Gosip Artis Malaysia |
Jimmy Shanley dan Isteri Cerai, Tebus Talak RM1 Posted: 10 Oct 2012 07:04 PM PDT PETALING JAYA: Setelah sekian lama mengharungi konflik dalam rumah tangga, akhirnya pengacara Jimmy Shanley Norjahan Salleh dan isterinya Nursuhaila Eliani Suhaimy bercerai talak satu secara khuluk atau tebus talak dengan bayaran RM1. Lafaz cerai (khuluk) itu dilakukan di hadapan Hakim Syarie, Abd Halim Abu Samah di Mahkamah Rendah Syariah di sini pada Rabu selepas pasangan berkenaan bersetuju untuk menamatkan rumah tangga masing-masing. Abd Halim yang mendengar lafaz itu kemudian membenarkan jatuh talak satu dan mengarahkan Nursuhaila bersuci tiga kali edah. Tebus talak itu dibuat mengikut Seksyen 49 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Negeri Selangor 2003 yang difailkan Nursuhaila. Dalam prosiding itu, Nursuhaila, 26, yang merupakan plaintif bersetuju untuk menggugurkan tuntutan nafkah edah, mutaah serta hutang sementara Jimmy, 33, pula bersetuju untuk tidak membuat sebarang tuntutan berkaitan hutang di antara mereka. Peguam Syarie Sa'adiah Din yang mewakili Nursuhaila memaklumkan pihak plaintif ada menerima permohonan Jimmy untuk bersetuju menebus talak dengan nilai RM1 pada Jumaat lalu. Berikutan itu pihaknya membuat keputusan agar kes permohonan cerai secara baik yang difailkan di mahkamah syariah di sini ditarik balik termasuklah permohonan nusyuz (kembali taat) yang masih berlangsung di Mahkamah Tinggi Syariah, Shah Alam dekat sini. Sa'adiah berkata, permohonan Jimmy berhubung tuntutan hadanah iaitu hak jagaan anak Zahrah Shanley yang berusia setahun akan tetap diteruskan. Jimmy diberi hak untuk melawat anaknya yang berada dalam jagaan ibu Nursuhaila iaitu pengasas produk kecantikan Natasya, Datin Muniroh Kassim di Sungai Buloh dekat sini. Pengacara Trek Selebriti terbitan Astro itu diwakili Peguam Syarie, Mohd Noor Aizan Md Idrus. Ketika di luar mahkamah Jimmy berkata dia telah mengkhianati janji terhadap ibu mertuanya untuk tidak menceraikan Nursuhaila. "Saya telah mungkir janji kepada ibu mertua saya untuk tidak menceraikan Nursuhaila. Tapi apa nak buat minat, hobi pun tak sama," katanya. Nursuhaila bagaimanapun mengucapkan rasa syukur kerana kes berkenaan akhirnya dapat diselesaikan. Jimmy dan Nursuhaila diijabkabulkan pada 1 Oktober 2010 dengan hantaran sebanyak RM31,186 yang diambil bersempena tarikh lahir Nursuhaila yang jatuh pada 31 Januari 1986. Majlis resepsi untuk meraikan pasangan tersebut diadakan sehari selepas itu di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC). Kemelut rumah tangga mereka mula diperkatakan pada 11 November 2011. Jimmy memfailkan permohonan kembali taat dan nusyuz terhadap isterinya selepas mereka tinggal berasingan sejak 21 Oktober 2010. - --- |
Zaiton Sameon Kurang Senang Adegan Tidak Siuman Posted: 10 Oct 2012 01:48 AM PDT PETALING JAYA: Penyanyi popular era 80-an, Zaiton Sameon secara peribadi berasa kurang senang dengan jalan cerita yang dipaparkan menerusi filem biografi yang memaparkan kisahnya iaitu Zaiton Ceritaku. Zaiton, 55, berkata, ada beberapa perkara dalam filem itu tidak ditapis seperti adegan yang menunjukkan dia kurang siuman termasuklah babak ketika dia berada di tempat kejadian ketika kematian ibu serta yang berkaitan keluarga. "Semuanya sudah selesai (filem sudah siap), jadi tak ada apa yang boleh saya katakan lagi walaupun ada beberapa perkara dalam filem itu yang kurang saya gemari," katanya. Zaiton berkata demikian sewaktu ditemui selepas tayangan media filem Zaiton Ceritaku di sini pada Selasa. Penyanyi yang popular dengan lagu Menaruh Harapan itu menjelaskan pihak produksi filem berkenaan tidak berjumpa dengannya ketika proses penulisan skrip sehinggalah dia diminta menandatangani satu kontrak perjanjian. Katanya, faktor ingatan yang begitu lemah ketika itu telah mendorongnya untuk menandatangani perjanjian berkenaan dan seterusnya bersetuju untuk filem tersebut dihasilkan. Bagaimanapun jelas Zaiton, secara keseluruhan dia berpuas hati dengan penghasilan filem tersebut walaupun ia tidak semua menepati jangkaannya. Filem tersebut merupakan arahan pertama pelakon Esma Daniel dan akan ditayangkan bermula 1 November depan. Ia diterbitkan oleh Bruang Filem Sdn Bhd. Antara pelakon yang terlibat dalam karya tersebut ialah Nadia Aqilah, Sahronizam Noor, Karl Shafek, Arash Mohamad, Norlia Ghani dan Fazlina Ahmad Daud. Sementara itu dalam perkembangan berkaitan Zaiton mengakui tersentuh hati dan berasa sebak selepas menyaksikan babak-babak yang memaparkan watak Allahyarham anak lelakinya Azirwan Abu Bakar. Katanya, adegan berkenaan mengingatkan semula kepada kemalangan ngeri yang menimpanya pada 21 Februari 1990 sehingga meragut nyawa anak tunggalnya yang berusia 13 tahun ketika itu. "Saya sebak apabila mengimbas kembali detik-detik kemalangan sehingga mengorbankan nyawa anak saya," katanya. Zaiton ditimpa kemalangan ngeri di Jalan Kuala Lumpur-Ipoh dekat Batang Kali dekat sini, ketika dalam perjalanan pulang dari Kuala Ketil, Kedah menuju ke Kuala Lumpur selepas mengadakan persembahan. Selain kehilangan anaknya, Zaiton yang cedera teruk pada leher dan kaki terlantar koma selama enam bulan. Turut terkorban dalam kemalangan itu adalah pemuzik pengiringnya, Ismail Shaari, 20. - --- |
You are subscribed to email updates from Gosip Artis Malaysia To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |