Adsense

Isnin, 10 September 2012

Berita Harian: Hip

Berita Harian: Hip


Nafi cerai

Posted: 09 Sep 2012 03:30 PM PDT

Penyampai radio Hot FM, Kieran, atau nama sebenar Maskiran Jakiran, 34, menafikan sudah menceraikan isterinya, Yang Azliyang Mohd Yunus, 31, sebaliknya mengakui hanya tidak tinggal sebumbung sejak tiga bulan lalu bagi mencari penyelesaian.

Katanya, gosip perceraian seperti dilaporkan beberapa media sememangnya tidak pernah berlaku membuatkan sedikit sebanyak kisah yang digembar-gemburkan itu mengganggu emosi mereka.

"Hingga saat ini kami masih suami-isteri kerana saya belum melafazkan apa-apa. Mungkin orang salah sangka dengan kunjungan kami ke Mahkamah Syariah Shah Alam pada 31 Julai lalu.
"Jujur saya akui, dalam keadaan fikiran kusut kami mahu memfailkan permohonan, tetapi di atas nasihat Hakim yang meminta kami bertenang dulu, hasrat itu dibatalkan apatah lagi ketika itu hanya beberapa hari saja kita akan menyambut Syawal.

"Mujur isteri memahami yang berita perceraian ini sekadar tanggapan sesetengah pihak dan kami sebenarnya sedang dalam proses mencari jalan penyelesaian, malah saya sendiri seboleh-bolehnya tidak mahu perkara ini (cerai) berlaku," kata bapa kepada Muhammad Adam, 3, dan Muhammad Iman, 2.

Tiada dendam

Dedah pengacara Kaki Bola itu, majikan sendiri tidak mengetahui masalah rumah tangganya hingga dia meminta cuti dua hari untuk ke mahkamah yang kebetulan serentak dengan majlis buka puasa Hot FM.
Walau kesal dengan kisah tidak benar yang dihebahkan, Kieran tidak berdendam, sebaliknya berharap orang ramai mendoakan perkahwinannya dengan Yang Azliyang yang sudah memasuki tahun keempat terus utuh.

Tambahnya lagi, sudah pasti kasih sayang terhadap isteri masih membara, membuatkannya berusaha memperbaiki keadaan. Namun andai ditakdirkan jodoh mereka tidak panjang, dia reda dengan ketentuan Tuhan.

Cuma paling penting kini ialah kebajikan buah cinta mereka, apatah lagi sebagai insan yang pernah melalui kehidupan dibesarkan ibu tunggal, dia enggan mereka juga berdepan situasi sama.

Tak elok dedah punca

"Ibu bapa saya berpisah ketika saya masih kecil. Seboleh-bolehnya saya tidak mahu anak kami pula melalui pengalaman sama. Siapa pun dalam dunia ini tidak inginkan perpisahan dan mengimpikan kebahagiaan berkeluarga, tidak terkecuali saya.

"Apa pun syukur walau tidak sebumbung, kami masih kerap berjumpa dan makan bersama. Malah baru minggu lalu, saya,isteri dan anak-anak keluar ke restoran kegemaran kami membincangkan sambutan ulang tahun kedua anak bongsu kami pada 18 September ini.

"Namun jika ditanya punca permasalahan yang melanda rumah tangga kami,biarlah ia hanya antara saya dan isteri kerana kurang manis untuk didedahkan kepada umum," katanya.

Muara Hati Siti, Hafiz menjadi

Posted: 09 Sep 2012 03:28 PM PDT

Bagaikan satu kemestian ketika ini apabila syarikat produksi berusaha menampilkan lagu latar menarik untuk menghiasi filem ataupun drama terbitan mereka. Bak kata pepatah, untung batu timbul, untung sabut tenggelam, jika lagu yang diselitkan itu popular, tempiasnya akan berjangkit kepada filem atau drama berkenaan.

Lihat saja apa yang berlaku terhadap lagu Ombak Rindu, yang popularitinya sama naik dengan filem yang menggunakan judul sama. Jika kena gaya cara mempromosikannya, tidak mustahil lagu latar sebenarnya mampu menaikkan populariti sesebuah hasil karya itu.

Terbaru, sebuah lagi lagu yang dihasilkan untuk dijadikan runut bunyi sebuah drama bersiri berjaya mencetuskan fenomena tersendiri. Bukan saja mempunyai melodi menarik serta lirik menyentuh perasaan, ia juga dinyanyikan dua pemilik vokal hebat.
Ketika ini, lagu Muara Hati nyanyian Datuk Siti Nurhaliza dan Hafiz yang dijadikan lagu latar drama rantaian Adam & Hawa begitu pantas mendaki carta populariti apabila lagu ciptaan Manusia Putih itu sedang rancak diputarkan di corong radio.

Mengulas perkembangan positif itu, Siti mengakui teruja apabila lagu duet berkenaan diterima dengan baik oleh peminat, meskipun ada cakap-cakap nakal yang mengatakan lagu itu mempunyai persamaan dengan lagu Ombak Rindu, hanya kerana ia sekali lagi dinyanyikan Hafiz.

"Walaupun Hafiz turut menyanyikan kedua-dua lagu ini, tapi dari segi melodi dan juga corak penyampaian adalah berbeza.

Siti dan Hafiz cuba memberikan kelainan dalam nyanyian kerana mahu menyuntik rasa yang lebih mantap. Pendengar dapat rasai perbezaan itu," kata Siti ketika dihubungi Hip, baru-baru ini.
Sementara itu, bagi bekas juara Akademi Fantasia musim ketujuh, Hafiz, untuk menghasilkan lagu terbabit, penciptanya terpaksa mengumpulkan mereka berdua untuk memberikan penerangan secara ringkas cara nyanyian yang dikehendaki.

"Perbezaan julat vokal yang berbeza membuatkan kami perlu menyeimbangkan nyanyian supaya tidak kedengaran seperti beradu suara. Sebaliknya masing-masing menggunakan kreativiti serta pengalaman yang ada untuk menghasilkan melodi nyanyian yang bukan saja seimbang tetapi menyentuh hati pendengar," kata Hafiz.

Memandangkan lagu ini memang popular, tidak mustahil ada pihak yang mahukan lagu ini untuk dipertandingkan. Apakah kedua-dua mereka sudi mempertimbangkan permintaan itu?

"Buat masa ini kami belum memutuskan untuk mempertandingkan Muara Hati atau tidak.

Kami hanya melakukan yang terbaik kerana itulah prinsip kami apabila membuat sesuatu kerja.

Tengoklah nanti macam mana, kerana buat masa ini Siti tidak berani untuk menjanjikan apaapa," kata Siti.