Adsense

Isnin, 21 Mei 2012

Harian Metro: Rap

Harian Metro: Rap


Ikhlas dan tidak hipokrit

Posted: 20 May 2012 06:04 AM PDT

MELIHAT pada gaya dan penampilan serta pesona si pemilik wajah jelita ini, persepsi pertamanya tentunya lekas menjatuh hukum kononnya dia seorang yang sombong dan sukar didekati.

Namun sebaik bibirnya menyusun kata, apa yang difikirkan awal tadi semuanya berubah. Nur Anzalna Md Nasir seorang yang 'gila-gila' dan rendah diri.
Mendengar saja ketawanya yang tidak henti, pasti si empunya susuk tubuh menggiurkan ini adalah gadis yang begitu mudah untuk dibawa bersembang.


Bertemu dengannya yang juga finalis pertandingan Dewi Remaja 2010, petang Selasa lalu di majlis sidang media drama terbaru lakonannya, Indera Joned, Anzalna menjawab persoalan akan tindakannya yang semakin berani mendedahkan kekasihnya kepada umum.

Baik di gambar utama laman sosial Twitter miliknya, tampil bersama di majlis anugerah mahupun yang terbaru menghiasi muka depan sebuah majalah, pelakon muda ini bagai tidak kisah akan pandangan sekeliling atau spekulasi yang mungkin timbul dengan bersandar pada statusnya sebagai selebriti.

Katanya yang menyifatkan tindakan itu tidak salah atau menyakiti hati sesiapa, Anzalna yang kini berusia 24 tahun sebaliknya percaya dengan keikhlasan hatinya untuk berkongsi cerita bersama peminat dan tidak sekali berahsia semata-mata ingin menjaga reputasi.

"Mustahil untuk saya berbohong atau menyembunyi kisah bahagia mengenai saya.
Mengapa pula saya perlu berbuat demikian sedangkan ia tidak salah atau menyakiti hati sesiapa. Kami pun bukannya membuatkan sesuatu yang salah sebaliknya hanya berkawan dan dilihat keluar bersama. Malah saya yakin peminat saya faham dan tidak timbul soal muak atau keterlaluan.

"Mereka sendiri yang ingin tahu mengenai peribadi saya. Justeru apa salahnya jika saya kongsi saja perkara baik seperti ini," katanya.

Tambah Anzalna yang sebelum ini dikenali menerusi drama siri Suria Di Cardoba, Ramadan Terakhir dan Gemersik Kalbu, soal menayangkan kekasih tidak lagi menjadi isu kononnya peminat lelaki akan lari atau ada segelintir mereka akan muak. Apatah lagi ada pula persepsi yang pihak produksi atau penerbit yang tidak berminat untuk menawarkannya watak hanya kerana meluat dengan kisah peribadi yang terpampang luas.

"Saya tidak pernah merasakan begitu walaupun memang ada juga terdengar orang-orang yang melontar pendapat sebegitu. Kelakarnya peminat akan lari apabila mendengar pelakon kegemaran mereka sudah berpunya. Itu semua tidak benar kerana peminat hari ini sudah bijak menilai dan hanya melihat bakat serta perkembangan seseorang artis itu saja bukannya peribadi.

"Bagaimanapun saya tidak juga mengatakan ini satu lesen untuk saya terus berhimpit dengan kekasih setiap masa. Saya sedar akan status pendatang baru yang mana saya seharusnya meletak sepenuh fokus dalam membina nama dan kerjaya.
Itu memang menjadi keutamaan saya namun ia tidak bermakna saya harus berbohong.

"Malah sebelum ini pun bukannya dia sengaja ingin mengikut saya, sebaliknya saya sendiri yang meminta pertolongannya untuk menemani ke beberapa majlis.
Jika diberi pilihan, dia sendiri pun tidak mahu kerana segan untuk wajahnya dirakam sekali dalam lapangan yang bukan kerjayanya. Kelakarnya, dia bimbang kalau ada pihak mengatakan kononnya dia juga ingin menumpang populariti sedangkan itu semua tidak pernah berlaku.

"Maklumlah selama ini, saya hanya ditemani keluarga saja ke mana-mana. Namun jika mereka tidak dapat menemani saya, itu yang Hanif akan datang membantu. Itu saja, bukannya sengaja untuk saya mendedahkan kekasih kepada umum," katanya.

Berkenalan hampir setahun dengan jejaka tampan berusia 24 tahun, Mohamad Hanif Mohamad Zaki jelas mengundang rasa bahagia di hatinya.

"Alhamdulillah saya dipertemukan dengan seorang lelaki yang begitu menghormati dan memahami saya. Hanif adalah kekasih yang bukan sekadar menyayangi, namun dia juga menjadi pendengar dan peminat setia saya. Saya bahagia dan bersyukur kerana diberikan seorang sahabat yang memberikan semangat juga kekasih yang menemani saya di kala gembira dan berduka.

"Mungkin kerana saya bukan jenis yang bersosial dan kerana sentiasa berpindah-randah sejak kecil mengikut ayah bekerja membuatkan saya tidak pernah mempunyai teman rapat, jadi kerana itu juga saya banyak menghabiskan masa bersama keluarga dan kekasih saja. Itu saja keseronokan yang ada buat saya setiap kali punya kelapangan.

"Namun belum lagi ke tahap kami merancang untuk melangkah ke fasa seterusnya kerana masing-masing masih sibuk membina kerjaya. Lagipun banyak lagi yang perlu kami fikirkan bersama sebelum sibuk memikirkan soal kahwin. Biarlah kami berkenalan lebih lama lagi, mengenali hati budi masing-masing dan mencari keserasian antara satu sama lain.

"Insya-Allah jika diberi rezeki dan jodoh itu sudah tiba, pastinya saya akan berkongsi bersama peminat nanti," katanya yang mengakui ingin menamatkan zaman anak daranya sebelum berusia 26 tahun.

Indera Joned cabaran berbeza

MENEMUI Anzalna yang sudah pun habis penggambaran tiga filem termasuk Sepah The Movie dan Dr K Kahwin Lima di majlis sidang media drama terbaru lakonannya, Indera Joned petang minggu lalu memperlihatkan sudut lakonan yang berbeza daripadanya.

Menghidupkan watak seorang doktor, Sara dalam drama siri yang turut dibintangi pelakon muda lain seperti Aiman Hakim Redza, Puteri Sarah, Hairul Azreen, Syazwan Zulkifli dan Qushairi Razali, Anzalna percaya watak kali ini memberikan sesuatu yang berlainan buatnya untuk sebuah drama siri televisyen.

"Bukan sekadar pada watak saya saja, malah jujurnya drama siri yang diarahkan Fairuz Loy ini cukup menarik dari aspek plot ceritanya. Bayangkan, Indera Joned mengisahkan perjalanan sekumpulan anak muda dalam menjalankan satu misi, namun berlainan objektif yang masing-masing sebenarnya ada motif tersendiri hingga akhirnya memerangkap kesemua dalam satu situasi yang sama.

"Kononnya saya bersama beberapa teman yang lain dengan latar belakang berbeza mengikuti rombongan bagi membongkar mitos lama dan melakukan aktiviti ekskavasi di kawasan Bukit Bunuh yang dipercayai tempat sumpahan Indera Joned yang juga seorang legenda penjaga harta berharga zaman-zaman dulu.

"Namun tujuan dan misi kami mendapat tentangan penduduk kampung kerana bimbang mitos dan harga berharga itu akan diganggu oleh orang luar. Namun ada seorang anak muda di kampung itu yang sudi membantu kami menunjukkan arah ke Bukit Bunuh itu iaitu Epul lakonan Aiman. Lama-kelamaan Epul mula jatuh hati kepada Sara.

"Kiranya drama siri mengangkat tema mitos lama dengan gelagat sekumpulan anak muda yang bergelut dengan misi masing-masing. Ada juga elemen cinta yang diselit antara Sara dan Epul sebelum pengarahan drama ini lebih berfokus pada watak Indera Joned yang menjelma kembali dalam pengembaraan kami ini.

"Sejak awal membaca skripnya lagi, saya sudah dapat membayangkan keseronokan dalam pengembaraan drama ini kerana setiap watak yang dihidupkan punya kekuatan tersendiri," katanya.

Drama siri 13 episod terbitan Grand Brilliance ini akan mula ditayangkan malam ini menerusi slot Aksi, setiap Isnin jam 9 malam hanya di TV3.


Soseh Soseh: Lagu Kosong sindir wartawan?

Posted: 20 May 2012 05:54 AM PDT

SEKARANG kalau 'buka' radio, akan berkumandang lagu Kosong nyanyian Najwa Latif. Dalam keseronokan melayan melodi dan lirik lagu itu, timbul pula desas-desus mengatakan lagu itu adalah lagu sindiran buat wartawan hiburan.

Sejauh mana kebenarannya, SS tidak pasti kerana SS seorang yang berfikiran terbuka. Dengan erti lain, SS akan layan sesebuah lagu itu kalau melodi dan seni katanya menarik. Apa yang penting, usahlah ada benda yang terlalu sensitif atau menjejaskan keharmonian masyarakat.

Kata kawan SS, lagu Najwa itu khabarnya ditujukan buat wartawan yang dianggap suka mencaci dan putar belitkan kenyataan. Entahlah hanya Najwa yang tahu maksud sebenar kata-kata dalam lagu itu, sama ada ia ditujukan untuk kekasih yang menghampakan dirinya atau wartawan hiburan.

SS difahamkan, lirik lagu itu bukan ditulis oleh Najwa tetapi kakaknya, seseorang yang kreatif. Kalau benarlah apa yang disebutkan dalam khabar angin itu, SS rasa pihak media dan wartawan pun sebenarnya tidak pernah rasa rugi apa-apa atau dengan erti lain turut rasa 'kosong, kosong' macam yang dilaungkan Najwa.


SS tak nak cakap lebih-lebih sebab nanti orang cakap SS nak terasa hati pula, pada hal SS hanya melaporkan yang SS dengar daripada kawan. Hakikat sebenar SS sendiri sukakan lagu Kosong itu.


Tak mengapa, selepas ini kalau kawan SS jumpa Najwa kita boleh minta mereka tanyakan sendiri dengan penyanyi itu. Biarlah kita berbaik sangka dengan orang kerana kita sendiri belum pasti sejauh mana kebenarannya.

SS: Tahniah kepada Hafiz AF kerana bawa pulang setengah juta ringgit melalui Mania, kelmarin.