Adsense

Rabu, 10 Oktober 2012

Kosmo Online - Hiburan

Kosmo Online - Hiburan


Tuli dengan tekanan

Posted:

Tuli dengan tekanan

HAMPIR setahun pengacara dan pelakon Yasmin Hani Ismail Richardson, 33, mendirikan rumah tangga dengan bekas pemain drum kumpulan Blackrose iaitu Sha'arin Mohammed Razali Wong.

Cerita Yasmin Hani atau mesra disapa Hani ini, dia gembira hidup bersama Sha'arin.

Luahnya, jika dulu dia banyak menghabiskan masa seorang diri atau bersama teman-teman, tetapi setelah berkahwin kebanyakan aktiviti dilakukan bersama suaminya itu.

"Alhamdulillah, sejak hidup berdua, saya merasakan kehidupan saya lebih sempurna. Semua perkara dilakukan bersama suami. Misalnya seperti hobi. Kebetulan saya dan Sha'arin sama-sama suka menyelam dan melancong.

"Disebabkan itu destinasi bulan madu kami adalah di Pulau Bali dan Pulau Lembongan (sebuah pulau kecil di Bali) yang membolehkan kami menyelam ke dasar laut," ujarnya ketika ditemui pada majlis pelancaran Kempen Semarak Cinta terbitan Astro Ria di Flora Terrace, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Kenapa Pulau Lembongan di Bali? Kata Hani, tempat itu terlalu privasi dan tidak ramai yang tahu akan kewujudannya.

"Sha'arin yang cari destinasi bulan madu kami menerusi Google. Akhirnya kami sama-sama memilih pulau Lembongan yang masih belum diteroka banyak orang," jelasnya.

Ditanya soal anak, kali ini, Sha'arin pula yang menjawab. Tanpa berselindung Sha'arin memberitahu, dia dan Hani sudah bersedia memperoleh anak pada saat ini setelah hampir setahun mereka berkahwin.

Mempunyai dua orang anak menerusi perkahwinannya yang terdahulu iaitu Narissa, 26, dan Armand, 24, ungkap Sha'arin, cukuplah mereka menghabiskan masa berdua dan kini mereka merancang untuk memperoleh cahaya mata untuk mengembangkan zuriat mereka.

"Kami telah bersedia untuk membina keluarga dan tidak kisah jika kelak diberi rezeki memperoleh anak lelaki atau perempuan," ujar Sha'arin.

Hani kemudian menambah: "Bila tengok anak kawan-kawan seperti Sazzy dan Dynaz ada terdetik di hati saya untuk memiliki anak.

"Namun, saya tidak mahu terlalu tertekan memikirkannya. Saya juga tidak akan terlalu memikirkan kata-kata orang yang ingin melihat saya memiliki anak dengan cepat."


YASMIN HANI dan Sha'arin bakal menyambut ulang tahun perkahwinan mereka yang pertama pada 21 Oktober ini. Mereka bagaimanapun tidak mempunyai perancangan khusus untuk meraikan detik bersejarah tersebut.


Sementara itu, bercakap tentang sambutan ulang tahun perkahwinan yang pertama pada 21 Oktober ini, ujar Sha'arin, mereka tidak merancang untuk menyambutnya memandangkan pada tarikh terbabit dia terpaksa ke Pulau Langkawi, Kedah untuk menjayakan projek syarikatnya iaitu Blueblack Production.

"Saya terpaksa ke Langkawi untuk suatu produksi berkaitan sukan di sana," jelasnya.

Menurut Hani pula, dia tidak terasa hati kerana suaminya terpaksa keluar negeri pada hari ulang tahun pertama mereka. Ujarnya, jika tiada kekangan kerja, dia mungkin mengikut suaminya itu ke Langkawi.

Boikot

Ditebak soalan sama ada dia sedar atau tidak mengenai ada wartawan yang memboikot untuk tidak menulis kisahnya lagi selepas isu tidak menjemput wartawan ke majlis perkahwinannya, tutur Hani, dia sedar akan perkara itu.

Malah katanya, dia sedar disebabkan seorang wartawan, ada beberapa pihak media lain turut memboikotnya.

"Saya tahu ada media yang boikot saya. Apa yang terjadi adalah salah faham semata-mata. Kami memang sediakan dua meja untuk media dan tidak menjangkakan ramai media yang hadir. Bukannya kami tidak membenarkan dia masuk, cuma orang yang menjaga kedatangan itu meminta dia tunggu sekejap untuk melihat kekosongan. Bukannya dia dihalau," luahnya.

Ulas Hani, jika diikutkan dia mempunyai hak untuk berkahwin tanpa menghebahkannya kepada media supaya tidak timbul perkara seperti itu, tetapi dia tidak melakukannya.

Tidak takut popularitinya merudum disebabkan perkara itu (boikot), kata Hani, rezekinya terletak di tangan Tuhan.

"Terpulang kepada individu terbabit sama ada mahu terus memboikot saya," ujarnya lagi.

Bersedia

Meninggalkan isu boikot tersebut, Hani memberitahu pada 28 Oktober hingga 1 November ini, dia dan suaminya bakal menjejakkan kaki ke Beijing, China.

Menganggap percutian percuma itu sebagai hadiah ulang tahun perkahwinan pertama mereka, kata Hani, dia bersyukur kerana terpilih daripada 12 selebriti yang bakal menjayakan program Destinasi Cinta terbitan Astro Ria.

YASMIN HANI dan Sha'arin melayari alam rumah tangga dengan berkongsi minat yang sama iaitu gemar melancong dan menyelam.


Program selama 30 minit itu bakal menyingkap kisah bulan madu setiap selebriti yang terlibat bersama pasangan masing-masing.

"Ia adalah program yang baik. Selain dapat melancong dan melihat negara orang, ia juga dapat mengeratkan hubungan suami isteri. Selain itu, program tersebut juga memberi idea untuk pasangan bercuti ke tempat-tempat yang menarik," jelas Hani.

Ditanya adakah dia tidak kisah percutiannya bersama Sha'arin nanti akan diekori oleh lensa kamera, kata Hani, dia sudah biasa berdepan dengan kamera.

Namun bagi Sha'arin, dia akan cuba berlagak spontan dan bersedia dari segi mental apabila percutiannya bersama isteri ke Beijing nanti akan dirakamkan untuk tontonan ramai.

Peluang bertemu Sha'arin juga membuka pintu buat pihak media bertanya tentang hubungan cinta adiknya, Qushairi Razali (Qi) yang telah putus dengan penyanyi bertaraf antarabangsa, Yuna.

Kata Sha'arin, dia tidak tahu perkara tersebut (putus cinta) sehingga membacanya di akhbar.

"Saya tidak tahu hubungan mereka putus. Dia (Qi) tidak memberitahu saya. Saya tahu selepas terbaca kisah mereka dalam akhbar," katanya yang enggan mencampuri urusan peribadi adiknya sebagai tanda menghormati privasi masing-masing.

Isu payudara Cheryl Cole

Posted:

Isu payudara Cheryl Cole

CHERYL COLE


PENAMPILAN terkini anggota Girls Aloud, Cheryl Cole mula menjadi tanda tanya. Bintang berusia 29 tahun itu yang sering tampil seksi dalam siri jelajah konsertnya telah membuat banyak pihak membuat andaian bahawa dia menjalani pembedahan payudara.

Tanggapan tersebut bagaimanapun pantas dibantah oleh jurucakap penyanyi itu. Dengan tegas, jurucakap Cole memberitahu bahawa penyanyi tersebut tidak menjalani sebarang pembedahan untuk membesarkan payudaranya.

Isu Cole konon membesarkan payudara bukan pertama kali ditimbulkan. Sewaktu dia menjadi juri The X Factor beberapa tahun lalu, isu yang sama pernah muncul, namun sepi begitu sahaja kerana ia dinafikan oleh penyanyi tersebut.

Gengster versi Angah, Along

Posted:

Gengster versi Angah, Along

Oleh KHAIRIYAH HANAFI
hiburan@kosmo.com.my



SEBUAH lagi karya arahan Ismail Bob Hasim kini menggegarkan panggung dengan mempersembahkan Taikun, filem yang dikatakan merupakan genre aksi komedi pertama di Malaysia.

Mana tidaknya, jarang sekali watak gengster digalas oleh pelawak yang lebih sinonim dengan jenaka dan gelak ketawa.

Tidak hanya tertumpu kepada aksi mahupun komedi semata-mata,Taikun juga merupakan antara filem yang sarat dengan mesej-mesej berguna untuk disampaikan kepada penonton.

Apa yang pasti, penonton dikejutkan dengan pelbagai unsur suspen yang tidak disangka-sangka sepanjang tayangan filem itu.

Kurus dan gemuk

Percaturan yang menampilkan Angah Raja Lawak dan Along Cham sebagai peneraju utama ternyata satu pilihan yang tepat berdasarkan suasana gamat di dalam panggung pada majlis pratonton Taikun di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Menurut Ismail, gandingan dua orang pelawak dalam filem aksi seperti itu memberi nafas baharu serta kelainan berbanding filem-filem genre aksi sebelum ini.

"Selalunya sebut sahaja gengster, segera terbayang lelaki bertubuh sasa. Namun, dalam Taikun ada kelainan. Saya pilih seorang kurus dan seorang gemuk untuk pegang watak gengster," katanya ketika ditemui usai majlis pratonton tersebut.


ALONG dan Angah diberi kepercayaan menghidupkan karakter gengster menerusi filem Taikun.


Gandingan mereka kali ini bukan sahaja untuk membawa watak komedi, malah Angah dan Along turut diberi kepercayaan untuk membawa watak gengster yang mana mereka perlu beraksi ganas dan melakonkan babak-babak yang membabitkan lagak ngeri.

Kata Angah pula, kesemua babak lagak ngeri dan ganas yang dipaparkan menerusi Taikun dilakukannya sendiri.

"Memang kami buat sendiri semua aksi itu sepanjang sebulan penggambaran, langsung tidak guna khidmat pelakon lagak ngeri," ujarnya.

Bagi Along pula, dia mengakui semangat serta komitmen perlu tinggi untuk mengatasi cabaran berdepan dengan aksi-aksi sukar.

"Puas rasanya apabila semua aksi dapat dilakukan sendiri walaupun kadang-kadang tenaga dah kurang dan keletihan tetapi kita buat juga sebab nak kejar masa" katanya mengenai pengalamannya berlakon dalam filem ke-65 terbitan Metrowealth milik David Teo yang kini sedang hangat ditayangkan di pawagam seluruh negara itu.

Dua kumpulan gengster

Selain Angah dan Along untuk karakter utama, Taikun turut mengetengahkan lakonan Adiba Yunus, Zul Supia'an, Alex Yanz, Adey Syafrein dan Liana Rafiai.

Taikun mengisahkan dua orang kawan baik Tai (Angah Raja Lawak) dan Kun (Along Raja Lawak) yang mempunyai masalah dengan pihak berkuasa.

Sikap mereka yang suka bergaduh dan mencuri menyebabkan mereka bertembung dengan ahli-ahli Geng King Cobra dan Geng Black Rose.

Oleh kerana Tai dan Kun telah berjaya membelasah ahli kedua-dua kumpulan gengster tersebut dengan teruk, ketua Geng Black Rose, Manan (Zul Supia'an dan ketua Geng King Cobra, Sarip (Alex Yanz) tertarik dengan kehebatan mereka.

Tai dan Kun lalu dilamar untuk menyertai kumpulan gengster masing-masing oleh Manan dan Sarip.

Sikap tamak Tai dan Kun telah menyebabkan mereka menerima pelawaan kedua-dua Manan dan Sarip tanpa mengetahuan Geng Black Rose dan Geng King Cobra yang merupakan musuh ketat dan sering bergaduh selain bersaing dalam perniagaan video cakera digital (DVD) cetak rompak.