Adsense

Jumaat, 9 Mac 2012

Berita Harian: Hip

Berita Harian: Hip


Nafi putus kasih

Posted: 08 Mar 2012 02:28 PM PST

Hip

Cinta Jangan Pergi papar kisah hubungan Tiz, Remy

LUAHAN Remy Ishak yang mengakui memerlukan masa tatkala disentuh perihal cintanya yang dikatakan sudah berakhir mengundang persoalan memandangkan sebelum ini dia dan Tiz Zaqyah dilihat serasi bersama.

Cuma berbanding diri si jejaka, pihak gadis pula dilihat selesa ketika berkali-kali membuat penafian. Malah dia menegaskan, mereka masih bersama hingga sekarang.

Saya tidak faham, kenapa soalan mengenai gosip sama juga yang diajukan, sedangkan saya sudah pun memberi komen kepada media sebelum ini yang kami masih lagi bersama. - Tiz Zaqyah, Pelakon

Tegas Tiz saat ditemui pada sidang media Wanita Inspirasiku di Kota Damansara semalam, selagi kenyataan putus hubungan tidak keluar daripada mulut Remy sendiri, selagi itu dia tidak akan percaya dengan segala desas-desus yang bertebaran.

Bagi pelakon berusia 24 tahun ini, hanya kesibukan tugas yang membuatkan orang luar jarang terlihat kelibat mereka berdua, sehingga timbul cerita kurang enak menyatakan segala-galanya sudah berakhir.

"Kami masih bersama dan gosip yang mengatakan kami putus tidak berasas. Kalau benar dia (Remy) yang mengatakan hubungan kami sudah berakhir, kenapa tidak di depan saya?

"Mungkin orang salah anggap kerana tidak melihat kami ke mana-mana bersama. Hakikatnya, perhubungan kami masih seperti dulu," katanya dengan tenang. Seakan memahami persoalan berkaitan hubungan bakal diaju media semetelah kekasihnya sendiri dikatakan pernah memaklumkan kepada teman media dirinya sudah kembali solo, Tiz cukup berhati-hati menyusun bicara.

Walau kurang selesa berkongsi soal hati, pelakon Nur Kasih itu tetap membalas setiap persoalan, cuma dari bahasa tubuh serta riak wajahnya, dia seperti cuba menyembunyikan sesuatu.

"Saya tidak faham, kenapa soalan mengenai gosip sama juga yang diajukan, sedangkan saya sudah pun memberi komen kepada media sebelum ini yang kami masih lagi bersama.

"Itu cuma gosip dan bagi saya pula, adalah lebih selesa untuk bercerita mengenai karier berbanding soal peribadi. Publisiti sebegini kena adil dan seiring dengan karier saya kerana peminat juga ingin tahu fasal karier, bukan hanya gosip," katanya.

Menyentuh mengenai jangka hayat perhubungan mereka, Tiz menyerahkannya kepada ketentuan Tuhan. Dia juga sedia menerimanya sebagai takdir jika tiada jodoh di antara mereka.

Sibuk dengan penggambaran drama terbaru berjudul Dejavu Di Kinabalu, Tiz memegang watak Nadira bergandingan dengan Aqasha yang membawa watak Amar. Turut berlakon bersama mereka ialah pelakon baru, Aisyah.

Selain itu, Tiz juga akan bergandingan dengan kekasih hatinya dalam drama Cinta Jangan Pergi yang akan menjalani penggambaran di Eropah, Jun ini.

"Skrip ditulis oleh Zul Huzaimi dan sedikit sebanyak ia ada kaitan dengan kisah percintaan kami. Mungkin drama ini akan dapat menguatkan lagi pandangan orang mengenai hubungan kami," katanya.

Belasungkawa: Pemergian Ibrahim Bachik kehilangan besar dunia seni

Posted: 08 Mar 2012 02:25 PM PST

Hip

IBRAHIM sebati dengan dunia vokal.

IBRAHIM sebati dengan dunia vokal.

MESKIPUN sudah bersara lebih 17 tahun sebagai penerbit muzik bersama Orkestra RTM, namun komposer veteran, Datuk Ibrahim Bachik, 73, pernah berkata, tidak bermakna seseorang itu tidak dapat menyumbang sesuatu dalam bidang yang diminatinya.

Justeru, minatnya diteruskan dalam tempoh terbabit sebagai guru vokal di sebuah sekolah muzik di ibu negara, serta menganjurkan kelas nyanyian hingga akhir hayatnya.

Semalam, komposer, pemuzik dan pelakon itu pulang ke rahmatullah, dan pemergiannya dianggap kehilangan besar buat industri muzik tanah air. Pernah menerima anugerah Muzik Tema Berkesan, Festival Filem Malaysia ke-4 menerusi filem Bila Hati Telah Retak, arwah dimasukkan ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) Selasa lalu akibat penyakit asma, radang paru-paru dan tekanan darah rendah.

Arwah menghembuskan nafas terakhirnya jam 5.16 pagi semalam di sisi isteri dan anak-anaknya. Jenazahnya dibawa pulang ke kampung halamannya dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Selandar, Jasin, Melaka, selepas solat Zuhur, semalam.

Beliau meninggalkan tiga anak, Nora, Rozita dan Muhammad Syukor.

Dunia vokal sudah sebati dengannya. Selain menjadi guru vokal, beliau juga mencipta serta menggubah lagu puisi dan komersial.
Lagu puisi yang mengangkat namanya termasuk Kekasih nyanyian Kumpulan Kopratasa dan Berkolek Bersajak karya JM Aziz. Lagu puisi awal yang dicipta Ibrahim ialah Senyum, berdasarkan puisi kawan rapatnya, Atondra, pada 1968. Selain itu, beliau juga menggubah lagu Bicara Dengan Teman Lama berdasarkan puisi karya tokoh wartawan, Tan Sri Samad Ismail, di samping lagu daripada puisi bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, berjudul Melayu Mudah Lupa yang dinyanyikan kumpulan Ibraba.

Beliau menganggap vokal ialah aset sangat besar. Katanya: "Walaupun seseorang itu tidak memiliki wajah yang tampan atau cantik, namun kerana vokal yang baik, mereka akan disanjungi".

Katanya lagi, penyanyi yang mempunyai vokal baik dan mengetahui seni muzik biasanya mempunyai ketahanan yang lebih. Hal seperti ini banyak ditekankan oleh penyanyi Barat dan kerana itu mereka mampu bertahan dalam dunia seni.

Bagaimanapun beliau yang pernah memegang jawatan Timbalan Presiden Persatuan Penyanyi, Pemuzik dan Penulis Lagu Tanah Air (Papita) bersyukur kerana ilmu yang dipelajari daripada guru vokal terkenal, Zuber Said, di Singapura dapat disebarkan kepada mereka yang meminati bidang vokal sehingga hari ini.

Selain menceburi bidang muzik, Ibrahim turut pernah membintangi filem seperti Gerak Kilat sebagai pelakon pembantu pada 1966. Begitupun sumbangan beliau dalam bidang perfileman lebih kepada penghasilan muzik dan kesan bunyi. Antara filem yang mendapat sentuhannya seperti Panas (1998), Bila Hati Telah Retak (1983), Cikgu Sayang (1983) dan Tuan Badul (1979).