TERJUN ke layar perak menjadi idaman ramai pelakon. Bagi pelakon baru, peluang ini umpama bonus yang sukar dilepaskan begitu saja.
Bakat baru, Nur Eina Azman berasa bertuah apabila meraih peluang membintangi filem, Ratu arahan Prof Madya A Razak Mohaideen.
Katanya, pengalaman pertama kali berlakon filem cukup mencabar mental dan fizikal. Menariknya, menerusi genre saspens ini, dia menempuh pelbagai cabaran getir hingga berlaku pengalaman hitam yang tidak mungkin dilupakan sepanjang hayat.
"Dalam filem ini, saya membawakan watak utama sebagai Melisa yang baik hati, penyayang dan mengambil berat terhadap rakannya walaupun tahu ada tidak menyukainya.
"Namun, dia tegas dalam membuat keputusan. Plot bermula apabila lapan peserta pertandingan ratu cantik iaitu Pesona Ratu dibawa belayar ke satu pulau.
"Satu kejadian buruk berlaku mengakibatkan mereka tersadai di kawasan sunyi itu selama seminggu. Lalu, kehidupan baru mereka bermula hingga ada terpaksa menempuh pengalaman yang menakutkan," katanya.
Gadis sunti berusia 15 tahun ini menyatakan status pelakon Ratu bukan alasan untuk terlalu menjaga penampilan diri. Malah, ketika penggambaran dalam hutan yang mengambil lokasi di Kayangan Heights, Shah Alam, Selangor, penghujung tahun lalu, dia terpaksa menjadi comot dan cedera ketika berlakon.
"Kami perlu menggambarkan keadaan menjadi tertekan dan perlu mencari makanan sendiri untuk terus hidup. Berbanding luka kecil yang saya alami, pengalaman paling tidak dapat dilupakan ketika berada di lokasi Gua Tempurung, Perak.
"Suatu hari ketika habis penggambaran, kami dibawa berjalan dalam gua itu. Ketika berada di dalam, saya terpandang seorang perempuan yang duduk di satu penjuru.
"Secara spontan saya menegur kehadiran wanita misteri itu. Mulanya, tiada siapa yang bercerita pada saya apa yang berlaku pada masa itu.
"Hingga keluar dari tempat itu, baru rakan yang lain memberitahu saya sebenarnya dirasuk. Ada kesan lebam pada kaki dan ketika melalui satu jambatan di situ, saya seolah-olah mahu terjun kerana mengikut sesuatu.
"Ketika itu, saya juga menangis dengan keadaan mata terbuka. Apabila saya keluar dari situ, saya dibawa bertemu seorang bomoh.
"Bomoh itu berkata, memang saya dirasuk dan menjerit lebih tiga jam. Ia berpunca selepas saya tegur wanita yang menjadi penunggu gua itu.
"Memang ada perasaan serik selepas melalui peristiwa hitam itu. Seboleh-bolehnya selepas ini, jika ada penggambaran di kawasan seperti itu saya cuba elakkan," katanya.
Mengenai lakonan, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan USJ 4, Subang Jaya, Selangor ini pernah terbabit membintangi beberapa drama sebelum ini bermula 5 Jingga diikuti Anoreksia, Calon Isteri dan Selendang. Mengembang bakat, dia juga mencuba nasib sebagai pengacara menerusi program Muzik Aktif untuk RTM.
"Selepas Ratu, saya juga diberi kepercayaan berlakon filem seram, Ada Sesuatu Yang Tertinggal, dijayakan bersama Zahiril Adzim dan Shera Aiyob.
"Dalam filem kedua ini, saya memainkan watak antagonis sebagai Bella yang meminati seorang lelaki, tetapi membenci Mona yang menarik perhatian ramai.
"Berbeza dengan drama, pengalaman berlakon filem lebih membuatkan saya menjadi matang. Menerusi Ratu, saya banyak menimba tunjuk ajar daripada pelakon lain yang lebih dewasa.
"Pengarah banyak mengajar dan menegur lakonan saya termasuk Fouziah Ghous dan Eizlan Yusof yang sudi berkongsi pengalaman berlakon.
"Apapun, pengalaman selama 25 hari di sekitar lokasi Lembah Klang, Pulau Langkawi dan Gua Tempurung banyak memberikan pengalaman berharga kepada saya mendalami lakonan.
"Berlakon ketika masih bersekolah tidak memberi masalah besar. Saya dibenarkan berlakon selepas jam 2 petang, tetapi paling lambat jam 1 pagi saya mesti pulang.
"Di sekolah saya masih dapat memberikan perhatian terhadap pelajaran. Mami (Amy Roshaida Abdul Rafar) dan daddy (Azman Abdullah) banyak menyokong kerjaya seni saya.
"Sebolehnya mami mahu saya lebih fokus pada nyanyian kerana masa berlakon lebih panjang. Saya pernah merancang bekerjasama dengan komposer Adnan Abu Hassan, tetapi projek itu tergendala.
"Fokus saya ketika ini masih mahu teruskan bidang lakonan dan nyanyian. Jika ada peluang, saya teringin bekerjasama dengan penyanyi Anang dan membawa watak lebih mencabar," katanya.
Eina yang pernah menyertai pelbagai pertandingan nyanyian sejak usia 11 tahun termasuk program Oh La La (TV9) tahun lalu, tidak mahu bergantung pada ibu saudara, Juliza Adlizan untuk berjaya sebagai penyanyi.
Katanya, dia mahu menimba pengalaman baru dengan guru berbeza. Malah, dia mahu terus berlatih vokal dan merancang menghasilkan album sulung selepas tamat belajar.
"Ketika ini, saya bebas terima apa saja tawaran dan tidak terikat dengan mana-mana kontrak. Sebelum ini, ada tawaran lain mahu mengambil saya berlakon, tetapi ia terlepas begitu saja.
"Untuk lakonan, saya berharap kehadiran saya diterima positif penonton dan Ratu membuka pintu untuk saya kembangkan bakat di layar perak.
"Walaupun ada yang beranggapan fizikal saya memberi kelebihan, saya berasakan ia perlu diseimbang dengan bakat untuk berjaya," katanya.
>PROFIL
NAMA: Nur Eina Azman
TARIKH LAHIR: 13 Mac 1995
USIA: 15 tahun
ASAL: Temerloh, Pahang
STATUS: Bujang
KERJAYA: Penyanyi, pelakon dan pengacara
FILEM: Ratu dan Ada Sesuatu Yang Tertinggal
DRAMA: 5 Jingga (8TV), Annoreksia, Calon Isteri dan Selendang.
PROGRAM: Muzik Aktif (RTM)
IDOLA: Erra Fazira, Aaron Aziz, Syamsul Yusof dan Yusry KRU.