Kosmo Online - Hiburan |
Posted: Sejarah hidup tanpa memoriJIKA mengimbau kembali kenangan 16 tahun lalu, tiada apa yang istimewanya gadis bernama Siti Nurhaliza Tarudin. Dia hanya gadis kampung yang dilahirkan di Berek Polis Kampung Awah, Temerloh, Pahang. Kehidupan semasa kecilnya banyak dihabiskan dengan membantu keluarga menjual kuih karipap sardin dan keria. Namun, perubahan kehidupan anak keempat daripada lapan beradik itu mula berubah sekelip mata selepas melibatkan diri dalam dunia seni suara bermula pada tahun 1995. Kini, dia dikenali sebagai Datuk Siti, 32, dan kejayaan yang dikecapi dalam bidang seni dan perniagaan produk Simply Siti sememangnya cukup membanggakan warga Malaysia. Tidak cukup dengan itu, dia juga mempunyai aura yang mampu membuatkan orang sekelilingnya menyanyangi dan menyanjunginya. Bukan sengaja ingin membuka kisah lampau Siti tetapi ini semua adalah rentetan perjalanan hidup Siti daripada gadis kampung menjadi penyanyi berprolifik tinggi yang bakal disiarkan dalam saluran History (Astro 555). Menariknya, dokumentari itu bakal ditayangkan pada 11 Januari 2012 pada pukul 10 malam sempena sambutan hari jadi Siti yang ke-33.
Hakikatnya, dokumentari yang bertajuk Siti Nurhaliza itu juga bakal menyingkap rahsia dan sisi Siti yang tidak pernah diketahui peminatnya selama ini. Malah, Siti sendiri tidak menentukan atau mengedit dokumentari terbitan Red Communication Sdn. Bhd. tersebut agar ia telus ditonton masyarakat Malaysia. Siti sendiri melahirkan rasa bangga dan tidak sangka diberi pengiktirafan untuk memaparkan kisah hidupnya dalam saluran History. Dia sedia maklum selama ini hanya orang yang bukan calang-calang sahaja berjaya memahatkan sejarah kehidupannya dalam saluran History. Antaranya, bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad, seniman Agung, Allahyarham Tan Sri P. Ramlee dan penghibur tersohor, Allahyarham Sudirman Arshad. "Kalau diikutkan ramai lagi artis senior yang lebih layak tetapi Siti dipilih. Siti bersyukur dan berbesar hati kerana perjalanan hidup dipaparkan dalam saluran History. Siti harap perjalanan hidup sepanjang 16 tahun dalam dunia seni ini dapat memberi manfaat khususnya kepada golongan muda," katanya ketika ditemui pada sidang media Biografi Siti Nurhaliza di The Courtyard Garden, Damansara Heights, Kuala Lumpur semalam. Dokumentari selama sejam itu akan memaparkan bagaimana sukarnya Siti tatkala mula melangkah ke dunia seni dengan melalui pelbagai ranjau dan duri namun semuanya dapat dihadapi olehnya sehingga menjadi insan seni tersohor negara. Hakikatnya Siti berjaya membuktikan anak gadis kampung seperti dia mampu menjadi bintang yang amat berharga sekiranya bakat yang dianugerahkan itu digunakan pada jalan yang betul. Diterbitkan oleh penerbit filem Pisau Cukur, Lina Tan, antara individu yang ditemu bual untuk berkongsi rahsia dan kisah hidup Siti ialah pengurus yang juga kakak ipar Siti, Rozi Abdul Razak, Jennifer Tompson (penerbit Anugerah Industri Muzik (AIM), Zainal Alam Kadir (wartawan, penerbit), Adnan Abu Hassan (komposer), Nurul Shukor (jurusolek Siti) dan Michael Ong (pereka fesyen Siti). Antara yang menarik, personaliti televisyen terkemuka, Najib Ali juga ditemubual untuk mendedahkan mengenai Siti yang pernah menyertai uji bakat untuk program Asia Bagus di Singapura sewaktu berusia 14 tahun. Bongkar rahsia DARI kiri: Lina Tan, Datuk Siti Nurhaliza dan Chris Humphrey. Jika sebelum ini peminat Siti hanya melihat senyuman di sebalik wajah manisnya dan kejayaan yang dimiliki namun peminat juga dapat melihat sikap Siti yang lain di dalam dokumentari tersebut. "Bagi yang dekat dengan Siti sahaja yang tahu bagaimana Siti menghadapi situasi sewaktu tertekan. Misalnya, juru solek Nurul Shukor yang sudah bekerjasama dengan Siti selama 10 tahun. Dia tahu bagaimana Siti juga ada kalanya memberontak dan marah ketika stres," ungkapnya yang bersikap terbuka berkongsi kehidupan peribadinya bersama peminat. Berkongsi cerita, Siti juga mengaku tidak mempunyai foto ketika kecil kerana keluarganya tidak memiliki kamera. Jadi, ia agak menyukarkan pihak penerbit untuk mendapatkan gambarnya ketika kecil. Mujur, teman-teman dan jiran Siti di kampung mempunyai koleksi gambar Siti dan pihak penerbitan berjaya memperoleh untuk dimuatkan dalam dokumentari Siti. Siti juga mengaku agak emosional dan tidak dapat membendung air mata tatkala mengimbau kembali kenangan bersama arwah ayahnya, Tarudin Ismail. "Siti cuba menahan sedih tetapi apabila mengimbau kembali kenangan bersama arwah ketika ditemu bual pihak penerbit, air mata Siti tidak dapat ditahan," katanya yang turut memberitahu suaminya, Datuk Khalid tidak akan ditemu bual di dalam dokumentari tersebut atas sebab dia tidak mahu.
Kata Siti, suaminya hanya memberi dorongan untuk dia melibatkan diri dalam dokumentari tersebut. Selain sibuk dengan projek terbaharu rakaman kisah mengenai sejarah hidupnya untuk saluran History, Siti juga akan menjadi hos rancangan permainan terkini. Dalam rancangan itu Siti dijangka bergandingan dengan Johan (Raja Lawak) dan menjayakan beberapa permainan yang turut melibatkan para artis lain. "Insya-Allah selepas rancangan bual bicara iaitu Siti, terkini pihak syarikat produksi Global Station mahu menghasilkan sebuah rancangan permainan pula," jelasnya. Full content generated by Get Full RSS. | ||||
Posted: Kak Ani rindu irama etnikOleh KHAIRUL AMRI HASSAN ALBUM Primadona Noraniza Idris banyak dibantu idea oleh suaminya, Jeffri Hudi yang memilih lagu sesuai untuk dimuatkan di dalam produk terkini penyanyi itu. "RINDU memang rindu, tapi nak hasilkan album berentak etnik kena fikir sepuluh kali," itu luahan pemilik nama Noraniza Idris atau lebih dikenali dengan panggilan Kak Ani, 43, saat ditanya kerinduan genre yang menjadi makanannya. Katanya, lebih banyak pancaroba berbanding prospek jika berkehendakkan irama tradisional atau etnik kreatif diangkat semula ke dalam industri muzik semasa. "Adakalanya, penari dan pemuzik tidak sehati dengan kita dan kadangkala ada yang lebih utamakan bayaran, malah orang melihat kita (penyanyi etnik) mahu mempromosi diri sendiri berbanding seni dan budaya," tuturnya yang rimas dengan senario masyarakat. Usaha untuk mengangkat kembali keunggulan irama Malaysia dan etnik kreatif yang pada ketikanya masyhur sekitar era 90-an bertambah payah apabila kurang mendapat sokongan daripada stesen radio. "Sekarang kebanyakan stesen radio sudah ada syarat tertentu untuk sesebuah lagu dikeudarakan, ada boleh dan ada tidak boleh. "Jadi, langkah terbaik adalah mencari satu inisiatif untuk mengadakan program yang boleh berikan keuntungan kepada semua, maka dengan itu program jelajah adalah solusi terbaik," hujahnya yang sentiasa optimis dengan pembangunan seni dan budaya bangsa. Biarpun sudah meletakkan satu taraf buat diri sendiri untuk tidak lagi terlibat dalam sebarang pertandingan, butir bicaranya jelas menampakkan industri irama Malaysia atau etnik kreatif perlukan bantuan. "Genre ini kena ada satu platform untuk naik semula, baru boleh hidup," lembut tapi ada kobaran semangat di sebalik patah kata pelantun lagu Awallah Dondang itu. Primadona Noraniza yang ditemui ketika sidang akhbar Santai Primadona Noraniza Idris 2012 dalam pada itu turut menguar-uarkan program yang dirancangnya untuk tahun depan. Menerusi syarikat miliknya, Noraniza Idris Production Ventures Sdn. Bhd. (NIPV), satu program jelajah ke seluruh Malaysia akan diadakan pada tahun depan sempena promosi Festival Kahwin-Kahwin Masyhur 1Malaysia 2012. Dalam pada itu, Noraniza juga kini sedang sibuk menyiapkan album terbaharunya, Primadona Noraniza Idris yang menampilkan enam buah lagu daripada tiga penyanyi pujaannya; Sharifah Aini, Rafeah Buang dan Sanisah Huri. "Single pertama, Dekatlah Padaku nyanyian biduanita negara, Sharifah Aini, akan dilancarkan pada 25 Disember ini sempena program Santai Primadona Noraniza Idris 2012 di Hotel MSuite, Johor Bahru pada pukul 8 malam," maklumnya mengenai album yang dijangka siap pada bulan Mei tahun depan ketika ditemui di Restoran Seri Melayu, Kuala Lumpur baru-baru ini. Single pertama Dekatlah Padaku akan mengandungi tiga track terdiri daripada fulltrack, minus one dan instrumental. Album Primadona Noraniza Idris memuatkan lagu Kekasih Pujaan (Sharifah Aini), Perpisahan dan Pengorbanan (Rafeah Buang) serta Sejak Bertemu Padamu dan Kerana Kau (Sanisah Huri). Relevan kesemua lagu itu dipilih berlandaskan minat mendalam Noraniza kepada tiga nama besar itu dan dia sendiri membesar dengan lagu-lagu popular artis era 70-an tersebut. "Pilihan lagu banyak datang daripada suami (Jeffri Hudi, 52), mungkin apa yang Kak Ani pilih nanti tidak sesuai pada telinga orang," katanya mengenai pemilihan lagu-lagu dalam albumnya. Biar pun terkenal dengan lagu-lagu klasik Melayu, menerusi album Primadona Noraniza Idris tidak banyak lari daripada lenggok suaranya. "Kak Ani dulunya terkenal dengan panggilan penyanyi ciplak sebab suka menyanyi lagu-lagu pop Indonesia, jadi tidak ada masalah untuk menyanyikan lagu-lagu pop Melayu seperti mana album ini," getus peserta bintang Radio Televisyen Malaysia (RTM) 1985 itu. Proses promosi turut merangkumi siri jelajah yang akan terus 'masuk' ke dalam masyarakat pendengar dengan kaedah lama. "Promosi melalui jelajah lebih berkesan, kita patah balik kepada cara lama tapi lebih global dan menyerlah serta memfokuskan pada pelancong luar," katanya yang mengambil masa lebih kurang dua bulan untuk memperkenalkan sesebuah lagu betul-betul kepada peminatnya. Memandangkan sepanjang tahun 2012 jadualnya sudah terisi dengan pelbagai aktiviti, bagaimana pula kehidupan peribadinya apatah lagi setelah kini bergelar isteri? "Kebetulan Kak Ani ada suami yang lebih kepada pemasaran, tugas Kak Ani menyusun jadual dan promosi album. "Dulu biasa hidup bersendiri, sekarang penekanan lebih kepada famili, mujur suami memahami dan tidak halang Kak Ani terus berkarier, kalau Kak Ani letih dia yang akan buat semua kerja rumah," tambahnya. Ditanya soalan mengenai cahaya mata, jawab ratu irama Malaysia itu, "Kalau ada anak perempuan pasti ia jadi penyeri kami." Full content generated by Get Full RSS. | ||||
Komik Cage bernilai RM6.5 juta Posted: Komik Cage bernilai RM6.5 jutaNICOLAS CAGE MUNGKIN anda tidak percaya ada komik yang boleh terjual sehingga bernilai RM6.5 juta. Namun anda harus percaya itu kerana ia satu kenyataan yang telah dibuktikan oleh aktor Nicolas Cage! Cage telah melelong komik miliknya iaitu Action Comics No. 1 secara online dan telah dibeli dengan harga RM6.5 juta. Alasannya hanya terdapat 100 naskhah komik tersebut di dunia dan milik Cage masih berada dalam keadaan yang baik. Syarikat yang selalu memberi penilaian terhadap keadaan komik iaitu Certified Guaranty Company, memberi nilai sembilan buat komik milik aktor tersebut. Daripada 50 orang yang membida lelongan tersebut, akhirnya salah seorang daripada mereka berani membayar sebanyak RM6.5 juta untuk komik ini. Jumlah wang yang diperoleh Cage ini sekali gus menumbangkan rekod komik termahal yang sebelum ini dipegang oleh komik berjudul sama yang terjual bulan Mac lalu dengan nilai RM4.6 juta. Menariknya, sebelum ini komik yang menceritakan tentang kisah awal Superman itu sempat terlepas dari tangan Cage sekitar 10 tahun lalu. Namun pada bulan April lalu komik itu telah berjaya ditemui kembali oleh Cage. Cage yang memang terkenal sebagai peminat tegar Superman telah membeli komik Action Comics No. 1 dengan nilai RM470,000 pada tahun 1997. Lantar obses dengan karakter adi wira tersebut juga, dia telah memberi nama Kal-El kepada anak lelakinya. Kal-El adalah nama sebenar Superman. Full content generated by Get Full RSS. |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Hiburan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |