Adsense

Jumaat, 14 Januari 2011

Berita Harian: Hip

Berita Harian: Hip


Kemuncak finalis ABPBH2010

Posted: 13 Jan 2011 01:16 PM PST

Hip

pix_gal0
(guna logo ABPBH2010)

Gabungan baru, lama dalam senarai Top 5 menghangatkan anugerah edisi ke-24

BUKAN saja kehidupan yang boleh diibaratkan seperti putaran roda tapi mereka yang tersenarai sebagai finalis Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2010 (ABPBH2010) juga boleh disamakan dengan perumpamaan itu kerana mereka yang tercalon untuk lima tempat terbaik dalam 16 kategori yang dipertandingkan sentiasa berubah-ubah. Kalau tahun lalu ramai muka baru mengisi senarai finalis, begitu jugalah pada ABPBH2010. Cuma apa yang mengejutkan pada masa sama, ramai 'muka lama' yang dianggap sebagai 'gergasi' dalam acara berprestij itu sudah tidak kelihatan lagi.

Ke manakah menghilangnya Rosyam Nor, Saiful Apek dan Mawi yang pernah diangkat sebagai Bintang Paling Popular? Begitu juga dengan Erra Fazira, Dayang Nurfaizah, Rita Rudaini, Eja dan Adam yang saban tahun namanya tidak pernah tercicir dari senarai pencalonan.

Apakah itu menandakan bahawa selera peminat semakin berubah ataupun mereka sebenarnya gagal mempertahankan populariti yang selama ini berada dalam genggaman mereka.

Sukar untuk mencari puncanya kerana perubahan sentiasa berlaku sama seperti genre muzik yang menjadi ikutan.
Bagaimanapun, bak kata pepatah, sekali air bah, sekali pantai berubah.Seiring dengan revolusi yang berlaku dalam industri hiburan yang acapkali mempamerkan wajah-wajah segar dan muda dalam drama dan juga program hiburan terbitan mereka, senarai mereka yang mendapat tempat Top 5 ABPBH2010 juga mengikuti pola yang sama.

Semakin kerap produk mereka ditayangkan di kaca televisyen atau di layar perak, semakin memuncak populariti mereka. Justeru tidak hairanlah senarai finalis tahun menyaksikan ramai selebriti yang boleh dianggap pertama kali merasai pengalaman baru itu dicalonkan dalam Top 5 ABPBH.

Seronok, teruja dan ada juga di antara mereka tergamam sehingga sukar untuk menterjemahkan dengan kata-kata kerana tidak menyangka perkara yang tidak pernah bermain dalam fikiran mereka sebelum ini menjelma di depan mata.

Berkongsi perasaan pertama kali tersenarai sebagai finalis adalah penyanyi wanita yang lagunya baru saja dinobatkan sebagai juara dalam Anugerah Juara lagu ke-25 baru-baru ini iaitu Ana Raffali, pemenang kategori pelakon pembantu lelaki terbaik untuk Festival Filem Malaysia yang lalu, Shaheizy Sam, pelakon filem Haq, Ady Putra, pelakon cilik, Elfira Loy, pelakon bertubuh gempal, Nur Syuhaida serta pelakon dan juga model, Sharnaaz Ahmad.

Hadir dengan pakej dan bakat semula jadi, keenam-enam selebriti ini mengakui terkejut dan seolah-olah berada di alam mimpi.Namun mereka akur dengan cita rasa peminat yang memang sukar dijangka sebenarnya.

Populariti menerusi Qaleesya

Bagi Elfira, memasuki senarai carta yang menjadi idaman ramai itu sebenarnya banyak bergantung kepada watak Qaleesya yang dibawa dalam drama bersiri yang disiarkan di saluran Astro Prima.

"Saya tak nafikan populariti drama bersiri Qaleesya menyebabkan nama saya tersangkut dalam drama ini. Dan disebabkan drama itulah saya banyak mendapat tawaran berlakon dari produksi lain.

"Dari situ, nama saya semakin dikenali dan saya bersyukur kerana diberi peluang untuk bersama-sama merasai pengalaman bergelar finalis ABPBH," katanya yang dicalonkan dalam kategori Artis Baru Wanita Popular.

Enggan menaruh harapan terlalu tinggi, pelakon yang rupa parasnya persis Umie Aida ini menyerahkan keputusan di tangan peminat.

"Apabila saya menceburkan diri dalam bidang lakonan, niat saya bukanlah untuk mengejar anugerah tetapi lebih kepada kepuasan. Saya berlakon kerana minat," tegas Elfira.

Tak sangka tersenarai

Populariti drama bersiri Dottie juga nyata membawa tuah kepada Sharnaaz apabila berjaya menduduki senarai Artis Baru Lelaki Popular bersama-sama Daus, Maulana, Shah Jaszle dan Shahir. Apakah jejaka kacak ini yakin mampu menyerlah dan mengungguli kategori ini?

"Jika sebelum ini saya hanya melihat kawan-kawan saya bertanding, kali ini saya pula yang tersenarai. Tidak dinafikan, populariti drama Dottie berjaya memperkenalkan saya kepada khalayak.

"Jika drama itu menjadi satu platform untuk meletakkan saya dalam senarai Top 5, mungkin drama saya yang berjudul Ungunya Cinta yang akan disiarkan Februari nanti bakal menjadi alat promosi saya untuk lebih dikenali," katanya.

Hasil kerja diiktiraf

Kalau sudah rezeki, lambat atau cepat bukanlah suatu masalah yang besar. Ady Putra adalah contoh artis yang sudah sekian lama membina nama, baru kini peluang datang terbentang di depan mata.

"Saya tak kisah jika baru sekarang peluang saya datang. Kita kena tunjukkan dulu hasil kerja kita, barulah pengiktirafan itu datang. Saya lebih mementingkan kualiti dari kuantiti," kata pelakon yang berasal dari Kota Singa ini.

Kontroversi turut membantu

KONTROVERSI ada kala menjatuhkan tapi dalam hal yang membabitkan bekas juara Akademi Fantasia musim ke-8, Shahir, kontroversi yang melingkari kehidupannya sejak kebelakangan ini membawa rahmat rupa-rupanya apabila namanya tersangkut dalam senarai kategori Penyanyi Lelaki Popular dan Artis Baru Lelaki Popular.

"Tidak dinafikan, kontroversi sebenarnya boleh menaikkan dan menjatuhkan seseorang artis. Kalau boleh saya mahu dikenali dengan hasil kerja dan bukannya dari cerita sensasi yang tidak membantu perkembangan kerjaya saya.

"Mungkin kontroversi boleh membuatkan orang ingat pada kita tapi itu sebenarnya tidak kekal lama. Kalau kita naik kerana hasil kerja, sampai bila-bila kita boleh bertahan dalam industri ini," kata penyanyi lagu Kebahagiaan Dalam Perpisahan ini.

Meskipun dilanda kontroversi apabila kemenangan lagu ciptaannya Tolong Ingatkan Aku dalam Anugerah Juara Lagu ke-25 dipertikaikan namun ia bagaikan terubat apabila penyanyi yang terkenal dengan imej berbaju kurung dan kebaya ini menerima tiga pencalonan iaitu menerusi kategori Artis Duo/Berkumpulan Popular, Penyanyi Wanita Popular dan Artis Baru Wanita Popular.

ABPBH2010 suntik semangat

Bagi Ana Raffali, tiga pencalonan dalam ABPBH2010 memberi semangat untuk dia lebih bekerja keras sekali gus melupakan semua kisah pahit yang berlaku.

"Dulu saya pernah berangan untuk berada dalam kelompok ini tetapi tak sangka pula angan-angan saya menjadi kenyataan. Walaupun dicalonkan untuk tiga kategori namun saya tidak berani untuk meletakkan harapan tinggi. Lagipun ia juga tidak menjanjikan sebarang kemenangan buat saya.

Cuma kalau ditanya kategori mana yang saya rasa ada harapan, saya lebih suka kategori Artis Duo/Kumpulan Popular kerana saya suka kolaborasi saya dengan Altimet dan Suhaimi Mior Hassan," kata Ana.

Peminat tidak pilih kasih

Seperkara yang menarik mengenai ABPBH adalah, pembaca budiman tidak pernah menjadikan bentuk fizikal sebagai keutamaan. Maksud cantik bagi mereka cukup subjektif. Buktinya, Nur Syuhaida yang comel turut tersenarai sebagai finalis.

"Memang tak pernah fikir pun pasal pencalonan. Maklum sajalah, kebanyakan mereka yang dicalonkan semuanya cantik dan kurus. Tapi bagi saya keyakinan pada diri sendiri itu lebih penting kerana jika kita yakin pada diri sendiri, orang di luar juga akan lebih yakin dengan kita dan mereka tidak teragak-agak untuk mengundi kita," kata Syuhada optimis.


Full Feed Generated by GetFullRSS.com, sponsored by USA Best Price.

Campur aduk agama, dongeng

Posted: 13 Jan 2011 01:12 PM PST

Hip

LPF jelaskan mengapa drama Sakti Delima ditarik balik siarannya di TV3

DRAMA Sakti Delima yang ditarik balik penyiarannya buat sementara waktu oleh pihak Lembaga Penapis Filem (LPF) baru-baru ini bukanlah disebabkan amalan 'double standard' ataupun kesilapan pihak LPF menterjemah elemen tahyul dalam drama terbitan JS Pictures itu tetapi kerana drama itu amat mengelirukan apabila mencampuradukkan antara unsur khurafat dan agama.

Ini kerana kalau ia cerita dongeng, drama itu biarlah penuh dengan elemen dongeng sepenuhnya tanpa ada sebarang kaitan dengan agama sehingga mengelirukan penonton. Demikian penjelasan Pengerusi LPF, Datuk Mohd Hussain Shafie yang membuat penilaian kedua drama terbabit selepas mendapati ada yang tak kena terhadap isi kandungan drama yang disiarkan di TV3 menerusi slot Lagenda itu.

"Jika drama itu seratus peratus mitos atau dongeng dan tidak membabitkan unsur agama Islam di dalamnya, memang kami akan luluskan. Tetapi berdasarkan apa yang ditonjolkan, drama Sakti Delima ini jelas menggambarkan latar belakang sebuah masyarakat Islam dan perbuatan mempercayai kesaktian loket ajaib itu adalah bertentangan dengan akidah.

"Ia sudah mencampur adukkan antara agama dengan kisah dongeng dan mitos.
"Justeru, supaya ia tidak terus mengelirukan penonton, adalah lebih baik LPF menghentikan sementara penyairan drama bersiri itu bagi memberi peluang kami mengkaji semula drama itu secara keseluruhan," katanya sewaktu dihubungi Hip semalam.
Untuk itu, kata Mohd Hussain, pihaknya meminta supaya TV3 menyerahkan kesemua baki 10 episod pita rakaman drama itu untuk dibuat penilaian semula.
"Saya juga ingin membuat pembetulan di sini bahawa kami (LPF) hanya menerima 10 episod saja untuk dinilai dan bukannya 20 episod seperti yang dikatakan TV3 semalam (kelmarin).

"Adalah penting untuk kami mendapatkan gambaran keseluruhan drama itu untuk berlaku adil kepada semua pihak. Lagi cepat pihak TV3 menyerahkan baki 10 episod pita rakaman drama itu, lagi cepat isu ini dapat diselesaikan," tegasnya.

Ditanya mengapakah hanya selepas empat episod baru pihak LPF sedar bahawa drama itu mempunyai elemen tahyul dan mampu memesongkan akidah, Mohd Hussan mempunyai alasan tersendiri berhubung perkara itu.

"Saya akui, pada peringkat penilaian pertama yang dijalankan di TV3, wakil kita di sana meluluskan penayangan drama itu kerana menganggap ia adalah filem dongeng biasa. Namun selepas saya menonton sendiri drama itu, saya dapati ada yang tidak kena dan ia perlu dikaji semula penyiarannya.

"Adalah perkara biasa untuk pihak kami menilai drama yang tarikh siarannya sudah semakin hampir.Contohnya, untuk drama ini kami terima kira-kira lagi dua hari ia ditayangkan kepada umum. Dalam keadaan terdesak seperti itu dan tujuan untuk membantu penerbit, kami siarkan juga," katanya lagi.

Mohd Hussain turut menegaskan, kalau LPF mendapati ia melanggar peraturan yang ditetapkan, walaupun selepas disiarkan, pihaknya masih mempunyai kuasa untuk menarik balik dan mengkaji semula sesebuah drama itu sama ada boleh disiarkan ataupun diharamkan.

"LPF mempunyai hak untuk mengarahkan sesuatu drama itu dihentikan siarannya walaupun sebelumnya itu sudah disiarkan. Ini sama juga seperti apa yang kami lakukan untuk drama bersiri Sakti Delima," katanya mengulas drama arahan Azman Yahya atau Jinggo ini.

Menurut Mohd Hussain, sepatutnya pada hari ini, pihaknya termasuk Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) akan mengadakan pertemuan empat mata dengan TV3 dan juga penerbit iaitu Sheila Rusly.

Bagaimanapun ia tidak berlangsung seperti yang dirancangkan apabila kedua-dua pihak terbabit tidak menghadirkan diri.

Pada Selasa lalu, Sheila melahirkan kekecewaannya apabila drama Sakti Delima yang menampilkan ramai pelakon bertudung seperti Bienda, Sheila Rusly, Safura, Aida Khalida, Catriona Ross dan Liza Hanim dihentikan tayangannya oleh LPF.
Dalam luahannya itu, Sheila menafikan drama terbitannya mempunyai unsur tahyul dan juga boleh memesongkan akidah seperti yang didakwa LPF.


Full Feed Generated by GetFullRSS.com, sponsored by USA Best Price.