Adsense

Isnin, 21 Mei 2012

Gosip Artis Malaysia

Gosip Artis Malaysia


Suki Tuntut Syarikat Rakaman Bayar RM367 Ribu Kerana Langgar Janji

Posted: 21 May 2012 06:22 PM PDT

Suki
PETALING JAYA: Syarikat rakaman Galaxy Music Sdn Bhd didakwa melanggar janji membabitkan pemasaran album penyanyi Suki Low Sook Wee di Taiwan bernilai RM367,000.
Dalam perbicaraan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, dekat sini, Isnin, peguam penyanyi itu, Yudistra Darma memberitahu pihaknya menyedari berlakunya transaksi yang tidak berpatutan dan salah nyata membabitkan urusan penghasilan dan pengeluaran keluar masuk wang bagi penghasilan album yang berjudul Ladies Night.
"Tindakan ini diambil disebabkan anak guam saya berasa teraniaya kerana syarikat rakaman terbabit telah melanggar perjanjian membabitkan pemasaran album di Taiwan," katanya yang dihubungi di sini, Isnin.
Sementara itu, Suki yang dihubungi berkata, dia berasa kecewa dengan syarikat tersebut yang dinaunginya sejak tahun 2009, kerana memberikan janji palsu berkaitan pelan pemasaran album tersebut.
"Mengikut perjanjian yang dibuat, pihak Galaxy berkata, pembikinan Ladies Nightsememangnya khas untuk pasaran di Taiwan, namun setakat ini ia hanya dijual dalam negara sahaja.
"Ketika ditanya mengenai perkembangan album tersebut, mereka memberi pelbagai alasan dan menangguhkan perancangan asal seperti yang dibincangkan sebelum ini.
"Dan apabila ia ditangguhkan, segala perancangan berkaitan promosi di Taiwan tidak dapat dilaksanakan," ujarnya.
Tambah Suki, lebih mengecewakannya apabila wang yang dilaburkan itu merupakan sebahagian daripada wang kemenangannya berjumlah RM1 juta pada pertandingan One In A Million musim pertama (OIAM).
"Apabila memenangi jumlah wang yang besar, harapan saya adalah hanya ingin menggunakan hadiah tersebut untuk pelaburan karier.
"Malang sekali, hal ini pula yang timbul dan saya sangat kecewa dan berharap supaya wang itu dapat dikembalikan," katanya.
Dalam pada itu, memandangkan dia mempunyai masalah dengan Galaxy, segala aktiviti seninya di Taiwan terpaksa dihentikan buat sementara waktu.
Perbicaraan kes berkenaan yang bermula Isnin dijadualkan berlangsung sehingga Khamis ini.
Suki memfailkan kes berkenaan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dekat sini pada Februari 2010.

- ---

Yuna Terkilan

Posted: 21 May 2012 06:14 PM PDT

Yuna tidak sangka tindakannya yang enggan mengulas panjang mengenai insiden keretanya dipecah masuk pada Khamis lalu menimbulkan salah faham kepada media. - Foto oleh RICKY LAI 
KUALA LUMPUR: Penyanyi dan komposer Yunalis Zarai (Yuna) terkilan apabila dituduh cuba mengelak daripada memberi kenyataan kepada pihak media susulan insiden keretanya dipecah masuk pada Khamis lalu.
Yuna, 26, berkata dia berasa kesal dengan tuduhan itu kerana pada hakikatnya dia sibuk di lokasi penggambaran iklan sebuah produk ketika dihujani panggilan daripada pihak media.
"Saya berasa kesal dan terkilan dengan tuduhan itu. Terlalu banyak perkara yang berlaku menyebabkan saya tidak dapat memberikan komen apabila dihujani panggilan wartawan.
"Lagipun saya tidak mahu kecoh-kecoh mengenai perkara itu atas dasar keselamatan," katanya.
Yuna berkata demikian ketika ditemui selepas pelancaran klip video lagu terbarunya berjudul Sparkle di sini, petang Isnin.
Dalam kejadian kira-kira pukul 6 pagi 17 Mei lalu, kereta milik penyanyi itu dilaporkan dipecah masuk di Subang Jaya, dekat sini. Ia dipercayai dipandu seorang rakan yang juga pemain gitar kumpulan muziknya iaitu Farhan Fazlishah (Pa'an) sebelum dibawa pulang ke rumah gitaris itu Subang Jaya.
Difahamkan juga, kejadian itu mengakibatkan Yuna kerugian sebanyak RM5,000 apabila radio kereta dan gitar milik artis barunya Diandra Arjunaidi yang dipinjam penyanyi baru itu turut dicuri.
Penyanyi lagu Live Your Life itu berkata, tindakannya mengemas kini insiden tersebut menerusi Twitter miliknya adalah bertujuan untuk memberi peringatan kepada para peminat dan bukan untuk menghebahkan peristiwa itu sehingga menjadi perhatian pihak media.
"Pada awalnya, niat saya mengemas kini insiden itu di Twitter adalah untuk berkongsi dan memberi peringatan kepada peminat agar berhati-hati dengan persekitaran.
"Sebelum ini, saya kerap berkongsi pelbagai perkara dengan mereka menerusi medium itu. Namun, saya tidak sangka pula isu ini akan menjadi besar," jawabnya.
Yuna menyaksikan pelancaran klip video lagu terbarunya, Sparkle yang dirakamkan menggunakan telefon pintar Samsung Galaxy Note. 
Ditanya mengenai perasaannya berhubung kejadian itu, Yuna berkata dia menerima kehilangan itu dengan reda tetapi bimbang kerana pendedahan maklumat mengenai kejadian itu di media boleh mengancam keselamatan mereka.
"Saya tidak kecewa sangat dengan kehilangan dua barang itu kerana ia sudah pun berlaku. Tentang gitar itu, saya sudah uruskan dengan Diandra. Saya bersyukur kerana kereta itu tidak dicuri.
"Apa yang saya bimbangkan adalah pendedahan maklumat mengenai jenis kereta dan alamat rumah Pa'an mendatangkan bahaya kepada kami.
"Kereta itu turut dipandu oleh ibu dan bapa saya. Saya risau jika disebabkan pendedahan itu keselamatan keluarga pula yang terancam," jelasnya.
Dalam perkembangan lain, Yuna berkata dia berasa bangga dengan klip video lagu terbarunya itu yang diilhamkan menerusi The Sparkle Project dengan menggunakan telefon pintar Samsung Galaxy Note.
"Ini adalah klip video terbaik dan terbesar daripada saya setakat ini. Saya sangat suka dan puas hati dengan hasilnya kerana ia dihasilkan dengan menggunakan telefon pintar.
"Secara peribadinya, saya sangat kagum dengan hasilnya selepas melihat klip video itu," ujarnya yang juga duta telefon pintar berkenaan.

- ---

Najwa Latif Terkejut Dikata Persenda Wartawan

Posted: 21 May 2012 06:12 PM PDT

Najwa Latif.
PETALING JAYA: Penyanyi remaja, Najwa Latif, yang sebelum ini menjelaskan lagu "Kosong" nyanyiannya tidak menyindir sesiapa bertambah terkejut selepas membaca laporan terbaru kononnya karya itu ditujukan kepada wartawan.
Najwa, 17, berkata, dia tidak pernah berniat untuk menyindir wartawan tetapi ia dihasilkan sebagai pemangkin semangat kepada dirinya selain untuk dikongsi kepada orang lain jika menghadapi sebarang masalah.
"Tidak pernah terlintas pun dalam fikiran saya untuk menyakiti mana-mana pihak melalui lagu apatah lagi ia ditulis semata-mata untuk memberi inspirasi kepada diri sendiri dan orang lain," ujarnya ketika dihubungi pada Isnin.
Tambah Najwa, dia juga tidak pernah mempunyai sebarang masalah dengan mana-mana wartawan sehingga ingin membalas dendam menerusi lagu dan menganggap mereka sering menyokong kerjaya seninya.
"Walaupun kadang-kadang saya kena kritik tetapi saya mengambil perkara itu sebagai positif untuk memperbaiki diri saya tetapi setakat ini tidak pula saya mempunyai masalah atau bermusuh dengan mana-mana pihak media," katanya.
Dalam pada itu, kakak kepada Najwa iaitu Syafikah Latif turut menafikan dakwaan tersebut dan menganggap ia tidak berasas sama sekali.
Syafiqah memberitahu, lirik lagu berkenaan yang dituliskan sejak lima bulan lalu itu tidak pernah bertujuan untuk 'menyerang' mana-mana pihak sebaliknya mahu memberi semangat kepada semua pendengar yang mungkin mempunyai masalah supaya tidak berputus asa.
"Sebelum tulis lirik lagu berkenaan saya terlebih dahulu berbincang dengan Najwa tentang tema, konsep lagu berkenaan dan sebagai remaja kami ingin menghasilkan sesuatu yang dapat memberi inspirasi kepada orang lain terutamanya di kalangan remaja.
"Bagaimanapun saya tidak boleh menghalang penilaian orang lain kerana ia pandangan individu," katanya.
Sementara itu, Syafiqah berkata, dia dan adiknya tidak perlu melenting terhadap cerita terbaru itu sebaliknya mengambil ia sebagai satu perkara positif dan menerimanya untuk memperbaiki kelemahan.
"Bila orang bercakap kita kena sentiasa lihat kembali kepada diri dan perbaiki mengambil sesuatu perkara yang berlaku sebagai positif," katanya.
Ditanya mengenai penerimaan Najwa terhadap cerita negatif tentang dirinya, Syafiqah berkata dia sangat berbangga dengan adiknya itu kerana tidak cepat melatah apabila ada kontroversi yang dikaitkan.
Malah kata Syafiqah, tumpuan Najwa terhadap pelajaran juga tidak terganggu dan sentiasa fokus untuk menghadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada hujung tahun ini.

- ---

Nabila Huda Akui Bahagia Jadi Ibu Tunggal

Posted: 20 May 2012 10:22 PM PDT

Nabila Huda
PETALING JAYA: Pelakon Nabila Huda Suhaimi mengakui dia berasa bahagia melayari kehidupan sebagai ibu tunggal sejak dia memfailkan perceraian hampir 10 bulan lalu.
Nabila, 28, yang juga anak perempuan kepada legenda rock Amy (Search) berkata, status itu tidak mengganggu atau menjejaskan emosinya kerana dia berasa selesa di samping anak perempuannya Keisha Lalila, dua tahun.
"Saya gembira dan bahagia dengan kehidupan sebagai ibu tunggal. Walaupun ada ketikanya, perasaan sedih itu datang tetapi saya dapat atasi kerana kesibukan kerja dan anak saya yang sentiasa bersama.
"Pada fasa ini, saya semakin sukar untuk berenggang dengan Keisha kerana mudah rindu padanya. Setakat ini, saya akan bawa dia bersama ke lokasi penggambaran walau di mana sekali pun," katanya baru-baru ini.
Nabila memfailkan permohonan cerai terhadap suaminya Zaidi Zailani, 30, pada Ogos tahun lalu selepas tiga tahun berkahwin ekoran tiada persefahaman.
Ditanya tidakkah dia merancang untuk mencari pengganti, Nabila berkata pada peringkat ini keutamaannya adalah pada kerjaya dan anak.
"Bukan saya trauma atau serik dengan kegagalan perkahwinan tetapi mencari pengganti bukanlah misi utama saya pada waktu ini.
"Saya tidak mudah untuk jatuh hati dan belum terfikir untuk mencari teman lelaki pun. Malah, saya tiada teman istimewa kerana jarang berpeluang untuk bersosial kerana setiap hari sibuk dengan penggambaran dan urusan anak," jelasnya.
Sempat diusik mengenai gosip hubungannya dengan aktor baru Johan As'ari, Nabila memohon agar spekulasi tersebut dihentikan kerana dia khuatir ia boleh menjejaskan perkembangan karier aktor itu.
"Kami hanya kawan rapat dan saya percaya peminat juga sudah letih mendengar gosip sebegini. Saya berharap spekulasi ini dihentikan kerana tidak mahu ia menjejaskan perjalanan karier Johan yang baru bertapak.
"Mungkin gosip begini tidak begitu mengganggu saya yang sudah berada pada zon yang selesa tetapi kasihanlah pada dia yang baru bermula," ujarnya.
Nabila yang baru menamatkan penggambaran drama bersiri Nikallaya di selatan Thailand baru-baru ini, bakal muncul dengan filem terbaru berjudul Jalan Kembali... Bohsia 2 pada 7 Jun depan.

- ---

Fakta 'Makan Diri', Fizz Fairuz Letak Telefon

Posted: 20 May 2012 10:21 PM PDT

Fizz Fairuz
PETALING JAYA: Pelakon Fizz Fairuz mengambil pendekatan meletakkan telefon sebelum berkata no comment ketika diajukan persoalan keretakan hubungannya dengan Almy Nadia.
Fizz atau nama sebenarnya Fairuz Zainal Abidin, 32, yang dihubungi di sini Ahad, seolah-olah terkejut dengan kenyataan 'makan diri' sebelum ini yang pernah mendakwa dia mahu meminang kekasihnya itu.
"Saya tak nak komen apa-apa. Harap faham," katanya ringkas lalu menamatkan panggilan telefon serta-merta.
Tidak sampai dua minggu sejak Fizz Fairuz meluahkan hasratnya untuk memperisterikan Almy Nadia, aktres itu pula tampil dengan kenyataan mengejut bahawa hubungan mereka kini di ambang keretakan.
Dalam kenyataannya kepada akhbar Berita Minggu pada Ahad, Almy berkata hubungan mereka boleh diibaratkan seperti retak menanti belah kerana mereka tidak lagi mesra sejak dua tahun kebelakangan ini dan dia tidak lagi diendahkan oleh aktor itu.
Almy Nadia
Almy atau nama sebenarnya Almy Nadia Aminuddin Shah, 26, juga dilaporkan sebagai berkata, aktor itu sekadar bercakap tanpa berfikir panjang.
Dia turut menyifatkan ia sebagai gurauan semata-mata mengenai hasrat untuk berkahwin kerana hubungan mereka kini berada di ambang perpisahan.
Almy dalam satu kenyataan kepada mStar Online bertarikh 9 Mei lalu, mengakui sangat terkejut selepas mendengar laporan kekasihnya itu berhasrat untuk mengahwininya pada tahun ini.
Bagaimanapun, aktres berusia 26 tahun itu tidak dapat memberi sebarang reaksi kerana tidak mengetahui apa-apa mengenai hasrat Fizz.
Dalam pada itu, Almy yang dihubungi pula tidak mahu memberikan sebarang kenyataan.
"Tak nak komen... Saya tak nak komen apa-apa, boleh tak? Minta maaf sangat-sangat," jawab Almy.
Terdahulu, Fizz dilaporkan portal Rotikaya.com pada 8 Mei bahawa dia sudah memasang niat untuk mengahwini Almy pada tahun ini.
Katanya, perkara itu akan menjadi kenyataan selepas ibunya kembali daripada mengerjakan umrah pada Jun depan sebelum mereka menetapkan tarikh pernikahan.

- ---

Adi Putra Batal Hasrat Ceraikan Isteri

Posted: 20 May 2012 10:20 PM PDT

Adi Putra.
KUALA LUMPUR: Pelakon Adi Putra pada minggu lalu yang menyatakan keinginan mahu menyelesaikan kes rumah tangga dengan isterinya Aida Yusof di Mahkamah Syariah di sini, Isnin menggambil keputusan menarik balik kes berkenaan.
Difahamkan Adi yang memfailkan penceraian pada 14 Mei lalu menarik balik kes tersebut kira-kira pukul 8 pagi, Isnin.
Wartawan yang berkumpul di mahkamah berkenaan bagaimanapun gagal bertemu dengan pelakon itu.
Dalam pada itu, Adi ketika dihubungi enggan mengulas mengenai penarikan kes tersebut.
Dia bagaimanapun memberitahu akan mengadakan sidang media khas pada malam Selasa.
Adi Putra dan isterinya ketika menunaikan umrah pada 8 Mei lalu.
"Saya baru pulang daripada menguruskan kes ini. Esok (malam Selasa), saya akan menjelaskan mengenai perkembangan terbaru kes ini," katanya.
Adi dilaporkan baru sahaja pulang dari Tanah Suci, Mekah pada 8 Mei lalu dan turut berdoa untuk kesejahteraan rumah tangganya tetapi mendapat gambaran seolah-olah perkahwinannya itu tidak dapat diselamatkan lagi.
Adi Putra dan Aida berkahwin pada 14 April 2006 dan tidak dikurniakan cahaya mata apabila wanita berkenaan sering kali mengalami keguguran.

- ---