Adsense

Isnin, 5 Disember 2011

Berita Harian: Hip

Berita Harian: Hip


Tidak cemburu

Posted: 04 Dec 2011 03:12 PM PST

Hip

Faralyna Idris

Faralyna Idris

Gembira rakan sekolah bergelar pelakon

TIGA tahun memperjudikan nasib dalam dunia lakonan, Faralyna Idris, 20, baru sekarang barulah bakatnya mula disedari ramai selepas membintangi drama bersiri Asmara.

Lebih mengejutkan gadis manis ini apabila namanya dicalonkan sama pada peringkat awal dalam kategori Artis Baru Wanita Popular, Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2011. Namun pelakon peramah yang senang membahasakan dirinya sebagai Fara ini sedar, dia perlu bersaing dengan ramai lagi artis wanita baru yang popular. Justeru, dia yang turut memegang watak kecil dalam filem Klip 3GP enggan menaruh harapan untuk memiliki trofi yang menjadi rebutan ramai itu.

Dia cukup maklum, Neelofa, Tasha Shilla, Izara Aishah dan pesaingnya yang lain memang mempunyai pengikut yang ramai. Tetapi, semua itu sedikit pun tidak membuatkan terbit di hatinya rasa cemburu.

Kategori Artis Baru Wanita Popular di ABPBH2011 dianggap sengit kerana walaupun dianggap baru tetapi 20 calon yang tersenarai itu dianggap mempunyai populariti tersendiri sehingga mungkin menyukarkan peminat untuk memilih lima nama ke peringkat seterusnya.

Mereka ialah Anzalna, Arrora Salwa, Bkay Nair, Chomell Fana, Eina Azman, Eyka Farhana, Faralyna Idris, Fina, Iqa, Izara Aishah, Izreen Azminda, Kilafairy, Cristina Suzanne, Lena, Melia Aimellia, Miera Leyana, Najwa Latiff, Nadiya Nisa, Neelofa, Nera, Nur Fathia, Salma, Sara Ali, Sharifah Sakinah dan Tasha Shilla.
"Saya mengenali Tasha sejak zaman sekolah, dan saya juga mengenali Neelofa. Kami semua berkawan. Jadi tidak tersimpan perasaan cemburu apabila melihat mereka lebih berjaya dalam bidang seni. Saya tumpang gembira dengan kejayaan mereka dan akan sentiasa menyokong kerjaya seni rakan saya itu.

"Perjalanan saya dalam dunia lakonan masih jauh lagi. Saya tidak mampu untuk mengejar populariti kerana perkara itu memerlukan satu masa yang panjang untuk dikecapi. Apatah lagi saya menyertai dunia ini untuk mencari rezeki. Lakonan ialah satu kerjaya yang saya pilih sendiri.

"Tetapi seandainya terpilih ke peringkat seterusnya dalam ABPBH, saya bersyukur dan menganggap ia sebagai rezeki. Seperti saya katakan, saya melihat Neelofa lebih ke depan kerana dia lebih dikenali," katanya yang mula menceburi dunia lakonan pada usia 17 tahun menerusi episod Kisah Kaisara arahan Aziz M Osman.
Sejak itu juga dia sering didatangi tawaran lain.

Ibu Diana pendorong kerjaya

SELEPAS membintangi drama bersiri Asmara, Faralyna akui ramai peminat mula menyedari kehadirannya. Anak kedua daripada tiga beradik ini turut menegaskan, sebuah karya yang dapat memberi impak seperti drama bersiri Asmara, amat penting buat pelakon sepertinya.

Dia sendiri tidak menyangka drama bersiri yang turut dibintangi Shah Jaszle dan Faezah Elai itu boleh meletup dalam sekelip mata. Bahkan, rezekinya juga semakin mencurah-curah selepas membintangi drama arahan Heykal Hanafiah.

Bagaimanapun, mungkin kerana drama yang dibintanginya selepas itu tidak disiarkan pada waktu perdana, namanya dilihat seakan sepi. Walhal kata Faralyna, dia tidak menang tangan menerima tawaran demi tawaran. Antara drama dibintanginya ialah Sutera Cinta, Kampus Belia dan Kali Kedua.

Dia juga baru saja selesai menjalani penggambaran drama bersiri Dingin Lavender untuk slot Zehra di Melbourne, Australia. Drama yang turut dibintangi Eira Syazira dan Zarina AF itu mula menemui penonton bulan ini.

"Saya sendiri tidak menyangka Asmara memberikan kesan sebegitu besar kepada semua orang. saya mengaku, pelakon memerlukan satu cerita yang boleh memberikan impak. Ada juga skrip cerita yang bagus, tetapi tidak mendapat perhatian daripada penonton," katanya yang menceburi bidang lakonan atas saranan ibu Diana Danielle, Norsiah Ramli.

Mengimbau kembali pembabitannya dalam dunia lakonan, kata Faralyna, dia harus berterima kasih kepada Norsiah kerana dia yang membuka ruang kepadanya melangkah dalam bidang ini.

"Selepas ibu meninggal dunia, saya tidak mampu membayar yuran pengajian kerana saya bersekolah swasta. Oleh kerana malu tidak mampu membayar yuran, saya ponteng sekolah hampir sebulan.

"Kebetulan Danielle rakan sekolah saya. Ibunya yang menyarankan saya mencuba dunia lakonan. Saya berterus terang padanya, saya tidak betah bergelar pelakon, tetapi dia minta saya cuba juga. Dia turut meminta Along (Aziz M Osman) uji bakat saya. Tak sangka pula dia sukakan bakat saya, lalu melamar saya untuk Kisah Kaisara. Sejak itu, wang lakonan saya gunakan untuk menyara bapa dan adik," katanya.

Full content generated by Get Full RSS.

Ning lepas geram

Posted: 04 Dec 2011 03:09 PM PST

Hip

Ning Baizura

Ning Baizura

Tampilkan persembahan bertenaga dengan rangkaian lagu terbaik nyanyiannya

KALI terakhir dia mengadakan sebuah konsert berskala mega adalah sewaktu menjayakan konsert Teguh di Stadium Negara iaitu kira-kira 15 tahun lalu.

Kini selepas 18 tahun mengharungi liku-liku hidup sebagai seorang anak seni, penyanyi Ning Baizura Hamzah kembali mengulangi situasi yang serupa apabila tampil dengan konsert Ning@KL, yang juga sebuah terjemahan perjalanan kerja seninya yang dirangkumkan menerusi nyanyian dan juga visual bunga sebagai simbolik kepada dirinya. Dan pada Jumaat lalu, penggemar tegar penyanyi bersuara soprano ini sanggup meredah kesesakan jalan raya menuju ke lokasi yang terletak di kawasan segi tiga emas semata-mata kerana mahu menyaksikan Ning beraksi di konsert itu.

Selepas berbulan-bulan promosi mengenai konsert itu diuar-uarkan, akhirnya kerinduan peminat terubat apabila penyanyi itu muncul dengan konsert solo anjuran syarikatnya sendiri HappeNings (M) Sdn Bhd yang dikhabarkan menelan belanja sebanyak RM1 juta.

Perasaan rindu serta keinginan untuk menyaksikan penyanyi popular ini menyanyi di sebuah konsert solo jelas tergambar apabila jeritan dan sorakan penonton mengiringi kemunculan Ning yang cukup anggun mengenakan pakaian labuh rona lavender.

Untuk persembahan pembukaan, Ning memilih lagu Curiga, sebuah lagu yang menjulang namanya sekali gus meletakkan dirinya sebagai antara penyanyi terkenal pada waktu itu. Persembahan itu kemudiannya diteruskan dengan nyanyian sebuah lagi lagu popular Ning berjudul Dugaanku yang melodi dan liriknya diakui cukup meruntun perasaan.
Sebagai penyanyi yang pernah mengadakan persembahan di dalam dan luar negara, ternyata pengalaman itu digunakan sepenuhnya untuk menjadikan konsertnya seronok ditonton. Bukan saja menghiburkan tetapi Ning juga bijak berkomunikasi dengan penonton.

Tidak semata-mata bertanyakan khabar, penyanyi berusia 36 tahun ini pandai bercerita dan sesekali berjenaka sambil disahut dengan hilai tawa mereka mereka yang mendengarnya.

Itulah yang dilakukan Ning sepanjang acara berlangsung. Nyanyiannya akan diselang selikan dengan sesi bersembang dengan penonton membuatkan hampir 600 penggemar yang hadir terasa dekat dengan idola kesayangan mereka itu.

Diiringi oleh empat orang pemuzik yang diketuai oleh Aylwin Santiago sebagai pengarah muzik dan tiga orang penyanyi latar, konsert Ning@KL menuangkan pelbagai rasa kepada penonton. Umum rasanya cukup arif dengan apa yang pernah di lalui penyanyi yang mendapat jolokan Ratu Kontroversi ini. Namun bak kata Ning, segala kontroversi yang dilaluinya itu banyak mematangkan dirinya serta menjadikan dirinya seperti hari ini dan dia tidak pernah menyesal dengan apa yang berlaku.

Selama hampir dua jam persembahan berlangsung, anak kelahiran Kajang, Selangor itu menyajikan pelbagai jenis rentak lagu yang dipetik dari album-albumnya sebelum ini. Malah ada juga lagu yang jarang kedengaran Ning menyanyikannya turut didendangkan pada malam itu. Penjara Kasih, Ke Sayup Bintang, Pasti, In Another Life, Kau Dan Aku, Selagi Ada Cinta dan juga rangkaian lagu rancaknya iaitu Alangkah, Getaran Rinduku, Kata Hati, Drama, Asmara, Percaya, Teguh dan Pada Aksinya berjaya membangkitkan nostalgia penonton lantas bertindak seperti penyanyi latar kepada Ning. Bezanya nyanyian mereka hanya kedengaran dari tempat duduk.

Paling menarik apabila anak kesayangan Satilah Abdullah ini berduet dengan dirinya sendiri menerusi layar lebar sewaktu menyanyikan lagu Beribu Sesalan. Menurut Ning, idea untuk mengetengahkan konsep itu diambil ketika dia menyaksikan konsert Celine Dion di Las Vegas.

"Selama ini orang hanya melihat Ning sebagai seorang selebriti. Menerusi persembahan tadi penonton secara tidak langsung dapat melihat wajah polos Ning yang tidak bersolek. Ning sebagai orang biasa dan bukannya artis," ulasnya ketika ditemui usai persembahan.

Ternyata Ning mempunyai banyak lagu yang sedap dan mampu memikat jiwa pendengar. Sayangnya ia tidak banyak diputarkan di radio. Bagaimanapun, entah mengapa, Ning tidak menyanyikan satu pun lagu dari album Pujaanku walaupun album terbitan LY itu mempunyai banyak lagu yang boleh menjadi halwa telinga.

Dari segi stamina dan vokal, Ning berjaya membuktikan bahawa dirinya masih bertenaga untuk menjayakan konsert berskala mega seperti itu. Meskipun sebelum ini ada suara-suara nakal yang mempertikaikan vokalnya, namun malam itu, Ning berjaya menutup mulut mereka dengan mempamerkan mutu nyanyian yang cukup membanggakan.

Cuma perasaan tidak puas timbul sewaktu Ning menyanyikan lagu Curiga. Adalah lebih baik jika dia melepaskan saja suaranya selantang yang boleh tanpa perlu mengawalnya.

Apabila memperkatakan mengenai Ning, tidak dapat dinafikan selain vokal soprano, imej yang ditampilkannya juga adalah sebahagian daripada tarikan yang ada padanya. Sepanjang konsert itu, penyanyi ini mengenakan lima persalinan yang berteraskan lima jenis bunga yang menjadi elemen dalam konsertnya. Lima jenis bunga itu adalah bunga teratai, bunga matahari, bunga jasmine, bunga ros dan orkid. Bukan saja cantik dari segi rekaan.

Antara rakan artis yang turut memberikan sokongan moral kepada Ning ialah Anuar Zain, Adibah Noor, Ida Nerina, Zahida Rafik, Zizan Nin dan Dina Nadzir.

Bagi mereka yang terlepas untuk menyaksikan konsert itu, DVD konsert itu akan dijual secepat mungkin serta sebuah konsert jelajah negara juga akan dilakukan Ning pada tahun depan dengan menjadikan negeri Melaka Bandaraya Bersejarah sebagai lokasi pertamanya.

Full content generated by Get Full RSS.