Adsense

Selasa, 9 November 2010

Berita Harian: Hip

Berita Harian: Hip


Kekuatan dokumentari Suatu Ketika...

Posted: 08 Nov 2010 05:38 PM PST

Hip

Astro Prima ingin tarik remaja tonton filem ilmiah

SEWAKTU mengulas kemenangan filem dokumentari yang dipertandingkan sempena Festival Filem Dokumentari ke-2 yang berlangsung baru-baru ini di FINAS, Ketua Juri, Zaki Abdul Rahim ada memberitahu bahawa program dokumentari yang disiarkan di Astro Prima, Suatu Ketika... berjaya meletakkan satu tanda aras yang tinggi buat penerbitan filem dokumentari tempatan.

Komentar itu diberikan apabila pihak juri mendapati kebanyakan filem dokumentari yang dihasilkan dengan kerjasama Astro Entertainment Sdn Bhd itu menepati kriteria dokumentari sebenar. Disebabkan kualiti yang dipersembahkan itulah maka filem dokumentari Laskar Senoi terbitan mereka berjaya dinobatkan sebagai Filem Dokumentari Terbaik pada malam Kemuncak Festival Filem Malaysia ke-23 yang berlangsung baru-baru ini di Shah Alam. Pujian itu sudah semestinya melegakan pihak Astro Entertainment Sdn Bhd sendiri, terutama Pengurus Saluran Prima, Nizam Sani yang menjadi tunggak kepada kejayaan program penuh berinformasi itu.

Sebagai pihak yang bertanggungjawab mengawal selia program yang disiarkan di saluran Astro Prima, Nizam berkata, menjadi tanggungjawabnya untuk terus mencari filem dokumentari yang bagus kualitinya khusus untuk penonton setia program terbabit.

"Memang sejak awal lagi kami memang begitu selektif dari segi topik dan bahan yang akan diterbitkan dalam sesebuah dokumentari itu. Kami akan memastikan bahan atau topik yang akan dipersembahkan memberi maklumat yang berguna kepada penonton dan dibuat dengan penyelidikan terperinci supaya tidak berlaku salah fakta dan sebagainya.

"Lazimnya, bahan yang berbentuk sejarah lebih diberi keutamaan. Kami juga turut berbincang dengan pihak produksi terbabit dan saling bertukar-tukar idea supaya hasilnya nanti dapat memuaskan hati semua pihak," kata Nizam.
Menurut Nizam lagi, kemenangan Laskar Senoi sebagai Filem Dokumentari Terbaik menjadi pembakar semangat untuk mereka terus menghasilkan dokumentari yang lebih baik pada masa akan datang.

"Bukan mudah untuk menghasilkan sebuah filem dokumentari yang baik kerana ia membabitkan banyak kerja penyelidikan. Namun bagi mencapai objektif penerbitan Suatu Ketika... ini kami cuba memberikan hasil sebaik mungkin. Kami bukan saja mahu menarik penonton dewasa, tetapi juga penonton remaja untuk menontonnya.

"Atas alasan itulah tayangan dokumentari ini turut disertakan dengan penerbitan drama bersiri supaya golongan remaja dapat pemahaman yang lebih jelas mengenai sejarah sesebuah peristiwa itu," terang Nizam ketika ditemui pada majlis pelancaran filem dokumentari Kawad Maut Sandakan serta drama bersiri Akinabalu yang berlangsung di Borneo Rainforest, Sunway Pyramid, Bandar Sunway, baru-baru ini.

Hadir sama, pengurus saluran Astro Citra, Shoba Devi Choo; pengarah drama Akinabalu, Kabir Bhatia; pengarah dokumentari Kawad Maut Sandakan, Basir Siswo; serta pelakon drama terbabit iaitu Aaron Aziz dan Dira Abu Zahar.

Kongsi fakta dan rakaman menarik

MENGULAS cabaran mengarahkan drama bersiri terbabit, Kabir berkata, supaya tidak berlaku percanggahan fakta, dia dan Basir saling berkongsi informasi berdasarkan penyelidikan yang mereka lakukan.

"Bagaimanapun, untuk drama ini, selain memerlukan persamaan fakta, saya turut selitkan babak percintaan membabitkan dua pelakon utamanya sebagai tarikan kerana drama tidak perlu seberat filem dokumentari. Namun tidak semua paparan dalam drama ini ialah fakta. Saya turut menyelitkan elemen fiksyen di dalamnya," tegas Kabir.

Perkongsian mereka bukan saja dari segi bahan penyelidikan tetapi turut membabitkan rakaman lokasi menarik.

"Kami juga merakamkan pemandangan menarik yang ada kaitan dengan peristiwa berdarah ini. Mana-mana yang bersesuaian, kami akan memberikannya kepada produksi dokumentari terbabit sebagai menyokong bahan mereka itu," katanya.

Sementara itu, Basir ketika menceritakan kisah di belakang tabir pembikinan dokumentari itu berkata, ada di antara babak yang bakal dipaparkan dalam dokumentari ini tidak pernah dipaparkan dalam mana-mana media.

"Kita juga menemubual beberapa pihak yang terselamat dalam peperangan itu dan mendengar sendiri pengalaman mereka," katanya yang berada di sabah selama dua minggu untuk menyelesaikan penggambarannya.

Kawad Maut Sandakan dan Akinabalu menceritakan penderitaan yang ditanggung oleh askar berani mati. Selepas Peperangan Singapura pada 1942, tahanan perang Australia dan British dihantar ke Borneo Utara untuk membina landasan terbang tentera dan kem tahanandi Sandakan.

Mereka dipaksa bekerja di muncung senapang dan dipukul teruk tanpa diberi makanan dan rawatan perubatan yang sewajarnya. Keadaan hidup yang sangat daif menyebabkan bilangan tawanan semakin kurang dan kesempitan bekalan makanan dan perubatan menyebabkan mereka yang masih hidup menjadi terlalu lemah untuk meneruskan kerja pembinaan.

Kecewa dengan hasil kerja mereka, komandan kem, Kapten Hoshijima Susumu, mengeluarkan perintah untuk menembak baki tawanan yang masih hidup. Enam askar British berjaya melarikan diri dari Ranau.

Drama bersiri Akinabalu ditayangkan di Astro Citra mulai 7 November, jam 9 malam. Manakala dokumentarinya pula dapat disaksikan pada tarikh yang sama, jam 4.30 petang di saluran Astro Prima.


Full Feed Generated by GetFullRSS.com, sponsored by USA Best Price.

Tanggung risiko

Posted: 08 Nov 2010 05:32 PM PST

Hip

Arrora Salwa

Arrora Salwa

Dari padang kawad, Arrora Salwa ke pentas seni

SEBUAH taman yang namanya persada seni memang tidak pernah sepi dengan kemunculan kelopak-kelopak yang mekar harum. Baik dalam dunia lakonan atau nyanyian, saban hari ada saja bunga baru yang tumbuh dengan pelbagai bentuk dan warna. Biarpun taman itu tidak menjanjikan sebarang cahaya sebagai pemangkin untuk bunga-bungaan itu untuk terus tumbuh, namun semua itu tidak pernah diendahkan.

Antara bunga baru yang tidak mengendahkan halangan berkenaan ialah gadis manis kelahiran Kota Tinggi, Johor ini. Walaupun mengetahui dunia nyanyian tidak menjanjikan bulan dan bintang buatnya, dek minat yang mendalam, Arrora Salwa berusaha merealisasikan impian diri. Malah, bagi membuktikan betapa dalam minatnya terhadap dunia nyanyian, gadis bertubuh tinggi lampai ini nekad meninggalkan kerjaya tetap sebagai anggota polis. "Saya kalau inginkan sesuatu, memang saya akan cuba sedaya upaya untuk mendapatkannya. Justeru apabila peluang untuk saya menceburkan diri dalam bidang ini menjelma, mengapa harus saya sia-siakan begitu saja?

"Sebelum mengambil keputusan untuk menjadi penyanyi, saya bekerja sebagai seorang anggota polis berjawatan Lans Koperal. Sewaktu bersama PDRM dulu pun, saya nekad memilih pekerjaan itu kerana mahu berdikari dan tidak mahu terus dikongkong keluarga.

"Walaupun keluarga sendiri mempertikaikan keputusan saya itu, seperti yang saya tegaskan tadi, kalau saya mahukan sesuatu itu, saya akan berusaha bersungguh-sungguh untuk mendapatkannya biarpun terpaksa menanggung risiko," tegas Arrora yang berkhidmat selama tujuh tahun bersama pasukan keselamatan itu.

Biarpun dikelilingi tugas lasak dan mencabar, namun kata Arrora, dia masih berkesempatan melakukan perkara disukainya, apabila diberi peluang menyertai band PDRM.
"Sewaktu bertugas sebagai polis, saya sangat aktif menyanyi. Saya banyak menyanyi bersama band PDRM diberi nama D'Muse. Saya tahu mungkin ramai yang menganggap saya gila glamor apabila mahu bergelar penyanyi sehingga sanggup meletak jawatan. Seperti yang saya tegaskan tadi, apa yang saya lakukan ini semuanya kerana minat saya yang mendalam dalam bidang ini.

"Lagi pun saya berhenti bukanlah secara mengejut. Selepas pihak Sony Music menawarkan kontrak sebagai artis naungannya awal Julai lalu, pada penghujung bulan itu baru saya berani menghantar surat peletakan jawatan. Bagaimanapun tidak dinafikan, ia keputusan paling berani saya pernah buat dalam hidup ini," cerita pemilik nama penuh Salwa Abdul Razak ini.

Mengimbau kembali saat manis bergelar anggota pasukan beruniform, Arrora berkata, ada ketika dia amat merindui tugas lamanya itu terutama apabila bertembung dengan bekas rakan seperjuangan ketika mereka sedang menjalankan tugas.

"Mana mungkin saya tidak rindu pada kerjaya lama. Kadang kala, apabila terserempak dengan rakan setugas, sempat juga kami bersembang. Bayangkan selama tujuh tahun berkhidmat, tentunya macam-macam pengalaman yang saya peroleh. Mengadakan sekatan jalan raya, kejar pencuri, berkawad, semuanya sudah saya lalui.

"Mungkin dari segi penampilan luaran, orang melihat saya lemah-lembut, tapi jangan tak tahu, saya ini memang lasak orangnya. Saya pernah belajar silat serta mempunyai ilmu asas karate. Saya juga sudah biasa dengan cabaran yang membabitkan mental dan fizikal," tegas Arrora lagi.

Meskipun baru saja menandatangani kontrak untuk bergelar penyanyi, khabarnya Arrora sudah pun memiliki sebuah single. Ketika diajukan pertanyaan ini kepada si empunya diri, Arrora memberitahu, single berjudul Buaian Rindu itu dihasilkan dengan matlamat membantu sebuah projek amal.

"Projek itu dinamakan Bring Back Ferris To Malaysia. Saya sekadar ingin membantu seorang ibu yang mahu membawa balik anaknya ke Malaysia. Tentu ramai yang masih ingat kisah seorang ibu, Elis Syuhaila Mokhtar, yang hidupnya berendam air mata selepas anaknya Ferris dilarikan bapa kandungnya ke Belgium.
Kebetulan Elis ialah sahabat saya. Jadi single ini akan dijual dan hasilnya nanti akan diberikan kepada Elis untuk membantu membawa anaknya pulang ke tanah air.

"Lagu yang dihasilkan oleh Aesar Mustafa itu dijual dengan harga RM10 sekeping dan kami hanya mencetak sebanyak seribu keping saja," katanya yang begitu meminati Datuk Siti Nurhaliza, Krisdayanti dan Rossa.

Sudah dimiliki

TIDAK ramai bakat baru berani mendedahkan status diri kepada khalayak, apatah lagi ketika mereka baru hendak berjinak-jinak dengan dunia seni. Acap kali, apabila ditanya status diri, jarang yang mahu bersikap jujur. Mereka lebih suka berahsia atau berteka-teki, bimbang kejujuran itu memakan diri mereka sendiri.
Bagaimanapun, perkara itu tidak berlaku kepada Arrora. Ketika ditanya sama ada dirinya masih solo ataupun sudah dimiliki, dengan pantas dia memberikan jawapan yang kedua.

"Saya sedang berkawan rapat dengan seseorang. Dia orang biasa, bukan artis. Sudah lima tahun kami keluar bersama. Setakat ini hubungan kami berjalan lancar dan dia menerima saya seadanya," dedah Arrora tanpa berselindung.

Diusik dengan pertanyaan apakah dia tidak risau jika kekasih hati cemburu apabila melihat dirinya dilimpahi aura populariti, pantas wanita cantik ini menjawab perkara itu tidak mungkin berlaku kerana mereka sudah saling mengenali hati budi masing-masing.

"Keluarga kami juga sudah saling mengenali. Lagipun dia sendiri menggalakkan saya untuk terus berjaya dalam bidang ini. Apa yang penting, kami bersikap jujur dan saling mempercayai antara satu sama lain," tuturnya.

Mengenai perancangan untuk merakamkan album solo, kata Arrora, buat masa ini mereka masih dalam peringkat mencari material yang sesuai.

"Kalau diikutkan, saya lebih suka genre balada kerana ia memang sesuai dengan vokal dan jiwa saya. Tapi untuk single pertama, biarlah saya rakam lagu yang lebih rancak dan catchy supaya lebih mesra radio. Untuk lagu itu nanti, saya akan bekerjasama dengan komposer dari Indonesia iaitu Panji," katanya yang tidak sabar untuk menunggu kelahiran album sulungnya itu.


Full Feed Generated by GetFullRSS.com, sponsored by USA Best Price.