Kosmo Online - Hiburan |
Posted: Aaron jadi pakar cintaAARON Aziz, 36, kini beralih arah dengan menjadi penyampai radio? Bukan mengikut trend rakan-rakan artis yang lain seperti Aznil Nawawi, Salleh Yaakob, Nabil, Johan Raja Lawak dan Zahid AF yang menjadi penyampai radio, sebaliknya hero filem Ombak Rindu itu bakal mempunyai slot sendiri untuk merungkai segala masalah cinta pendengar radio yang dikenali sebagai Dr. Love!. Tawaran itu datang dari stesen radio terkenal, Era FM di bawah syarikat yang sama menawarnya kontrak sebagai artis naungan iaitu Astro. Enggan menolak peluang keemasan yang diberi di depan mata, Aaron mengakui teruja dengan tawaran tersebut dan berjanji akan menjalankan tanggungjawab yang diberi dengan menjawab sebaik mungkin terhadap segala masalah yang diutarakan pendengar radio. "Saya ditugaskan mengendalikan slot bersama peminat itu setiap hari minggu dari pukul 9 hingga 10 malam. "Melalui slot itu peminat boleh telefon dan berkongsi mengenai masalah hubungan cinta mereka kepada saya. Saya akan cuba menjawab apa yang ditanya mereka sebaik mungkin," ujarnya ketika ditemui pada majlis sidang akhbar Sepetang Bersama Tiga Artis Naungan Astro iaitu Aaron Aziz, Johan dan Zizan Raja Lawak di Hotel Hilton, Kuala Lumpur. Menerima tawaran sebagai Artis Naungan Astro, bapa kepada dua cahaya mata itu mempunyai alasan tersendiri tentang kesudiannya kembali 'ditambat' sedangkan kerjayanya dilihat sudah cemerlang tanpa terikat dengan mana-mana pihak. "Sebelum ini, ketika saya menandatangani kontrak Wajah Eksklusif Astro memang saya hanya boleh tampil di dalam saluran Astro sahaja tetapi, menerusi pembabitan sebagai Artis Naungan Astro, saya bebas untuk menerima semua tawaran daripada stesen-stesen lain. Isteri saya juga masih boleh menguruskan kerjaya saya. "Tidak hanya terhad pada dua perkara itu sahaja, Astro juga mengatur segala jadual lakonan saya malah memberi peluang kepada saya untuk mengendalikan slot radio sendiri, menjadi penerbit juga mempromosikan single terbaharu saya bersama Sleeq," tuturnya yang kini menceburi bidang muzik pula. Projek pertama Aaron yang disusun Astro apabila dia bakal beraksi menerusi drama 80 episod berjudul Adam & Hawa terbitan Global Station Sdn. Bhd. diikuti beberapa projek seperti drama, filem, muzik video dan juga duta produk. Dalam diam-diam juga, Aaron rupa-rupanya mencipta sebuah lagu mengenai diri dan keluarganya. Malah, Aaron juga akan muncul dengan duet lagu ciptaannya yang berjudul Salam Semua bersama artis naungannya iaitu kumpulan Sleeq.
Mengaku pada mulanya kurang yakin dan malu untuk menjadi penyanyi, namun atas sokongan isteri, Aaron akhirnya bersetuju menyanyikan lagu tersebut. "Saya memang tak yakin dan malu untuk menjadi penyanyi, tapi saya juga tidak mahu menyerahkan lagu itu kepada orang lain sebab ia adalah mengenai keluarga saya. Saya yang lebih tahu dan boleh menjiwai lagu tersebut," dedah Aaron yang merancang untuk mengeluarkan lagu tersebut pada bulan ini. Sayang anak-anak Isteri Aaron, Diana yang setia di sisinya turut ditebak soalan mengenai Aaron. Bercerita tentang sikap Aaron, Diana mengakui Aaron seorang bapa yang sangat penyayang. "Dia memang tak boleh berpisah terlalu lama dengan anak-anak. Pernah sekali ketika penggambaran di London, penggambaran sudah masuk empat hari. Dia telefon saya minta beli tiket dan datang ke London dengan anak-anak kerana terlampau rindu. Kalau ikutkan hati memang saya mahu sahaja tetapi bila fikir duit yang akan dibelanjakan boleh tukar semua perabot di rumah dengan masa penggambaran yang hanya tinggal untuk beberapa hari sahaja, saya minta dia bersabar," ujarnya dengan sedikit ketawa. Diajukan pula soalan mengenai lakonan romantis Aaron di samping ramai pelakon wanita, tanpa berselindung Diana mengakui ada merasa sedikit cemburu namun menganggap ia sudah menjadi kerjaya suaminya. Dedah Diana, cemburu dia bagaimanapun tidak melebihi seperti anak lelakinya, Danish Anaqi, 8, dan anak perempuannya, Dwi Arinna, 6. "Danish pernah cakap, Daddy ambil cerita aksi sahaja, jangan ambil cerita cinta'. Sebaliknya Dwi lebih kepada perasaan dia. Bila dia tengok ayah dia berlakon mesra dengan orang lain dia akan cemburu," ujarnya sambil ketawa. Pasangan bahagia ini turut mempunyai seorang lagi anak perempuan bernama Dahlia Arissa, 2. Tubuh yayasan
Mungkin ada peminat yang masih belum mengenali sisi sebenar Aaron. Sejak umurnya setahun, dia sudah kehilangan bapa yang kembali ke rahmatullah. Atas dasar kepayahan yang dilalui sejak daripada kecil dan rezeki yang semakin mencurah kini, Aaron mengambil keputusan menubuhkan yayasan sendiri. "Hati saya sentiasa terusik setiap kali melihat anak-anak yatim. Saya faham betapa sukarnya hidup mereka tanpa kasih sayang ibu bapa. Saya pernah melaluinya apabila membesar tanpa kasih sayang seorang bapa, tapi mujur saya masih mempunyai ibu dan dialah menjadi pelindung saya. "Disebabkan itu, saya bercadang menubuhkan sebuah yayasan untuk membela nasib anak-anak terbiar. Jangan disalah tafsir niat saya, ia bukan bertujuan mencari publisiti tetapi saya melihatnya sebagai satu tanggungjawab sosial serta berasakan mereka layak menerima kehidupan yang sempurna," ujarnya mengenai hasratnya itu sambil mengharapkan ada pihak yang sudi membantunya melaksanakan hasratnya itu. | ||||
Posted: Permulaan FursanOleh NOOR ASHREEN ISMAIL
MEREKA bukan sahaja berkhidmat untuk mempertahankan negara, tetapi mungkin ramai tidak tahu yang pasukan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mempunyai sebuah kumpulan nasyid di bawah Kor Agama Angkatan Tentera (Kagat) yang telah dicetuskan oleh mantan Pengarah Kagat ketiga iaitu Datuk Seri Jamil Khir Baharom sejak tahun 1998 lagi. Sejak ia ditubuhkan, sebuah kumpulan nasyid yang dinamakan sebagai Fursan telah ditubuhkan. Dianggotai oleh lima orang anggota ATM iaitu Kapten Hairulnizam Hamid, Staf Sarjan Mohd. Zulkifli Mohd. Zin, Staf Sarjan Hambali Hashim, Lans Koperal Mohd. Hafiz Aziz serta Lans Koperal Abdul Muiz Mohd. Esa, Fursan telah mula popular dalam kalangan kem tentera seluruh Malaysia sejak ia rasmi ditubuhkan pada tahun 2010. Membawa penampilan berbeza dengan memakai pakaian seragam ATM setiap kali membuat persembahan, Fursan ingin mewarnai industri nasyid tempatan yang dilihat semakin suram. "Industri nasyid Malaysia pada masa kini kelihatan agak perlahan, jadi kami berharap dengan kehadiran Fursan, dapat memeriahkan lagi industri nasyid kita," bicara Hairulnizam yang juga menambah mereka ingin menggunakan medium hiburan alternatif Islam untuk berdakwah. Malah dalam diam-diam, mereka telah mempunyai album pertama yang berjudul Ibtida' (Permulaan). Album yang berkonsep nasyid pop kontemporari tersebut mengandungi sembilan buah lagu iaitu Kelahiran, Peribadi Unggul, Bayangan Syurga, Kembara, Ummah Gemilang, Keinsafan Diri, Keindahan Islam, Sirah Maulidur Rasul dan sebuah lagu bonus iaitu Daie Askari. "Kami juga merupakan pakar motivasi dalam Kagat dan setiap kali majlis motivasi berlangsung, kami akan membuat selingan persembahan daripada Fursan. "Single pertama Fursan yang berjudul Keinsafan Diri pernah menjadi juara di carta nasyid IKIM.FM dan ia merupakan lagu paling lama bertahan dalam carta iaitu selama 30 minggu selain dua buah lagu lain yang turut dicalonkan. Lagu tersebut juga merupakan antara lagu terbaik sepanjang 2011 berdasarkan permintaan pendengar di radio IKIM.FM," ujar Hairulinizam lagi mengenai perkembangan Fursan. Aktiviti Fursan juga boleh diketahui dengan melayari laman sosial Facebook mereka di www.facebook.com/fursankagat atau laman blog mereka iaitu www.fursankagat.blogspot.com. | ||||
Posted: Jamal nak pikat wanita mudaOleh KHAIRUL AMRI HASSAN
AGENDA bulan April setiap tahun bagai sudah sebati dengan sambutan Minggu Setiausaha. Pada tahun ini, Raja Pop, Jamal Abdillah bakal tampil memukau khalayak menerusi Minggu Setiausaha anjuran Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pada 3 April ini. Menjanjikan persembahan menarik dan eksklusif, ujar Jamal dia bakal menampilkan sesuatu yang berbeza untuk memikat wanita muda. "Janji saya, persembahan kali ini menampilkan konsep yang berbeza berbanding sebelum ini. Saya akan menampilkan sesuatu yang boleh memikat gadis-gadis menerusi lagu-lagu cinta yang menyentuh perasaan," katanya yang ditemui ketika sidang akhbar Minggu Setiausaha PWTC baru-baru ini. Tambah Jamal atau nama sebenar Jamal Ubaidillah Ali, 53, sebanyak 12 lagu akan dinyanyikan antaranya secara medley dalam tempoh 1 jam 30 minit yang diperuntukkan. Antara lagu yang bakal dinyanyikan ialah Sepi Seorang Perindu, Seniman Menangis, Keluhan Perantau, Penghujung Rindu dan beberapa lagu Inggeris seperti Heart. Selain Jamal, majlis itu bakal dihoskan oleh pengacara komedi terkenal, Dee selain persembahan sampingan oleh Isma AF dan pemain saksofon, Alif Nasir. Jamal juga dijadualkan berduet sebanyak dua buah lagu bersama Isma dan sebuah lagu dengan Alif. Menurut Ketua Pegawai Eksekutif PWTC, Datuk Maxson Abdullah Jaafar, pemilihan Jamal dibuat atas permintaan ramai selepas Raja Pop itu menghiburkan majlis sambutan Hari Ibu PTWC tahun lalu. "Jamal menyentuh hati semua orang dan dia merupakan seorang artis yang tak pernah jemu diminati ramai," katanya. Bagaimanapun, getus Jamal, dia tetap bersyukur kerana masih mendapat permintaan tinggi walaupun kemunculan pelbagai artis bersilih ganti mewarnai industri. "Tekanan untuk puaskan hati semua orang yang datang pada hari itu memang ada tapi saya akan cuba lakukan yang terbaik. "Alhamdulillah, saya bersyukur masih menerima undangan. Tak tahu kenapa orang masih yakin untuk menjemput saya menjayakan majlis seumpama ini? Mungkin rezeki anak-anak," ucapnya lagi. Osama dan Zaki Fakta yang mungkin jarang dikongsi Jamal kepada umum adalah bahawa kedua-dua anaknya iaitu Osama Yamani, 10, dan Ahmad Zaki Yamani, 6, merupakan insan yang paling setia dan sentiasa menyokongnya dalam kerjaya. Terutama anak sulungnya, Osama yang dinilai sendiri oleh Jamal sebagai peminat fanatik dan nombor satu dalam dunia. "Buktinya, dia sanggup membeli dan menyimpan koleksi hampir semua album dan cakera padat saya. "Malah, setiap kali masuk dalam kereta dia pasti memainkan lagu-lagu nyanyian saya sepanjang masa," jelasnya sambil tersenyum. Melihat perkembangan positif kedua-dua anaknya, Jamal tidak menyekat sekiranya mereka berminat menceburi bidang seni. Sementara itu, Minggu Setiausaha PWTC turut menawarkan pelbagai hadiah istimewa termasuk dua tiket penerbangan pergi dan balik ke destinasi pilihan sumbangan Etihad Airways. Harga jualan meja yang ditawarkan bermula daripada harga RM2,000 ke atas. Peminat yang ingin menyaksikan persembahan Jamal Abdillah boleh membuat tempahan di kaunter tempahan, Aras 2, PWTC atau hubungi 03-2614 6701. |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Hiburan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |