Adsense

Jumaat, 15 Oktober 2010

Utusan Online - Hiburan

Utusan Online - Hiburan


Cabaran dan emosi TBLA2

Posted:

Cabaran dan emosi TBLA2

Cabaran dan emosi TBLA2

Oleh SHAZRYN MOHD. FAIZAL
shazryn.faizal@utusan.com.my
Gambar NOOR ASREKUZAIREY SALIM dan ihsan ARCIS COMMUNICATION


DUA jurulatih The Biggest Loser Asia, Dave Nuku (kanan) dan Kristy Curtis.


APABILA memperkatakan mengenai program realiti The Biggest Loser, hakikatnya ia bukanlah sebuah program sembarangan dalam lambakan penerbitan program realiti yang ada ketika ini.

Ramai yang berpendapat program yang disertai oleh peserta gemuk dan obesiti dalam mengurangkan berat badan mereka itu lebih luhur dan jujur.

Menerusi program itu jugalah, penonton didedahkan dengan pelbagai maklumat yang cukup informatif tentang kesihatan dan kehidupan.

Mungkin akan ada yang berpendapat The Biggest Loser tidak ubah seperti mahu memalukan para pesertanya menerusi pelbagai aktiviti yang dijalankan.

Tetapi, di sebalik tanggapan negatif itu, sebenarnya ia boleh mendidik masyarakat dan penonton agar mereka sendiri dapat mengamalkan gaya hidup yang sihat.

Kalau ada yang tidak tahu, kerana impak yang besar daripada program itulah, ia telah difrancaiskan lebih daripada 15 buah negara di seluruh dunia.

Di rantau Asia pula, The Biggest Loser Asia (TBLA) juga berjaya mencatatkan jumlah penonton yang tinggi selain mendapat sambutan yang menggalakkan.

Ia menghimpunkan para peserta yang memiliki berat badan berlebihan dan obesiti dari negara rantau Asia untuk menyertai program seumpama itu di rantau ini.

Negara-negara yang terlibat ialah Malaysia, Indonesia, India, Filipina, Singapura, Thailand dan Hong Kong.

Program yang disiarkan menerusi saluran Hallmark (kini Diva Universal itu), TBLA musim pertama telah menobatkan peserta dari Indonesia, David Gurnani sebagai juara sulungnya.

Sepanjang tiga bulan menyertai pertandingan itu, David berjaya menurunkan berat badannya dari 157 kilogram kepada 74 kilogram yang pastinya merupakan satu kejayaan buat tuan punya badan.

Kerana sambutan yang diberikan itulah, TBLA diteruskan untuk musim kedua yang sudah pun mula ditayangkan sejak 21 September lalu.

TBLA2 menyaksikan 16 lagi peserta yang memiliki berat badan berlebihan dan obesiti berusaha untuk menurunkan berat badan mereka menerusi rejim yang telah diaturkan.

Selepas empat episod bersiaran, seramai empat peserta telah disingkirkan iaitu Rico Michael dari Indonesia, Desiree M. Vinoya (Filipina), Scott Hanna (Indonesia) dan Norziana Mhd. Azmi (Malaysia).

Kini, tinggal 12 peserta lagi yang gigih berusaha meneruskan misi murni mereka dalam program yang menawarkan ganjaran sebanyak AS$100,000 (RM301,000) sebagai wang kemenangan itu.

Baru-baru ini, WOW! berkesempatan menemuramah tiga peserta TBLA2 yang menyimpan cita-cita yang cukup tinggi dalam pertandingan ini.

Full Feed Generated by GetFullRSS.com, sponsored by USA Best Price.

Projek ‘Big Band’

Posted:

Projek 'Big Band'

Projek 'Big Band'

Oleh MOHD. IFQDAR ABDUL RAHMAN
ifqdar.rahman@utusan.com.my
Gambar SHAHRIL AZMAN ZAIN


Keserasian antara Dior (kiri) dan Shajiry membolehkan mereka bersama menganjurkan projek Big Band.


LAHIR dalam generasi yang berbeza tidak menghalang dua sahabat ini, Shajiry dan Dior untuk saling membantu mengangkat karier masing-masing.

Suatu ketika dahulu, pada era 90-an, nama Shajiry pernah popular dengan lagu Orang Kita.

Kemudian, dia melebarkan karier nyanyiannya dengan menganggotai kumpulan Kami Generasi Baru (KGB), yang pernah popular dengan lagu ciptaan Ajai, Hadirlah Kasih.

Namun, beberapa tahun selepas itu, kumpulan tersebut berkubur, manakala setiap ahlinya membuka langkah memilih haluan masing-masing.

Shajiry kemudiannya mula bergiat aktif sebagai pelakon sementara bidang nyanyian dilupakan buat seketika.

Berbeza dengan Dior, dia merupakan bakat baru yang mula mengukir nama setelah single sulungnya, Mengharap Sinar berjaya menempa tempat di peringkat separuh akhir Muzik Muzik 23.

Walaupun tidak mara ke Anugerah Juara Lagu 23, peluang itu sedikit sebanyak memperkenalkan nama Dior di persada muzik tempatan.

Kini, muzik menyatukan penyanyi dua zaman ini bagi memastikan mereka mampu bernafas seiring dengan penyanyi lain.

Bangkit kembali sebagai penyanyi

Mungkin disebabkan rindu dan minat yang mendalam dalam bidang nyanyian, jejaka yang berusia pertengahan 30-an ini tekad untuk aktif kembali sebagai penyanyi.

Bermodalkan wang simpanannya, Shajiry berusaha menubuhkan syarikatnya sendiri iaitu Five To Five Entertainment bagi memberi ruang untuknya meneruskan langkah awalnya suatu ketika dahulu.

Setahun berlalu, penat jerihnya berbayar apabila album mininya yang memuatkan lima buah lagu bakal berada di pasaran tidak lama lagi.

Bertemu dengannya di studio Utusan Melayu baru-baru ini, Shajiry memberitahu, dia memilih pop R&B sebagai genre untuk diketengahkan kepada umum.

"Memandangkan irama pop semakin menjadi pilihan ramai, saya optimis produk saya boleh diterima peminat saya yang sekian lama menunggu.

"Bagaimanapun, pemilihan pop bukanlah semata-mata ia disebabkan kesukaan ramai, tetapi jiwa saya cukup serasi dengannya.

"Keserasian itu membolehkan saya mengadunkan emosi saya ketika menyanyikan lagu yang ada dalam album ini," ujar Shajiry.

Selain itu, katanya, susunan muzik yang segar serta suntikan elemen R&B memberikan sedikit kelainan.

Antara lagu baru yang dimuatkan dalam album Shajiry ialah, Ku Cinta Padamu, Sampai Nanti dan Siapa Di Hatimu.

Manakala dua lagu lain merupakan singlenya yang pernah popular suatu ketika dahulu iaitu Orang Kita dan Satu Satunya.

Menurut Shajiry, ketiga-tiga lagu barunya itu sudah pun diputarkan di radio-radio tempatan.

Strateginya memperkenalkan tiga buah lagu sekaligus agar memberi pilihan kepada stesen radio untuk mengetengahkan lagunya.

Shajiry berharap, lagu ciptaan Adnan Abu Hassan iaitu Siapa Di Hatimu berjaya mengubat rindu para peminat yang sekian lama menunggu kehadirannya di pentas muzik tanah air.

Full Feed Generated by GetFullRSS.com, sponsored by USA Best Price.