Adsense

Isnin, 10 September 2012

Gosip Artis Malaysia

Gosip Artis Malaysia


Haiza Dapat Bayi Lelaki Selepas Lima Tahun Kahwin

Posted: 10 Sep 2012 12:55 AM PDT

Haiza dan suaminya Norhanaphe gembira mendapat bayi lelaki selepas lima tahun berkahwin.
KUALA LUMPUR: Penyanyi Haiza atau nama sebenarnya Rohaizah Nordin, 32, selamat melahirkan bayi lelaki di Pusat Pakar, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Cheras di sini malam Ahad.
Bayi seberat 3.07 kilogram itu lahir secara normal kira-kira pukul 8.37 malam dan diberikan nama Nur Iman Syafie.
Haiza berkata, dia dimasukkan ke pusat perubatan itu kira-kira pukul 1 petang hari yang sama selepas mengalami kesakitan ketika di rumah.
Katanya nama Nur Iman Syafie dipilih selepas dia dan suami Norhanaphe Omar, 32, mengetahui jantina anak mereka itu selepas beberapa bulan mengandung.
Cahaya mata pertama Haiza dan suami, Nur Iman Syafie.
"Nur Iman Syafie bermakna cahaya keimanan. Saya dan suami berharap anak kami ini akan menjadi orang yang beriman," katanya sewaktu ditemui di pusat pakar itu di sini, malam Ahad.
Sementara Haiza berkata, dia amat bersyukur kerana selepas lima tahun mendirikan rumah tangga, akhirnya Allah mengurniakan zuriat buat mereka selepas puas berusaha.
"Zuriat ini amat bermakna buat saya dan suami. Syukur kepada Allah," katanya.
Haiza yang popular dengan lagu terbaharu berjudul Semalam bercuti daripada sebarang pertunjukan pentas dan akan kembali aktif selepas tempoh berpantang.
Haiza dan Norhanaphe mendirikan rumah tangga pada 24 Ogos 2007.
- ---

Lan Kristal Tidak Kongkong Kehendak Anak

Posted: 10 Sep 2012 12:51 AM PDT

Lan dan isterinya bahagia di samping dua anak-anak mereka. Foto NORAFIFI EHSAN
KUALA LUMPUR: Walaupun berjiwa rock, vokalis kumpulan Kristal, Lan, tidak pernah berasa kekok mahupun sukar dalam menguruskan dua anaknya iaitu Nur Amna Qaleesya, 2, dan Nur Amna Qeesyara, berusia tiga bulan.
Lan atau nama sebenarnya Razlan Mohamed Yosof berkata, hampir 70 peratus daripada masanya akan dihabiskan dengan kedua-dua anaknya itu, malah dia akan membawa mereka ke mana-mana sahaja walaupun sibuk memenuhi undangan nyanyian.
"Menjaga budak-budak bukanlah satu masalah buat saya. Malah anak-anak sentiasa mengikut saya ke mana-mana saja saya pergi termasuklah ke tempat Kristal mengadakan persembahan pentas.
"Seronok sebenarnya apabila dapat bersama-sama mereka. Saya mahu menyuntik semangat kekeluargaan dalam diri anak-anak, barulah ikatan bukan sahaja antara ibu bapa dan anak, tetapi dengan saudara mara lain akan lebih kuat," katanya.
Lan ditemui pada majlis rumah terbuka yang dilakukan bersama upacara cukur jambul Qeesyara dan sambutan ulang tahun Qaleesya yang ke-2 di Akademi perubatan, di sini, Ahad.
Tambah Lan, kehadiran kedua-dua anak itu dalam rumah tangganya bersama isteri, Nur Sheila Hassim juga telah membuatkan kehidupan mereka lebih bahagia daripada biasa.
Sementara itu, ditanya adakah Lan akan melarang anak-anaknya menceburi bidang muzik pada masa hadapan, dia tidak akan menghalang keinginan yang mahu dilakukan mereka apabila besar nanti.
"Minat orang, kita tak boleh nak halang. Begitu juga dengan anak-anak. Dan kalau nak risau tentang perkara negatif dalam industri hiburan, rasanya, mana-mana profesion sekalipun, ada negatifnya juga.
"Yang penting, mereka mesti dibimbing supaya tidak tersasar daripada kerja yang dilakukan. Saya tak mahu kongkong anak-anak.
"Setakat ini, saya lihat, Qaleesya mempunyai minat yang mendalam dalam nyanyian, tapi tak tahulah besar nanti, apa minat dia pula," ujarnya.
Dalam perkembangan lain Lan bersama kumpulannya, Kristal baru sahaja muncul dengan album saduran terbaru iaitu Jom Agogo yang telah pun dipasarkan pada dua bulan lalu.
Mereka juga sedang merancang untuk menghasilkan sebuah album yang menampilkan lagu-lagu baru pula dalam masa terdekat ini.
- ---

Zul Huzaimy Terkejut Dakwaan Rujuk Bekas Isteri

Posted: 10 Sep 2012 12:35 AM PDT

Zul Huzaimy dan anaknya, Awal.
PETALING JAYA: Pelakon Zul Huzaimy terkejut apabila dikatakan telah rujuk kembali dengan bekas isterinya iaitu Nor Dalilah Muhammad, 29, seperti yang dilaporkan dalam sebuah akhbar mingguan pada Ahad.
Zul atau nama sebenarnya Zul Huzaimy Marzuki, 34, berkata, dia dan Dalilah tiada lagi sebarang ikatan melainkan berhubung mengenai anak mereka, Awal Haziq yang berusia enam tahun.
"Berita yang ditulis pada akhbar itu adalah 100 peratus tidak benar. Kami sudah tidak ada apa-apa hubungan lagi. Kami berbaik pun kerana anak. Masing-masing sudah mempunyai kehidupan sendiri.
"Tambah pula Dalilah akan mendirikan rumah tangga pada Disember depan dan dia yang tidak ada kaitan pun dalam industri ini pula yang dapat malu kerana laporan itu.
"Apa yang keluarga sebelah pihak tunangnya akan cakap nanti jika mereka mendapat tahu tentang perkara ini?" soalnya ketika dihubungi  di sini, pada Ahad.
Dalilah bersama anaknya, Awal. Foto - Facebook milik Dalilah.
Dalam artikel tersebut, Zul dan Dalilah dikatakan sudah tinggal bersama semula di Bangi dekat sini selepas melalui kemelut rumah tangga yang berpanjangan.
Malah, Dalilah turut dikatakan sedang hamil anak kedua.
Sementara itu, Dalilah yang dihubungi melalui ruang komunikasi 'Whatsapp' berkata, berita tersebut benar-benar memalukannya dan keluarga, sedangkan dia kini menjadi tunangan orang dan bakal mendirikan rumah tangga tidak lama lagi.
"Buat masa ini, tunang saya tidak tahu lagi tentang perkara ini dan saya tak tahu nak terangkan kepada dia macam mana. Sudahlah saya ini ibu tunggal dan difitnah dengan perkara sebegini. Apa pula kata keluarga pihak dia nanti.
"Pelik rasanya daripada mana penulis berkenaan mendapat informasi yang tidak betul itu. Harap-harap tidak ada yang mendengki.
"Saya harap, dengan penjelasan ini, tidak ada lagi isu serupa berulang lagi," katanya.
Zul dan Dalilah telah mendirikan rumah tangga pada tahun 2005. Bagaimanapun, perkahwinan mereka gagal dipertahankan dan bercerai talak dua pada 1 Julai 2010 di Mahkamah Rendah Syariah, Kajang.
- ---

Keluarga Tidak Pernah Bincang Perkahwinan Anne dan Aliff Aziz

Posted: 10 Sep 2012 12:27 AM PDT

Darling berpendapat Anne dan Aliff lebih sesuai sebagai kawan.
PETALING JAYA: Kakak kepada pelakon Anne Ngasri iaitu Darling Ngasri memberitahu tiada perbincangan mengenai perkahwinan melibatkan adiknya dengan penyanyi Singapura, Aliff Aziz seperti yang diperkatakan.
Darling atau nama sebenarnya Nasreen Ngasri, 29, berkata, keluarga kedua-dua belah pihak tidak pernah berbual mengenai isu itu dan menganggap ia adalah gosip semata mata.
"Tidak benar keluarga kami telah berbincang mengenai perkahwinan Anne dan Aliff," katanya.
Darling juga enggan mengulas kononnya perhubungan Anne dan Aliff tidak direstui keluarga penyanyi yang terkenal dengan lagu Jangan Ganggu Pacarku itu.
Dalam pada itu, Darling berkata, dia lebih suka melihat adiknya itu berkawan sahaja dengan Aliff kerana pada pengamatannya mereka lebih sesuai menjadi sahabat.
Aliff dan Anne mula intim sejak menjalani penggambaran 'Antara Kita' pada Januari lalu.
Katanya masih terlalu awal untuk pasangan itu memikirkan soal perkahwinan kerana masing-masing masih diperingkat awal perkenalan.
"Saya sebagai seorang kakak melihat hubungan mereka lebih sesuai sebagai sahabat dan tidak lebih daripada itu dan adalah lebih baik mereka memberi fokus kepada kerjaya masing-masing. Bagaiamanapun jika ada jodoh diantara mereka itu adalah ketentuan.
"Saya secara dasarnya tidak boleh menghalang atau melarang dan itu sekadar pendapat saya sebagai orang paling dekat dengan Anne," ujarnya.
Tambah Darling, dia melihat Aliff sebagai seorang penyanyi dan pelakon berbakat dan atas sebab itu dia mengambilnya berlakon dalam drama terbitan syarikatnya Nasreen Pictures di samping Anne.
- ---