Berita Harian: Hip |
Posted: 10 Jul 2013 04:41 PM PDT Ramadan yang baru menyingkap tabirnya terasa kosong buat penyampai radio Suria FM, Linda Onn dan pelakon Eira Syazira yang kehilangan ayah dan bonda tercinta, beberapa bulan lalu. Walaupun sudah lebih lima bulan ayahanda tersayang, Onn Chik, 80, menyahut panggilan Ilahi, namun anak bongsu dari empat beradik ini masih sukar melupakan setiap detik bersama Allahyarham. Sejak ayah meninggal dunia pada 17 Februari lalu akibat serangan jantung, rumah yang dihuni mereka termasuk ibu dirasakan sunyi dan tidak berseri. Saya masih merindui ayah sehingga setiap hari saya memohon agar dipertemukan dalam mimpi. Selepas hampir lima bulan ayah pergi, akhirnya sehari sebelum Ramadan, doa saya dimakbulkan. Biarpun dalam mimpi itu ayah cuma tersenyum tanpa berkata-kata, namun sedikit sebanyak terlepas juga rindu buat ayah. Rumah kami terasa amat sunyi tanpanya. Jika sebelum ini ayah yang sibuk mengejutkan saya untuk bersahur, tapi tahun ini tidak kedengaran lagi suaranya, katanya kepada HIP. Terus mengimbau kenangan bersama ayah, Linda berkata, Allahyarham ketika hayat disediakan ruang khas di meja makan. Paling membuatkan dia terasa kehilangan ayah apabila tidak lagi dapat menunaikan solat tarawih bersama Allahyarham yang sering bertindak sebagai imam. Ramadan tahun lalu menjadi detik terakhir Linda bertarawih bersama ayah. Teringat solat berjemaah setiap hari Lazimnya sepanjang Ramadan, sebaik urusan di konti selesai, Linda akan bergegas pulang ke rumah bagi menunaikan solat tarawih bersama keluarga. Namun, tahun ini dia tidak dapat menggambarkan suasananya kerana masih belum melaluinya. Memandangkan tidak sempat untuk ke masjid kerana tugas di konti hanya selesai selepas jam 8 malam, saya hanya dapat menunaikan solat tarawih di rumah. Biasanya, ayah dan ibu akan menunggu kepulangan saya, selepas itu barulah kami akan bersama-sama melaksanakannya. Bila ingat kembali kenangan bersolat tarawih tahun lalu, hati saya jadi sayu. Sebelum solat bersama, saya akan berbuka dengan ibu dan ayah terlebih dulu. Bergantung di mana mereka berada, jika mereka berada di restoran, saya akan ke sana dan pulang bersama untuk bersolat di rumah, kata Linda. Menyentuh menu kegemaran arwah ayahnya, kata Linda, bapanya bukanlah seorang yang cerewet dan memilih soal makan. Tetapi nasi ayam goreng di kedai miliknya dan daging masak kicap menjadi menu wajib mereka sekeluarga di rumah. H2 Eira reda ibu pergi akibat barah Pelakon Eira Syazira mengaku biarpun sayu mengenangkan kepulangan ibu tercinta, Che Ruhani Che Hassan, 60, ke Rahmatullah, Mei lalu, mereka adik beradik reda kerana tidak sanggup melihat penderitaan Che Ruhani akibat barah payu dara. Sejak tahun lalu lagi kesihatan mummy sudah merosot sehingga kami adik beradik terpaksa mengambil alih semua tugas ibu terutama di dapur. Walaupun ketika itu mummy sudah sakit, tapi sekurang-kurangnya dia masih ada. Tapi tahun ini sambutan Ramadan kami terasa berbeza sama sekali. Pemergian mummy satu kehilangan besar buat kami adik beradik. Sewaktu mummy masih ada, saya dan suami akan cuba luangkan waktu untuk berbuka di rumah mummy tapi tahun ini kami tidak dapat lagi berbuat demikian, katanya. Rindu air tangan mummy Eira mengaku perkara yang paling dirindui ialah air tangan mummy. Menurutnya, ibu cukup hebat di dalam menyediakan masakan Kelantan seperti nasi kerabu apatah lagi pada bulan puasa. Namun, sejak ketiadaannya, Eira berkata, dia belum bertemu mana-mana individu atau tukang masak yang mampu menandingi air tangan mummy. Kami adik beradik kehilangan dahan untuk bergantung kerana mummy adalah tonggak keluarga. Kami menganggapnya sebagai wanita besi. Mungkin ini ujian tuhan buat saya. Tuhan ambil mummy tetapi digantikan dengan kehadiran anak saya, Amarra Sofea Rose yang sekarang berusia enam bulan, kata isteri kepada pelakon Azad Jasmin itu. |
Posted: 10 Jul 2013 02:35 AM PDT Popularitinya yang bertahan sehingga ke hari ini sangat mahal harganya. Bukan saja terpaksa berkorban masa dan tenaga, tetapi dia juga perlu berdepan pelbagai dugaan yang mampu memusnahkan kehidupan. Namun, selepas lebih empat dekad berada dalam industri hiburan, semua halangan itu dapat diatasi Datuk Jeffrydin dengan penuh ketenangan. Malah, semangatnya tidak pernah pudar untuk terus berjuang dalam bidang seni. Buktinya, ketika ramai artis seangkatan dengannya sudah menyepikan diri, dia masih berpeluang menghasilkan album terbaru.
"Kita kena sentiasa bersedia dan pastikan ilmu penuh di dada sebelum menceburkan diri dalam bidang ini. Saya akui, banyak dugaan terpaksa ditempuh sepanjang bergelar anak seni. Sebab itulah saya tidak menggalakkan anak-anak menjadi artis. "Saya bimbang mereka tidak mampu untuk menghadapi dugaan dan tekanan. Ada juga di antara anak saya yang menunjukkan minat dalam bidang seni, tetapi saya buat tak tahu saja. Ibu mereka pun tidak menggalakkan," cerita Jeffrydin ketika ditemui pada majlis pelancaran album terbarunya, Debaran Rindu, di Mutiara Damansara, baru-baru ini. Album yang diterbitkan Datuk M Nasir dan Azmeer itu sudah pun berada di pasaran mulai 8 Julai lalu. Gelaran dipertikai
Mengulas lanjut perkara itu, penyanyi berusia 66 tahun menyifatkan dakwaan itu sebagai kenyataan berunsur dengki oleh mereka yang tidak puas hati dengannya. "Saya sedar ramai yang mengatakan gelaran Datuk itu saya dapat daripada kerajaan Sulu, Filipina. Hakikatnya, gelaran itu saya dapat daripada kerajaan Melaka pada 2009. Saya tak kecil hati pun. Biarlah orang nak kata apapun, asalkan saya tahu perkara sebenar," tegas penyanyi legenda pop yeh yeh ini. Masih ada peminat Barangkali ada yang tertanya-tanya, apakah relevannya Jeffrydin menghasilkan album ketika ini? Apatah lagi album itu bernuansa irama pop yeh-yeh, yang dianggap ketinggalan zaman. Namun begitu, bagi si empunya diri, muzik terbabit masih mempunyai penggemarnya yang tersendiri. "Saya tidak rasa album ini ketinggalan zaman. Apabila peminat saya tahu saya menghasilkan album terbaru, mereka terus meminta saya mengadakan persembahan di tempat mereka. Selepas Hari Raya nanti saya akan mengadakan persembahan di kepulauan Batam dan di daerah di sekitarnya," ujar pemilk nama penuh Raden Jeffrydin Raden Imbromsoekaman ini. Selain Debaran Rindu yang dinyanyikan secara duet dengan kumpulan One Nation Emcees, lagu lain yang turut dimuatkan ialah Pemburu Cinta, Lagu Dari Jiwa, Bing Bang Boom, Persoalanku dan sebuah lagu raya iaitu Syahdu Di Pagi Raya. Antara komposer dan penulis lirik yang menyumbangkan karya mereka ialah Ad Samad, S Amin Shahab, Tam Spider, Keon, Senibayan, Azmeer dan M Nasir. |
You are subscribed to email updates from Berita Harian: Hip To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |