Berita Harian: Hip |
Posted: 20 May 2012 03:36 PM PDT Hip DATUK SHAKE memberikan kata perangsang kepada peserta kumpulan B. MALAM tadi, impian KJ untuk menggenggam kejayaan sebagai juara Mentor musim keenam hancur berkecai apabila dia menjadi peserta kedua meninggalkan program realiti itu selepas protege Ramlah Ram, Ana Syuhada, tersingkir pada minggu lalu. Nyata, persembahan kurang konsisten daripada protege Adam itu gagal menarik perhatian peminat dan juri, yang lebih terpikat dengan nyanyian protege Ella, Caroline, dan anak didik Fauziah Ahmad Daud (Ogy), Zatul, yang juga muncul pemenang bagi pusingan keempat dengan 71 markah.Zatul mempertaruhkan lagu daripada kumpulan 6ixth Sense berjudul Tak Bisa Memilihmu dan Lagu Untukmu daripada kumpulan Meet Uncle Hussain. Amat difahami, Ogy membuat percaturan sebegitu bagi membolehkan juri serta peminat menilai keupayaan sebenar vokal peserta berusia 23 tahun dari Kedah ini. Peserta pilihan, Caroline memperoleh 60 markah dan KJ 48 markah.Dengan penyingkiran KJ atau nama sebenarnya Abdul Kadir Unding Lana, 24, membolehkan Caroline dan Zatul menyertai dua lagi peserta, Anas, yang juga protege Faizal Tahir dan Tisha (protege Ferhad) untuk melangkah ke peringkat separuh akhir. Selepas tamat pusingan keempat, KJ meninggalkan program berkenaan dengan 216 markah keseluruhan berbanding Caroline, 256 markah dan Zatul, 241 markah. Sebelum itu, membuka konsert malam tadi, ketiga-tiga protege daripada kumpulan B menyampaikan rangkaian lagu hits Datuk Shake seperti Anugerah Dari Kegagalan, Umi dan Lina. Seperti biasa, tumpuan pada malam tadi lebih terarah kepada persembahan Caroline dan mentornya, Ella. Wanita muda dari Tanah Merah, Kelantan itu sering tampil dengan gaya persembahan bertenaga di samping vokalnya yang meyakinkan. Dengan lagu Aku Bukan Untukmu nyanyian asal Rossa serta Elang dendangan Dewa, persembahan gadis berusia 20 tahun itu mendapat sorakan gemuruh penonton serta komen positif daripada juri tetap, Datuk Ramli MS dan Datuk Sharifah Aini. Caroline jelas selesa ketika menguasai pentas sewaktu menyampaikan lagu Elang. Irama rancak sememangnya tampak serasi dengan bakat baru ini, apatah lagi dia sendiri mengaku lebih menggemari irama sedemikian. Sharifah Aini mengumpamakan persembahannya sebagai sebuah showcase, manakala tahap keyakinan peserta itu juga dilihat semakin meningkat. Biduanita itu juga sempat mencabar Caroline supaya menampilkan persembahan yang baik ketika mengalunkan irama perlahan, sebagaimana dia mempamerkan nyanyian yang hebat untuk lagu rancak. Hasil persembahannya, remaja berkenaan memperoleh 19 markah daripada juri di auditorium. Berbeza dengan Caroline, Zatul mempertaruhkan lagu daripada kumpulan 6ixth Sense berjudul Tak Bisa Memilihmu dan Lagu Untukmu daripada kumpulan Meet Uncle Hussain. Amat difahami, Ogy membuat percaturan sebegitu bagi membolehkan juri serta peminat menilai keupayaan sebenar vokal peserta berusia 23 tahun dari Kedah ini. Juri awam memberikan markah penuh, 20, untuk Zatul yang berjaya membuatkan Sharifah Aini tersentuh dek persembahannya. Juri tetap itu juga perasan kematangan vokal peserta terbabit yang kian terserlah. Ramli pula memuji kreativiti Ogy dan protegenya yang menggubah semula lagu popular 6ixth Sense itu untuk disesuaikan dengan kemampuan suara Zatul. Jika Zatul memilih lagu artis berkumpulan manakala Caroline mempertaruhkan lagu dari seberang, KJ tampil dengan lagu Ombak Rindu dan Sesal Mendua daripada kumpulan Klangit untuk persembahannya. Bagi Sharifah Aini, lagu kedua cukup sempurna buat peserta terbabit, yang cuba mencuri markah menerusi kebolehannya menari. Bagaimanapun penyampaian lagu tema filem popular, Ombak Rindu, agak lemah dan sumbang, kata penghibur terkenal berkenaan. Ramli turut menyaksikan penurunan pada graf persembahan jejaka berasal dari Kota Kinabalu itu. Mentor disiarkan secara langsung menerusi TV3 dari Auditorium MBSA, Shah Alam. |
Fragmen: Kenapa Sharifah Aini gagal tembusi DFP, IB? Posted: 20 May 2012 03:04 PM PDT Hip Konsert Sharifah Aini yang diadakan di RTM, Angkasapuri, baru-baru ini. Minggu lalu, di pentas yang sama menyaksikan persembahan Anuar Zain bergandingan dengan Dayang Nurfaizah. Beberapa bulan lalu, seorang lagi penyanyi muda, Yuna turut membuat persembahan di DFP. Sememangnya membuat persembahan di DFP adalah satu peluang keemasan dan cukup bermakna kepada setiap penyanyi. DFP memang eksklusif dan ada prestij. Dewan persembahannya tidak besar. Maksimum mungkin sekitar 500 kerusi atau kurang. Orang ramai yang berpeluang menyaksikan mana-mana persembahan dalam DFP juga diwajibkan berpakaian formal. Malah diwajibkan memakai kot, jacket, sut atau batik sekiranya menyaksikan persembahan orkestra antarabangsa. Itulah disiplin dan prestij DFP, bukan saja kepada artis, tetapi juga penonton yang datang menyaksikan persembahan. Sepanjang 10 tahun memang ramai nama besar, baik angkatan lama mahupun muda diberi tempat mengadakan konsert di DFP. Antaranya Tan Sri SM Salim, Datuk Yusni Hamid, Datuk Khatijah Ibrahim, Datuk Sheila Majid, Datuk Siti Nurhaliza, Ramli Sarip.Daripada senarai itu, nama Datuk Sharifah Aini masih belum muncul dalam DFP. Pada hal, beliau adalah nama besar dalam dunia muzik. Anehnya, bukan di DFP, tetapi juga di Istana Budaya (IB). Di IB pula, Siti Nurhaliza dan Jamal Abdillah sudah lebih sekali membuat persembahan di situ. Penyanyi lain yang sudah beraksi di IB termasuklah Datuk M Nasir, Amy Search, Wings dan kumpulan muzik era 60-an. Tapi Sharifah Aini? Kenapa tidak ada penaja atau penganjur yang berminat untuk membawa Sharifah Aini sama di pentas IB atau DFP? Mustahil penyanyi bernama Sharifah Aini gagal menarik penonton sekiranya membuat persembahan di kedua-dua tempat itu. Tidak mungkin juga lagu-lagunya sukar untuk memikat jiwa pendengar mahupun peminatnya.
Oleh kerana Sharifah Aini nama besar yang bukan calang-calang orang, mungkin ada berpendapat biduanita itu patut dijemput sama ada oleh DFP atau IB. Adalah tidak mungkin Sharifah Aini hendak menawarkan diri membuat persembahan kerana ia sudah tentu menjejaskan maruah dan status sebagai biduanita yang sangat disegani. Lainlah kalau Sharifah Aini sendiri memang tak kisah sama Ada dijemput atau tidak, cuma apa yang penting adalah kesediaan DFP dan IB memberi ruang kepada penyanyi ini. Tapi untuk membawa masuk Sharifah Aini juga ada kosnya. Pihak mana pula yang bersedia tampil menjadi penaja untuk membiayai kos konsertnya. Itu belum tentu lagi dengan kesediaan untuk menghadapi kerenah penyanyi ini apabila mengadakan persembahan besar. Namun, kita percaya Sharifah Aini bukanlah penyanyi yang memberikan banyak masalah kepada mana-mana penganjur. Masalah mencari penaja untuk menaja persembahan penyanyi tempatan bukan isu baru. Malahan dalam kes untuk menaja konsert Sharifah Aini, barang kali ada syarikat memikirkan adakah produk mereka sesuai dengan imej dan status penyanyi itu? Timbul juga persoalan apakah Sharifah Aini mampu menarik penonton, terutama orang muda? Sekiranya sasaran konsert Sharifah Aini adalah untuk orang muda, belia dan mereka yang berusia 40 tahun ke bawah, sesuatu perlulah dilakukan pada lagu-lagunya supaya sentiasa segar di dengar. Pada hari ini, kepada generasi muda mungkin akan terpinga-pinga kalau ditanya apakah lagu popular nyanyian Sharifah Aini. Mungkin ada yang tahu, tetapi berbeza kalau peminat itu daripada kalangan berumur 40 tahun dan ke atas. Apa pun, sesuatu harus dilakukan supaya Sharifah Aini diberikan ruang dan peluang untuk mengadakan persembahan di pentas berprestij ini. Rundingan dan perbincangan boleh menghasilkan tolak ansur semua pihak demi memastikan penyanyi dan penghibur ini dapat menghiburkan peminatnya. - zainuri@bharian.com.my |
You are subscribed to email updates from Berita Harian: Hip To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |