Adsense

Jumaat, 15 Oktober 2010

Berita Harian: Hip

Berita Harian: Hip


Barr di hati Sari Yanti

Posted: 14 Oct 2010 03:37 PM PDT

Hip

Kehadiran bayi lelaki ini semakin membahagiakan lagi pelakon Kisah Kaisara

TUTUR bicaranya masih santun dan manja bagaikan anak dara. Malah saat bertemu di kediaman mentuanya di Subang Jaya, Sari Yanti Mohamad Nazari itu masih diingati dengan karakter Kaisara, gadis tingkatan empat yang dipegangnya dalam drama Kisah Kaisara. Hakikatnya, anak kedua daripada tiga beradik yang kesemuanya perempuan ini sudah hampir dua tahun bergelar isteri kepada Eddy Casmady. Usianya juga sudah 26 tahun.

Lebih membahagiakan, Sari Yanti, dia sudah bergelar ibu kepada Barr Al Aliy yang berusia tiga bulan. Kalau jadi seperti yang dirancang, majlis cukur jambul cucu anaknya akan diadakan pada Ahad ini.

"Sebenarnya kehidupan kami tak lengkap lagi. Selepas ini kena tunggu kehadiran anak perempuan pula. Baru cukup sepasang," selorohnya di awal bicara sambil tersenyum menampakkan deretan gigi cantiknya.

Bagaimanapun, Sari berkata, dia bersyukur dengan apa yang dikecapinya kini. Apa lagi yang diharapkan, jika semuanya seakan dirahmati. Hubungannya dengan keluarga mentua cukup rapat. Barr juga ditatang seperti minyak yang penuh.

Setiap kali lensa kamera dibidik, maka setiap itu juga keluarga mentuanya akan bersama untuk berada di sebalik kamera bagi mencuri perhatian si comel itu supaya memberikan senyuman dan pos menarik.
"Sesuatu yang indah, yang mungkin hanya dirasai mereka bergelar ibu ialah apabila melihat perkembangan anak membesar. Melihat dia belajar senyum dan ketawa, itu sedikit sebanyak mencuit hati. Memanglah penat menjaga bayi dan ia proses biasa. Lagipun Sari tak mempunyai pembantu rumah.

"Biarpun tidur lambat, tapi awal pagi sudah kena bangun untuk menyusu badan. Kadang-kadang pukul 2.30 pagi baru tidur. Waktu tidur dan bangun itu kena ikut si kecillah. Tapi apabila menyusu anak ini, secara tak langsung kita akan rasa lapar sekali. Mujur juga suami rajin membantu. Tak payah suruh pun, sebab dia memang pandai jaga bayi.

"Menjaganya pun tak susah. Barr anak yang baik. Tak merengek. Ikutkan Sari dan suami pun bukan dilahirkan tinggi. Tapi bila dapat anak, bukan main lampai. Mungkin juga ikut bapa mentua Sari. Wajahnya pun berubah-ubah. Kejap macam wajah Sari, kejap macam bapanya," kata Sari yang berpantang di rumahnya sendiri juga di Subang Jaya sambil dibantu ibunya sendiri.

Dia juga membayangkan tidak akan menghalang pembabitan anaknya dalam dunia seni.

"Tak kisah kalau dia nak ikut jejak jadi artis atau sebaliknya. Tapi sebelum itu, dia kena bersungguh-sungguh dan tidak melakukan perkara yang bertentangan dengan ajaran Islam dalam apa jua yang ingin dilakukannya. Kalau dia dapat membanggakan keluarganya pun sudah memadai," jelas Sari Yanti.

Kini masanya memang cukup terkejar-kejar. Belum habis pantang lagi, Sari sudah kembali tugasannya sebagai pengacara Chopp! di TV9. Sari antara pengacara yang terus kekal mengacarakan program itu sejak dua tahun lalu.

Mengenai dunia lakonan, dia dijangka kembali ke arena itu sekitar hujung November.

"Tawaran berlakon itu memang ada. Tapi terpaksa tolak mengenangkan anak masih kecil. Mungkin Sari pertimbangkan sebuah drama bulan depan dan ketika itu anak pun sudah lima bulan. Dalam tempoh mengandung dan berpantang pun Sari ada ditawarkan untuk berlakon jadi hantu," katanya.

Sari berkata dia mengharapkan watak seorang psiko kerana watak sebegitu mampu menguji keupayaannya untuk menjadi dua atau lebih karakter dalam satu masa.
Begitu juga andai ditawarkan lagi watak remaja, Sari tidak menolak dan akan melakukan sebaik mungkin.

"Masalahnya, ada ke produksi dan pengarah yang nak bagi watak remaja lagi sebab sudah bergelar ibu kepada seorang anak? Tapi kalau masih ada yang memberi kepercayaan sebegitu, Sari menerimanya dengan hati terbuka. Selepas kahwin boleh dikatakan memang kurang watak remaja yang diterima.

"Selain itu, kalau dapat peluang berlakon teater, nak juga mencubanya. Sebenarnya pernah dipanggil untuk berlakon beberapa teater. Sayangnya Sari belum bersedia memberikan komitmen. Lagipun berlakon teater memerlukan masa yang panjang," katanya.

Wan Sharmila teman setia

Sepanjang tempoh dalam pantang, Sari berkata selain dilayan seperti puteri di kamar tidur oleh suaminya, dia menghabiskan masa menonton TV dan sesekali, teman akrabnya, Wan Sharmila mengunjunginya.

"Masa berpantang Sari berpeluang menonton siri drama TV yang selama ini tak berpeluang untuk ditonton. Boleh dikatakan, siri drama dari Malaysia, Thailand dan Indonesia Sari ikut. Apabila sudah dapat ikut sejak awal, sayang pula kalau terlepas. Tambah pula bilik tidur Sari sudah jadi macam hotel yang serba lengkap.

"Kalau tak menonton TV, habiskan masa melayari internet. Jangan tak tahu, 30 hari berpantang pun Sari sudah memandu kereta kerana perlu pergi ke hospital bagi melakukan pemeriksaan anak. Wan Sharmila pun kalau berkesempatan akan datang.

"Wan teman setia. Kami rapat sejak berlakon drama Kisah Kaisara. Ada masa terluang, dia datang melepak di rumah dari mengandung hinggalah sekarang. Kalau nak keluar membeli belah, dialah yang datang jemput," katanya.

INFO: Sari Yanti

  • Nama penuhnya Sari Yanti Mohamad Nazari.
  • Dilahirkan pada 9 November 1984. Anak kedua daripada tiga beradik.
  • Pemegang Diploma Pengajian Perniagaan daripada Universiti Tenaga Nasional (UNITEN).
  • Filem pertama lakonannya ialah Impak Maksima arahan Ahmad Idham.
  • Namanya lebih menonjol menerusi drama bersiri Kaisara arahan Aziz M Osman dan diterbitkan oleh Ace Motion Sdn Bhd.
  • Dalam drama ini yang disiarkan pada tahun 2007, Sari Yanti memegang watak Kisah Kaisara. Ia mengisahkan kehidupan pelajar sekolah yang bertudung.'
  • Turut berlakon dalam Kisah Kaisara ialah Norman Hakim sebagai Hasnor, Elliza Abdul Razak (Dania), Wan Sharmila Wan Muhamed (Amy) dan Farid Irwan Baharin (Aben).
  • Sari Yanti berada dalam calon Top 5 bagi kategori Artis Baru Wanita Popular di Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2008 yang turut menyenaraikan Ayu Damit, Lisa Surihani, Scha dan Stacy.
  • Sari Yanti berkahwin dengan Mohd Eddy Casmady Che Hussin. Majlis perkahwinannya diadakan di rumah keluarganya di Kuala Pilah, Negeri Sembilan pada 17 Januari 2009.

    Penghargaan: Solekan Tiar Zainal menggunakan FCC (Farmasi Colour Cosmetics) - 013-6284835).


  • Full Feed Generated by GetFullRSS.com, sponsored by USA Best Price.

    Semangat festival filem bermula

    Posted: 14 Oct 2010 03:18 PM PDT

    Hip

    MAHYIDIN (tengah) tertarik dengan Piala Festival Filem Dokumenteri Malaysia ke-2.

    MAHYIDIN (tengah) tertarik dengan Piala Festival Filem Dokumenteri Malaysia ke-2.

    Kategori Filem Dokumentari bermula esok disusuli aktiviti apresiasi dan forum perfileman

    SEBELUM semua karyawan filem berpesta pada malam kemuncak Festival Filem Malaysia ke-23 yang bakal berlangsung pada 24 Oktober depan, penggiat seni yang terbabit dalam pembikinan dokumentari akan terlebih dulu meraikan malam kegemilangan mereka di Studio Sound Stage, Finas, Hulu Klang, Selangor, malam esok.

    Pada malam itu nanti, semua karyawan terbabit diraikan dalam satu acara yang penuh gilang gemilang iaitu Festival Filem Dokumentari Malaysia ke-2. Mereka yang sebelum ini bertungkus lumus menghasilkan dokumentari terbaik akan dinobatkan sebagai pemenang untuk beberapa kategori yang disediakan penganjur. Ini bertepatan dengan hasrat mahu menggalakkan penerbitan filem dokumentari dalam kalangan penggiat seni tempatan.
    Ketua Pengarah Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS), Mohd Mahyidin Mustakim berkata, hasrat itu nampaknya sudah mula menunjukkan hasil apabila bilangan penyertaan filem dokumentari untuk festival ini meningkat.

    "Tahun lepas sebanyak 60 penyertaan diterima dan penyertaan pada kali ini meningkat sebanyak 20 penyertaan. Itu menunjukkan satu perkembangan baik terhadap penerbitan filem dokumentari itu sendiri dan kami harap, tahun depan, bilangan penyertaan akan bertambah dari semasa ke semasa," katanya pada majlis sidang media mengumumkan acara itu di FINAS.

    Tambah Mahyidin, menerusi acara ini juga, FINAS dapat mengesan dan menilai karya mana yang mampu mencapai piawaian yang ditetapkan oleh pasaran tempatan dan juga luar negara.
    "Sejak 2005, kita sudah pun menjalankan kajian mengenai filem dokumentari dari luar negara dan sejak kebelakangan ini, banyak filem dokumentari berjaya kita hasilkan.

    'Dan ada di antara topik yang kita paparkan, khususnya yang mempunyai sentuhan tempatan berjaya menarik minat penyiar antarabangsa. Menerusi kerjasama yang kami jalankan, ia memberi peluang kepada penerbit tempatan menayangkan hasil kerja mereka di luar negara dan ia juga menjadi satu motivasi buat mereka untuk menghasilkan lebih banyak filem dokumentari yang bermutu dan penuh maklumat," katanya.

    Untuk pertandingan ini, empat kategori menjadi disediakan iaitu Ilmiah/Sejarah Terbaik, Kesenian/Kebudayaan, Alam Semula Jadi/Pelancongan dan Isu Semasa/Kemasyarakatan. Setiap kategori menawarkan hadiah berupa wang tunai sebanyak RM5,000 bersama trofi dan sijil penyertaan.

    Mahyidin berkata lapan anugerah lain turut memberi tarikan iaitu Pengarah Terbaik, Sinematografi Terbaik, Penyuntingan Terbaik Keseluruhan, Skor Muzik Terbaik Keseluruhan, Skrip Terbaik dan Jurukamera Terbaik yang menyediakan hadiah wang tunai RM3,000 bersama trofi dan sijil penyertaan.

    "Bagi anugerah Dokumentari Terbaik Keseluruhan, ia dipilih menerusi karya terbaik daripada empat kategori yang dipertandingkan. Semua pemenang akan dinilai oleh lima juri profesional terdiri ahli akademik dan penggiat filem dokumentari. Sewaktu penjurian berlangsung, mereka akan memilih satu karya terbaik sebagai penerima Anugerah Khas Juri yang membawa pulang trofi kemenangan,"terangnya.

    Acara lain yang turut diadakan, Bengkel Penerbitan MCP di Studio Latihan, Finas bermula 18 hingga 22 Oktober kelolaan bekas penerbit TV3, Zaki Abd Rahim.

    Bagi penggemar filem, sebuah Apresiasi Filem Tempatan akan diadakan di Pawagam Mini P Ramlee, Finas dan akan membincangkan mengenai filem Magika bersama panel Dr Mahadi J Murat, Ku Seman Ku Hussin dan wakil kru kesan khas filem itu diadakan di lokasi yang sama pada 21 Oktober ini jam 3 petang.

    Pada keesokan harinya pula di lokasi yang sama pada jam 9.30 pagi, sebuah forum bertajuk Pembentangan Kupasan Penemuan Kajian Penonton Filem Cereka Di Malaysia turut diadakan.

    Panel yang terbabit adalah Prof Madya Dr Faridah Ibrahim, Datin Paduka Shuhaimi Baba dan Pengarang Hiburan Berita Harian, Zainuri Misfar manakala Hassan Mutalib bertindak sebagai pengerusi majlis.


    Full Feed Generated by GetFullRSS.com, sponsored by USA Best Price.