarnya.

Peluang berkongsi ilmu dengan peserta

MELIHAT kepada latar belakang Mudirah dan Mursyidah yang dilantik, diakui kebanyakan mereka bukan calang-calang. Tiga wanita besi ini mempunyai pengalaman luas dalam bidang dakwah dan motivasi. Malah ia juga disokong latar belakang pendidikan dan kerjaya yang hebat.

Justeru tidak hairanlah mereka dipilih menjalankan tanggungjawab untuk mencari wanita solehah yang mampu memikul amanat menjadi pendakwah berjaya dan pelapis kepada pendakwah wanita sedia ada. Namun, jika diperhalusi, tugas mencari peserta yang sesuai sememangnya bukan mudah. Andai silap si pengemudi, pastinya seluruh anak kapal akan lemas dilanda badai.

Bagi Dr Robiah, tiada sedikit pun kebimbangan dalam dirinya ketika diberi amanat untuk mengetuai program realiti itu.

"Sewaktu ditawarkan menjadi pengetua rancangan ini, saya amat bersyukur kepada Allah kerana memberi saya peluang dan ruang untuk berkongsi ilmu yang saya ada dengan peserta. Saya tak pernah anggap ia sebagai sesuatu yang menyusahkan kerana tujuannya untuk mencari pendakwah wanita yang semakin ketandusan sekarang ini," katanya.

Bagi Dr Muhaya pula, menjalankan tugas sebagai Mursyidah menjadi satu bonus buatnya.

"Selain memberi bimbingan, ia juga satu pencen buat saya apabila saya sudah tiada di dunia ini," katanya yang juga mempunyai program motivasi sendiri iaitu Mata ke Hati.

Ditanya mengenai tahap kualiti peserta yang datang ke sesi uji bakat, Ustazah Zawiah berkata, kebanyakannya bukan calang-calang.

"Kami percaya mereka yang terpilih nanti adalah yang terbaik dan mampu menjadi pendakwah yang hebat," ujarnya.


Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by Used Car Search.