Kosmo Online - Hiburan |
Posted: Saya masih wujud - DeannaDEANNA tidak mengambil tugasan lakonan dengan banyak kerana dia lebih mementingkan kualiti berbanding kuantiti. SUDAH lama tidak melihat kelibat wanita berdarah kacukan Melayu-Swizerland ini di layar perak mahupun di kaca televisyen. Filem terakhir lakonannya adalah sebuah filem genre seram, Chermin yang menampilkan dirinya untuk watak antagonis iaitu hantu jelita bernama Mastura. Filem yang menggandingkan dirinya dan Natasha Hudson itu ditayangkan di pawagam kira-kira tiga tahun lalu. Figura yang dimaksudkan itu ialah pelakon, penyanyi, pengacara dan peragawati Deanna Yusoff yang rupa-rupanya masih lagi aktif alam dunia hiburan tempatan. Namun, bagi Deanna, 'kehilangan' dirinya selama ini bukanlah bermakna dia sudah tidak wujud, namun kemunculannya itu bukan yang boleh dilihat di kaca TV mahupun layar perak. "Saya masih lagi wujud dan berada di sini (Malaysia). Saya tidak pergi ke mana-mana. Tapi kini, saya banyak mengambil tawaran sebagai hos majlis-majlis korporat. "Ada beberapa alasan kepada persoalan itu juga yang mana salah satunya ialah apabila saya sudah menceburkan diri dalam bidang perniagaan, keinginan saya untuk ke bidang lakonan semakin berkurangan," ujar Deanna yang ditemui semasa menjalani penggambaran program terbaharu TV, What Men Want bertempat di Restoran Hoofed, Taman Tun Dr. Ismail, Kuala Lumpur baru-baru ini. Deanna sebenarnya merupakan Ketua Pengarah Eksekutif Artisanal Asia Sdn. Bhd., iaitu syarikat pengedar eksklusif bagi jenama coklat dari Switzerland, GrandJean Freres. Tambahnya, ia umpama apabila sering melakukan perkara yang sama, ada ketika apa yang dilakukan itu menjadi semakin menimbulkan kebosanan dan dari situ keinginan semakin berkurangan di dalam diri. Selain itu, tutur Deanna, 44, tiada projek yang dirasakan menarik yang ditawarkan atau diterima oleh empunya diri. "Mungkin itu antara alasan paling teguh yang dapat menjawab persoalan 'kehilangan' saya ini. Namun, selepas Ramadan, saya mungkin akan kembali ke kaca televisyen kerana saya akan muncul dalam sebuah drama kelak. "Tapi, saya tidak dapat bercerita panjang kerana ia masih belum dipastikan lagi. "Banyak tawaran yang saya terima selepas bulan Ramadan ini kelak seperti terlibat dalam program nyanyian dan seperti biasa menjadi hos dan sebagainya," ungkap Deanna. Di luar jangkauan minda Deanna mengakui dia jarang mengambil tawaran lakonan yang banyak. "Kadangkala hanya satu atau dua tawaran lakonan saya ambil. Ini kerana saya mahu memastikan saya dapat melakonkan karakter-karakter yang di luar kebiasaan. "Saya suka skrip dan watak yang mencabar, bukannya watak yang biasa ditonton. Dan apa yang saya lihat, memandangkan saya sudah berumur, mereka (penerbit) hanya fikirkan watak ibu untuk diberikan kepada saya. "Saya tidak kisah sebenarnya diserahkan watak ibu, namun apabila watak yang diberi kurang mencabar dan menonjol, saya kurang minat. Mungkin watak wanita berumur itu boleh dilakonkan daripada sudut yang lain yang mana watak itu menjadi sangat menarik," jelasnya. Menurut Deanna lagi, faktor itu menjadi antara sebab kenapa dia kurang dilihat tampil di layar perak mahupun kaca TV. Ada beberapa tawaran yang diterima sepanjang dirinya berehat namun katanya, ketiadaan skrip dan watak yang kukuh menjadi antara penyebab dirinya berehat daripada berlakon buat sekian lama. Ujar wanita jelita yang pernah memenangi Anugerah Pelakon Wanita Terbaik pada Festival Filem Malaysia ke-10 (1992) ini, dia tekad berpegang kepada prinsipnya itu kerana dia menginginkan sesuatu yang dapat membuatkan dirinya terus berkembang dan mencecah naik ke suatu tahap yang lebih tinggi dalam dunia lakonan. Justeru, Deanna ingin mencuba sesuatu perkara yang di luar jangkauan minda penonton. Mengenai watak yang diinginkannya selama ini, bicara Deanna, dia tidak mahu meletakkan sebarang label spesifik. "Apa yang penting, watak itu haruslah kelihatan benar, dan apabila tonton watak tersebut, penonton seperti dapat rasakan apa yang dirasai dan ingin disampaikan oleh watak itu. Ataupun, mungkin watak yang membuatkan orang terfikir dan berfikir," tegas Deanna yang sering mengambil serius mengenai tawaran lakonan yang diterimanya. Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by Used Car Search. |
Posted: Anne akui degil, mentahANNE HATTAWAY ANNE HATHAWAY mengakui dia seorang yang mentah dan degil ketika mula-mula menceburi karier lakonannya. Kata Anne, dia bersikap profesional di set penggambaran filem-filem lakonannya tetapi biasanya dia tidak ambil peduli terhadap nasihat-nasihat yang diberikan oleh para pengarah. "Saya fikir saya dulu lebih banyak bercakap daripada mendengar dan sebab itu saya rasa ketinggalan banyak benda. Memang saya selalu bersikap profesional di set penggambaran filem-filem lakonan saya itu tetapi mungkin ketika itu saya masih mentah dan degil, jadi saya bimbang kalau saya tak bersuara, orang lain tidak akan mendengar apa pandangan saya," jelasnya. Anne juga mengakui tidak faham kenapa namanya dikatakan sinonim dengan filem romantik komedi sedangkan dia tidak pernah berlakon dalam genre sebegitu. Beritahunya lagi kepada majalah Marie Claire: "Agak kelakar apabila umum mengaitkan saya dengan filem romantik komedi sedangkan saya tidak pernah berlakon dalam filem sebegitu. Saya sangat jujur tentang filem yang saya mahu lakonkan. Itulah strategi saya sebenarnya." Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by Used Car Search. |
Posted: Justin mangsa perceraianJIKA melihat kepada kejayaannya hari ini sebagai penyanyi dan pelakon, ramai yang tidak menjangka Justin Timberlake sebenarnya menjadi mangsa kepada perceraian ibu bapanya, Lynn dan Randall pada tahun 1985. Figura berusia 30 tahun itu baru berusia lima tahun apabila ibu dan bapanya bercerai dan dia mengakui perkara itu telah memberi impak negatif terhadap kehidupannya. Katanya: "Apabila anda menjadi kanak-kanak yang mempunyai ibu dan bapa yang sudah bercerai, impaknya sangat negatif. Banyak masa anda akan berfikir untuk tidak menjadi mangsa perceraian. Dan kemudian dalam kehidupan anda, anda akan cuba untuk tidak menerima nasib yang sama seperti ibu bapa anda." Namun, Justin sebaliknya tidak larut dalam kesedihan yang dialaminya kerana ditakdirkan menjadi anak mangsa perceraian itu. "Namun, secara perlahan-lahan saya belajar untuk menjadi diri sendiri. Namun, selepas mendapat label anak yang mempunyai ibu dan bapa yang bercerai, ia seolah-olah memberi tenaga baharu buat saya untuk berusaha lebih gigih daripada biasa dan hasilnya adalah saya seperti hari ini," luahnya lagi. Justin dibesarkan di Shelby Forest, Tennessee merupakan seorang anak tunggal kepada Lynn dan Randall yang masing-masing selepas bercerai telah berkahwin lain. Lynn yang kini menguruskan syarikat hiburan, Just-in Time Entertainment mengahwini Paul Harless, manakala Randall pula mengahwini Lisa Perry dan mempunyai dua orang anak, Jonathan dan Steven Robert. Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by Used Car Search. |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Hiburan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |