Adsense

Jumaat, 15 Oktober 2010

Harian Metro: Rap

Harian Metro: Rap


Gandingan Ana, Sohaimi, Altimet berhasil

Posted: 14 Oct 2010 07:17 AM PDT

HANYA bermula sebagai bahan eksperimen, lagu baru Kalau Berpacaran nyanyian Ana Raffali, Sohaimi Mior Hassan dan 'rapper' Altimet kini mula menarik perhatian ramai di corong radio tempatan.

Secara tiba-tiba, lagu ini menjadi semakin popular, apatah lagi selepas ia kerap dimainkan di stesen radio seperti Hot FM dan Sinar FM. Atas populariti itu, ia mencetuskan tanda tanya di kalangan pendengar bagaimana idea menghasilkan lagu ini terhasil.


Mungkin ada yang sudah tahu, lagu ini asalnya dicipta tiga penyanyi ini ketika terbabit menghadiri Bengkel Cipta Ekspres 2010 yang diadakan di Residence Lagoon Resort, Port Dickson, Negeri Sembilan, kira-kira lima bulan lalu.


Pada acara anjuran Music Authors Copyright Protection (MACP) Berhad itu, lagu Kalau Berpacaran dijulang sebagai juara daripada 10 lagu baru yang dihasilkan selama tiga hari bengkel berkenaan berlangsung.


Ketiga-tiga penyanyi ini yang menggelarkan diri mereka sebagai Kumpulan Anak Manja pada acara itu, bukan saja kreatif dalam penciptaan lagu, malah mereka menunjukkan kolaborasi tiga zaman yang jarang dilakukan karyawan muzik hari ini.


Jika Ana terkenal menerusi lagu ciptaan sendiri, Hujan Bunga Di Kuala Lumpur, Altimet pula yang juga bekas anggota Teh Tarik Crew, pernah mencipta nama menerusi lagu Cantek. Bagi peminat Sohaimi Mior Hassan pula, siapa tidak kenal suara machonya itu dalam lagu Epilog Cinta Dari Bromley.


Bagi Ana, dia begitu bersyukur dengan sambutan peminat terhadap lagu Kalau Berpacaran. Dia tidak menjangka penerimaan peminat tempatan melonjakkan populariti lagu rancak ala 60-an itu.


"Sebagai penyanyi solo, tentulah saya lebih suka dengan lagu saya sendiri dengan genre pilihan saya. Namun, apabila kami berkolaborasi dalam bengkel berkenaan, hasilnya menjadi gabungan tiga idea.

"Bagi saya, pendengar suka lagu Kalau Berpacaran kerana beberapa faktor. Mungkin melodi Kalau Berpacaran itu 'catchy' hingga membawa perasaan pendengar terhadap perkara nostalgia. Ia juga bergantung kepada kekuatan suara Sohaimi yang unggul dan mampu mengimbau lagu zaman lampau.


"Mesej yang ingin disampaikan sangat jelas dan menariknya, terselit elemen jenaka dalam memberikan nasihat kepada anak muda. Malah, lagu ini menarik perhatian semua lapisan usia," katanya.


Menerusi kolaborasi yang dianggap unik dan segar itu, Ana percaya ketiga-tiga penyanyi ini melengkapkan lagu berkenaan menjadi sempurna.


"Saya berasa sangat beruntung kerana kami dipertemukan MACP. Terima kasih juga kepada MACP yang menganjurkan acara bengkel ini.

"Buat masa ini, saya juga mempromosikan single kedua, Tolong Ingatkan Aku. Ia mendapat respons positif daripada peminat dan mendaki carta.


"Saya berharap antara lagu saya dan Kalau Berpacaran, ia saling membantu. Jarang penyanyi mempunyai dua lagu baru pada satu masa dan ini memberikan kelebihan pada saya.


"Soal menumpang populariti Sohaimi mahupun Altimet, saya tidak kisah dengan tanggapan itu. Bagi saya, kami saling membantu satu sama lain untuk memajukan karier masing-masing.


"Saya menganggap kolaborasi ini sebagai satu penghargaan. Setakat ini, kami belum mempunyai perancangan lain. Tengok dulu sambutan macam mana. Orang kata, jika sambutan bagus, mungkin akan ada kesinambungan untuk lagu baru seterusnya," katanya.

Sohaimi pula berkata, penerimaan positif pendengar terhadap lagu ini membuktikan gandingan penyanyi baru dan lama masih mempunyai kekuatan.


"Penerimaan peminat sebenarnya masih terbuka untuk menerima lagu baru. Tidak kira penyanyi baru atau lama, jika karya yang dihasilkan bagus, ia tetap diminati.


"Saya percaya kolaborasi seperti ini harus diteruskan pada penyanyi lain. Walaupun jualan album agak menyedihkan tetapi peminat kita masih menyokong lagu baru untuk dihasilkan.


"Menerusi kerjasama dan usaha MACP yang dijalankan, saya berharap komposer kita lebih aktif menghasilkan lagu baru yang berkualiti dan mampu mencetuskan fenomena baru," katanya.


Altimet berpandangan kolaborasi antara tiga penyanyi menjadi strategi terbaik untuk memasarkan lagu baru. Namun, kejayaan lagu Kalau Berpacaran, lebih merujuk pada kesungguhan MACP yang menemukan mereka bertiga.


"Pada acara itu, MACP yang tetapkan kami dalam satu kumpulan. Walaupun lagu dihasilkan dalam masa singkat tetapi MACP memberikan tekanan positif pada kami untuk berkarya.


"Ketika itu, saya melihat peserta lain seperti Ramli Sarip, Andy Flop Poppy dan Julfekar bukan calang-calang. Begitu juga, bakat baru seperti Aizat dan Rafidah 3R tidak kurang hebat dengan kreativiti mereka.


"Usaha MACP itu mewujudkan suasana yang kompetitif. Hakikatnya, kejayaan dan proses menghasilkan lagu ini bukan suatu yang dirancang.


"Melihat lagu lain juga saya rasa masing-masing ada kehebatan. Ini membuktikan lagu kita masih mempunyai tempat dan terus diminati pendengar kita sendiri.


"Cuma ruang untuk menonjolkan lagu baru seharusnya lebih terbuka. Saya yakin jumlah komposer baru sangat ramai di luar sana. Apa yang penting, kita sebagai pendengar harus mendengar sebelum mengkritik," katanya.

>PROFIL
NAMA: Ana Nur Hidayah Mohd Raffali
NAMA KOMERSIAL: Ana Raffali
TARIKH LAHIR: 4 November 1985
USIA: 25 tahun
TEMPAT LAHIR: Kuala Lumpur
STATUS: Bujang
ADIK-BERADIK: Anak kesembilan daripada 11 beradik
KERJAYA: Komposer dan penyanyi
PENDIDIKAN: Graduan Kelas Pertama Ijazah Sarjana Muda Pendidikan TESL (Kepujian), Universiti Teknologi Mara (UiTM)

NAMA: Sohaimi Mior Hassan
TARIKH LAHIR: 8.1.1957
USIA: 53 tahun
TEMPAT LAHIR: Beruas, Perak
STATUS: Berkahwin
LAGU POPULAR: Epilog Cinta Dari Bromley
ALBUM: Prolog (1981), Dedikasi (1983), Misteri Cinta (1984), Suatu Hari Nanti (2007)

NAMA: Ahmad Abdul Rahman
NAMA KOMERSIAL: Altimet
TARIKH LAHIR: 27 November 1978
USIA: 32 tahun
TEMPAT LAHIR: Petaling Jaya, Selangor
LAGU POPULAR: Cantek (2008)
ALBUM: Jian (2009), Aku (2010)

>Lirik: Kalau Berpacaran

Kalau berpacaran
Memang banyak pantang larang
Menjaga susila
Ibu bapa adik abang

Apabila berdua
Carilah tempat yang terang
Agar tidak pula
Mencuba aksi terlarang

Boleh pandang-pandang
Jangan pegang-pegang
Duduk renggang-renggang
Bertambah sayang

Biar malu-malu
Biar segan-segan
Kerna malu itu
Perisai orang beriman

Kalau berpacaran
Jangan tunggu lama-lama
Kalau dah berkenan
Jumpalah ayah dan mama

Hantarkan rombongan
Meminang dengan segera
Kalau terlambat kasihmu disambar buaya

Yeah
Kita sambung cerita
Kalau kamu berdua
Aku yang ketiga

Aku penambah perasa
Akulah pendarab nafsu serakah
Hai teruna bikin perangai selamba
Hati si dara kata tak apa

Berani buat terima padah
Kalau tak sedia
Ucap syahadah

Full Feed Generated by GetFullRSS.com, sponsored by USA Best Price.

Yazit terkilan tak dapat beraksi

Posted: 14 Oct 2010 07:04 AM PDT

PERASAAN peminat setia Search, Wings dan Ella begitu teruja apabila mengetahui tiga penyanyi rock popular itu kembali bergabung menjayakan Konsert Red On Black (ROB) yang akan berlangsung di Stadium Darul Makmur, Kuantan jam 8.45 malam ini.

Namun, di sebalik semangat otai rock ini menghiburkan peminat, terselit kesedihan memandangkan pemain dram Search, Yazit Ahmad tidak dapat beraksi bersama. Yazit, 48, masih berada di wad 6D, Hospital Ampang, Selangor sejak seminggu lalu akibat sakit buah pinggang. Walaupun keadaan kesihatan makin stabil, dia masih lemah untuk berjalan dan perlu mendapat rawatan lanjut doktor untuk tempoh beberapa hari.


"Badan masih terasa terhuyung-hayang apabila berjalan. Mungkin ia implikasi sakit buah pinggang yang saya hadapi. Mulanya saya ingat ada kaitan dengan masalah jantung tetapi doktor menyatakan ada sedikit tekanan darah tinggi.


"Sebenarnya, ketika Ramadan lalu saya terasa mual apabila makan dan bau darah. Namun, saya tetap gagahkan diri berpuasa seperti biasa dan melakukan solat Tarawih.


"Ketika itu, saya asyik berasa letih dan mahu tidur. Sehingga Aidilfitri dan sidang media konsert ROB yang diadakan pada 30 September lalu, saya masih bertahan walaupun muka pucat.


"Pada minggu lalu, keadaan saya bertambah teruk dan akhirnya mendapat rawatan di sini. Saya ingatkan hanya ditahan di wad dalam tiga atau empat hari tetapi badan masih tidak stabil dan memerlukan pemerhatian selanjutnya," katanya.


Mengenai konsert ROB, Yazit terpaksa melupakan hasrat untuk bermain bersama anggota kumpulannya. Biarpun tempatnya diganti orang lain, dia akui perasaan sayang terhadap Search masih kuat.


"Bukan mudah melepaskan tugas saya bersama Search. Tipu jika saya kata tidak kecewa kerana tidak dapat bermain pada persembahan kali ini.


"Namun, saya tidak boleh melawan takdir. Apabila sakit begini, saya mula terfikir sama ada akan terus bersama Search atau sebaliknya.


"Jika terus bermain, mungkin saya mahu mencuba memainkan lagu yang lebih sentimental seperti jazz. Namun, rock masih menjadi hobi saya.


"Saya mempunyai perancangan memberi fokus lebih bersama keluarga. Mungkin saya berniaga makanan seperti ibu bapa saya yang pakar memasak laksa Johor.

"Andai ditakdirkan saya berniaga pisang goreng sekalipun, saya tetap akan meneruskan hidup. Ini bukan menunjukkan saya gagal tetap saya terima keadaan saya kini," katanya yang ditemuI ketika lawatan Persatuan Karyawan Malaysia, kelmarin.


Lawatan itu diketuai Presidennya, Datuk Freddie Fernandez bersama ahli, Datin Paduka Julie Sudiro dan Deen Maidin. Yazit juga tidak dapat menyembunyikan perasaan sedih hingga menitiskan air mata memikirkan nasibnya andai tidak dapat bermain dram lagi. Yazit yang ditemani isteri tercinta, Ramlah Ahmad sempat menunjukkan beberapa kesan di tangan kiri yang ditebuk untuk diambil darah bagi tujuan rawatan.


"Saya masih mahu berkarya walaupun perasaan takut tetap ada jika keadaan kesihatan masih teruk. Buat masa ini, saya perlu melalui proses dialisis selama empat jam sekali rawatan untuk tiga kali seminggu," katanya.


Sementara itu, wad bersebelahan iaitu wad 6B, Freddie juga mengadakan kunjungan melihat keadaan pelakon veteran, Datuk Yahya Sulong yang terlantar sakit kerana lumpuh separuh badan kiri.

Isterinya, Datin Alisah Ali berkata, suaminya mempunyai penyakit jantung dan asma sejak beberapa tahun lalu. Namun, keadaannya makin stabil selepas mendapat rawatan.


"Dia sebelum ini selalu ke klinik dan ada ubat sesuai yang membuatkan dirinya kembali cergas seperti biasa. Namun, dia sukar berjalan dan apabila terjatuh, badan sebelah kiri menjadi lumpuh.


"Sepatutnya, semalam dia boleh keluar hospital tetapi doktor menyatakan ada darah beku di kepala yang perlu dibuang. Mungkin dia ditahan dalam tempoh empat hingga lima hari lagi.


"Buat masa ini, dia masih menjalani terapi dan mempunyai peluang untuk pulih kembali kerana mampu menggerakkan tangan dan kaki.


"Selepas membintangi drama Pengantin Malam untuk siaran Astro, dia masih menerima tawaran baru tetapi terpaksa ditolak kerana tidak larat untuk berlakon.


"Ketika di hospital, ramai rakan artis yang datang menziarahinya. Begitu juga, ramai yang bermurah hati memberikan sumbangan termasuk Karyawan. Saya mengucapkan berbanyak terima kasih kepada mereka semua," katanya.


Bagi Freddie, lawatan yang diadakan sebagai tanda prihatin dan sokongan persatuan hiburan seperti Karyawan terhadap artis tempatan yang ditimpa kesusahan seperti masalah kesihatan.


"Walaupun jumlah sumbangan ini sedikit hanya RM500 setiap seorang tetapi ia sekurang-kurangnya meringankan beban mereka.


"Karyawan turut mempunyai perancangan seterusnya untuk mengadakan satu festival muzik yang bertujuan menambah wang tabung persatuan untuk menyalurkan sumbangan seperti ini.


"Untuk itu, Biro Muzik kami masih mengadakan mesyuarat untuk membincangkan acara ini yang dijangka berlangsung pada bulan depan.


"Jika usaha ini berjaya, kutipan ini dapat disalurkan kepada rakan artis lain yang berdepan masalah kesihatan termasuk mungkin menyalurkan sumbangan kepada Yazit dan Yahaya sekali lagi," katanya.

Full Feed Generated by GetFullRSS.com, sponsored by USA Best Price.