Adsense

Isnin, 15 Julai 2013

Utusan Online - Hiburan

Utusan Online - Hiburan


Raja Azmi selamat bertunang dengan bekas gitaris CRK

Posted: 15 Jul 2013 05:50 AM PDT

KUALA LUMPUR 15 Julai - Produser kontroversi Raja Azmi Raja Sulaiman, 54, hari ini mengikat tali pertunangan dengan bekas pemain gitar kumpulan rock CRK, Mohd. Eddie Ghazali, 45, dalam satu majlis yang diadakan di kediamannya di Ukay Perdana, di sini petang ini.

Pada majlis itu, anak sulung Mohd. Eddie, Muhammad Daniel, 21, mewakili bapanya manakala pihak Raja Azmi diwakili anak perempuannya, Puteri Suraya Mohd. Jalani, 28.

Sebagai memeriahkan majlis pertunangan itu, pihak lelaki menyerahkan tiga dulang hantaran yang berupa buah, manisan dan telekung manakala pihak perempuan membalas dengan lima dulang hantaran terdiri daripada jam beserta dompet, baju, kek, manisan dan biskut.

Majlis kemudian disusuli adat menyarung cincin yang sempurnakan oleh ibu Eddie, Mariah Abu Samah.

Raja Azmi yang ditemui selepas majlis selesai menzahirkan rasa syukur dan lega kerana semuanya berjalan lancar.

Biarpun hubungan terjalin dalam tempoh yang agak singkat sebelum mengambil keputusan mengikat tali pertunangan, Raja Azmi percaya Eddie sebagai lelaki sesuai.

"Dia seorang yang penyabar, berbeza dengan saya. Saya harap melalui perbezaan ini mampu menguatkan hubungan kami," katanya.

Manakala Eddie pula memberitahu, sikap keibuaan Raja Azmi membuka hatinya untuk menerima wanita itu di dalam hidupnya setelah lima tahun menduda.

"Apa yang penting nanti adalah kehidupan selepas berkahwin. Penerimaan anak-anak agak senang dan memudahkan perhubungan ini terjalin," katanya.

Sementara kedua-dua belah pihak keluarga bersetuju untuk melangsungkan majlis pernikahan mereka pada 15 September depan dengan mas kahwin berupa senaskah Al-Quran. - UTUSAN ONLINE

Raja Azmi teruja tunggu detik jadi tunangan orang

Posted: 15 Jul 2013 12:29 AM PDT

Oleh GARRET DAWUM

RAJA AZMI

KUALA LUMPUR 15 Julai - Penerbit Raja Azmi begitu teruja untuk melalui detik-detik pertunangannya yang akan berlangsung sekitar pukul 6 petang ini.

Sejak minggu lalu, menerusi laman Instagram miliknya, Raja Azmi, 54, tidak henti-henti memaparkan beberapa gambar persiapan hari pertunangan tersebut.

Pagi ini, beliau memuat naik beberapa keping gambar menunjukkan pelamin serta jambangan bunga yang akan menjadi 'saksi' untuk dirinya bergelar tunang kepada pemain gitar kumpulan rock CRK, Eddie, 45.

"Yeyy...di sinilah tempat saya (gambar pelamin) akan menerima cincin pertunangan," kata Raja Azmi dalam Instagramnya.

Raja Azmi dan Eddie sudah menjalin hubungan cinta sejak Januari lalu.

Dalam pada itu, rombongan pihak lelaki akan tiba di kediaman Raja Azmi pada pukul 5.45 petang dan acara peminangan akan bermula pukul 6.15 petang mengikut budaya Melayu. - UTUSAN ONLINE

Berita Harian: Hip

Berita Harian: Hip


Makin ligat berniaga

Posted: 14 Jul 2013 05:04 PM PDT

Fauzi, Lisdawati buat persediaan awal sebelum khidmat dalam seni tidak lagi diperlukan

Menyedari bakat lakonan tidak selamanya dipandang, pasangan pelakon, Fauzi Nawawi dan Lisdawati, membuat persediaan awal demi masa depan mereka sekeluarga.

Pasangan pelakon ini melalui syarikat mereka sendiri, Perfect Illusion Corporation Sdn Bhd, memilih produk kecantikan berasaskan bahan mineral dari Laut Mati, dari Jordan, untuk diniagakan.
Sebelum ini kami nampak bidang seni sebagai sumber pendapatan utama, tetapi sejak menceburi perniagaan, saya mula nampak inilah rezeki utama kami, manakala lakonan pula sekadar sampingan." Pelakon/pemilik Perfect Illusion Corporation Sdn Bhd

Selain terbabit sebagai pengedar utama gas Silinder LPG 1Malaysia (SL1M), pemilihan produk Aqua Therapy dibuat selepas menyedari keberkesanannya dan dianggap sesuai untuk kulit pengguna Asia.

Tidak mahu hanya bergantung harap pada bidang seni, lelaki berusia 40 tahun ini menganggap bidang perniagaan kini sebagai sumber utama keluarga mereka.

"Sebelum ini kami nampak bidang seni sebagai sumber pendapatan utama, tetapi sejak menceburi perniagaan, saya mula nampak inilah rezeki utama kami, manakala lakonan pula sekadar sampingan.

"Saya tidak boleh hendak kata, saya akan meninggalkan terus bidang seni kerana ia memang minat saya dari dulu, malah sudah menjadi darah daging. Mungkin saya akan kurangkan aktiviti dalam bidang seni, sebaliknya memberi lebih tumpuan kepada perniagaan," katanya.
Giat mempromosikan produk yang baru sebulan dibawa masuk ke negara ini, mereka yang ditemui pada majlis pelancaran 24 produk Aqua Therapy di Shah Alam baru-baru ini menganggap jadual mereka kini semakin sibuk dengan tugas menguruskan perniagaan, berbanding bidang seni.

Bukan syarikat MLM

Begitupun, Fauzi masih kencang mengarah dan akan menjalani penggambaran drama bersiri 13 episod berjudul Kiambang, yang turut dibintangi isterinya sepanjang Ramadan.

"Kami mulanya terfikir, perniagaan apa dapat diterima ramai sehinggalah kami bertemu dengan Ketua Pegawai Eksekutif Aqua Therapy Healthcare Sdn Bhd, Muhamad Johan Millason, yang memasarkan produk ini ke pasaran Asia.

"Dia yang memperkenalkan kami kepada produk ini dan melantik syarikat kami sebagai pengedar utama di negara kita. Ini bukan skim Multi Level Marketing (MLM), sebaliknya kami mencari stokis yang berminat untuk memasarkannya," katanya yang mensasarkan tempoh tiga bulan untuk produknya dikenali di seluruh negara.

Tidak menggunakan populariti sebagai artis untuk melariskan produk, Fauzi bagaimanapun berasakan status dimiliki memberikan kelebihan untuk dia memperkenalkan barangan itu kepada umum.

Nak usahakan spa

Lisdawati pula mengakui, produk dipasarkan mereka mampu mendapat permintaan tinggi, terutama di kalangan pengguna yang mempunyai kulit sensitif.

Baru sebulan menggunakan produk terbabit, dia sendiri berasakan ada perubahan pada kulit wajahnya. Malah, anak tirinya, Hainal Fatiha, 17, dan Fariz Hazwan, 16, yang turut menggunakannya tidak lagi mengalami masalah kulit wajah.

Tidak mahu terus meletakkan sandaran pada lakonan, pelakon berusia 35 tahun ini seterusnya mengimpikan untuk memiliki spa kecantikannya sendiri, selepas melihat produk yang mereka pasarkan berhasil.

8Para: Dokumentari dunia Islam wajar disiar sepanjang tahun

Posted: 14 Jul 2013 04:55 PM PDT

Setiap kali tibanya Ramadan, program dokumentari pengembaraan yang membawa kita mendekati sejarah ketamadunan Islam dan suasana bulan puasa di bumi asing menjadi taruhan stesen televisyen (TV) dalam mengisi slot program sepanjang bulan ini. Ramai memuji langkah diambil beberapa stesen TV, misalnya TV3 yang menerbitkan siri Jejak Rasul dengan edisi khas Ramadan 1434H iaitu Jejak Rasul 2013 - Ramadan di Tiga Tanah Suci.

Selain TV3, kita juga menghargai usaha RTM menerbitkan program majalah Syahadah musim kelapan yang kini tampil lebih santai seperti yang dipaparkan di halaman HIP hari ini. Tidak ketinggalan, stesen TV Alhijrah juga menyambung program Ayat Riwayat bagi musim ketiga bertemakan 'Bumi Yang Dijanjikan'. Bukan sedikit usaha, tenaga dan wang yang dicurahkan untuk menerbitkan program majalah atau dokumentari ini yang sudah mempunyai pengikutnya sendiri.

Selain itu, sudah tentu, banyak masa diperuntukkan untuk membuat kajian dan merancang jadual penggambaran termasuk mengenal pasti kawasan yang hendak dilawati serta individu yang mahu ditemui. Bagi pihak produksi, semua ini pastinya memberi cabaran dan pengalaman yang tidak boleh dijual beli. Sudah pasti, pelaburan yang dibuat berbaloi apabila saban tahun stesen TV mengambil inisiatif menerbitkan musim terbaru program terbabit dan pada masa sama, mengisi program ilmiah sepanjang bulan mulia.

Minat yang tinggi terhadap program dokumentari pengembaraan dunia Islam ini adalah suatu petunjuk bahawa penonton dahagakan program seumpama ini. Berbanding program hiburan lain misalnya pertandingan realiti, drama atau telefilem yang pada segelintir pihak, cenderung memaparkan kandungan atau jalan cerita yang sama, program dokumentari pengembaraan memberi perspektif berbeza dan ilmu baru bagi mereka yang tidak pernah menyaksikan paparan yang disiarkan.

Seperkara lagi, paparan program majalah ini bersifat universal dan lebih berkisar mengenai gaya hidup dan sejarah ketamadunan Islam itu sendiri. Apa yang pasti, kelompok sasaran program ini melangkaui kaum dan agama. Jadi, mungkin ada baiknya jika siri pengembaraan seumpama ini diterbitkan sepanjang masa tanpa terlalu tertumpu siarannya pada Ramadan seperti yang dilihat sekarang. Namun, sudah tentu, banyak pertimbangan perlu dibuat bagi merealisasikan hasrat itu terutama dari sudut pembiayaan, melainkan jika ada badan korporat sanggup menaja.

Selain memberi tumpuan kepada negara asing, ada juga yang mencadangkan program dokumentari pengembaraan ini menjelajah negara sendiri terutama di kawasan yang tidak diketahui bagaimana agaknya umat Islam hidup dalam suasana harmoni, riuh bersama jiran tetangga, selain menyelami sendiri suasana berbuka atau bersahur. Amalan bertukar hidangan, keunikan juadah, gotong-royong di madrasah atau sebagainya boleh menjadi antara paparan menarik atau realiti kehidupan yang boleh dikongsi bersama.

Dalam perkembangan lain, seperti tahun-tahun sebelumnya, ramai artis mengambil kesempatan pada Ramadan untuk mengurangkan aktiviti seni, malah ada yang bercuti sebulan. Tidak kurang juga, ramai artis menjadi 'peniaga bermusim' dengan menjual pelbagai barangan termasuk kuih raya dan baju raya. Bagi media pula, bulan ini jugalah dianggap paling sibuk kerana banyak sesi fotografi dan liputan khas sempena Aidilfitri 2013 menanti untuk dikongsi bersama pembaca menjelang lebaran.
Namun, apa yang kurang enak, dalam pada umat Islam mula berpuasa, ada juga cerita kurang enak mengenai artis dilaporkan di blog. Cukup-cukuplah tu. Pada bulan mulia, lebih baik kita jaga pergaulan dan tumpukan perhatian kepada perkara lain yang lebih berfaedah terutama mengimarahkan Ramadan. Hingga berjumpa lagi, selamat menjalani ibadat puasa daripada HIP BH!

Ahad, 14 Julai 2013

Utusan Online - Hiburan

Utusan Online - Hiburan


Ramadan sederhana Maya Karin

Posted: 14 Jul 2013 02:00 AM PDT

Oleh RASDAN AHMAD
rasdan_utusan@yahoo.com

SELAIN mengerjakan amal ibadah, berkumpul menyambut Ramadan dan Syawal bersama keluarga merupakan antara ritual paling bermakna bagi kebanyakan orang. Begitu juga yang dirasai oleh aktres Maya Karin apabila Ramadan tahun ini memberi peluang kepadanya untuk menikmati cuti panjang dan meraikan bersama keluarga.

Ketika artikel ini disiarkan, Maya sudah berada di Kota London untuk berehat dan menyambut Ramadan bersama keluarga di sana.

Ramadan kali ini saya sambut sederhana sahaja. Bagi saya apa yang penting adalah bersama keluarga. Pertemuan dengan keluarga adalah perkara rahmat yang saya impikan setelah lama mengerah keringat di Malaysia.

Walaupun menyambut bulan puasa di Eropah, sambutannya tidak jauh beza berbanding di sini. Kemeriahannya tetap terasa. Kemungkinan tempoh sebulan Ramadan tahun ini memang saya habiskan bersama keluarga di sana.

Peluang berehat panjang ini saya akan gunakan sebaik mungkin kerana peluang sebegini memang jarang saya perolehi sebelum ini," katanya.

Mengenai sambutan Aidilfitri kali ini jelas Maya, dia kemungkinan menyambutnya di Eropah sebelum pulang ke tanah air.

Walaupun tidak semeriah sambutan di negara kita namun suasana sambutan bersama keluarga merupakan satu nikmat yang cukup besar bagi saya," kata Maya.

Cinta baru

Dalam pada itu, ketika ditanya mengenai kisah cintanya, pelakon ini sukar berkongsi rahsia.

Mungkin kegagalan melayari bahtera perkahwinan bersama jejaka Itali, Steven David Shorthose beberapa tahun dahulu mengganggu keselesaan Maya untuk bercerita dengan lebih lanjut mengenai isi hatinya.

Pun begitu, Maya tidak pula berahsia malah mengakui bahawa ketika ini dia masih lagi dalam proses mengenali seseorang.

Namun jelasnya, dia tidak tergesa-gesa untuk kembali menjadi isteri.

Bercakap soal teman hidup ini, saya sebenarnya mahukan lelaki yang boleh berdikari, cerdik, menghormati orang lain dan gemarkan aktiviti lasak seperti saya," katanya.

Sebelum ini Maya pernah dikaitkan menjalinkan hubungan cinta dengan Remy Ishak namun biarpun kedua-duanya kelihatan intim tetapi mereka menyatakan bahawa hubungan itu sekadar teman baik.

Pengurusan baru

Dalam menjalani aktiviti seni yang cukup sibuk saban hari, Maya mengakui pengurusan yang baik perlu ada bagi setiap artis. Bukan untuk sombong dan meninggi diri tetapi pengurusan perlu bagi memastikan perjalanan seninya berada pada landasan yang betul.

Saya takut akan menimbulkan masalah kemudian hari. Takut kacau-bilau jadinya nanti. Macam saya, sekiranya berada di lokasi pastinya sukar untuk berurusan dengan media atau pihak lain yang mahukan komitmen daripada saya.

Kalau tidak menjawab panggilan, nanti macam-macam berita pula timbul. Jadi saya memang perlukan pihak pengurusan untuk berbincang dan menyelesaikan apa yang patut bagi pihak saya.

Saya tidak boleh menguruskan semua perkara bersendirian. Saya percaya artis merupakan produk untuk dijual dan seseorang artis itu harus fokus pada kerja seni," jelas Maya.

Kata Maya lagi, dia cukup percaya bahawa setiap artis tidak kira pelakon ataupun penyanyi perlu mempunyai pengurusan yang baik bagi memastikan kerjaya mereka berjalan lancar.

Mungkin ada lagi artis yang tidak nampak tugasan pengurus. Kebanyakan pengurus mempunyai matlamat mereka yang tersendiri. Contohnya, di mana kedudukan artis di bawah naungannya dalam tempoh selepas lima tahun dan sebagainya.

Bagi saya artis yang tidak mahu menggunakan khidmat pengurus kerana tidak mahu berkongsi peratusan dengan pihak pengurusan akan merugikan diri sendiri.

Pengurus itu pula bukan untuk jawab panggilan telefon sahaja. Saya perlukan pengurus yang matang dan boleh melancarkan keperluan serta merangka perancangan untuk masa depan," ujarnya.

Bintang Syurga

Kini mengikat kontrak selama lima tahun bersama Warner Music Malaysia Sdn. Bhd. sebagai artis rakaman syarikat tersebut, Maya baru sahaja melancarkan album terbarunya, Bintang Syurga.

Ini merupakan album ketiga selepas Bukan Qalamaya, sembilan tahun lalu. Sebelum itu Maya pernah muncul dengan album sulung, Erti Cinta pada 2001.

Sehingga tiga bulan pertama ini, saya cukup selesa. Album berjudul Bintang Syurga sudah pun dilancarkan. Single pertama ini menyempurnakan impian saya untuk kembali menyanyi.

Pada album-album terdahulu, bahasa Melayu saya tak berapa bagus. Saya sedar tahap nyanyian saya tidaklah setanding dengan karier lakonan tetapi saya suka dan tetap mahu menyanyi kerana menyanyi sesuatu yang menyeronokkan.

Saya tak mahu cakap besar. Biarlah peminat yang menentukan. Cuma saya sangat puas hati dengan konsep lagu dan album sekarang. Lebih matang, berbentuk pop dan lebih ceria," katanya.

Maya turut mengharapkan album terbaharu yang mengandungi lapan buah lagu dan diterbitkan oleh Audy Mok dan Omar K itu mampu membawanya ke tahap lebih cemerlang di persada seni suara tempatan.

Sandiwara cinta Awi Rafael?

Posted: 14 Jul 2013 02:00 AM PDT

MISS J dengar macam-macam versi tentang kisah penyanyi Singapura, Awi Rafael selepas putus cinta dengan pelakon Hanez Suraya baru-baru ini.

Ada yang beritahu Miss J yang sebenarnya mereka ini tak putus lagi. Sandiwara sahaja sebab masih bersayang-sayang di Twitter.

Ada juga yang kata Awi dah tak nak lagi dengan Hanez. Dia mahu kembali kepada cinta pertamanya dengan penyanyi Shila Amzah.

Entahlah Miss J jadi keliru sebab ada banyak cerita yang Miss J dengar sejak akhir-akhir ini. Sebab apa yang Miss J tahu yang Shila takkan kembali bersama Awi.

Lagipun itu semua kan cerita lama. Buat apa nak dikenang kembali. Dah jadi sejarah dah pun. Orang pun ramai yang dah lupa tentang cerita cinta mereka sebelum ini.

Miss J rasa elok juga kalau Awi buka mulut terangkan kepada semua tentang perkara ini. Bukannya apa... takut jadi fitnah bila ada perasaan syak wasangka!

Berita Harian: Hip

Berita Harian: Hip


Kena turunkan berat badan

Posted: 13 Jul 2013 05:19 PM PDT

Merantau sendirian di Shanghai, China mengaja r Shila Amzah supaya lebih mencintai diri dan menghargai peluang yang datang tanpa dibebani tekanan luar jangkauan.

Mengakui agak terkejut pada permulaan, Shila, 22, berkata, dulu dia hanya mengambil ringan teguran terutama daripada keluarga kerana teguh dengan prinsip diri.Shila percaya peminat akan setia berdiri di belakang dan menyokong perjuangannya, tanpa mempedulikan perubahan fizikalnya.

Namun sejak bernaung di bawah pengurusan Shanghai Media Group (SMG), keselesaannya itu bagaikan disentak terutama apabila didesak supaya segera menurunkan berat badan.
Sebahagian besar artis di sana sombong. Mereka jarang bergaul, terutama dengan kru produksi kerana menjaga status sebagai selebriti" Shila Amzah

"Jika terus di Kuala Lumpur, saya mungkin tidak memikirkan semua itu kerana selesa dengan apa yang ada. Saya langsung tidak mempedulikan berat badan yang naik mendadak.

"Biarpun merasai pertambahan berat memberi kesan kepada mutu persembahan, saya cuba untuk tidak terlalu memikirkannya. Kejayaan penyanyi bertubuh gempal, Adele menjadi inspirasi.

"Tetapi di Shanghai, semuanya berubah. Saya sering diingatkan supaya melihat diri. Membandingkan susuk tubuh saya dengan penyanyi wanita lain di sana, membuat saya tersentak.

"Ketika itu, saya mula terfikir supaya mengambil serius teguran yang diberikan. Mujur juga pengurusan di sana garang, ia secara tidak langsung memberi motivasi untuk saya segera berubah," kata Shila.
Pada permulaan, Shila mengakui agak sulit untuk menyesuaikan diri malah pernah bertanya, mampukah dia melunaskan setiap permintaan?

"Mereka meletak harapan terlalu tinggi, membuat saya tercabar. Saya berusaha keras untuk membuktikannya kerana yakin, saya mampu melakukannya.

"Alhamdulillah keputusan berhijrah ke Shanghai adalah tepat kerana sejak dua bulan lalu, saya mula nampak perubahan positif dalam diri.

"Sejak kembali aktif, saya sudah jarang dihinggapi sakit. Saya juga semakin berani untuk mencuba aktiviti mencabar yang dulu akan saya jauhi," katanya.

Berhijrah ke Shanghai umpama peringatan kepadanya supaya tidak mengambil ringan setiap perkara dan bekerja keras jika ingin mencapai apa yang diimpikan.

Berada di rantau orang kata penyanyi Patah Seribu ini, mengajarnya menghargai didikan yang diterima dalam perjalanan mengejar cita-citanya.

"Sebahagian besar artis di sana sombong. Mereka jarang bergaul, terutama dengan kru produksi kerana menjaga status sebagai selebriti.

"Saya pula berbeza kerana terbawa-bawa dengan suasana kerja di sini. Mungkin kerana itu saya disenangi. Saya harus bijak membawa diri.

"Seronoknya di sana saya lebih bebas melakukan apa saja aktiviti. Mungkin kerana masih belum popular, jadi tidak ramai yang memberi perhatian. Lagipun jika tidak bekerja, saya jarang mengenakan solekan," katanya.

Berpuasa di perantauan

Sempat menyambut Ramadan di Kuala Lumpur, sebelum kembali ke Shanghai, Shila berkata, dia tidak dapat membayangkan suasana puasa di sana.

Melihat kedatangan Ramadan sebagai satu rahmat, Shila bagaimanapun gembira kerana terlepas daripada godaan Bazar Ramadan dan itu memudahkannya untuk lebih pantas menurunkan berat badan.

"Tidak susah mencari makanan halal kerana di kawasan tempat tinggal ada restoran Muslim. Jika tidak saya akan memasak hidangan ringkas tetapi sihat.

"Sejak dipaksa menurunkan berat badan, saya tidak lagi terlalu memikirkan soal makanan. Pulang ke Kuala Lumpur, saya lebih banyak berkurung di rumah berbanding menghabiskan masa di luar.

"Tidak mudah untuk mengawal emosi namun disebabkan keinginan yang tinggi, saya kuatkan juga azam. Alhamdulillah kerana saya mempunyai pembantu peribadi yang sentiasa mengawal pemakanan yang diambil," katanya.

Cuma yang membuat Shila sedikit terkilan kemungkinan untuk mengerjakan solat Tarawih kerana sepanjang Ramadan, dia sudah mula sibuk dengan promosi bergerak.

Bersyukur kerana pengurusannya mengambil berat kebajikan dirinya, Shila bagaimanapun, mengakui hatinya berbelah bagi mengenangkan kesukaran yang bakal dialami.

"Pengurusan ada bertanya apakah saya mampu untuk bekerja nanti? Saya tiada masalah, biarpun terikat dengan jadual kerja yang ketat.

"Saya juga tidak dapat bercuti lama untuk menyambut Syawal. Saya terpaksa merayu untuk memohon pelepasan, mujur diluluskan biarpun dalam tempoh singkat.

"Saya faham kerana pengurusan sudah melabur banyak untuk melihat saya berjaya menawan pasaran di sana. Untuk sementara waktu, saya sedia berkorban," katanya.

Raja Ema menyanyi semula

Posted: 13 Jul 2013 05:01 PM PDT

Kini tampil bersama lagu terbaru selepas hampir 20 tahun tidak muncul sebagai penyanyi

Ketika laluan hidup menuntut pengorbanan, berdiam diri adalah jalan terbaik tanpa perlu menuding jari menyalahkan sesiapa atas takdir yang tertulis.

Berkat kesabaran, Tuhan pasti akan membukakan jalan dan buat Raja Ema Raja Ibrahim, dia tidak menyesal melepaskan zaman kegemilangan untuk memberikan tumpuan kepada rumah tangga."Pernah dulu saya mengeluarkan kenyataan, apabila dikurniakan saya tidak akan bekerja lagi. Saya juga tidak percayakan pembantu rumah, jadi saya selesa membesarkan anak dengan tangan sendiri.
Alhamdulillah ramai yang memberi reaksi positif kepada lagu Warna Hatiku. Saya langsung tidak terfikir lagu itu akan menjadi atau sebaliknya kerana saya hanya mahu mencuba. Andai ditakdirkan gagal, saya tidak kisah untuk mencuba lagi. Saya tidak fikirkan soal persaingan kerana yang penting, saya memberi kelainan kepada peminat," Raja Ema

"Namun apabila dua anak meningkat remaja, saya akur waktu tidak mungkin dapat diputar semula. Hidup ini menuntut pengorbanan dan tidak semua faham apa yang saya lalui.

"Saya pilih untuk berdiam diri kerana tidak mahu menyalahkan keadaan dan melukakan sesiapa. Tetapi apabila Tuhan membukakan semula jalan, saya pilih untuk kembali aktif," katanya ketika ditemui dalam sesi fotografi yang diatur Warner Music, baru-baru ini.

Masih jelita pada usia 45 tahun, ibu kepada Putera Ammaar, 19 dan Putera Alkashah, 17, berkata niat untuk kembali aktif sudah lama tersimpan cuma terpaksa ditunda atas sebab peribadi.
Bermula dengan memenuhi permintaan untuk menjayakan fotografi bersama sebuah majalah, namanya kembali meniti di bibir apabila satu demi satu tawaran berlakon mendatangi.

"Dua tahun wartawan itu mencari saya dan memujuk untuk menjayakan sesi fotografi. Tetapi saya tolak kerana masalah tertentu. Namun, dia tidak berputus asa dan terus menanti. Jauh daripada jangkaan selepas disiarkan, saya dicari semula penerbit drama. Bagaimanapun, saya tetap utamakan keperluan anak-anak terlebih dulu. Mungkin kerana tidak pernah berenggang dengan mereka, saya selesa lakukan aktiviti seni perlahan-lahan. Tidak sangka pula saya masih ada peminat," katanya yang bakal muncul dengan drama berantai, Jangan Biarkan Aku Menangis dan Kalau Dah Perempuan siaran RTM.

Darah seni yang mengalir dalam dirinya membuatkan Raja Ema tidak berupaya menjauhi dunia hiburan, terutama nyanyian.

Ketika tawaran berlakon semakin kencang mendekati, cintanya terhadap nyanyian tidak luntur. Secara bergurau, dia memujuk sepupunya, Nik Nizam menghasilkan satu lagu baru untuk dirakamkan.

"Dari situ tercetus Warna Hatiku, lagu yang mempertemukan saya dengan rapper yang sedang meraih perhatian, RJ. Nizam pada mulanya agak ragu menerima tanggungjawab itu kerana saya dulu pernah bekerja dengan nama besar dalam industri muzik. Tapi saya tetap memberi galakan kerana langsung tidak meletak harapan tinggi.

"Tidak sangka pula Nizam membawa lagu itu kepada Warner Music, lalu terhasil kompilasi, Pertemuan Seribu Kenangan yang turut memuatkan lagu dipetik daripada empat album pernah dirakamkan dulu," katanya.

Perjalanannya untuk kembali ke industri hiburan seperti dipermudahkan apabila lagu Angan-Angan dan Jejaka Idaman dinyanyikan dalam satu segmen persembahan Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) 2012.

Bertitik tolak daripada acara itu kata Raja Ema, peminat mula mencari siapa dirinya dan lagu nyanyiannya kembali diingati ramai.

"Saya sekadar mengikut kata hati, tetapi apabila memasuki studio rakaman, baru terdetik apakah saya masih boleh menyanyi atau sebaliknya?

"Alhamdulillah ramai yang memberi reaksi positif kepada lagu Warna Hatiku. Saya langsung tidak terfikir lagu itu akan menjadi atau sebaliknya kerana saya hanya mahu mencuba. Andai ditakdirkan gagal, saya tidak kisah untuk mencuba lagi. Saya tidak fikirkan soal persaingan kerana yang penting, saya memberi kelainan kepada peminat," katanya.

Diterima peminat generasi baru

Turut menyimpan hasrat untuk merakamkan semula lagu popularnya, Jejaka Idaman, Raja Ema berkata, dia tidak kisah apabila lagu itu dirakamkan semula penyanyi lain.

Bagi penggemar lagu berentak pantas ini, siapapun bebas merakamkan semula lagu itu dan peminat harus terbuka menerima pembaharuan yang dibawa.

"Saya hanya tahu mengenainya apabila diberitahu peminat. Jika ada yang marah, bagi saya perkara itu tidak patut berlaku.

"Selepas mendengar versi baru Jejaka Idaman, saya suka dengan cara nyanyian penyanyi itu. Semua itu bergantung kepada rezeki.

"Sesetengah artis bertahan dengan lagu baru, tetapi ada yang meneruskan survival dengan menyanyikan lagu lama. Di manapun posisi, saya bersyukur kerana generasi baru menerima kehadiran saya," katanya.

Solekan: Zares Cosmetics (M) Sdn Bhd, Lot 30, GF, Jalan 30/70A, Desa Sri Hartamas, Kuala Lumpur (www.facebook.com/Zares Cosmetics, emel: zarescosmetics@gmail.com)
Pakaian: Farel Mikhail (Facebook: farelmikhailmalaysia, emel: farelmikhail@gmail.com)

Sabtu, 13 Julai 2013

Utusan Online - Hiburan

Utusan Online - Hiburan


Izreen Azminda dapat anak lelaki

Posted: 12 Jul 2013 10:07 PM PDT

KUALA LUMPUR 13 Julai. - Pelakon Izreen Azminda, 28, selamat melahirkan anak pertamanya di Hospital Ampang Puteri di sini pada pukul 1.18 pagi tadi.

Bayi lelaki sihat dengan berat 3.3 kilogram itu dilahirkan melalui pembedahan.

Menurut suami Izreen, Mohammad Riza Baharuddin, isterinya kini selamat bagaimanapun masih berada dalam keadaan lemah selepas pembedahan tersebut.

"Isteri dan bayi kami dalam keadaan baik," katanya. - UTUSAN ONLINE

Berita Harian: Hip

Berita Harian: Hip


Survival Elfaeza

Posted: 12 Jul 2013 05:42 PM PDT

Pernah murung disebabkan berjauhan dengan keluarga

Pernah terdetik perasaan ragu untuk mencuba nasib di tempat orang, Elfaeza Ul Haq akur barangkali rezeki masih belum berpihak kepadanya meskipun jalan untuk meneroka laluan sudah terbentang luas.

Pelakon asal Jurong, Singapura ini pernah ditawarkan untuk serius mendalami dunia lakonan namun ditolak. Disebabkan tidak mampu menangani tekanan, Elfaeza nekad pulang ke tanah kelahiran selepastamat penggambaran drama berantai, Impak Maksima.

"Mungkin kerana masih muda, banyak perkara yang tidak mampu saya tangani seorang diri terutama apabila dimarahi di set penggambaran.

"Ketika itu saya juga berperang dengan diri sendiri. Industri belum bersedia menerima kehadiran pelakon luar, malah saya pernah terasa hati apabila dianggap ke Kuala Lumpur untuk mencuri rezeki orang lain.

"Memikirkan barangkali belum masa untuk saya bertapak di rantau orang, saya ambil keputusan pulang ke pangkuan keluarga.

"Dari situ saya beroleh peluang berlakon di Singapura. Saya terima dengan niat untuk belajar dan mendalami setiap aspek dunia lakonan. Kesempatan itu juga diambil untuk membina nama kerana saya masih belum gah di negara sendiri," katanya.
Bagaimanapun, Elfaeza yang memulakan langkah dalam bidang nyanyian selepas menyertai program realiti, Anugerah pada 2003 akur kekangan yang terpaksa dihadapinya.

Situasi industri hiburan Melayu yang kecil di Singapura membataskan langkahnya. Dirinya tersepit antara keinginan untuk mencabar kemampuan namun akur, peluang itu tidak mungkin diperoleh jika dia kekal di situ.

Fikirkan tanggungjawab

"Saya disarankan supaya mencuba nasib di Kuala Lumpur. Tetapi hati saya berat, memikirkan tanggungjawab terhadap adik yang masih bersekolah.

"Bagaimanapun pada 2011, apabila produksi teater tempat saya bekerja ditutup, Tuhan seperti membuka mata saya supaya memikirkan perancangan untuk diri sendiri.


"Ketika itu juga adik membina keluarga dan saya mendapat sedikit kebebasan. Ketika itu saya mendapat tahu ada uji bakat di Kuala Lumpur, lantas menggerakkan hati saya untuk kembali mencuba memikirkan ia adalah masa yang tepat," katanya.

Tanpa membuat persediaan lengkap, Elfaeza nekad untuk terbang ke Kuala Lumpur dan menghadiri uji bakat untuk drama berantai, Adam & Hawa. Rezeki menyebelahinya apabila dia diterima untuk watak Azie. Namun kegembiraan Elfaeza tidak lama kerana dia kembali diuji.

"Penggambaran ditangguhkan dan ketika itu, saya kehilangan pekerjaan. Untuk meneruskan survival, saya ambil beberapa tawaran kecil di Singapura dan membintangi drama, Biarlah Rahsia.

"Alhamdulillah kerana penantian panjang itu membuahkan sesuatu yang tidak pernah saya jangka. Adam & Hawa menjadi fenomena dan dari situ, saya menerima banyak tawaran hingga akhirnya saya semakin selesa dengan kehidupan di Kuala Lumpur," katanya.

Antara drama berantai yang dijayakan Elfaeza adalah Cinta Qaseh, Tiara, Dalam Setiap Sujudnya dan terbaru Mukhlis bergandingan dengan Sharnaaz Ahmad.

Dia juga menyerikan drama seperti Biarlah Rahsia, Jambatan Ke Syurga, Siapa Di Hatimu dan Tanah Kubur.

Hampir berputus asa

Berjauhan dari keluarga kata Elfaeza, menuntut kekuatan emosi yang tinggi kerana kerinduan yang tidak tertahan hampir meragut semangatnya yang suatu ketika dulu begitu membara.

Telah Elfaeza, disebabkan sudah terbiasa hidup berdikari di Singapura, dia tidak akan berdepan ujian berat apabila memilih untuk berhijrah ke Kuala Lumpur.

"Apabila sebatang kara di sini, baru saya faham perbezaannya. Dulu setiap perkara saya ambil sambil lewa kerana keluarga sentiasa di sisi. Suara yang dulu jarang saya endahkan, mula saya rindui.

"Lebih terasa setiap kali pulang ke rumah sewa, tiada siapa yang menyambut. Situasi itu membuat saya murung dan kerap menitiskan air mata.

"Hampir lapan bulan saya begitu dan pernah satu tahap, saya menghubungi teman di Singapura memberitahu saya mengalah dengan dugaan ini.

"Bayangkan ketika di lokasi Adam & Hawa, saya terpaksa berperang dengan diri sendiri. Alhamdulillah, semua itu sudah mampu diatasi.

"Saya bersyukur kerana mempunyai semakin ramai kenalan di sini," katanya berterima kasih kepada teman pelakon Singapura, Shah Iskandar yang banyak membantu ketika dia mula bertapak di Kuala Lumpur.

Elemen 3D Mantapkan Lagi Despicable Me 2

Posted: 12 Jul 2013 05:32 PM PDT

ADVERTORIAL:

Setelah kejayaan pertama menerusi filem animasi Despicable Me, penonton bakal dihiburkan dengan sekuel berjudul Despicable Me 2.

Siapa sangka, filem yang diisi dengan suara pelakon terkenal berjaya menggegarkan panggung dengan watak animasi yang direka begitu comel sekali.

Keletah makhluk-makhluk kecil yang berperanan sebagai pembantu Gru (Steve Carell) kembali mencuri pentas dan menonjol dengan perangai mereka yang mampu membuatkan penonton ketawa terbahak-bahak.

Walaupun watak mereka dicipta dengan dialog yang tidak difahami namun aksi-aksi lucu mereka begitu menghiburkan.

Filem ini mengisahkan mengenai seorang ayah tunggal, Gru yang membesarkan tiga orang anak perempuannya iaitu Margo (Miranda Cosgrove), Edith (Dana Gaier) dan Agnes (Elsie Fisher). Gru berusaha membesarkan anak-anaknya dengan dengan menghasilkan jem dan jeli buatan sendiri selepas berubah meninggalkan kerjayanya sebagai seorang penjenayah.

Malah, Gru juga turut ditawarkan oleh sebuah organisasi rahsia, Anti Villain untuk menyiasat satu kes kehilangan formula baru. Berperanan membantu untuk menentang kejahatan, Gru adalah seorang calon yang sesuai kerana statusnya yang bergelar bekas penjenayah.

Gru yang fobia untuk berkawan dengan wanita kerana kisah silamnya telah disatukan dengan Lucy Wilde (Kristen Wiig) untuk menangkap penjahat berkenaan.
Selain menyelesaikan tugasan yang diberi, Gru juga perlu mengimbangi tanggungjawabnya sebagai seorang bapa yang mana anaknya, Morgan semakin meningkat remaja.

Kesan 3D yang digunakan juga memberikan impak yang lebih berkesan melalui filem animasi ini dan anda dapat berasakan seperti turut berada dalam Despicable Me 2.

Tahniah diucapkan kepada Cinco Paul dan Ken Daurio kerana selain menghiburkan, filem ini juga menerapkan mesej dan nilai-nilai murni yang banyak memberikan pengajaran.

Tidak salah sekiranya anda mengeluarkan sejumlah wang untuk menonton filem Despicable Me 2 yang sedang ditayangkan di pawagam sejak 4 Julai.

Filem ini mampu membuatkan anda ketawa terbahak-bahak serta turut membantu menghilangkan tekanan kerja di pejabat.

Filem: Despicable Me 2

Genre: Komedi

Suara latar: Steve Carell (Gru), Kristen Wiig (Lucy Wilde), Miranda Cosgrove (Margo), Ken Jeong (Floyd) dan Russel Brand (Dr. Nefario)

Info: Selain sebagai tarikan penonton, penerbit Chris Meledandri percaya Despicable Me 2 sesuai dipersembahkan dalam 3D kerana skop dan skala set filem ini, sekali gus dapat memberikan impak yang menakjubkan kepada penonton.

macam macam hiburan terkini

macam macam hiburan terkini


Qi Razali Sahkan Nelydia Senrose Kekasihnya

Posted: 12 Jul 2013 03:19 PM PDT

PETALING JAYA: Pengacara program Jalan-Jalan Cari Makan (JJCM), Qi Razali akhirnya membuat pengakuan secara sah iaitu sedang menjalinkan hubungan cinta dengan pelakon Nelydia Senrose walaupun sebelum ini menepis gosip tersebut.

Qi atau nama sebenarnya Qushairi Razali, 35, berkata, kematangan dan sikap kelakar Nelydia, 19, membuatkan persahabatan mereka bertukar menjadi serius iaitu sebagai pasangan kekasih selain mereka berkongsi banyak minat sama.

"Sebelum ini hubungan kami memang hanya kawan tetapi sekarang ia telah menjadi cinta. Saya mengakui, Nelydia adalah kekasih saya.

"Bagaimanapun biarlah percintaan ini berjalan dengan perlahan-lahan kerana saya tidak mahu kegagalan dahulu berulang," katanya kepada mStar Online.

Qi sebelum ini pernah menjalinkan hubungan cinta dengan penyanyi Yunalis Zarai atau Yuna sebelum berpisah secara baik untuk membawa haluan masing-masing.

Yuna kini berada di Amerika Syarikat untuk mengembangkan kerjaya dan akan melancarkan album terbaharunya pada Oktober depan.


Nelydia Senrose.
Dalam perkembangan sama, Qi berkata, dia berhasrat untuk tidak bercinta terlalu lama dan meletakkan tempoh masa selama dua tahun untuk mereka mengenali hati budi masing-masing.

Jelas Qi, pada usianya sekarang keinginan untuk mempunyai keluarga sendiri semakin menebal sehinggalah dia membuat keputusan menjadikan Nelydia sebagai kekasih sebelum diangkat menjadi isteri.

"Bagaimanapun saya tidak mahu terburu-buru kerana kerjaya Nelydia pun sedang meningkat dan biar dia tumpu kepada kerjayanya dahulu.

"Cuma perancangan saya tidak mahu bercinta terlalu lama kerana usia saya pun bukannya muda lagi," jelasnya.

Tambah Qi, dia juga ada beberapa kali berjumpa dengan keluarga kekasihnya itu dan selesa dengan kematangan wanita berkenaan walaupun dia masih muda.

Dalam perkembangan lain, Qi berkata, dia kini sibuk dengan penggambaran JJCM untuk edisi bulan Ramadan sebelum terbang ke Argentina bagi penggambaran musim terbaharu program Art Attack pada 18 Julai depan.

Alif Satar Gementar Temui Keluarga Kekasih

Posted: 12 Jul 2013 03:17 PM PDT

PETALING JAYA: Penyanyi lagu Lelaki Seperti Aku iaitu Alif Satar mengakui gementar untuk bertemu dengan keluarga kekasihnya pada majlis berbuka puasa dalam masa terdekat ini.

Alif, 23, berkata, perasaan itu timbul kerana ini adalah kali pertama dia akan bertemu dengan keluarga teman wanitanya yang dikenali sebagai Shadila, 29, selepas tiga tahun bercinta.

"Insya-Allah saya bakal bertemu dengan keluarga kekasih dalam masa terdekat ini untuk berbuka puasa.

"Sudah tentu rasa gementar dan gugup itu ada dan berharap semuanya berjalan dengan lancar," katanya ketika ditemui pada majlis berbuka puasa di Hotel Royale Bintang Damansara di sini, Khamis lalu.

Dalam perkembangan sama, Alif berkata, dia tidak melihat perbezaan usia sebanyak enam tahun sebagai satu masalah dalam sesebuah hubungan kerana apa paling penting persefahaman di antara dua pihak.

Kata Alif, dia sangat selesa dengan Shadila dan tidak pernah memikirkan soal usia apabila bersamanya.

"Saya selalu rasa kami sebaya dan paling penting kami selesa di samping persefahaman yang menjadikan sesuatu hubungan itu kuat dan bukannya jarak usia," katanya.

Ditanya adakah dia sudah bersedia untuk mendirikan rumah tangga, Alif berkata dia meletakkan perkara itu kepada jodoh namun berharap hubungan tersebut akan berkekalan sehingga ke jinjang pelamin.

Dalam perkembangan lain, Alif berkata, bersempena bulan Ramadan kali ini dia berjinak-jinak dalam dunia perniagaan dengan menjual sejenis kuih tradisional Melayu iaitu biskut bakar.

Jelas Alif, penglibatannya itu hanya secara suka-suka dan ingin membantu ibu saudaranya yang membuat kuih berkenaan bersempena kedatangan Hari Raya Aidilfitri.

"Peminat atau sesiapa yang membeli lima balang dan ke atas saya sendiri akan hantar biskut berkenaan ke rumah mereka sebagai tanda penghargaan kepada mereka.

"Tetapi penghantaran itu hanya terhad di Lembah Klang sahaja," ujarnya.

Tambah Alif peminat yang berminat untuk mendapatkan kuih berkenaan boleh membuat tempahan menerusi laman Instagramnya di Alifsatar.

Bakal Tunang Hafiz Hamidun Kahwin Lelaki Lain

Posted: 12 Jul 2013 03:16 PM PDT

PETALING JAYA: Penyanyi Hafiz Hamidun benar-benar kecewa kerana terpaksa melupakan hasrat untuk meminang kekasihnya dari Indonesia apabila wanita tersebut sudah pun berkahwin pada April lalu.

Hafiz, 29, berkata, sepatutnya dia dan keluarga telah merancang untuk menunaikan umrah di Mekah dan pada masa sama berjumpa dengan keluarga wanita berkenaan yang menetap di negara Arabitu situ pada Mac lalu.

Bagaimanapun sebelum bertolak, Hafiz diberitahu kekasihnya itu sudah dipinang orang.

"Kami sudah hampir setahun berhubungan. Tetapi nak buat macam mana, tak ada jodoh.

"Tak sangka, ketika saya dan keluarga hendak ke Mekah, bekas kekasih memberitahu melalui SMS (khidmat pesanan ringkas) dia akan bertunang dan berkahwin dengan orang lain.

"Saya kecewa, tetapi akur bahawa dia bukan jodoh saya. Bapa wanita itu memberi alasan yang dia ingin mengahwinkan anaknya dengan lelaki sebangsa dan pada masa sama menetap di Mekah," katanya.

Hafiz ditemui pada pelancaran iklan raya filem pendek Mamee di Restoran Rebung di sini pada Khamis lalu.

Bagaimanapun katanya, baru-baru ini, dia telah diperkenalkan dengan seorang wanita ketika menghadiri majlis perkahwinan rakannya dan terus melamar wanita itu.

"Benar, saya melamar dia masa itu juga selepas terpaku melihatnya. Dia pun terkejut dan menerima lamaran itu.

"Tetapi kami memberi peluang mengenali diri masing-masing dalam tempoh masa beberapa bulan sebelum merancang untuk berkahwin pada awal tahun depan,"ujarnya.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, Hafiz bakal melancarkan album keduanya berjudul Zikir Terapi 2 pada 22 Julai depan selepas kejayaan album Zikir Terapi pertama yang meraih jualan 150,000 unit.

"Alhamdulillah, di saat masalah jualan album yang merudum, album zikir saya berjaya. Harap-harap album seterusnya ini turut mendapat respons yang baik," katanya.

Jumaat, 12 Julai 2013

Utusan Online - Hiburan

Utusan Online - Hiburan


Lady Gaga bakal lancar album baharu

Posted: 12 Jul 2013 02:47 PM PDT

LOS ANGELES 13 Julai - Penyanyi berimej pelik, Lady Gaga bakal melancarkan album baharunya berjudul 'Artpop' pada 11 November ini.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan dalam laman web penyanyi tersebut semalam, lagu single daripada album tersebut akan dilancarkan pada 19 Ogos ini.

Penyanyi berusia 27 tahun itu sebelum ini membatalkan siri jelajah konsertnya pada awal tahun ini ekoran menjalani pembedahan di bahagian pinggul. - REUTERS

Kim Kardashian bawa anak bercuti

Posted: 12 Jul 2013 12:04 PM PDT

Kim Kardashian dan pasangannya, Kanye West.

CALIFORNIA - Bintang realiti televisyen, Kim Kardashian dan pasangannya, Kanye West dilapor membawa bayi mereka, North menghadiri pertemuan keluarga di pantai Malibu, baru-baru ini.

Pertemuan keluarga besar Kardashian itu adalah untuk meraikan Hari Kebangsaan Amerika yang disambut pada 4 Julai lalu.

Kim dan West pergi ke rumah bapa tirinya, Bruce Jenner di tepi pantai Malibu untuk melihat pertunjukan bunga api.

Bagaimanapun, gambar pasangan itu bersama bayi mereka tidak dapat dirakam. Adalah mustahil bagi mereka untuk meninggalkan North atau nama panggilannya Nori yang dilahirkan pada 15 Jun lalu.

Satu laporan menyebut, Kim tidak keluar walaupun ke balkoni semasa percutian tersebut, sebaliknya dia menghabiskan masa duduk di dalam rumah bagi menjaga Nori.

Jika benar puteri sulungnya itu dibawa ke pantai Malibu, ini merupakan kali pertama dia dibawa bersiar-siar selepas keluar dari hospital pada 21 Jun lalu.

Kim juga dikhabarkan tidak mahu berenggang dengan si kecil itu kerana terlalu menyayanginya. - AGENSI

Berita Harian: Hip

Berita Harian: Hip


Rabbani disingkir

Posted: 11 Jul 2013 03:20 PM PDT

Kumpulan Rabbani dan Hotel Singgahsana, Petaling Jaya, memang dua nama yang cukup sinonim. Sejak 23 tahun lalu, kumpulan nasyid popular ini sering diundang menghiburkan pengunjung yang berbuka puasa di sana, setiap kali Ramadan menjelma.

Justeru, apabila kumpulan yang popular dengan lagu Intifada ini mengumumkan baru-baru ini, mereka akan mengadakan persembahan di sebuah lokasi lain, iaitu di NDah Mahligai, Shah Alam, banyak pihak yang terkejut.

Keputusan itu secara tidak langsung menebarkan spekulasi kurang enak didengar seperti Rabbani disingkir, masalah bayaran yang mahal, dan pelbagai cerita lain yang tidak kurang sensasi.

Enggan berteka-teki, HIP mendapatkan anggota Rabbani bagi menjelaskan situasi sebenar. Menurut Azadan Abdul Aziz, Rabbani tidak mengadakan persembahan di Singgahsana tahun ini berikutan tiada sebarang permintaan daripada pihak pengurusan hotel berkenaan.

Selalunya, beberapa bulan sebelum Ramadan, kami sudah pun mendapat pengesahan untuk membuat persembahan di sana. Namun kali ini ia tidak berlaku walaupun mereka ada memanggil kami untuk berbincang mengenai perkara itu.

Saya faham, pihak pengurusan yang ada sekarang adalah yang baru. Mungkin mereka ada alasan tersendiri. Bagi Rabbani, mungkin bukan rezeki kami di sana kali ini, jelasnya.

Lepas peluang menyanyi di Dubai
Biarpun reda, namun perasaan sedih dan terkilan tetap ada memandangkan sudah dua dekad kumpulan itu menabur bakti di lokasi terbabit.

Sepatutnya pada Ramadan kali ini kami membuat persembahan selama sebulan di Dubai Mall, Dubai. Namun, sebab menantikan keputusan untuk membuat persembahan di hotel berkenaan, kami terpaksa menolak tawaran terbabit. Cuma itulah yang membuat kami terkilan, ujar Azadan.

Percaya rezeki ada di mana-mana, akhirnya ada pihak sudi menawarkan kumpulan ini slot persembahan sempena Ramadan. Kali ini, di sebuah lokasi yang tidak kurang menarik.

Ketika kami tercari-cari lokasi baru, tiba-tiba kami diperkenalkan kepada pemilik NDah Catering & Wedding Planner, iaitu Puan Indah. Kebetulan, dia juga teman kepada kakak seorang daripada anggota kami dan pernah menyaksikan persembahan kami sebelum ini.

Alhamdulillah, selepas mendapat kata sepakat, kami mengadakan persembahan di tempat baru ini selama sebulan, cerita Azadan lagi.

Untuk membuat tempahan bagi menyaksikan persembahan Rabbani, orang ramai boleh menghubungi talian 03-62721225.

Pilih Irama Malaysia

Ketika ini, ramai artis nasyid berlumba-lumba merakamkan album baru. Kumpulan Inteam, Hijjaz dan Hafiz Hamidun ialah antara penggiat nasyid yang baru saja melahirkan album baru dalam genre itu.

Bukan saja nama yang sudah sedia dikenali, malah ada juga artis baru yang berjinak-jinak merakamkan album berkonsepkan kerohanian seperti Imam Muda Asyraf dan Sharifah Khasif.

Jadi, bila pula giliran Rabbani untuk menghasilkan album baru? Kali terakhir mereka mengeluarkan album ialah sekitar empat tahun lalu, iaitu Mahabbah.

Azadan berkata, album terbaru mereka masih dalam peringkat pembikinan.
Sepatutnya ia dikeluarkan dalam bulan puasa, tetapi rasanya tak sempat sebab masih ada lagu yang belum dirakamkan.

Untuk album ini, kami memilih konsep Irama Malaysia. Rabbani kerap diundang menjayakan persembahan di negara asing dan kami rasa, antara cara untuk mempromosikan muzik kita adalah dengan menyanyikannya di hadapan orang luar. Untuk itu, kami menerima empat lagu daripada komposer Pak Ngah, selain beberapa komposer lain, katanya.

Jika segala-gala berjalan lancar, album ini bakal berada di pasaran menjelang Aidiladha.

Usah lepas tangan

Posted: 11 Jul 2013 03:15 PM PDT

Pertikaian berhubung mekanisme pengagihan royalti oleh Performers & Artistes Rights Malaysia (PRISM) Sdn Bhd makin hangat. Kredibiliti badan itu yang bertanggungjawab mengutip royalti bagi artis dan pemuzik terus dipersoalkan apatah lagi selepas mengumumkan pembubarannya, Februari tahun lalu.

Bukan isu lapuk sebaliknya dianggap perkara pokok, ahli PRISM bangkit mempertahankan hak dan mahu pembelaan di atas agihan royalti diterima saban tahun yang didakwa tidak adil.

Mengakui ada pihak yang tidak senang duduk dan tidak berpuas hati dengan tindakannya menghentam PRISM, pemuzik yang juga anggota kumpulan Saturnine, Aznan Alias tampil menuntut keadilan bukan untuk dirinya, malah semua ahli PRISM serta pemuzik lain.

Berasakan diri mereka teraniaya dan ditipu, Aznan bersama pemuzik, Hillary Ang dan Tam Spider mahu audit dalaman dilakukan terhadap PRISM bagi mengetahui bagaimana agihan royalti dibuat.

"Saya sudah lima kali menerima royalti dengan bayaran RM300 setahun. Kali terakhir bayaran diterima pada 2010 dengan jumlah RM11,000. Apa yang menghairankan, individu yang mempunyai 10 lagu boleh menerima bayaran royalti lebih banyak berbanding saya yang sudah menghasilkan lebih 1,000 lagu.

"Saya cuma nak tahu bagaimana PRISM membuat kiraan dan agihan sedangkan mereka menerima royalti daripada Badan Persembahan Awam (PPM) lebih RM1 juta ketika saya menerima bayaran RM11,000, katanya.

Aznan berkata, apa yang berlaku dianggap tidak adil kerana dia menyertai PRISM sejak badan itu ditubuhkan.
Bayaran yang saya terima tidak setimpal. Ini soal royalti yang menentukan masa depan generasi kami. Kita bukan kakitangan awam atau swasta yang mempunyai caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWS) dan pencen.

Sumber inilah yang membantu kami golongan pemuzik," katanya.

Tunggu jawab notis

Tidak berpuas hati dengan urus tadbir pengagihan royalti serta mendakwa suaranya tidak didengari pengurusan PRISM, Aznan membuat keputusan menggunakan saluran undang-undang dengan mendapatkan khidmat peguam Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan), Tetuan Aizul Rohan Anuar and Associates.

Menganggap langkah itu sebagai jalan terbaik menyelesaikan isu berkenaan, Aizul sudah menghantar notis kepada PRISM pada 26 Jun lalu bagi menghantar juruaudit dalaman melakukan audit di syarikat terbabit.

"Kami masih menunggu notis balas daripada PRISM mengenai perkara itu. Sehingga kini, kami masih belum menerima jawapan. Kami ada berkunjung ke pejabat PRISM untuk menghantar notis itu secara bersemuka, tetapi malangnya pejabat itu ditutup.

"Kami tidak menetapkan tempoh untuk menjawab notis berkenaan. Jika tiada jawapan diterima, kami akan menggunakan saluran mahkamah," katanya.

KARYAWAN campur tangan

Menganggap PRISM wajar melaksanakan amanah kerajaan dalam melindungi hak dan karya artis dan pemuzik, Presiden Persatuan Karyawan Malaysia (KARYAWAN), Datuk Freddie Fernandez yang menghadiri sidang media sama, berjanji membantu mencari penyelesaian terhadap kemelut yang dihadapi ahli PRISM.

"PRISM sudah mengutip royalti sejak 2005 daripada PPM. Tetapi badan itu tidak pernah memaklumkan kepada ahli jumlah yang diterima setiap tahun. Jadi, agihan wang itu tidak jelas .

"Ahli perlu tahu berapa jumlah pendapatan PRISM setahun, bagaimana ia diagihkan serta peratus diterima setiap ahli bergantung kepada karya mereka. Tetapi, semua ini tidak dinyatakan, sebaliknya cukup tempoh setahun, ahli terima cek saja," katanya.

Khamis, 11 Julai 2013

Utusan Online - Hiburan

Utusan Online - Hiburan


Prism Berhad mula kutip royalti 1 Julai

Posted: 11 Jul 2013 01:31 AM PDT

Oleh AZIZ ITTAR

KUALA LUMPUR 11 Julai - Badan Pengutip Royalti Hak Pelaku dan Persembahan Artis (Prism Berhad) kesal apabila ada ahli-ahli badan itu yang masih keliru dan menyamakannya dengan Prism Sdn. Bhd. yang telah dibubarkan baru-baru ini.

Menurut Pengerusi Prism Berhad, Anuar Dahlan, tambah mengelirukan apabila badan yang ditubuhkan pada 15 Mei tahun lalu di bawah Suruhanjaya Syarikat Malaysia itu dikatakan tidak membayar royalti kepada ahli-ahlinya.

"Ramai yang keliru dengan Prism Sdn. Bhd. yang telah dibubarkan yang mana badan itu telah membayar royalti buat ahli-ahli pada 2011 sebelum ia dibubarkan.

"Sedangkan Prism Berhad pula baru mendapat lesen kutipan royalti mulai 1 Julai lepas. Jadi bagaimana kami hendak bayar royalti sedangkan kami baru hendak kutip royalti?" ujarnya.

Anuar menjelaskan, perkara itu sewaktu menjawab isu yang ditimbulkan oleh pemuzik Aznan Alias seperti yang disiarkan dalam Utusan Malaysia semalam, berhubung dakwaan itu.

Tambahnya, isu itu sepatutnya diselesaikan oleh pihak pengurusan Prism Sdn. Bhd. dan perkara itu tiada kena mengena dengan Prism Berhad yang kini dipengerusikannya. - UTUSAN ONLINE

Fiza Elite tidak jadi kahwin

Posted: 10 Jul 2013 11:46 PM PDT

Oleh GARRET DAWUM

FIZA ELITE...batalkan pernikahan yang sepatutnya Jun lalu.

KUALA LUMPUR 11 Julai - Pelakon Fiza Halim, 32, terpaksa membatalkan pernikahan yang sepatutnya berlangsung pada Jun lalu, atas sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan.

Menurut Fiza, persiapan dan persediaan untuk perkahwinannya telah dibuat beberapa bulan lalu tetapi apakan daya, mereka tiada jodoh dan tidak dapat meneruskan perkahwinan itu pada bulan lalu.

"Saya akui sangat kecewa kerana banyak persiapan sudah dibuat. Sepatutnya saya menjadi seorang isteri semula pada Ramadan kali ini, tetapi tidak berlaku," kata ibu tunggal beranak dua ini kepada Utusan Online di sini hari ini.

Bagaimanapun, Fiza enggan mendedahkan identiti lelaki yang melamar dirinya itu, memandangkan kisah itu tidak lagi perlu untuk dibicarakan.

"Siapa dia, tidak perlulah saya beritahu kerana perkahwinan itu tidak menjadi pun. Bila tidak jadi berkahwin, saya sudah reda.

"Sebagai insan, kita tidak tahu apa akan jadi pada masa depan. Mungkin akan datang jodoh baru, saya terima apa saja daripada Yang Maha Esa," kata bekas anggota kumpulan Elite yang baru tampil dengan imej bertudung ini.

Fiza atau nama sebenarnya Siti Zaidatul Fiza Abd. Halim telah bercerai dengan Ahmed Farriq Zainul Abidin, 33, pada 4 November 2010.

Pendedahan Fiza secara eksklusif mengenai isu perkahwinan tidak menjadi ini boleh dibaca dalam sisipan Mega, Utusan Malaysia esok. - UTUSAN ONLINE

Berita Harian: Hip

Berita Harian: Hip


Syahdu Ramadan

Posted: 10 Jul 2013 04:41 PM PDT

Ramadan yang baru menyingkap tabirnya terasa kosong buat penyampai radio Suria FM, Linda Onn dan pelakon Eira Syazira yang kehilangan ayah dan bonda tercinta, beberapa bulan lalu.

Walaupun sudah lebih lima bulan ayahanda tersayang, Onn Chik, 80, menyahut panggilan Ilahi, namun anak bongsu dari empat beradik ini masih sukar melupakan setiap detik bersama Allahyarham.

Bergelar anak bongsu membuatkan Linda cukup akrab dengan ayahnya.

Sejak ayah meninggal dunia pada 17 Februari lalu akibat serangan jantung, rumah yang dihuni mereka termasuk ibu dirasakan sunyi dan tidak berseri.

Saya masih merindui ayah sehingga setiap hari saya memohon agar dipertemukan dalam mimpi. Selepas hampir lima bulan ayah pergi, akhirnya sehari sebelum Ramadan, doa saya dimakbulkan.

Biarpun dalam mimpi itu ayah cuma tersenyum tanpa berkata-kata, namun sedikit sebanyak terlepas juga rindu buat ayah. Rumah kami terasa amat sunyi tanpanya. Jika sebelum ini ayah yang sibuk mengejutkan saya untuk bersahur, tapi tahun ini tidak kedengaran lagi suaranya, katanya kepada HIP.

Terus mengimbau kenangan bersama ayah, Linda berkata, Allahyarham ketika hayat disediakan ruang khas di meja makan.
Tetapi kini saya mengambil alih tempat duduk arwah. Sahur pertama kami semalam terasa sangat sunyi memandangkan cuma saya dan ibu saja menghadap juadah bersama. Jika selama ini ayah banyak menitipkan nasihat terutama hal-hal berkaitan agama, tapi kini rumah kami jadi sunyi dan sepi. Ini kerana saya dan ibu tidak banyak bercakap, kata Linda.

Paling membuatkan dia terasa kehilangan ayah apabila tidak lagi dapat menunaikan solat tarawih bersama Allahyarham yang sering bertindak sebagai imam. Ramadan tahun lalu menjadi detik terakhir Linda bertarawih bersama ayah.

Teringat solat berjemaah setiap hari

Lazimnya sepanjang Ramadan, sebaik urusan di konti selesai, Linda akan bergegas pulang ke rumah bagi menunaikan solat tarawih bersama keluarga.

Namun, tahun ini dia tidak dapat menggambarkan suasananya kerana masih belum melaluinya.

Memandangkan tidak sempat untuk ke masjid kerana tugas di konti hanya selesai selepas jam 8 malam, saya hanya dapat menunaikan solat tarawih di rumah. Biasanya, ayah dan ibu akan menunggu kepulangan saya, selepas itu barulah kami akan bersama-sama melaksanakannya.

Bila ingat kembali kenangan bersolat tarawih tahun lalu, hati saya jadi sayu. Sebelum solat bersama, saya akan berbuka dengan ibu dan ayah terlebih dulu. Bergantung di mana mereka berada, jika mereka berada di restoran, saya akan ke sana dan pulang bersama untuk bersolat di rumah, kata Linda.

Menyentuh menu kegemaran arwah ayahnya, kata Linda, bapanya bukanlah seorang yang cerewet dan memilih soal makan. Tetapi nasi ayam goreng di kedai miliknya dan daging masak kicap menjadi menu wajib mereka sekeluarga di rumah. H2

Eira reda ibu pergi akibat barah

Pelakon Eira Syazira mengaku biarpun sayu mengenangkan kepulangan ibu tercinta, Che Ruhani Che Hassan, 60, ke Rahmatullah, Mei lalu, mereka adik beradik reda kerana tidak sanggup melihat penderitaan Che Ruhani akibat barah payu dara.

Sejak tahun lalu lagi kesihatan mummy sudah merosot sehingga kami adik beradik terpaksa mengambil alih semua tugas ibu terutama di dapur. Walaupun ketika itu mummy sudah sakit, tapi sekurang-kurangnya dia masih ada.

Tapi tahun ini sambutan Ramadan kami terasa berbeza sama sekali. Pemergian mummy satu kehilangan besar buat kami adik beradik. Sewaktu mummy masih ada, saya dan suami akan cuba luangkan waktu untuk berbuka di rumah mummy tapi tahun ini kami tidak dapat lagi berbuat demikian, katanya.

Rindu air tangan mummy

Eira mengaku perkara yang paling dirindui ialah air tangan mummy. Menurutnya, ibu cukup hebat di dalam menyediakan masakan Kelantan seperti nasi kerabu apatah lagi pada bulan puasa.

Namun, sejak ketiadaannya, Eira berkata, dia belum bertemu mana-mana individu atau tukang masak yang mampu menandingi air tangan mummy.

Kami adik beradik kehilangan dahan untuk bergantung kerana mummy adalah tonggak keluarga. Kami menganggapnya sebagai wanita besi. Mungkin ini ujian tuhan buat saya.

Tuhan ambil mummy tetapi digantikan dengan kehadiran anak saya, Amarra Sofea Rose yang sekarang berusia enam bulan, kata isteri kepada pelakon Azad Jasmin itu.

Tak galak anak ikut jejak

Posted: 10 Jul 2013 02:35 AM PDT

Popularitinya yang bertahan sehingga ke hari ini sangat mahal harganya. Bukan saja terpaksa berkorban masa dan tenaga, tetapi dia juga perlu berdepan pelbagai dugaan yang mampu memusnahkan kehidupan.

Namun, selepas lebih empat dekad berada dalam industri hiburan, semua halangan itu dapat diatasi Datuk Jeffrydin dengan penuh ketenangan. Malah, semangatnya tidak pernah pudar untuk terus berjuang dalam bidang seni. Buktinya, ketika ramai artis seangkatan dengannya sudah menyepikan diri, dia masih berpeluang menghasilkan album terbaru.

Bukan calang-calang orang mampu meneruskan kelangsungan hidup dalam bidang ini.

"Kita kena sentiasa bersedia dan pastikan ilmu penuh di dada sebelum menceburkan diri dalam bidang ini. Saya akui, banyak dugaan terpaksa ditempuh sepanjang bergelar anak seni. Sebab itulah saya tidak menggalakkan anak-anak menjadi artis.

"Saya bimbang mereka tidak mampu untuk menghadapi dugaan dan tekanan. Ada juga di antara anak saya yang menunjukkan minat dalam bidang seni, tetapi saya buat tak tahu saja. Ibu mereka pun tidak menggalakkan," cerita Jeffrydin ketika ditemui pada majlis pelancaran album terbarunya, Debaran Rindu, di Mutiara Damansara, baru-baru ini.

Album yang diterbitkan Datuk M Nasir dan Azmeer itu sudah pun berada di pasaran mulai 8 Julai lalu.

Gelaran dipertikai
Ternyata apa yang dikatakan penyanyi yang terkenal menerusi lagu Kenanganku dan Seruling Anak Gembira ini benar belaka. Ada saja yang tidak suka dengan kejayaannya, sehinggakan gelaran Datuk yang diperolehnya itu juga dikatakan tidak sah kerana dikurniakan Sultan Sulu.

Mengulas lanjut perkara itu, penyanyi berusia 66 tahun menyifatkan dakwaan itu sebagai kenyataan berunsur dengki oleh mereka yang tidak puas hati dengannya.

"Saya sedar ramai yang mengatakan gelaran Datuk itu saya dapat daripada kerajaan Sulu, Filipina. Hakikatnya, gelaran itu saya dapat daripada kerajaan Melaka pada 2009. Saya tak kecil hati pun. Biarlah orang nak kata apapun, asalkan saya tahu perkara sebenar," tegas penyanyi legenda pop yeh yeh ini.

Masih ada peminat

Barangkali ada yang tertanya-tanya, apakah relevannya Jeffrydin menghasilkan album ketika ini? Apatah lagi album itu bernuansa irama pop yeh-yeh, yang dianggap ketinggalan zaman. Namun begitu, bagi si empunya diri, muzik terbabit masih mempunyai penggemarnya yang tersendiri.

"Saya tidak rasa album ini ketinggalan zaman. Apabila peminat saya tahu saya menghasilkan album terbaru, mereka terus meminta saya mengadakan persembahan di tempat mereka. Selepas Hari Raya nanti saya akan mengadakan persembahan di kepulauan Batam dan di daerah di sekitarnya," ujar pemilk nama penuh Raden Jeffrydin Raden Imbromsoekaman ini.

Selain Debaran Rindu yang dinyanyikan secara duet dengan kumpulan One Nation Emcees, lagu lain yang turut dimuatkan ialah Pemburu Cinta, Lagu Dari Jiwa, Bing Bang Boom, Persoalanku dan sebuah lagu raya iaitu Syahdu Di Pagi Raya.

Antara komposer dan penulis lirik yang menyumbangkan karya mereka ialah Ad Samad, S Amin Shahab, Tam Spider, Keon, Senibayan, Azmeer dan M Nasir.