Kosmo Online - Hiburan |
Posted: AVM halang perjalanan karierSUDAH empat tahun bertapak dalam industri hiburan, namun namanya masih belum lagi dikenali ramai. Tidak seperti kakaknya, pelakon Natasha Hudson yang pantas meraih perhatian khalayak. Bagaimanapun, kini Tania sudah boleh menarik nafas lega kerana sejak kebelakangan ini dia sudah mula mendapat perhatian penerbit drama. Tahun 2010 yang baru sahaja melabuhkan tirai penutupnya merupakan titik kebangkitan dirinya semula setelah sepi seketika dari sebarang aktiviti lakonan. Menurut pemilik mata bundar ini, biarpun pada mulanya dia menerima banyak kritikan, kini segala kelemahan yang ada telah dapat diatasi dengan sebaik mungkin. "Memang sewaktu awal pembabitan dahulu, banyak yang mengkritik mengenai gaya lakonan saya. Namun semua kritikan yang dilemparkan itu saya jadikan sebagai panduan untuk perbaiki segala kelemahan ada. "Sekarang saya sangat bersyukur kerana semakin banyak menerima tawaran berlakon untuk drama dan telefilem. Lagipun saya mahu memberikan sepenuh tumpuan kepada berlakon kerana ia kini merupakan kerjaya saya sepenuh masa," ujarnya. Sementara itu, berbicara mengenai wataknya dalam drama bersiri terbaru berjudul Tiramisu yang kini sedang hangat ditayangkan, Tania menjelaskan wataknya itu sedikit berbeza dengan watak-watak dalam drama lakonannya sebelum ini. Menurut Tania, sebelum ini dia banyak memainkan watak sebagai seorang gadis yang baik dan lemah lembut. Untuk drama Tiramisu pula, ternyata karakter yang ditampilkan nyata berbeza. "Watak saya sebagai Lyana dalam drama tersebut adalah seorang gadis yang bijak membuat manipulasi semata-mata mahu rampas Pierre daripada Amani. Saya juga digambarkan sebagai gadis yang sanggup melakukan apa sahaja agar cita-cita saya tercapai." ujarnya. Usaha sendiri Selain berbekalkan raut wajah yang cantik dan menawan, Tania tentunya sangat bertuah kerana memiliki seorang kakak di dalam bidang yang sama. Sudah tentu ia mampu menjadi batu loncatan untuk dia pergi lebih jauh lagi dalam kerjaya sebagai pelakon. Bicara Tania, meskipun dia memiliki kelebihan tersebut, namun dia tidak sewenang-wenangnya akan menggunakan kelebihan yang dimilikinya itu untuk mendapatkan lebih banyak tawaran berlakon.
"Saya sedar bahawa kakak saya memang sangat dikenali di dalam industri lakonan. Tetapi itu tidak bermakna ia boleh menjadi batu loncatan untuk saya pergi lebih jauh dalam bidang ini. "Paling penting sekali, apa yang saya mahukan adalah segala kejayaan yang akan saya raih nanti adalah melalui usaha saya sendiri dan bukan daripada bantuan orang lain termasuk kakak saya sendiri," ujarnya yang tidak mahu terus dibayangi kakaknya itu. Sekiranya terdapat segelintir dramatis yang agak cerewet dalam menerima tawaran berlakon yang diberikan, jelas gadis yang berwajah lembut ini dia tidak mahu menjadi seorang pelakon yang terlalu selektif. Menurut Tania, memandangkan kini dia mahu kembali bangkit dan lebih fokus kepada lakonan, dia akan menerima apa sahaja watak yang diberikan. Ujarnya, dengan cara sebegitu dia akan mampu memantapkan lagi mutu lakonannya selepas ini. Sementara itu, ketika ditanya mengenai perasaannya dapat bergandingan dengan pelakon yang lebih popular seperti Pierre Andre dan Sharifah Amani, dia meluahkan rasa gembiranya dan sudah lama berkeinginan untuk berlakon bersama kedua-dua pelakon tersebut. "Sudah tentu menjadi satu kelebihan dapat berlakon di samping pelakon yang berpengalaman seperti mereka. Ketika di lokasi penggambaran, ternyata mereka banyak membantu dan memberi tunjuk ajar kepada saya," ujarnya. Arwah Faizal Yusup Baru-baru ini peminat industri hiburan tanah air telah digemparkan dengan berita kepulangan pelakon Faizal Yusup ke Rahmatullah pada tanggal 1 Januari lalu kerana mengalami serangan jantung. Tiramisu adalah drama terakhir lakonan Faizal dan difahamkan pemergian pelakon berbakat besar itu adalah dua hari selepas menjalani penggambaran terakhirnya dalam drama tersebut. TANIA bersama tiga pelakon Tiramisu (dari kiri), Pierre Andre, Sharifah Amani dan Zain Ruffedge. Tania yang juga salah seorang pelakon utama dalam drama berkenaan turut meluahkan rasa terkejutnya dan seperti tidak percaya sewaktu mendengar berita kematian pelakon berkenaan. "Memang kami sama-sama berlakon dalam Tiramisu tetapi tidak ada watak yang membabitkan kami bersama. Cuma ada juga sesekali saya berjumpa dengannya ketika di lokasi penggambaran. "Bagi saya, dia seorang lelaki yang sangat kelakar dan mudah bergaul dengan sesiapa sahaja. Sebab itu bila mendengar berita dia meninggal dunia, saya memang rasa sangat sedih dan tak sangka dia akan pergi dalam usia yang muda," ujarnya. Menurut Tania lagi, kali terakhir dia bertemu dengan arwah adalah sewaktu Anugerah Skrin yang berlangsung baru-baru ini. Ketika itu dia dan Faizal duduk bersebelahan semasa acara tersebut. Ujarnya, dia sempat berborak-borak dengan Faizal dan dia sendiri tidak melihat sebarang tanda-tanda pelakon itu sedang sakit atau akan pergi buat selama-lamanya. | ||
Posted: Halle Berry utama anak
PELAKON Halle Berry yang terkenal sebagai gadis Bond dalam filem Die Another Day menegaskan dia tidak akan kembali ke dunia lakonan demi membesarkan anak perempuannya, Nahla. Sudah berusia 44 tahun, aktres berkenaan mengakui semenjak kehadiran Nahla dalam kehidupannya, barulah dia menyedari bahawa karier lakonan sudah lagi tidak menjadi keutamaan dalam hidupnya. "Adakalanya kehadiran anak mampu mengubah kehidupan seseorang itu dan kini saya sedang laluinya. Saya masih sayangkan dunia lakonan tetapi terpaksa meninggalkannya agar sentiasa bersama Nahla setiap masa," ujarnya. Menurut Halle lagi, kehadiran anaknya itu juga telah mengubah dirinya menjadi wanita yang lebih baik. Ujarnya, dia akan memikirkan anaknya terlebih dahulu sebelum membuat sebarang keputusan mengenai perjalanan hidupnya selepas ini. | ||
Posted: Artis bertandang ke Sarawak
RAKYAT negeri Sarawak berpeluang untuk bertemu dan beramah mesra dengan artis-artis di bawah naungan Wake The Baby Sdn. Bhd. (WTB) yang bakal berkunjung ke negeri tersebut dari Sabtu ini hingga Selasa depan. Kehadiran para artis iaitu Ilyka, Riz AF, Sani Mentor dan Aisya Hasnaa ke Bumi Kenyalang itu adalah melalui kerjasama WTB dengan pihak Firefly yang mengadakan kunjungan istimewa sempena meraikan penerbangan sulung Firefly ke Kuching. Penerbangan pertama Firefly akan mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching pada Sabtu ini dan akan diraikan secara gilang-gemilang. Pelbagai aktiviti menarik juga telah diaturkan oleh pihak Firefly. Artis-artis di bawah naungan WTB turut teruja serta tidak sabar untuk bertemu dengan peminat-peminat di sana. Sekiranya peminat-peminat ingin menyaksikan persembahan mereka secara lebih dekat, pihak WTB telah mengadakan kerjasama dengan dua pihak iaitu Dayak Artistes and Musicians Association (DAMA) dan The King's Arm yang cukup popular di bandar Kuching. Ilyka, Riz, Sani dan Aisya Hasnaa juga dijadualkan membuat satu persembahan istimewa selama satu jam di The King's Arm Club, Ahad ini pada pukul 9.30 malam. Persembahan pada malam tersebut juga disokong oleh DAMA, yang juga bertindak sebagai sebuah persatuan yang telah banyak menyokong artis-artis Bumi Kenyalang. Pada hari yang sama juga, artis-artis berkenaan akan singgah di konti radio Cats.fm, selain melawat sekitar bandar Kuching sambil mengadakan sesi fotografi bersama rakan-rakan media yang diterbangkan khas dari Kuala Lumpur. |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Hiburan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |