Adsense

Jumaat, 9 Mac 2012

Harian Metro: Rap

Harian Metro: Rap


John Carter padat aksi, pengembaraan

Posted: 08 Mar 2012 06:01 AM PST

BERJAYA membina kerjayanya sebagai pengarah dan penulis lakon layar bagi filem animasi dengan meraih pelbagai anugerah, Andrew Stanton lebih yakin dengan sentuhan terbarunya, John Carter yang mula menemui penonton di seluruh dunia.

John Carter yang mula ditayangkan di Malaysia mulai semalam, adalah karya epik fantasi membariskan pelakon popular dengan mengangkat penceritaan yang diterjemahkan daripada novel nukilan Edgar Rice Burroughs berjudul Princess of Mars, kira-kira 100 tahun lalu.

Filem yang menelan belanja sekitar AS$250 juta ini adalah percubaan sulung Stanton dalam filem epik kerana sebelum ini beliau terkenal menerusi karya animasi hebat termasuk Up, Toy Story, A Bug's Life, Monsters Inc, Finding Nemo, The Incredibles, Cars, Ratatouille dan WALL-E.

Jelasnya yang ditemu bual penulis di hotel mewah Boulders Hotel & Golden Spa Door Resort, Arizona, John Carter bakal menjadi kayu pengukur terbaru buatnya.

Ia juga peluang terbaik terus mengukuhkan lagi kemampuannya baik sebagai penulis mahupun pengarah filem.

"Memang awalnya saya gementar dan bimbang kerana menghasilkan filem aksi fantasi sebegini . Ia adalah sesuatu yang sukar dan berdepan banyak risiko.
Mana tidaknya, ia memerlukan satu produksi yang komited dengan pemantauan teliti agar setiap gerak pelakon mengikut plot cerita.

"Karya animasi yang saya hasilkan sebelum ini tiada sebarang had atau sekatan dari segi imaginasi, namun kali ini ia membabitkan lakonan manusia dan bentuk yang berbeza.

"Ia harus relevan bentuk cerita dan rekaan set yang dicipta tenaga produksi.
Itulah antara cabaran yang harus saya lalui lebih-lebih lagi pihak Walt Disney sendiri sudah meletakkan sepenuh keyakinan buat diri saya.

"Saya ingin percubaan pertama ini akan menjadi sesuatu yang hebat kerana ramai pihak mahu melihat bagaimana hasil kerja saya dalam sebuah produksi filem bukan animasi.

"Saya mengharapkan supaya semua peminat filem saya sebelum ini datang menyaksikan karya saya kali ini dan menilai sejauh mana baiknya kesan visual yang kami buat," katanya.

Filem ini mengisahkan perjalanan seorang pahlawan, John Carter yang secara magik tercampak ke Planet Barsoom yang juga dikenali sebagai Marikh.

Selain terpaksa berdepan dengan rasa janggal akan kehidupan pelik dan masyarakat yang pelbagai rupa di sana, Carter tiba-tiba terpaksa menjadi ketua yang memimpin puak di sana dalam menentang musuh yang ingin menghapuskan mereka.

Pelbagai kejadian yang berlaku hingga membuatkan Carter akhirnya bertemu puteri raja. Tidak setakat aksi dan babak cemas pertarungan, filem ini juga sarat dengan elemen drama dan percintaan.

Watak utamanya yang sarat elemen hero gagah dilakonkan bintang muda, Taylor Kitsch yang sebelum ini terkenal menerusi filem Snakes On A Plane, The Covenant, Gospel Hill dan X-Men Origins: Wolverine.

Selain Kitsch, filem yang turut memaparkan pelbagai kehidupan aneh di Marikh itu membariskan pelakon lain termasuk Lynn Collins, Willem Dafoe, Thomas Haden Church, Samantha Morton, Ciaran Hinds dan Mark Strong.

Mengakui gembira kerana berpeluang bekerja dengan barisan pelakon yang hebat dan tidak ada masalah dalam memenuhi permintaannya, Stanton melihat kebebasannya sebagai seorang penulis dan pengarah dimanfaatkan secara 'total'.

"Persamaannya, saya masih lagi duduk berjam-jam bersama penyunting terutama dari segi teknikal dan kesan khas yang digunakan dalam filem ini. Terlalu banyak 'green screen' kami gunakan bagi mewujudkan suasana sebenar di planet yang pelik itu.

"Namun kelainannya, saya tidak boleh terlalu membayangkan sesuatu yang melangkaui kemampuan manusia kerana sebelum ini, semuanya watak kartun dalam filem saya. Saya perlu lebih kreatif dalam menyuntik rasa menarik kepada penonton dan memberi lebih fokus pada setiap watak yang saya bina. Itulah antara kekuatan sebenar John Carter.

"Uniknya kali ini, saya tidak lagi terikat dengan piawaian sebelum ini iaitu kebanyakan penonton yang mengikuti filem saya adalah kanak-kanak dan keluarga mereka. Lantas saya harus memastikan filem ini ada elemen kelakar agar kanak-kanak tidak akan 'membenci' saya," katanya berjenaka.

Petang itu, sidang media yang dihadiri kira-kira 50 wakil media antarabangsa seluruh dunia itu berpeluang mendekati ramai pelakon utama filem John Carter termasuk pengarah dan produsernya.

Malah Stanton turut ditemani tiga penerbit yang mempertaruhkan jutaan ringgit pada kreativitinya iaitu Jim Morris, Colin Wilson dan Lindsey Collins.

Jelasnya lagi, John Carter juga adalah pertemuan kembali buatnya bersama tiga produser yang juga pernah bersama-sama menerima pengiktirafan sebelum ini menerusi Finding Nemo.

"Bukan lagi soal filem saja tapi pelaksanaan projek ini saya sifatkan sebagai gabungan semula bersama tiga penerbit yang sudah seperti keluarga saya sendiri.

"Morris, Wilson dan Collins adalah tiga produser yang tidak pernah berhenti daripada terus mempercayai hasil kerja saya. Mereka sentiasa menyokong dan yakin dengan apa saja keputusan yang saya lakukan.

"Oleh itu, saya seronok bekerja dengan mereka dan semua pelakon filem ini," katanya yang berharap peminat di Asia juga akan menyokong filem menarik ini.



Komposer disegani

Posted: 08 Mar 2012 05:42 AM PST

CINTANYA terhadap lagu Melayu tidak pernah padam. Malah, pejuang lagu puisi dan patriotik ini iaitu komposer Datuk Ibrahim Bachik, 73, terus bersemangat hingga ke akhir hayat.

Komposer lagu Disebut Jangan Dikenang Jangan ini menghembuskan nafas terakhir di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) jam 5.16 pagi semalam akibat penyakit asma, radang paru-paru dan tekanan darah rendah.

Arwah berasal dari Simpang Ampat, Melaka menghidap asma lebih 10 tahun dan dimasukkan ke PPUM Selasa lalu selepas keadaan kesihatannya bertambah kritikal.

Menurut anak ketiganya, Muhamad Syukor, keadaan kesihatan bapanya selama ini terkawal dengan bantuan ubat-ubatan tetapi menerima rawatan pada 28 Februari hingga 2 Mac lalu sebelum dibenarkan pulang.


"Semalam kesan pada paru-parunya begitu teruk dan tahap kesihatannya merosot sejak dua hari lalu. Arwah sebenarnya masih aktif bersama Orkestra dan Radio Televisyen Malaysia (RTM) dipanggil secara sambilan untuk menggubah lagu.


"Buat masa ini, arwah tidak mempunyai projek terbaru cuma acara seperti Deklamasi Puisi yang pernah dijayakan menjadi menjadi antara kenangan manisnya," katanya ketika dihubungi semalam.

Syukor memberitahu, arwah yang meninggalkan tiga anak dikebumikan di Tanah Perkuburan Selandar, Jasin, Melaka selepas solat Zuhur. Arwah anak kedua daripada tiga beradik, Salim dan adiknya, Ponisah.

Sepanjang berkarya lebih empat dekad, arwah pernah menang anugerah Muzik Tema Berkesan pada Festival Filem Malaysia keempat menerusi filem Bila Hati Telah Retak. Arwah yang terkenal dengan gubahan lagu puisi dianggap pencetus pada perkembangan lagu puisi sejak pertengahan 70-an.

Antara karya popularnya yang pernah dinyanyikan, Kekasih dan Genta Rasa bersama Sasterawan Negara, Datuk Usman Awang; lagu ciptaannya, Tak Seindah Wajah nyanyian Tan Sri SM Salim dan bekerjasama dengan Datin Rafeah Buang menerusi lagu Kenangan Di Rantau Abang.

Arwah yang juga bekas penerbit muzik di bahagian Muzik, RTM bersara pada 1995 pernah bekerjasama melagukan puisi karya Tan Sri A Samad Ismail, Atondra, Latif Mohidin, Kemala dan JM Aziz.

Pernah bergelar johan Bintang Radio pada 1968, arwah pernah mengikuti kelas vokal bersama Zubir Said di Singapura selama tiga tahun bermula 1962 dan turut aktif menerima undangan nyanyian bersama kumpulan orkestra di sana pada penghujung 60-an.

Anak saudara arwah, pelakon Harun Salim Bachik pula berkata, dia berkesempatan berjumpa dan berbual dengan arwah 10 hari lalu ketika di PPUM. Dalam pertemuan itu, arwah kelihatan tidak sihat tetapi masih boleh bercakap.

"Sepanjang mengenali arwah, dia seorang yang tegas dan serius ketika bekerja.
Semasa masih berkhidmat di RTM, arwah seorang yang disegani ramai di kalangan komposer dan pemuzik lain.

"Dia cukup dikenali ramai sebagai pencipta lagu patriotik dan banyak lagunya berkumandang di stesen radio. Hubungan saya dengan arwah juga memang rapat kerana dia adalah bapa saudara saya terdekat. Setiap tahun apabila ada perjumpaan keluarga, kami berjumpa dan berkumpul bersama adik-beradik lain," katanya.

Pengarah Muzik Orkestra RTM, Datuk Mokhzani Ismail yang turut dihubungi menyatakan, beliau sempat menziarah arwah sehari sebelum menghembuskan nafas terakhir dan ketika itu, keadaannya koma dan diberi alat bantuan pernafasan.

"Arwah dianggap komposer legenda pada bidang muzik tempatan. Pada penghujung tahun lalu, arwah pernah menyatakan hasrat merakam semula lagu ciptaan dan nyanyiannya dalam satu projek bersama Kerajaan Negeri Melaka.

"Namun, sejak awal tahun ini kesihatannya merosot dan saya ada mengumpul lagu-lagunya tetapi kami tidak sempat berbincang lanjut mengenai projek itu.
Mungkin, pihak RTM sendiri merancang akan mengumpul kembali lagu-lagu arwah untuk disiarkan dalam program tertentu," katanya.