Adsense

Isnin, 5 Disember 2011

Berita Harian: Hip

Berita Harian: Hip


Tidak cemburu

Posted: 04 Dec 2011 03:12 PM PST

Hip

Faralyna Idris

Faralyna Idris

Gembira rakan sekolah bergelar pelakon

TIGA tahun memperjudikan nasib dalam dunia lakonan, Faralyna Idris, 20, baru sekarang barulah bakatnya mula disedari ramai selepas membintangi drama bersiri Asmara.

Lebih mengejutkan gadis manis ini apabila namanya dicalonkan sama pada peringkat awal dalam kategori Artis Baru Wanita Popular, Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2011. Namun pelakon peramah yang senang membahasakan dirinya sebagai Fara ini sedar, dia perlu bersaing dengan ramai lagi artis wanita baru yang popular. Justeru, dia yang turut memegang watak kecil dalam filem Klip 3GP enggan menaruh harapan untuk memiliki trofi yang menjadi rebutan ramai itu.

Dia cukup maklum, Neelofa, Tasha Shilla, Izara Aishah dan pesaingnya yang lain memang mempunyai pengikut yang ramai. Tetapi, semua itu sedikit pun tidak membuatkan terbit di hatinya rasa cemburu.

Kategori Artis Baru Wanita Popular di ABPBH2011 dianggap sengit kerana walaupun dianggap baru tetapi 20 calon yang tersenarai itu dianggap mempunyai populariti tersendiri sehingga mungkin menyukarkan peminat untuk memilih lima nama ke peringkat seterusnya.

Mereka ialah Anzalna, Arrora Salwa, Bkay Nair, Chomell Fana, Eina Azman, Eyka Farhana, Faralyna Idris, Fina, Iqa, Izara Aishah, Izreen Azminda, Kilafairy, Cristina Suzanne, Lena, Melia Aimellia, Miera Leyana, Najwa Latiff, Nadiya Nisa, Neelofa, Nera, Nur Fathia, Salma, Sara Ali, Sharifah Sakinah dan Tasha Shilla.
"Saya mengenali Tasha sejak zaman sekolah, dan saya juga mengenali Neelofa. Kami semua berkawan. Jadi tidak tersimpan perasaan cemburu apabila melihat mereka lebih berjaya dalam bidang seni. Saya tumpang gembira dengan kejayaan mereka dan akan sentiasa menyokong kerjaya seni rakan saya itu.

"Perjalanan saya dalam dunia lakonan masih jauh lagi. Saya tidak mampu untuk mengejar populariti kerana perkara itu memerlukan satu masa yang panjang untuk dikecapi. Apatah lagi saya menyertai dunia ini untuk mencari rezeki. Lakonan ialah satu kerjaya yang saya pilih sendiri.

"Tetapi seandainya terpilih ke peringkat seterusnya dalam ABPBH, saya bersyukur dan menganggap ia sebagai rezeki. Seperti saya katakan, saya melihat Neelofa lebih ke depan kerana dia lebih dikenali," katanya yang mula menceburi dunia lakonan pada usia 17 tahun menerusi episod Kisah Kaisara arahan Aziz M Osman.
Sejak itu juga dia sering didatangi tawaran lain.

Ibu Diana pendorong kerjaya

SELEPAS membintangi drama bersiri Asmara, Faralyna akui ramai peminat mula menyedari kehadirannya. Anak kedua daripada tiga beradik ini turut menegaskan, sebuah karya yang dapat memberi impak seperti drama bersiri Asmara, amat penting buat pelakon sepertinya.

Dia sendiri tidak menyangka drama bersiri yang turut dibintangi Shah Jaszle dan Faezah Elai itu boleh meletup dalam sekelip mata. Bahkan, rezekinya juga semakin mencurah-curah selepas membintangi drama arahan Heykal Hanafiah.

Bagaimanapun, mungkin kerana drama yang dibintanginya selepas itu tidak disiarkan pada waktu perdana, namanya dilihat seakan sepi. Walhal kata Faralyna, dia tidak menang tangan menerima tawaran demi tawaran. Antara drama dibintanginya ialah Sutera Cinta, Kampus Belia dan Kali Kedua.

Dia juga baru saja selesai menjalani penggambaran drama bersiri Dingin Lavender untuk slot Zehra di Melbourne, Australia. Drama yang turut dibintangi Eira Syazira dan Zarina AF itu mula menemui penonton bulan ini.

"Saya sendiri tidak menyangka Asmara memberikan kesan sebegitu besar kepada semua orang. saya mengaku, pelakon memerlukan satu cerita yang boleh memberikan impak. Ada juga skrip cerita yang bagus, tetapi tidak mendapat perhatian daripada penonton," katanya yang menceburi bidang lakonan atas saranan ibu Diana Danielle, Norsiah Ramli.

Mengimbau kembali pembabitannya dalam dunia lakonan, kata Faralyna, dia harus berterima kasih kepada Norsiah kerana dia yang membuka ruang kepadanya melangkah dalam bidang ini.

"Selepas ibu meninggal dunia, saya tidak mampu membayar yuran pengajian kerana saya bersekolah swasta. Oleh kerana malu tidak mampu membayar yuran, saya ponteng sekolah hampir sebulan.

"Kebetulan Danielle rakan sekolah saya. Ibunya yang menyarankan saya mencuba dunia lakonan. Saya berterus terang padanya, saya tidak betah bergelar pelakon, tetapi dia minta saya cuba juga. Dia turut meminta Along (Aziz M Osman) uji bakat saya. Tak sangka pula dia sukakan bakat saya, lalu melamar saya untuk Kisah Kaisara. Sejak itu, wang lakonan saya gunakan untuk menyara bapa dan adik," katanya.

Full content generated by Get Full RSS.

Ning lepas geram

Posted: 04 Dec 2011 03:09 PM PST

Hip

Ning Baizura

Ning Baizura

Tampilkan persembahan bertenaga dengan rangkaian lagu terbaik nyanyiannya

KALI terakhir dia mengadakan sebuah konsert berskala mega adalah sewaktu menjayakan konsert Teguh di Stadium Negara iaitu kira-kira 15 tahun lalu.

Kini selepas 18 tahun mengharungi liku-liku hidup sebagai seorang anak seni, penyanyi Ning Baizura Hamzah kembali mengulangi situasi yang serupa apabila tampil dengan konsert Ning@KL, yang juga sebuah terjemahan perjalanan kerja seninya yang dirangkumkan menerusi nyanyian dan juga visual bunga sebagai simbolik kepada dirinya. Dan pada Jumaat lalu, penggemar tegar penyanyi bersuara soprano ini sanggup meredah kesesakan jalan raya menuju ke lokasi yang terletak di kawasan segi tiga emas semata-mata kerana mahu menyaksikan Ning beraksi di konsert itu.

Selepas berbulan-bulan promosi mengenai konsert itu diuar-uarkan, akhirnya kerinduan peminat terubat apabila penyanyi itu muncul dengan konsert solo anjuran syarikatnya sendiri HappeNings (M) Sdn Bhd yang dikhabarkan menelan belanja sebanyak RM1 juta.

Perasaan rindu serta keinginan untuk menyaksikan penyanyi popular ini menyanyi di sebuah konsert solo jelas tergambar apabila jeritan dan sorakan penonton mengiringi kemunculan Ning yang cukup anggun mengenakan pakaian labuh rona lavender.

Untuk persembahan pembukaan, Ning memilih lagu Curiga, sebuah lagu yang menjulang namanya sekali gus meletakkan dirinya sebagai antara penyanyi terkenal pada waktu itu. Persembahan itu kemudiannya diteruskan dengan nyanyian sebuah lagi lagu popular Ning berjudul Dugaanku yang melodi dan liriknya diakui cukup meruntun perasaan.
Sebagai penyanyi yang pernah mengadakan persembahan di dalam dan luar negara, ternyata pengalaman itu digunakan sepenuhnya untuk menjadikan konsertnya seronok ditonton. Bukan saja menghiburkan tetapi Ning juga bijak berkomunikasi dengan penonton.

Tidak semata-mata bertanyakan khabar, penyanyi berusia 36 tahun ini pandai bercerita dan sesekali berjenaka sambil disahut dengan hilai tawa mereka mereka yang mendengarnya.

Itulah yang dilakukan Ning sepanjang acara berlangsung. Nyanyiannya akan diselang selikan dengan sesi bersembang dengan penonton membuatkan hampir 600 penggemar yang hadir terasa dekat dengan idola kesayangan mereka itu.

Diiringi oleh empat orang pemuzik yang diketuai oleh Aylwin Santiago sebagai pengarah muzik dan tiga orang penyanyi latar, konsert Ning@KL menuangkan pelbagai rasa kepada penonton. Umum rasanya cukup arif dengan apa yang pernah di lalui penyanyi yang mendapat jolokan Ratu Kontroversi ini. Namun bak kata Ning, segala kontroversi yang dilaluinya itu banyak mematangkan dirinya serta menjadikan dirinya seperti hari ini dan dia tidak pernah menyesal dengan apa yang berlaku.

Selama hampir dua jam persembahan berlangsung, anak kelahiran Kajang, Selangor itu menyajikan pelbagai jenis rentak lagu yang dipetik dari album-albumnya sebelum ini. Malah ada juga lagu yang jarang kedengaran Ning menyanyikannya turut didendangkan pada malam itu. Penjara Kasih, Ke Sayup Bintang, Pasti, In Another Life, Kau Dan Aku, Selagi Ada Cinta dan juga rangkaian lagu rancaknya iaitu Alangkah, Getaran Rinduku, Kata Hati, Drama, Asmara, Percaya, Teguh dan Pada Aksinya berjaya membangkitkan nostalgia penonton lantas bertindak seperti penyanyi latar kepada Ning. Bezanya nyanyian mereka hanya kedengaran dari tempat duduk.

Paling menarik apabila anak kesayangan Satilah Abdullah ini berduet dengan dirinya sendiri menerusi layar lebar sewaktu menyanyikan lagu Beribu Sesalan. Menurut Ning, idea untuk mengetengahkan konsep itu diambil ketika dia menyaksikan konsert Celine Dion di Las Vegas.

"Selama ini orang hanya melihat Ning sebagai seorang selebriti. Menerusi persembahan tadi penonton secara tidak langsung dapat melihat wajah polos Ning yang tidak bersolek. Ning sebagai orang biasa dan bukannya artis," ulasnya ketika ditemui usai persembahan.

Ternyata Ning mempunyai banyak lagu yang sedap dan mampu memikat jiwa pendengar. Sayangnya ia tidak banyak diputarkan di radio. Bagaimanapun, entah mengapa, Ning tidak menyanyikan satu pun lagu dari album Pujaanku walaupun album terbitan LY itu mempunyai banyak lagu yang boleh menjadi halwa telinga.

Dari segi stamina dan vokal, Ning berjaya membuktikan bahawa dirinya masih bertenaga untuk menjayakan konsert berskala mega seperti itu. Meskipun sebelum ini ada suara-suara nakal yang mempertikaikan vokalnya, namun malam itu, Ning berjaya menutup mulut mereka dengan mempamerkan mutu nyanyian yang cukup membanggakan.

Cuma perasaan tidak puas timbul sewaktu Ning menyanyikan lagu Curiga. Adalah lebih baik jika dia melepaskan saja suaranya selantang yang boleh tanpa perlu mengawalnya.

Apabila memperkatakan mengenai Ning, tidak dapat dinafikan selain vokal soprano, imej yang ditampilkannya juga adalah sebahagian daripada tarikan yang ada padanya. Sepanjang konsert itu, penyanyi ini mengenakan lima persalinan yang berteraskan lima jenis bunga yang menjadi elemen dalam konsertnya. Lima jenis bunga itu adalah bunga teratai, bunga matahari, bunga jasmine, bunga ros dan orkid. Bukan saja cantik dari segi rekaan.

Antara rakan artis yang turut memberikan sokongan moral kepada Ning ialah Anuar Zain, Adibah Noor, Ida Nerina, Zahida Rafik, Zizan Nin dan Dina Nadzir.

Bagi mereka yang terlepas untuk menyaksikan konsert itu, DVD konsert itu akan dijual secepat mungkin serta sebuah konsert jelajah negara juga akan dilakukan Ning pada tahun depan dengan menjadikan negeri Melaka Bandaraya Bersejarah sebagai lokasi pertamanya.

Full content generated by Get Full RSS.

Himpunan Kisah Sensasi

Himpunan Kisah Sensasi


RTM haram lagu Panik Bunkface

Posted: 04 Dec 2011 01:58 PM PST

LAMA betul Joyah tak dengar cerita stesen radio haramkan sesebuah lagu. Yang biasa Joyah dengar cerita stesen radio yang tak nak main lagu artis kita, memang banyak, melambak-lambak. Asyik sangat dengan lagu artis Indon, lagu artis sendiri dicampak ke tepi, tidak dipeduli.

Ha, dan yang terbaru, Joyah dengar stesen radio RTM telah mengharamkan lagu Panik yang dinyanyikan oleh kumpulan Bunkface. Pelik sungguh Joyah selepas dengar cerita beberapa orang belakang tabir dalam kes ini.

 RTM haram lagu Panik Bunkface

sumber

Kata mereka bila pengurusan Bunkface hantar sahaja lagu ke RTM, mereka terus tak mahu siar sebab ada perkataan berbunyi 'mulut celaka' dan 'reformasi'. Apa masalah dengan dua perkataan tersebut?

Joyah selak Kamus Dewan untuk mencari perkataan yang menjadikan lagu tu diharam. Joyah jumpa perkataan celaka dan perkataan reformasi dalam kamus yang Joyah rujuk. Apa masalahnya?

Soalnya di sini, kenapa lagu tu diharamkan? Bukan mereka guna perkataan bahasa pasar yang tak wujud atau perkataan yang tak ada makna, atau perkataan daripada bahasa rojak, bahasa longkang.

Jadi Joyah rasa, RTM perlu memberi penjelasan panjang lebar kenapa dan mengapa lagu tu diharamkan, edarkan kenyataan kepada media, mudah cerita.

Kalau nak kata lagu tu ada unsur tidak sihat, dekat mana? Bahagian mana? Kenalah bagitahu, jangan main hentam keromo saja.

Tolonglah, zaman sudah berlalu. Zaman hendak 'gam' dan sembunyi tangan sudah lapuk. Kalau betul RTM tak suka sesebuah lagu, itu memang satu keputusan yang perlu sebab RTM mempunyai dasar-dasar yang tersendiri, artis pun kenalah patuhi, media pun akan sangat menghormatinya.

Ini juga sebagai langkah supaya artis muda kita lebih berhati-hati, jangan buat lagu atau lirik tak mencerminkan jati diri yang baik, kalau mahu RTM pilih lagu mereka untuk siaran.

Bagaimanapun RTM dalam waktu yang sama juga, perlu memberi penjelasan kenapa dan mengapa mengambil sesuatu tindakan, supaya orang tidak bercakap sesuka hati di luar sana.

Dunia sudah semakin terbuka, RTM pun kenalah terbuka dan berani ke depan menyatakan pendirian mereka dalam sesuatu hal. Bukannya sembunyi dan 'gam' secara diam-diam seperti ini.

Full content generated by Get Full RSS.

Harian Metro: Rap

Harian Metro: Rap


Kecewa pilih kasih penaja

Posted: 04 Dec 2011 08:31 AM PST

MEREALISASIKAN mini konsertnya, Ning@KL Live yang berlangsung di KL Live, Jalan Sultan Ismail, Kuala Lumpur Jumaat lalu, bukan kecil pengorbanan dilakukan pelantun vokal soprano ini.

Rasa malu diketepikan dan status diva juga tidak lagi dipedulikan apabila dengan jujur, Ning Baizura Sheikh Hamzah, 36, mengakui, aset seperti dua biji kereta yang dibeli hasil titik peluh menyanyi dijual semata-mata mahu menjadikan impian mengadakan konsert suatu kenyataan.

Soalnya, perlukah nama besar seperti Ning melakukan pengorbanan sebegitu rupa?
Apa bakat serta pencapaiannya selama ini tidak cukup membuktikan bahawa dia berhak mendapat perhatian pihak penaja?

Hakikatnya ekoran ketiadaan penajaan yang mendesak wanita dikenali dengan lagu Pasti itu berbuat demikian. Biar berbaur nada kesal, Ning akur pada cabaran dan perubahan polar industri muzik tempatan yang semakin mencabar buat pejuang-pejuangnya.

Paling mustahak bagi Ning adalah mengotakan janji kepada peminat setia yang sudah lama menantikan kemunculannya bersama sebuah konsert.

"Inilah pengorbanan yang saya lakukan. Sedikit pun tiada rasa terkilan kerana ia adalah sebagai pelaburan untuk kejayaan konsert ini juga, terutama buat syarikat saya, HappeNings (M) Sdn Bhd sebagai penganjur rasmi.

"Kalau ada pun terbit rasa kecewa hanyalah isu penganjur yang tidak pandang artis tempatan. Namun, menjual kereta demi menggerakkan konsert ini saya sedikitpun tidak terkilan. Bahkan amat bersyukur melihat sambutan hangat yang diberikan peminat pada malam ini.

"Berbulan persiapan dilakukan, sepenuh jiwa dan raga saya serahkan untuk konsert ini. Saya yakin setiap pengorbanan itu pasti ada perkara baik menantinya.

"Paling penting, konsert ini bukan saja mengotakan janji saya kepada peminat, tetapi diharap dapat membuka mata pihak penaja memandangkan saya punya perancangan mengadakan konsert berskala besar.

"Siapa tahu malam ini berjaya membuktikan sesuatu dan menarik minat penaja untuk menaja konsert seterusnya," katanya.

Nyata, isu penajaan sedikitpun tidak mematahkan semangat Ning dan keikhlasannya mewujudkan konsert itu dapat dilihat daripada hasil persembahannya.

Dalam bajet yang terhad, Ning masih berupaya menawarkan persembahan yang berkualiti. Muncul tepat jam 9.30 malam, sesudah usai penayangan 'slide show' yang mengembalikan ingatan peminat kepada penampilan Ning seawal bergelar artis, wanita yang pernah mencetuskan fenomena dalam arena muzik sekitar 1993 itu melagukan Curiga sebagai lagu pembukaan.

Tampak menawan dengan gaun meleret bersayap rona ungu dan emas di bahagian sisi tubuh, Ning membawa penonton menghayati lagu seterusnya, Dugaanku.

"Bangga dan terharu dapat melihat setiap daripada anda malam ini. Sedar tak sedar, sudah 18 tahun saya berkhidmat untuk negara dan sokongan peminat selama inilah yang membuatkan saya terus bertahan sehingga sekarang," katanya.

Menariknya mengenai konsert perjalanan hidup insan bernama Ning Baizura itu, mengenengahkan konsep bunga yang menjadi simbolik dalam kerjaya Ning hampir dua dekad itu.

Lima jenis bunga yang menjadi pilihannya adalah teratai, matahari, melor, mawar dan anggerik. Kata Ning, bunga teratai ibarat kelahiran buat dirinya dan ia juga melambangkan kesetiaan, kejayaan dan kesucian perjuangannya dalam bidang seni yang bermula sejak berusia 15 tahun lagi.

Ning yang pernah menang tempat ketiga Voice of Asia (Kazakhstan), mula dikenali apabila muncul dengan album Dekat Padamu, sekaligus mengangkat namanya sebagai Artis Baru Wanita Popular menerusi Anugerah Bintang Popular Berita Harian, Artis Wanita Baru Terbaik dan Album Terbaik. Kedua-duanya diraih dalam Anugerah Industri Muzik.

"Pada 1993, lagu pertama yang saya tulis adalah Pasti dan lagu itu memberi perubahan dan impak cukup besar dalam sejarah karier nyanyian saya," katanya sebelum menyanyikan lagu itu.

Persembahan Ning terus meggetarkan seluruh adrenalin apabila vokal luar biasanya berpadu dengan gesekan biola menerusi hit Di Penjara Kasih diikuti lagu Inggeris, In Another Life. Lagu ini pernah berada di carta radio Inggeris Singapura selama 11 minggu dan lagu yang pernah ditolak Mariah Carey ini juga pernah dirakamkan pelakon Hollywood, Jennifer Love Hewitt.

"Dalam hidup saya, sentiasa mengagumi bakat yang dimiliki anak muda sekarang yang bukan hanya berkemampuan menyanyi, tetapi juga bermain alat muzik.
Justeru, malam ini saya menampilkan pelajar dari ICOM (International College of Music)," katanya menyampaikan lagu Kau dan Aku.

Menggayakan lima persalinan rekaan Michael Ong dan Jovian Mandagie malam itu, Ning terus menghiburkan lebih 1,000 penonton dengan lagu Cahaya, You And I dan Bersama Berdua.

Tidak keseorangan malam itu, Ning mengundang Russell Curtis dan Altimet untuk berduet dengannya menerusi lagu Antara Kita (Russell) dan Papa Mama (rap oleh Altimet).

"Malam ini saya perkenalkan seorang yang sangat istimewa di mana bakatnya dikesan sewaktu saya menghadiri majlis perkahwinan seorang teman. Kagum dengan keunikan vokal Russell, membuatkan saya terfikir untuk mengajak dia berduet lagu Antara Kita," katanya.

Beredar seketika dari pentas, Russell mengisi kekosongan persembahan lalu mencapai gitarnya menyampaikan lagu Sweet Child Of Mine.

Konsert berdurasi dua jam itu menyaksikan persembahan Ning diiringi secara 'live' oleh pemuzik dipimpin oleh Alvin Santiago. Antara rangkaian lagu popular lain yang dibawanya adalah Alangkah, Kata Hati, Asmara, Percaya, Selagi Ada Cinta, Ke Sayup Bintang, Wishing All The Star dan Awan Yang Terpilu.

Pementasan konsert itu bagaikan tidak lengkap tanpa alunan lagu popularnya kini, Beribu Sesalan, sebuah bingkisan sempurna kolaborasi antaranya bersama Jaclyn Victor dan Shila Amzah melalui 3 Suara.

Bagaimanapun kali ini, Ning tampil sendirian tanpa Jaclyn dan Shila, tetapi itu tidak sedikit pun janggal begitu juga saat dia menyanyikan lagu Drama yang pernah dirakamkan bersama Nikki Palikat dan Allahyarhamah, Yanie (Mentor).

Rumusan Keseluruhan persembahan Ning@KL Live, ia adalah sebuah konsert yang menghiburkan. Koleksi puluhan lagu hit Ning memberi kuasa magis apabila suara penonton turut mengiringi nada nyanyiannya.

Malah, jika ada yang beranggapan Ning cuba mengikis identitinya sebagai penyanyi soprano kerana tidak lagi mampu mengaplikasikan teknik itu dalam nyanyiannya, anda salah! Kemantapan vokal ini masih berbisa selain mempamerkan banyak kematangan.

Full content generated by Get Full RSS.

‘Lawak Sobri melampau’

Posted: 04 Dec 2011 08:07 AM PST

SELEPAS seminggu isu dibangkitkan sepi, akhirnya Zaiton Sameon tampil bersuara dan meluahkan rasa tidak puas hatinya terhadap Sobri anggota kumpulan Bawal Power yang memperlekehkan dirinya sewaktu tampil mengadakan persembahan selingan di majlis Anugerah Industri Muzik ke-18 (AIM18), pada 12 Disember lalu.

Mengimbas apa yang berlaku di malam majlis itu, Sobri yang bertanding dalam rancangan Maharaja Lawak Mega bersama Bob Kuman, tampil di pentas sebagai Zaiton.

Apa yang dipersembahkan Sobri pada malam itu dianggap sangat keterlaluan kerana menggambarkan Zaiton dalam keadaan tidak waras. Selingan itu tidak disiarkan secara langsung, tetapi hanya di kalangan penonton di Stadium Putra, Bukit Jalil, tempat berlangsungnya AIM18.

Bagaimanapun, ia mendapat perhatian kerana tindakan Sobri itu disifatkan keterlaluan dan menjatuhkan maruah Zaiton. Ia dipaparkan dalam akhbar mingguan dan dibalas mereka dalam program Maharaja Lawak Mega hingga ditegur seorang juri, Datuk Redzuawan Ismail atau Chef Wan kerana menggunakan program pertandingan itu untuk membalas dendam kepada pihak lain.


Zaiton yang ditemui dalam pertemuan khas baru-baru ini, menganggap tindakan Sobri itu menjatuhkan maruahnya dan dibimbangi memberikan kesan kepada kerjaya seninya.


Penyanyi lagu Menaruh Harapan dan Serangkai Mawar itu menjelaskan rasa kecewanya dengan apa yang dibuat pelawak itu dan menyifatkan sebagai sesuatu yang sangat memalukan dan boleh menjatuhkan maruah dan kerjaya seninya.

"Dia berlawak tak pakai otak ke? Sampai hati dia buat saya macam ini.
Masalahnya, mengapa dia memilih Zaiton Sameon dan menjadikan keadaan diri dan kesihatan saya sebagai bahan," katanya.

Jelas Zaiton, dia menerima banyak maklum balas negatif termasuk yang disiarkan peminat dalam laman sosial. Tidak kurang ada yang meluahkan rasa tidak puas hati dengan tindakan Sobri itu.

"Apa yang dilakukan mereka itu sudah tentu memberikan implikasi buruk. Ia menjatuhkan reputasi saya sebagai penyanyi. Apabila dia berbuat demikian sudah tentu orang akan ingat, memang saya masih kurang sihat dan tidak mampu menyanyi.

"Akibatnya, selepas ini orang takut hendak memanggil saya menyanyi. Sedangkan saya masih mampu dan selalu saja dijemput untuk mengadakan persembahan. Saya tidak ada masalah untuk menghiburkan orang ramai," katanya.

Apabila keadaan kesihatannya dijadikan bahan lawak, kata Zaiton apa yang dibimbangi adalah tanggapan dan rasa kurang yakin orang ramai terutama promoter terhadap kemampuannya untuk menyanyi.

"Jangan ingat sekarang ini saya hanya duduk rumah goyang kaki. Saya masih perlu bekerja untuk mencari sesuap nasi. Malah, saya masih aktif dan banyak mendapat undangan mengadakan persembahan. Saya sihat dan masih mampu menyanyi dengan baik.

"Apa yang dilakukan Sobri itu saya sifatkan sangat melampau. Umpama memandang rendah kepada orang seperti saya. Saya tidak sebodoh itu. Pesan saya, jangan sesekali cuba menabur pasir dalam periuk nasi saya," katanya.

Apabila ditanya adakah dia bercadang untuk mengambil tindakan undang-undang, jelas Zaiton, pada peringkat awalnya dia punya niat untuk berbuat demikian.

"Bagaimanapun, selepas difikirkan saya melupakan niat asal itu kerana saya fikirkan kita sesama artis mahu cari makan. Bagaimanapun, saya mahu memberikan peringatan kepada mana-mana pihak jangan diulangi apa yang telah dilakukan Sobri dengan melakukan lawak bodoh dan merendah-rendahkan kerjaya seni saya," katanya.

Menceritakan mengenai kerjaya seninya, jelas Zaiton dia baru saja selesai menjalani rakaman lagu terbaru yang didendangkan bersama Adam Ahmad. Waktu sama, dia turut menyanyikan satu lagu baru.

"Lagu baru ini akan diterbitkan dalam album khas yang turut menghimpunkan lagu popular saya sebelum ini antaranya Menaruh Harapan dan Serabut Serangkai Mawar.
Saya mengharapkan ia mampu menghilangkan rindu peminat kepadanya. Dan album yang dihasilkan akan mendapat sambutan sebagai tanda sokongan untuk dia terus aktif sebagai penyanyi," katanya.

Beralih kepada soal filem Zaiton yang mengangkat kisah hidupnya, kata Zaiton dia diberitahu produksi bahawa kerja-kerja penggambaran sudah pun selesai dijalankan dan kini mereka sedang dalam proses suntingan.

"Saya berasa bangga kerana ada pihak mengambil inisiatif untuk mengangkat kisah hidup saya dalam filem. Ia secara tidak langsung saya anggap sebagai satu penghargaan dan semoga apabila ditayangkan kelak ia akan mendapat sambutan dari peminat setia," katanya.

Full content generated by Get Full RSS.

Kosmo Online - Hiburan

Kosmo Online - Hiburan


Sejarah hidup tanpa memori

Posted:

Sejarah hidup tanpa memori

Sejarah hidup tanpa memori

JIKA mengimbau kembali kenangan 16 tahun lalu, tiada apa yang istimewanya gadis bernama Siti Nurhaliza Tarudin. Dia hanya gadis kampung yang dilahirkan di Berek Polis Kampung Awah, Temerloh, Pahang. Kehidupan semasa kecilnya banyak dihabiskan dengan membantu keluarga menjual kuih karipap sardin dan keria.

Namun, perubahan kehidupan anak keempat daripada lapan beradik itu mula berubah sekelip mata selepas melibatkan diri dalam dunia seni suara bermula pada tahun 1995.

Kini, dia dikenali sebagai Datuk Siti, 32, dan kejayaan yang dikecapi dalam bidang seni dan perniagaan produk Simply Siti sememangnya cukup membanggakan warga Malaysia. Tidak cukup dengan itu, dia juga mempunyai aura yang mampu membuatkan orang sekelilingnya menyanyangi dan menyanjunginya.

Bukan sengaja ingin membuka kisah lampau Siti tetapi ini semua adalah rentetan perjalanan hidup Siti daripada gadis kampung menjadi penyanyi berprolifik tinggi yang bakal disiarkan dalam saluran History (Astro 555). Menariknya, dokumentari itu bakal ditayangkan pada 11 Januari 2012 pada pukul 10 malam sempena sambutan hari jadi Siti yang ke-33.


DATUK Siti Nurhaliza memberitahu keluarganya tidak mempunyai kamera sewaktu zaman dia membesar. Justeru semua sejarah hidupnya berjalan tanpa rakaman memori secara visual.


Hakikatnya, dokumentari yang bertajuk Siti Nurhaliza itu juga bakal menyingkap rahsia dan sisi Siti yang tidak pernah diketahui peminatnya selama ini. Malah, Siti sendiri tidak menentukan atau mengedit dokumentari terbitan Red Communication Sdn. Bhd. tersebut agar ia telus ditonton masyarakat Malaysia.

Siti sendiri melahirkan rasa bangga dan tidak sangka diberi pengiktirafan untuk memaparkan kisah hidupnya dalam saluran History. Dia sedia maklum selama ini hanya orang yang bukan calang-calang sahaja berjaya memahatkan sejarah kehidupannya dalam saluran History. Antaranya, bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad, seniman Agung, Allahyarham Tan Sri P. Ramlee dan penghibur tersohor, Allahyarham Sudirman Arshad.

"Kalau diikutkan ramai lagi artis senior yang lebih layak tetapi Siti dipilih. Siti bersyukur dan berbesar hati kerana perjalanan hidup dipaparkan dalam saluran History. Siti harap perjalanan hidup sepanjang 16 tahun dalam dunia seni ini dapat memberi manfaat khususnya kepada golongan muda," katanya ketika ditemui pada sidang media Biografi Siti Nurhaliza di The Courtyard Garden, Damansara Heights, Kuala Lumpur semalam.

Dokumentari selama sejam itu akan memaparkan bagaimana sukarnya Siti tatkala mula melangkah ke dunia seni dengan melalui pelbagai ranjau dan duri namun semuanya dapat dihadapi olehnya sehingga menjadi insan seni tersohor negara.

Hakikatnya Siti berjaya membuktikan anak gadis kampung seperti dia mampu menjadi bintang yang amat berharga sekiranya bakat yang dianugerahkan itu digunakan pada jalan yang betul.

Diterbitkan oleh penerbit filem Pisau Cukur, Lina Tan, antara individu yang ditemu bual untuk berkongsi rahsia dan kisah hidup Siti ialah pengurus yang juga kakak ipar Siti, Rozi Abdul Razak, Jennifer Tompson (penerbit Anugerah Industri Muzik (AIM), Zainal Alam Kadir (wartawan, penerbit), Adnan Abu Hassan (komposer), Nurul Shukor (jurusolek Siti) dan Michael Ong (pereka fesyen Siti).

Antara yang menarik, personaliti televisyen terkemuka, Najib Ali juga ditemubual untuk mendedahkan mengenai Siti yang pernah menyertai uji bakat untuk program Asia Bagus di Singapura sewaktu berusia 14 tahun.

Bongkar rahsia


DARI kiri: Lina Tan, Datuk Siti Nurhaliza dan Chris Humphrey.


Jika sebelum ini peminat Siti hanya melihat senyuman di sebalik wajah manisnya dan kejayaan yang dimiliki namun peminat juga dapat melihat sikap Siti yang lain di dalam dokumentari tersebut.

"Bagi yang dekat dengan Siti sahaja yang tahu bagaimana Siti menghadapi situasi sewaktu tertekan. Misalnya, juru solek Nurul Shukor yang sudah bekerjasama dengan Siti selama 10 tahun. Dia tahu bagaimana Siti juga ada kalanya memberontak dan marah ketika stres," ungkapnya yang bersikap terbuka berkongsi kehidupan peribadinya bersama peminat.

Berkongsi cerita, Siti juga mengaku tidak mempunyai foto ketika kecil kerana keluarganya tidak memiliki kamera. Jadi, ia agak menyukarkan pihak penerbit untuk mendapatkan gambarnya ketika kecil.

Mujur, teman-teman dan jiran Siti di kampung mempunyai koleksi gambar Siti dan pihak penerbitan berjaya memperoleh untuk dimuatkan dalam dokumentari Siti.

Siti juga mengaku agak emosional dan tidak dapat membendung air mata tatkala mengimbau kembali kenangan bersama arwah ayahnya, Tarudin Ismail.

"Siti cuba menahan sedih tetapi apabila mengimbau kembali kenangan bersama arwah ketika ditemu bual pihak penerbit, air mata Siti tidak dapat ditahan," katanya yang turut memberitahu suaminya, Datuk Khalid tidak akan ditemu bual di dalam dokumentari tersebut atas sebab dia tidak mahu.


SITI akan berganding dengan Johan Raja Lawak untuk sebuah program berbentuk permainan.


Kata Siti, suaminya hanya memberi dorongan untuk dia melibatkan diri dalam dokumentari tersebut.

Selain sibuk dengan projek terbaharu rakaman kisah mengenai sejarah hidupnya untuk saluran History, Siti juga akan menjadi hos rancangan permainan terkini.

Dalam rancangan itu Siti dijangka bergandingan dengan Johan (Raja Lawak) dan menjayakan beberapa permainan yang turut melibatkan para artis lain.

"Insya-Allah selepas rancangan bual bicara iaitu Siti, terkini pihak syarikat produksi Global Station mahu menghasilkan sebuah rancangan permainan pula," jelasnya.

Full content generated by Get Full RSS.

Kak Ani rindu irama etnik

Posted:

Kak Ani rindu irama etnik

Kak Ani rindu irama etnik

Oleh KHAIRUL AMRI HASSAN


ALBUM Primadona Noraniza Idris banyak dibantu idea oleh suaminya, Jeffri Hudi yang memilih lagu sesuai untuk dimuatkan di dalam produk terkini penyanyi itu.


"RINDU memang rindu, tapi nak hasilkan album berentak etnik kena fikir sepuluh kali," itu luahan pemilik nama Noraniza Idris atau lebih dikenali dengan panggilan Kak Ani, 43, saat ditanya kerinduan genre yang menjadi makanannya.

Katanya, lebih banyak pancaroba berbanding prospek jika berkehendakkan irama tradisional atau etnik kreatif diangkat semula ke dalam industri muzik semasa.

"Adakalanya, penari dan pemuzik tidak sehati dengan kita dan kadangkala ada yang lebih utamakan bayaran, malah orang melihat kita (penyanyi etnik) mahu mempromosi diri sendiri berbanding seni dan budaya," tuturnya yang rimas dengan senario masyarakat.

Usaha untuk mengangkat kembali keunggulan irama Malaysia dan etnik kreatif yang pada ketikanya masyhur sekitar era 90-an bertambah payah apabila kurang mendapat sokongan daripada stesen radio.

"Sekarang kebanyakan stesen radio sudah ada syarat tertentu untuk sesebuah lagu dikeudarakan, ada boleh dan ada tidak boleh.

"Jadi, langkah terbaik adalah mencari satu inisiatif untuk mengadakan program yang boleh berikan keuntungan kepada semua, maka dengan itu program jelajah adalah solusi terbaik," hujahnya yang sentiasa optimis dengan pembangunan seni dan budaya bangsa.

Biarpun sudah meletakkan satu taraf buat diri sendiri untuk tidak lagi terlibat dalam sebarang pertandingan, butir bicaranya jelas menampakkan industri irama Malaysia atau etnik kreatif perlukan bantuan.

"Genre ini kena ada satu platform untuk naik semula, baru boleh hidup," lembut tapi ada kobaran semangat di sebalik patah kata pelantun lagu Awallah Dondang itu.

Primadona

Noraniza yang ditemui ketika sidang akhbar Santai Primadona Noraniza Idris 2012 dalam pada itu turut menguar-uarkan program yang dirancangnya untuk tahun depan.

Menerusi syarikat miliknya, Noraniza Idris Production Ventures Sdn. Bhd. (NIPV), satu program jelajah ke seluruh Malaysia akan diadakan pada tahun depan sempena promosi Festival Kahwin-Kahwin Masyhur 1Malaysia 2012.

Dalam pada itu, Noraniza juga kini sedang sibuk menyiapkan album terbaharunya, Primadona Noraniza Idris yang menampilkan enam buah lagu daripada tiga penyanyi pujaannya; Sharifah Aini, Rafeah Buang dan Sanisah Huri.

"Single pertama, Dekatlah Padaku nyanyian biduanita negara, Sharifah Aini, akan dilancarkan pada 25 Disember ini sempena program Santai Primadona Noraniza Idris 2012 di Hotel MSuite, Johor Bahru pada pukul 8 malam," maklumnya mengenai album yang dijangka siap pada bulan Mei tahun depan ketika ditemui di Restoran Seri Melayu, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Single pertama Dekatlah Padaku akan mengandungi tiga track terdiri daripada fulltrack, minus one dan instrumental.

Album Primadona Noraniza Idris memuatkan lagu Kekasih Pujaan (Sharifah Aini), Perpisahan dan Pengorbanan (Rafeah Buang) serta Sejak Bertemu Padamu dan Kerana Kau (Sanisah Huri).

Relevan kesemua lagu itu dipilih berlandaskan minat mendalam Noraniza kepada tiga nama besar itu dan dia sendiri membesar dengan lagu-lagu popular artis era 70-an tersebut.

"Pilihan lagu banyak datang daripada suami (Jeffri Hudi, 52), mungkin apa yang Kak Ani pilih nanti tidak sesuai pada telinga orang," katanya mengenai pemilihan lagu-lagu dalam albumnya.

Biar pun terkenal dengan lagu-lagu klasik Melayu, menerusi album Primadona Noraniza Idris tidak banyak lari daripada lenggok suaranya.

"Kak Ani dulunya terkenal dengan panggilan penyanyi ciplak sebab suka menyanyi lagu-lagu pop Indonesia, jadi tidak ada masalah untuk menyanyikan lagu-lagu pop Melayu seperti mana album ini," getus peserta bintang Radio Televisyen Malaysia (RTM) 1985 itu.

Proses promosi turut merangkumi siri jelajah yang akan terus 'masuk' ke dalam masyarakat pendengar dengan kaedah lama.

"Promosi melalui jelajah lebih berkesan, kita patah balik kepada cara lama tapi lebih global dan menyerlah serta memfokuskan pada pelancong luar," katanya yang mengambil masa lebih kurang dua bulan untuk memperkenalkan sesebuah lagu betul-betul kepada peminatnya.

Memandangkan sepanjang tahun 2012 jadualnya sudah terisi dengan pelbagai aktiviti, bagaimana pula kehidupan peribadinya apatah lagi setelah kini bergelar isteri?

"Kebetulan Kak Ani ada suami yang lebih kepada pemasaran, tugas Kak Ani menyusun jadual dan promosi album.

"Dulu biasa hidup bersendiri, sekarang penekanan lebih kepada famili, mujur suami memahami dan tidak halang Kak Ani terus berkarier, kalau Kak Ani letih dia yang akan buat semua kerja rumah," tambahnya.

Ditanya soalan mengenai cahaya mata, jawab ratu irama Malaysia itu, "Kalau ada anak perempuan pasti ia jadi penyeri kami."

Full content generated by Get Full RSS.

Komik Cage bernilai RM6.5 juta

Posted:

Komik Cage bernilai RM6.5 juta

Komik Cage bernilai RM6.5 juta


NICOLAS CAGE


MUNGKIN anda tidak percaya ada komik yang boleh terjual sehingga bernilai RM6.5 juta. Namun anda harus percaya itu kerana ia satu kenyataan yang telah dibuktikan oleh aktor Nicolas Cage!

Cage telah melelong komik miliknya iaitu Action Comics No. 1 secara online dan telah dibeli dengan harga RM6.5 juta. Alasannya hanya terdapat 100 naskhah komik tersebut di dunia dan milik Cage masih berada dalam keadaan yang baik. Syarikat yang selalu memberi penilaian terhadap keadaan komik iaitu Certified Guaranty Company, memberi nilai sembilan buat komik milik aktor tersebut.

Daripada 50 orang yang membida lelongan tersebut, akhirnya salah seorang daripada mereka berani membayar sebanyak RM6.5 juta untuk komik ini. Jumlah wang yang diperoleh Cage ini sekali gus menumbangkan rekod komik termahal yang sebelum ini dipegang oleh komik berjudul sama yang terjual bulan Mac lalu dengan nilai RM4.6 juta.

Menariknya, sebelum ini komik yang menceritakan tentang kisah awal Superman itu sempat terlepas dari tangan Cage sekitar 10 tahun lalu. Namun pada bulan April lalu komik itu telah berjaya ditemui kembali oleh Cage.

Cage yang memang terkenal sebagai peminat tegar Superman telah membeli komik Action Comics No. 1 dengan nilai RM470,000 pada tahun 1997. Lantar obses dengan karakter adi wira tersebut juga, dia telah memberi nama Kal-El kepada anak lelakinya. Kal-El adalah nama sebenar Superman.

Full content generated by Get Full RSS.

OHBULAN!

OHBULAN!


Angelina Jolie Kantoi Menciloklah Pula!

Posted: 04 Dec 2011 08:00 PM PST

Tinggal tiga minggu saja lagi filem cereka pertama arahan artis berbibir seksi, Angelina Jolie, 'In the Land of Blood and Honey' ditayangkan, namun dalam pada debaran Angelina menantikan filem bertemakan cinta ditayangkan, dia kini berdepan dengan saman hak cipta daripada  seorang jurnalis Croatia, James J.Braddock.

Dipetik dari Radar, James mendakwa aktress berusia 36 tahun itu telah menciplak jalan cerita daripada artikel tulisannya yang telah siarkan pada tahun 2007 untuk dijadikan jalan cerita 'In the Land of Blood and Honey'.

Filem arahan kedua Angelina selepas filem dokumentari, 'A Place in Time' ini mengisahkan tentang lelaki Serbia yang telah jatuh hati dengan wanita muslim Bosnia sehinggalah perang Bosnia yang tercetus pada 1992 telah memisahkan mereka.

"Filem ini secara spesifiknya bercerita tentang perang Bosnia, tetapi ia sebenarnya universal. Saya ingin menceritakantentang kisah bagaimana hubungan dan perlakuan manusia terjejas teruk kesan daripada hidup dalam peperangan," ujar Angelina.

Antara persamaan yang terdapat dalam jalan cerita filem arahan Angelina dengan artikel tulisan James, dapat dilihat menerusi karekter wanita yang telah diperkosa dan didera oleh askar dan pegawai-pegawai Serbia semasa dalam kem. Malah wanita tersebut turut dijadikan hamba di ibu pejabat kem tersebut.

James meminta mahkamah menjatuhkan saman atas kerugian yang dialaminya selain menyebut GK Films serta beberapa individu lain yang turut terlibat dalam kes saman tersebut.

Full content generated by Get Full RSS.

RM4 Juta Selepas 4 Hari, Filem “Ombak Rindu” Meletup!

Posted: 04 Dec 2011 07:06 PM PST

Meletuppp! Filem arahan Osman Ali ini bakal menggegarkan industri perfileman negara sekali lagi selepas filem "KL Gangster" arahan Shamsul Yusof yang mengaut RM11 Juta selepas tamat tempoh wajib tayang.

Bergenrekan romantik dan cinta, filem yang membariskan pelakon-pelakon mantap seperti Lisa Surihani, Aaron Aziz dan Maya Karin ini benar-benar memberikan impak kepada penonton di seluruh Malaysia. Antara komen-komen penonton selepas menonton filem ini,

I noe its too late, Ombak Rindu was the best… Gerek! Serius, best love story!!! – @MDFIR

Ada juga yang terkejut dan tidak berpuas hati kerana jualan tiket telah habis.

Gila laaa, ombak rindu full for a week?! Ni tak puas hati ni. Bak sini ticket, aku nak tgk. Eh pecahkan machine ticket tu kang. Nak tgk!! – @curlyhearts

Seperti yang kita sedia maklum, kutipan hari pertama filem ini turut mencecah RM750,000 dan hari kedua pula melebih RM1 Juta. Ini adalah satu peningkatan yang memberangsangkan dalam industri perfileman negara. Jika sebelum ini kutipan meletup untuk filem "KL Gangster" yang bergenrekan aksi dan gangster, filem "Ombak Rindu" yang bertemakan romantik dan cinta bakal mencantas rekod Syamsul Yusof jika trend ini berterusan.

Penerbit "Ombak Rindu" yang juga bekas penerbit filem "Lagenda Budak Setan" ketika ditemui wartawan Utusan memberitahu,

"Melalui Ombak Rindu, saya yakin kegemilangan filem Melayu bertemakan cinta akan kembali menjadi kegilaan penonton. "Diharap tarikan filem ini mampu bertahan melebihi tempoh minggu wajib tayang iaitu selama dua minggu."

Kepada anda yang masih belum menonton filem ini, apa tunggu lagi? Cepat dapatkan tiket di pawagam sekarang!

Full content generated by Get Full RSS.