Kosmo Online - Hiburan |
Posted: Dilarang bersentuhanKEKOK. Itu satu patah perkataan yang diluahkan oleh dramatis berpengalaman, Ezany Nizariff bagi menggambarkan betapa hebatnya impak daripada cabaran yang dihadapinya sepanjang berlakon drama terbaru terbitan stesen TV AlHijrah, Pak Su Man yang mula disiarkan pada pukul 8.30 malam ini. Sebagai sebuah saluran TV yang berciri Islamik, mungkin ramai yang masih belum mengetahui bahawa TV AlHijrah sebenarnya mempunyai garis panduan yang agak ketat dan harus dipatuhi oleh syarikat penerbitan drama sebelum menghasilkan sesebuah drama untuk siaran saluran TV yang mula ke udara pada 7 Disember tahun lepas itu. Antaranya, setiap pelakon wanita diwajibkan untuk memakai tudung tidak kira untuk sebarang watak yang dilakonkan. Pelakon lelaki dan wanita pula tidak boleh bersentuhan meskipun berlakon sebagai pasangan suami isteri. Dalam pada itu, drama Pak Su Man yang turut menampilkan beberapa pelakon baru seperti Fazren Rafi dan Ika Zulkifli itu menyaksikan Ezany bergandingan dengan Yatt Hamzah sebagai suami isteri. "Sememangnya saya berasa agak kekok apabila berlakon di samping Yatt sebagai suami isteri tetapi pada masa yang sama kami langsung tidak dibenarkan untuk saling bersentuhan antara satu sama lain," akuinya. Justeru, bagaimana caranya untuk Ezany menghidupkan karakter kemesraan antara pasangan suami isteri jika untuk saling bersentuhan tidak dibenarkan sama sekali? Menurutnya, biarpun dia kekok pada awalnya, namun lama-kelamaan dia merasakan garis panduan TV AlHijrah itu sebenarnya adalah satu pendekatan yang cukup menarik. "Tidak dinafikan garis panduan yang ditetapkan TV Al Hijrah itu agak berat tetapi untuk melihat drama ini berjalan dengan baik, maka ia semua bergantung kepada kreativiti pengarah tentang bagaimana dia akan mencorakkan drama ini supaya kelihatan lebih menarik. "Biarpun berasa sedikit kekok, tetapi saya tidak kisah dan tetap memberikan yang terbaik untuk drama Pak Su Man kerana saya sedar ia juga boleh menyampaikan mesej dakwah kepada penonton," ujarnya. Tambahnya, selepas ini juga dia tidak akan menolak sebarang tawaran berlakon sebarang drama yang akan disiarkan melalui saluran AlHijrah, meskipun terikat dengan garis panduan tersebut.
Imam solat jenazah Garis panduan TV AlHijrah itu sebenarnya cabaran awal buat Ezany kerana dia menghadapi cabaran yang lebih hebat untuk menghidupkan karakter Reizman atau Pak Su Man menerusi drama tersebut. Membaca talkin, menjadi imam solat jenazah, mengajar al-Quran dan memberi tazkirah - itu yang perlu dilakukan oleh Ezany dengan penuh berhemah dan meyakinkan umum, khusus untuk karakter Pak Su Man. Biarpun pernah melakonkan watak lelaki alim sebelum ini, tetapi menurut Ezany wataknya dalam Pak Su Man boleh dikatakan agak berlainan dan cukup istimewa, di samping jalan ceritanya yang cukup menarik. Bercerita tentang karakter Riezman atau Pak Su Man, beritahu Ezany, dia perlu menjelmakan dirinya sebagai seorang lelaki berkelulusan tinggi dalam bidang keagamaan. Namun, dia tiba-tiba perlu menjalankan tanggungjawab yang diwasiatkan oleh arwah abangnya, Razlan untuk menjaga empat orang anak abangnya itu selepas Razlan dan isterinya, Ayati meninggal dunia dalam kemalangan jalan raya. "Biarpun Riezman mempunyai pengetahuan yang tinggi dalam bidang agama, namun ia agak berbeza dengan keluarga Razlan yang langsung tidak tahu apa-apa pasal agama dan lebih terpengaruh kehidupan cara kehidupan barat. "Maka, bermulalah daripada situ tanggungjawab saya untuk memberikan pendidikan agama kepada anak-anak buah saya di samping terpaksa menguruskan syarikat yang telah diamanahkan. "Bagaimanapun, kehadiran saya dalam keluarga tersebut kurang disenangi oleh salah seorang anak Razlan iaitu Ashraf," ujarnya. Namun, bagaimanakah Ezany mampu menyediakan dirinya untuk benar-benar berjaya menghidupkan karakter Pak Su Man itu? Menurut pelakon yang sudah sembilan tahun berkecimpung dalam dunia lakonan itu, dia sangat bersyukur kerana salah seorang kru produksi drama berkenaan merupakan anak tokoh agama terkenal, Tan Sri Hassan Azhari. "Kru produksi tersebut yang bernama Amin itu juga adalah adik kepada pelakon Datuk Jalaludin Hassan. "Daripada dialah saya banyak merujuk mengenai perkara tentang keagamaan dan dia sememangnya telah banyak membantu saya," ujarnya yang hadir bersama Yatt, Fazren dan Ika untuk sesi fotografi bersama Kosmo! baru-baru ini.
Tertarik nama Sumayyah Yatt Hamzah pula menjelaskan antara sebab dia bersetuju menerima tawaran berlakon menerusi Pak Su Man ialah kerana dia sangat tertarik dengan nama watak Sumayyah yang dilakonkannya itu. Ujar Yatt, beberapa hari sebelum menerima panggilan telefon daripada penerbit drama berkenaan, dia ada terbaca buku mengenai kisah sejarah para nabi termasuklah kisah Sumayyah yang merupakan wanita pertama yang mati syahid ketika zaman junjungan besar Rasulullah s.a.w. "Lantas, saya terus tertarik dengan nama Sumayyah kerana merasakan ia satu nama yang cukup indah dan saya juga ada beritahu kepada suami bahawa sekiranya ditakdirkan memiliki anak perempuan selepas ini, saya akan meletakkan nama tersebut kepada anak saya itu nanti. "Kemudian semasa saya pergi berkaraoke dengan rakan-rakan, mereka menyuruh saya menyanyikan lagu nasyid yang berjudul Sumayyah juga. "Tidak lama selepas itu, saya telah dihubungi dan diberi watak Sumayyah dalam drama Pak Su Man dan saya terus menerima tawaran tersebut," bicaranya. Menurut Yatt lagi, watak Sumayyah sangat menarik dan agak berbeza berbanding watak-watak lakonannya sebelum ini. Sumayyah jelas Yatt, merupakan seorang wanita yang berpendidikan tinggi, lemah lembut dan sentiasa tabah dalam mengharungi cabaran untuk membesarkan keempat-empat anak saudaranya itu.
Sementara itu, mengulas mengenai gandingannya bersama Ezany dalam drama tersebut, Yatt menjelaskan dia sangat gembira dapat bekerjasama dengan pelakon berkenaan dan menyifatkan gandingan mereka berdua sememangnya memiliki keserasian biarpun baru kali pertama berlakon bersama Ezany sebagai pasangan suami isteri. "Pada mulanya memang rasa berdebar juga bila bergandingan dengan pelakon yang lebih senior. "Lagipun saya sudah melihat drama lakonannya semenjak saya masih di bangku sekolah lagi dan tak sangka pula kali ini saya dapat berlakon bersama-sama dengannya," ungkapnya lagi. Transformasi dunia hiburan Memberi sokongan 100 peratus terhadap garis panduan TV AlHijrah tersebut, Yatt menyifatkan kemunculan saluran TV tersebut sebagai satu transformasi dalam dunia hiburan tanah air. "Memang ada segelintir pihak yang mungkin sukar untuk menerima garis panduan berkenaan. Namun bagi saya, bila difikirkan semula apa yang telah ditetapkan, itu lebih banyak kebaikan sebenarnya dan saya juga sangat menghormatinya. "Malah, selepas ini saya memang sangat berharap akan menerima lebih banyak lagi tawaran berlakon dalam drama-drama yang akan disiarkan menerusi saluran TV AlHijrah," tuturnya yang turut mengakui semakin banyak mendapat tawaran yang memerlukan dirinya memakai tudung. | ||||||
Posted: Nadia nafi seksiOleh MEGAT LUTFI MEGAT RAHIM
PENAMPILAN wanita berusia 25 tahun ini boleh dikatakan cukup berani kerana tidak kekok mendedahkan sebahagian tubuh badannya. Namun, Nadia Aqilah yang semakin dikenali sebagai seorang pelakon drama dan teater tidak begitu ambil pusing dakwaan itu. Apa yang penting baginya, hasil kerjanya diterima baik oleh umum. Jika diteliti, sudah banyak produk televisyen yang menampilkan dirinya sebagai pelakon. Antaranya ialah Emil Emelda, Sindarella, Merah Putih dan Tari Tirana. Selain itu, dia juga pernah bergiat dalam teater Puteri Gunung Ledang The Musical pada tahun 2005 dan P. Ramlee The Musical pada tahun 2008. Ditemui pada majlis pelancaran album sulungnya, D.I.V.A di Studio Bentley, Damansara, Kuala Lumpur baru-baru ini, Nadia menegaskan bahawa penampilannya tidak begitu seksi seperti dakwaan sesetengah pihak. "Saya masih menjaga penampilan agar tidak keterlaluan," tegasnya. Selanjutnya dia lebih teruja berbicara perihal album sulungnya itu. Bercita-cita untuk mengadakan konsert solo, penyanyi yang berasal dari Subang Jaya, Selangor ini berasa puas kerana dapat menghasilkan album sulung setelah sekian lama menanti. Membataskan diri Hakikatnya, Nadia telah mula melibatkan diri dalam dunia nyanyian sejak berusia 14 tahun lagi. Ujarnya, dunia lakonan dan persembahan teater juga sedikit sebanyak membataskan dirinya untuk tampil dengan album solo. "Sebenarnya, saya mula melibatkan diri dengan nyanyian sejak bersekolah lagi. Kini, Lakefront Record selaku label syarikat rakaman yang telah merealisasikan cita-cita saya untuk menghasilkan album. "Album D.I.V.A menampilkan 10 lagu baru dan lirik hasil karya saya sendiri termasuk bekerjasama dengan komposer Daniel Veerapan. "Saya berterima kasih kepada pihak label kerana memberi peluang menghasilkan album dan ini merupakan sebuah peluang yang amat saya nantikan," katanya. Album itu menampilkan dua buah single iaitu D.I.V.A yang dinyanyikan dalam bahasa Melayu, manakala Free dalam bahasa Inggeris. Ia mempunyai tujuh lagu dalam bahasa Inggeris dan tiga lagu Melayu termasuk Percaya dan Teman. "Ramai bertanya kenapa saya tidak menghasilkan lagu dalam bahasa Melayu sepenuhnya. Jujurnya, saya percaya peminat tempatan juga menyukai lagu-lagu bahasa Inggeris. "Selain itu, lagu bahasa Inggeris dalam album saya merupakan idea pihak label dengan harapan supaya dapat menembusi pasaran luar," katanya yang turut berterima kasih kerana pihak Lakefront Record yang memberi peluang untuk dirinya berkarya melalui penulisan lirik dan penciptaan lagu. Duet dengan Chrome Cats Khusus untuk lagu bertajuk Free, Nadia berpeluang berduet dengan penyanyi rap antarabangsa dari Los Angeles,Amerika Syarikat iaitu Chrome Cats. Uniknya, syarikat rakaman naungan Nadio itu turut mempunyai cawangan di Los Angeles. "Kolaborasi dengan Chrome Cats menerusi lagu Free secara tidak langsung memberi peluang untuk saya memasarkan lagu ke Amerika Syarikat. Realitinya, seni muzik tiada sempadan dan jurang tanpa mengira budaya, bahasa dan negara," katanya yang yakin dengan pemasaran betul, lagunya bakal berpotensi untuk diminati pendengar dari luar negara. Berbicara mengenai bidang lakonan pula, Nadia memberitahu dia ingin berehat buat sementara kerana ingin untuk memberikan fokus kepada album. Namun dengan minat berlakon yang semakin menebal dalam dirinya, dia tidak menolak untuk kembali berlakon pada tahun 2011 ini. "Saya ingin fokus menyanyi dahulu. Selain itu, saya ingin juga menghabiskan pengajian peringkat diploma lanjutan dalam bidang perniagaan di sebuah universiti awam. "Kebiasaannya pada umur 25 tahun, ramai yang telah memperolehi diploma atau ijazah. Namun tahun depan saya yakin dapat memperolehi diploma," ujarnya yang menyusun satu persatu hala tuju hidupnya untuk berjaya dalam bidang seni dan pendidikan. |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Hiburan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |