KETIADAAN Nur Fazura Sharifuddin untuk menerima trofi Pelakon Pembantu Wanita Filem di Anugerah Skrin 2010 (ASK2010) yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pada 24 Disember tahun lalu, menimbulkan tanda tanya.
Difahamkan, ketika majlis anugerah berprestij itu berlangsung, Fazura atau mesra dengan panggilan Faz tiada di Malaysia kerana bercuti dengan kekasih hati di London.
Apakah dalam usia 27 tahun, pelakon jelita yang mula dikenali menerusi filem Bicara Hati itu akan melangsungkan perkahwinan tidak lama lagi dan mahu bersara daripada dunia lakonan hingga tidak berminat untuk hadir di majlis anugerah dan memilih untuk bercuti.
Sejauh mana benarnya cerita itu, tidak dapat dipastikan hingga kehadirannya di majlis Tahun Baru Cina Green Cheongsam anjuran Rafflesia The Pearl Centre, Selasa lalu menjadi tumpuan untuk bertanyakan perkara itu. Fazura anggun dengan gaun labuh rekaan Rizman Ruzaini.
Fazura mengatakan, bukan saja dia tidak menduga kemenangannya di ASK2010 menerusi lakonannya dalam filem Pisau Cukur, malah mengakui, tidak tahu namanya dicalonkan. Dia mengakui ketika itu sedang bercuti tetapi apabila ditanya destinasi percutiannya, Fazura enggan memberitahu.
Katanya, cukuplah tulis dia bercuti di luar negara saja. Malah, ujarnya kenapa dia memilih percutian di luar Malaysia kerana tiada siapa yang mengenali dirinya sebagai artis. Secara tidak langsung, Fazura berkata 'bolehlah bernafas' ketika di sana.
"Sebagai selebriti, apa saja yang dilakukan di negara ini, pasti menjadi perhatian ramai. Namun, situasi itu berbeza ketika di luar negara kerana tiada siapa yang kenal. Jadi, ia lebih memberi ketenangan untuk berbuat apa saja yang diinginkan," jelasnya.
Ditanya apakah dia merancang 'bersara' dan kini dalam proses memperlahankan karier seni, Fazura menegaskan buat masa ini dia belum lagi terfikir untuk berhenti daripada lakonan. Jelasnya, tiada istilah bersara dalam hidup seorang anak seni.
"Saya menyepi diri daripada lakonan kira-kira tahun lalu, bukan bermaksud apa-apa. Ketika itu, saya masih menerima banyak tawaran watak, tetapi menolaknya. Ia tidak menambat hati dan boleh dikatakan saya pernah buat sebelum ini.
"Umpama macam jodoh juga, kalau tak kena dengan hati takkan hendak terima. Jadi, saya sentiasa inginkan watak baru yang tak pernah dilakukan. Syukur, kedatangan 2011 ini, tirai karier saya dibuka dengan rezeki yang murah oleh Yang Maha Esa.
"Saya akan muncul dalam filem baru terbitan Red Communication Sdn Bhd tidak lama lagi dan sekarang masih lagi dalam perancangan," katanya.
Apapun kata Fazura, dia sangat teruja kerana dapat berlakon drama Tahajud Cinta dan Kitab Cinta arahan Erma Fatima. Dia akan berangkat ke Tanah Suci pada 20 Februari nanti untuk menjayakan penggambaran drama itu.
Kata Fazura, selain berlakon dia juga berbesar hati kerana hajat mengerjakan umrah termakbul.
"Kali pertama saya mengerjakan umrah pada usia 12 tahun. Selepas itu, saya tidak lagi berpeluang untuk ke Tanah Suci walaupun ketika perkahwinan Datin Paduka Umie Aida. Beliau ada mengundang saya bersama, tetapi tiada rezeki waktu itu.
"Jadi, menerusi watak bertudung dalam drama arahan Erma itu, impian saya mahu ke Tanah Suci termakbul akhirnya. Lagi pun, ia drama pertama saya akan bertudung kerana sebelum ini tidak pernah mendapat tawaran watak memakai tudung," katanya.
Jodoh Pilihan Fazura?
MEMILIKI wajah jelita dan menawan, apakah Fazura kini sudah menemui calon yang bertakhta di hatinya? Kata pelakon drama Ezora ini, soal jodoh adalah ketentuan Tuhan dan dia menyerahkan semua itu kepada takdir. Termasuk, siapakah calon jodoh untuk dirinya.
"Bercakap mengenai jodoh ini, ia sama seperti ajal maut juga. Jadi, biarlah Tuhan yang tentukan dan saya sebagai manusia biasa, tidak memilih. Saya hanya doa dan berharap mendapat jodoh yang baik. Buat masa ini, saya belum ada rancangan perkahwinan.
"Saya pun tak tahu jodoh saya dengan siapa. Namun, andai kata jodoh itu sudah tiba saya takkan menyembunyikannya. Wakil media akan diberitahu dan turut diundang hadir ke majlis paling bermakna dalam hidup saya itu," ujarnya.
Ceria berbicara sepanjang sesi wawancara bersamanya, Fazura turut ditanya apakah 'kegembiraan' yang terpancar di wajahnya itu menunjukkan dia kini di alam percintaan. Jelasnya, maksud 'cinta' terlalu besar dan ia perkara yang sangat indah.
"Setiap hari saya bercinta pada diri sendiri, keluarga dan semuanya. Justeru, inilah kebahagiaan saya. Malah, memandangkan diri semakin matang sekarang, saya sudah tidak kisah dan ambil peduli dengan apa yang orang ingin katakan terhadap diri ini.
"Saya tahu apa yang dilakukan dan terpulang pada orang hendak bercakap apa. Saya gembira dan bahagia dengan hidup saya sekarang. Bahkan, tahun ini saya mahu memberi tumpuan kepada karier lakonan dan ingin berjaya dalam karier.
"Impian saya ingin mengumpul harta sendiri hasil titik peluh sebagai anak seni. Ini kerana, saya akan berhenti berlakon apabila sudah berkeluarga. Lagipun, ini juga janji saya kepada ibu yang kurang selesa saya terus aktif dalam bidang lakonan.
"Ibu saya mahu saya tinggalkan lakonan dan menceburi bidang perniagaan. Namun, selama setahun berehat saya berasakan pencapaian sebagai pelakon masih belum boleh dibanggakan. Banyak yang harus saya lakukan untuk meraih kejayaan," katanya.
Kemunculan pertamanya melalui Bicara Hati menang Pelakon Harapan Wanita Terbaik di Festival Filem Malaysia ke-17 (FFM17) dan terbaru, Pelakon Pembantu Wanita di ASK2010.
Kata Fazura, dia menyimpan impian meraih Anugerah Pelakon Wanita Terbaik sekurang-kurangnya. Sehubungan itu, buat masa ini dia harus meneruskan karier lakonan untuk mengumpul pengalaman. Dia juga mempunyai watak impiannya.
Ujarnya jika diberi peluang, dia ingin melakonkan watak wanita yang nampak baik tetapi realiti sebenarnya, seorang pembunuh. Katanya, dia inginkan karakter baru yang mampu mencabar dirinya. Apapun, kini fokus utama Fazura adalah kerjaya.
>PROFIL
NAMA: Nur Fazura Sharifuddin
PANGGILAN PENTAS: Fazura/ Faz
TARIKH LAHIR: 27 September 1983
USIA: 27 tahun
KELUARGA: Anak ketiga daripada empat beradik
PROGRAM TV: Teensworld (RTM2), MTV Jus dan MTV Pop Inc
FILEM: Antaranya Bicara Hati, Qaisy & Laila, Senario XX, Gol & Gincu, Kayangan, Selamat Pagi Cinta!, Kantoi, Pisau Cukur, Lagenda Budak Setan dan Bujang Terlajak
DRAMA: Antaranya Inspirion, Dalam Hati Ada Cinta, Kasih Suci, Datin Diaries, Gol & Gincu The Series, Rendang Untuk Menantu, Ezora, Tahajud Cinta dan Kitab Cinta
PENCAPAIAN: Pelakon Harapan Wanita Terbaik pada Festival Filem Malaysia ke-17 (FFM17), Pelakon Pembantu Wanita Filem ASK2010
DUTA: Olay, Avon, Nutox Skincare dan Hair Extension Hair Dreams