Berita Harian: Hip |
Posted: 09 Oct 2012 04:26 PM PDT Hanez Suraya nafi sombong dengan Amy Search BAGAI bertimpa kontroversi si pelakon muda, Hanez Suraya bermula isu foto dirinya bermesra bersama beberapa rakan lelaki tersebar di internet, baru-baru ini. Terkini, Hanez dicop berlagak diva gara-gara kejadian di belakang pentas majlis Anugerah Blokbuster 2011 di Shah Alam, Sabtu lalu. Dalam kejadian itu, aktres berusia 27 tahun ini dikatakan bersikap sombong apabila tidak menghiraukan penyanyi Amy Search. Hanez juga dikatakan tidak melemparkan senyuman kepada Amy hingga ikon rock negara itu meluahkan rasa kesal terhadap Hanez menerusi Twitter. Luah pelakon yang selesa disapa Hanez, tidak terlintas dalam fikirannya untuk berlagak dengan sesiapapun - apatah lagi penghibur lagenda seperti Amy yang dihormatinya.Enggan mengeruhkan keadaan, kekasih Awi Rafael itu meminta maaf secara terbuka sekiranya pelakuan atau sikapnya yang kurang menyenangkan membuatkan Amy berkecil hati. "Dengan rendah diri saya minta maaf atas kekhilafan diri. Saya tidak pernah terniat untuk menyombong dengan sesiapa. Mungkin rasa segan yang menebal berdepan dengan penghibur tersohor sepertinya membuatkan saya tidak menegurnya," luahnya kepada HIP. Dididik hormat golongan berusia "Sejak kecil saya sudah dididik supaya menghormati insan lebih berusia. Jadi sudah tentu, ketika mula-mula sampai untuk sesi latihan majlis itu, saya senyum dan bersalaman dengan semua orang termasuk abang Amy. Barangkali abang Amy tak perasan. "Malah, ketika di belakang pentas, saya bersama artis lain termasuk Nabila Huda mengikuti perjalanan majlis menerusi monitor beramai-ramai," katanya menjelaskan keadaan ketika dipertanggungjawabkan menjadi penyampai trofi pada malam itu. "Cuma pada malam itu, mungkin disebabkan kes kehilangan bimbit membuatkan saya tertekan hingga barangkali terserlah riak wajah yang membuatkan orang tersalah sangka. Namun, selepas menemui telefon bimbit itu, saya kembali tenang," katanya. Ditanya apakah dia terkejut apabila dilabel bersikap kontras dengan imej dipaparkan, Hanez menambah, dia menganggap luahan Amy umpama teguran seorang abang yang lebih berpengalaman. Dakwa diri jadi mangsa Ditanya kisah foto mesranya dengan beberapa lelaki dipaparkan di sebuah portal, nada suara Hanez agak berubah. Namun, nadanya kembali tegas ketika berkongsi cerita. Hanez akui sekeping gambar mampu menceritakan 1,001 kisah tetapi ia bersandarkan persepsi orang yang melihat. Dia berkata, setiap orang punya sejarah silam. Namun, ia tidak perlu diungkit semata-mata mahu menunjukkan keburukan mereka apatah lagi selepas diri berubah. Lebih membuatkan dirinya terkilan ialah gambar sama dipaparkan berulang kali. Ini kata Hanez, menunjukkan individu atau pihak yang terbabit menyebarkannya seakan sengaja mencari kesilapan dirinya. "Semua itu cerita lama. Saya sudah berubah dan saya harap penyebar gambar itu dapat menerima perubahan ini. Sokonglah perubahan ini bukannya mengorek kisah dulu. Ini kerana setiap insan akan melalui evolusi hidup yang punya hitam putihnya. "Janganlah kerana saya nampak mudah mesra ada individu cuba mengambil peluang. Diam tidak bererti saya berhenti bersuara, cuma saya malas mahu mengulas bimbang isu sama tidak berkesudahan," katanya yang kini lebih berhati-hati dalam menjaga pertuturan dan pelakuan. Pelakon Dendam Pencinta itu bersyukur apabila kekasihnya juga tidak cepat melatah apabila berhadapan situasi itu. Malah buah hatinya sentiasa menitipkan kata-kata semangat apatah lagi masing-masing membuka buku baru dalam lembaran hidup. |
Bunohan calon awal Anugerah Academy Posted: 09 Oct 2012 04:24 PM PDT Layak dinilai juri rebut trofi kategori Filem Bahasa Asing Terbaik Filem Bunohan turut disenaraikan dalam pencalonan awal merebut trofi Filem Bahasa Asing Terbaik, Anugerah Academy ke-85, yang bakal berlangsung di Los Angeles, Februari tahun depan. Filem arahan Dain Said itu muncul judul kedua dari Malaysia yang tersenarai untuk merebut lima tempat teratas bagi kategori berkenaan pada anugerah perfileman tersohor anjuran The Academy of Motion Picture Arts and Sciences (AMPAS), mengikut jejak Puteri Gunung Ledang (PGL) yang mewakili Malaysia pada 2004. Produser filem berkenaan, Nandita Solomon, berkata dia begitu gembira apabila mendapat berita yang dianggap cukup istimewa itu.Tambahan pula, filem yang ditayangkan di negara ini pada Mac lalu itu dicalonkan pada anugerah ternama lagi berprestij, yang secara tidak langsung membantu memperkenalkan lagi nama Malaysia kepada dunia. Sebagai penerbit, Nandita berharap pencalonan berkenaan membuahkan hasil terbaik buat industri perfileman negara. "Inilah kali kedua filem dari Malaysia dicalonkan untuk anugerah Oscar. Kalau ada rezeki, ia pasti mampu menaikkan imej filem Malaysia. Walau bagaimanapun, rezeki bukanlah ditentukan oleh kita," katanya yang kini berada di Korea bersama Dain. Cabaran 71 negara Bunohan yang dibintangi Faizal Hussein, Zahiril Adzim, Pekin Ibrahim dan Wan Hanafi Su mengisahkan keruntuhan hubungan kekeluargaan tiga beradik, Adil (Zahiril), peninju yang melarikan diri dari gelanggang tomoi di Thailand sebelum menyembunyikan diri di kampung halamannya; Bakar (Pekin), guru yang juga ahli perniagaan licik merancang strategi mahu menjual tanah milik keluarga untuk pembangunan pusat peranginan; dan Ilham (Faizal), pembunuh upahan penuh misteri yang lebih dua dekad meninggalkan kampungnya. Bertemu di Bunohan, mereka terperangkap dan sesat dalam agenda masing-masing. Antara filem daripada 71 negara yang tersenarai untuk penilaian juri bagi kategori filem asing Anugerah Academy ialah The Patience Stone dari Afghanistan, Lore (Australia), Pleasure Boy Komola (Bangladesh), Children of Sarajevo (Bosnia and Herzegovina), Lost Loves (Kemboja), Barfi! (India), The Dancer (Indonesia), When I Saw You (Palestin), Already Famous (Singapura) dan Headshot (Thailand). Undian secara elektronik Selain itu, inilah kali pertama sepanjang penganjurannya anugerah berkenaan membenarkan ahlinya membuat undian secara elektronik di bawah pemerhatian PricewaterhouseCoopers (PwC) dan Everybody Counts. Proses pengundian secara elektronik ini mengambil masa lebih daripada setahun untuk dibangunkan penganjur. Bagi memastikan proses undian berjalan lancar, penganjur turut memilih kumpulan fokus bagi tujuan penyelidikan, supaya sistem undian ini boleh digunakan secara lancar dan meluas. Malah, buat sekian kalinya, filem yang dicalonkan juga dapat disaksikan lima hari lebih awal daripada hari pengumuman, berbanding sebelum ini, bagi memberi peluang kepada masyarakat dan ahli Academy menonton filem yang dicalonkan, iaitu pada 10 Januari tahun depan. Pihak Academy juga menggunakan beberapa sumber undian, seperti pemasangan stesen mengundi di Los Angeles, New York dan London, membuka talian telefon bantuan 24-jam sepanjang tempoh mengundi dan penggunaan kertas undi. Namun bagi pencalonan awal, ahli di bawah Academy akan terus mengundi melalui kertas undian dalam lapan kategori dan antara kategori terbabit ialah Filem Animasi, Filem Pendek Animasi, Filem Pendek, Filem Dokumentari Rencana, Filem Pendek Subjek Dokumentari, Filem Bahasa Asing, Solekan dan Dandanan Rambut serta Kesan Visual. Majlis gilang-gemilang itu akan diadakan di The Dolby Theatre di Hollywood & Highland Center, Hollywood, dan akan disiarkan secara rasmi oleh ABC Television Network selama 90 minit. |
You are subscribed to email updates from Berita Harian: Hip To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |