Adsense

Isnin, 5 Disember 2011

Harian Metro: Rap

Harian Metro: Rap


Kecewa pilih kasih penaja

Posted: 04 Dec 2011 08:31 AM PST

MEREALISASIKAN mini konsertnya, Ning@KL Live yang berlangsung di KL Live, Jalan Sultan Ismail, Kuala Lumpur Jumaat lalu, bukan kecil pengorbanan dilakukan pelantun vokal soprano ini.

Rasa malu diketepikan dan status diva juga tidak lagi dipedulikan apabila dengan jujur, Ning Baizura Sheikh Hamzah, 36, mengakui, aset seperti dua biji kereta yang dibeli hasil titik peluh menyanyi dijual semata-mata mahu menjadikan impian mengadakan konsert suatu kenyataan.

Soalnya, perlukah nama besar seperti Ning melakukan pengorbanan sebegitu rupa?
Apa bakat serta pencapaiannya selama ini tidak cukup membuktikan bahawa dia berhak mendapat perhatian pihak penaja?

Hakikatnya ekoran ketiadaan penajaan yang mendesak wanita dikenali dengan lagu Pasti itu berbuat demikian. Biar berbaur nada kesal, Ning akur pada cabaran dan perubahan polar industri muzik tempatan yang semakin mencabar buat pejuang-pejuangnya.

Paling mustahak bagi Ning adalah mengotakan janji kepada peminat setia yang sudah lama menantikan kemunculannya bersama sebuah konsert.

"Inilah pengorbanan yang saya lakukan. Sedikit pun tiada rasa terkilan kerana ia adalah sebagai pelaburan untuk kejayaan konsert ini juga, terutama buat syarikat saya, HappeNings (M) Sdn Bhd sebagai penganjur rasmi.

"Kalau ada pun terbit rasa kecewa hanyalah isu penganjur yang tidak pandang artis tempatan. Namun, menjual kereta demi menggerakkan konsert ini saya sedikitpun tidak terkilan. Bahkan amat bersyukur melihat sambutan hangat yang diberikan peminat pada malam ini.

"Berbulan persiapan dilakukan, sepenuh jiwa dan raga saya serahkan untuk konsert ini. Saya yakin setiap pengorbanan itu pasti ada perkara baik menantinya.

"Paling penting, konsert ini bukan saja mengotakan janji saya kepada peminat, tetapi diharap dapat membuka mata pihak penaja memandangkan saya punya perancangan mengadakan konsert berskala besar.

"Siapa tahu malam ini berjaya membuktikan sesuatu dan menarik minat penaja untuk menaja konsert seterusnya," katanya.

Nyata, isu penajaan sedikitpun tidak mematahkan semangat Ning dan keikhlasannya mewujudkan konsert itu dapat dilihat daripada hasil persembahannya.

Dalam bajet yang terhad, Ning masih berupaya menawarkan persembahan yang berkualiti. Muncul tepat jam 9.30 malam, sesudah usai penayangan 'slide show' yang mengembalikan ingatan peminat kepada penampilan Ning seawal bergelar artis, wanita yang pernah mencetuskan fenomena dalam arena muzik sekitar 1993 itu melagukan Curiga sebagai lagu pembukaan.

Tampak menawan dengan gaun meleret bersayap rona ungu dan emas di bahagian sisi tubuh, Ning membawa penonton menghayati lagu seterusnya, Dugaanku.

"Bangga dan terharu dapat melihat setiap daripada anda malam ini. Sedar tak sedar, sudah 18 tahun saya berkhidmat untuk negara dan sokongan peminat selama inilah yang membuatkan saya terus bertahan sehingga sekarang," katanya.

Menariknya mengenai konsert perjalanan hidup insan bernama Ning Baizura itu, mengenengahkan konsep bunga yang menjadi simbolik dalam kerjaya Ning hampir dua dekad itu.

Lima jenis bunga yang menjadi pilihannya adalah teratai, matahari, melor, mawar dan anggerik. Kata Ning, bunga teratai ibarat kelahiran buat dirinya dan ia juga melambangkan kesetiaan, kejayaan dan kesucian perjuangannya dalam bidang seni yang bermula sejak berusia 15 tahun lagi.

Ning yang pernah menang tempat ketiga Voice of Asia (Kazakhstan), mula dikenali apabila muncul dengan album Dekat Padamu, sekaligus mengangkat namanya sebagai Artis Baru Wanita Popular menerusi Anugerah Bintang Popular Berita Harian, Artis Wanita Baru Terbaik dan Album Terbaik. Kedua-duanya diraih dalam Anugerah Industri Muzik.

"Pada 1993, lagu pertama yang saya tulis adalah Pasti dan lagu itu memberi perubahan dan impak cukup besar dalam sejarah karier nyanyian saya," katanya sebelum menyanyikan lagu itu.

Persembahan Ning terus meggetarkan seluruh adrenalin apabila vokal luar biasanya berpadu dengan gesekan biola menerusi hit Di Penjara Kasih diikuti lagu Inggeris, In Another Life. Lagu ini pernah berada di carta radio Inggeris Singapura selama 11 minggu dan lagu yang pernah ditolak Mariah Carey ini juga pernah dirakamkan pelakon Hollywood, Jennifer Love Hewitt.

"Dalam hidup saya, sentiasa mengagumi bakat yang dimiliki anak muda sekarang yang bukan hanya berkemampuan menyanyi, tetapi juga bermain alat muzik.
Justeru, malam ini saya menampilkan pelajar dari ICOM (International College of Music)," katanya menyampaikan lagu Kau dan Aku.

Menggayakan lima persalinan rekaan Michael Ong dan Jovian Mandagie malam itu, Ning terus menghiburkan lebih 1,000 penonton dengan lagu Cahaya, You And I dan Bersama Berdua.

Tidak keseorangan malam itu, Ning mengundang Russell Curtis dan Altimet untuk berduet dengannya menerusi lagu Antara Kita (Russell) dan Papa Mama (rap oleh Altimet).

"Malam ini saya perkenalkan seorang yang sangat istimewa di mana bakatnya dikesan sewaktu saya menghadiri majlis perkahwinan seorang teman. Kagum dengan keunikan vokal Russell, membuatkan saya terfikir untuk mengajak dia berduet lagu Antara Kita," katanya.

Beredar seketika dari pentas, Russell mengisi kekosongan persembahan lalu mencapai gitarnya menyampaikan lagu Sweet Child Of Mine.

Konsert berdurasi dua jam itu menyaksikan persembahan Ning diiringi secara 'live' oleh pemuzik dipimpin oleh Alvin Santiago. Antara rangkaian lagu popular lain yang dibawanya adalah Alangkah, Kata Hati, Asmara, Percaya, Selagi Ada Cinta, Ke Sayup Bintang, Wishing All The Star dan Awan Yang Terpilu.

Pementasan konsert itu bagaikan tidak lengkap tanpa alunan lagu popularnya kini, Beribu Sesalan, sebuah bingkisan sempurna kolaborasi antaranya bersama Jaclyn Victor dan Shila Amzah melalui 3 Suara.

Bagaimanapun kali ini, Ning tampil sendirian tanpa Jaclyn dan Shila, tetapi itu tidak sedikit pun janggal begitu juga saat dia menyanyikan lagu Drama yang pernah dirakamkan bersama Nikki Palikat dan Allahyarhamah, Yanie (Mentor).

Rumusan Keseluruhan persembahan Ning@KL Live, ia adalah sebuah konsert yang menghiburkan. Koleksi puluhan lagu hit Ning memberi kuasa magis apabila suara penonton turut mengiringi nada nyanyiannya.

Malah, jika ada yang beranggapan Ning cuba mengikis identitinya sebagai penyanyi soprano kerana tidak lagi mampu mengaplikasikan teknik itu dalam nyanyiannya, anda salah! Kemantapan vokal ini masih berbisa selain mempamerkan banyak kematangan.

Full content generated by Get Full RSS.

‘Lawak Sobri melampau’

Posted: 04 Dec 2011 08:07 AM PST

SELEPAS seminggu isu dibangkitkan sepi, akhirnya Zaiton Sameon tampil bersuara dan meluahkan rasa tidak puas hatinya terhadap Sobri anggota kumpulan Bawal Power yang memperlekehkan dirinya sewaktu tampil mengadakan persembahan selingan di majlis Anugerah Industri Muzik ke-18 (AIM18), pada 12 Disember lalu.

Mengimbas apa yang berlaku di malam majlis itu, Sobri yang bertanding dalam rancangan Maharaja Lawak Mega bersama Bob Kuman, tampil di pentas sebagai Zaiton.

Apa yang dipersembahkan Sobri pada malam itu dianggap sangat keterlaluan kerana menggambarkan Zaiton dalam keadaan tidak waras. Selingan itu tidak disiarkan secara langsung, tetapi hanya di kalangan penonton di Stadium Putra, Bukit Jalil, tempat berlangsungnya AIM18.

Bagaimanapun, ia mendapat perhatian kerana tindakan Sobri itu disifatkan keterlaluan dan menjatuhkan maruah Zaiton. Ia dipaparkan dalam akhbar mingguan dan dibalas mereka dalam program Maharaja Lawak Mega hingga ditegur seorang juri, Datuk Redzuawan Ismail atau Chef Wan kerana menggunakan program pertandingan itu untuk membalas dendam kepada pihak lain.


Zaiton yang ditemui dalam pertemuan khas baru-baru ini, menganggap tindakan Sobri itu menjatuhkan maruahnya dan dibimbangi memberikan kesan kepada kerjaya seninya.


Penyanyi lagu Menaruh Harapan dan Serangkai Mawar itu menjelaskan rasa kecewanya dengan apa yang dibuat pelawak itu dan menyifatkan sebagai sesuatu yang sangat memalukan dan boleh menjatuhkan maruah dan kerjaya seninya.

"Dia berlawak tak pakai otak ke? Sampai hati dia buat saya macam ini.
Masalahnya, mengapa dia memilih Zaiton Sameon dan menjadikan keadaan diri dan kesihatan saya sebagai bahan," katanya.

Jelas Zaiton, dia menerima banyak maklum balas negatif termasuk yang disiarkan peminat dalam laman sosial. Tidak kurang ada yang meluahkan rasa tidak puas hati dengan tindakan Sobri itu.

"Apa yang dilakukan mereka itu sudah tentu memberikan implikasi buruk. Ia menjatuhkan reputasi saya sebagai penyanyi. Apabila dia berbuat demikian sudah tentu orang akan ingat, memang saya masih kurang sihat dan tidak mampu menyanyi.

"Akibatnya, selepas ini orang takut hendak memanggil saya menyanyi. Sedangkan saya masih mampu dan selalu saja dijemput untuk mengadakan persembahan. Saya tidak ada masalah untuk menghiburkan orang ramai," katanya.

Apabila keadaan kesihatannya dijadikan bahan lawak, kata Zaiton apa yang dibimbangi adalah tanggapan dan rasa kurang yakin orang ramai terutama promoter terhadap kemampuannya untuk menyanyi.

"Jangan ingat sekarang ini saya hanya duduk rumah goyang kaki. Saya masih perlu bekerja untuk mencari sesuap nasi. Malah, saya masih aktif dan banyak mendapat undangan mengadakan persembahan. Saya sihat dan masih mampu menyanyi dengan baik.

"Apa yang dilakukan Sobri itu saya sifatkan sangat melampau. Umpama memandang rendah kepada orang seperti saya. Saya tidak sebodoh itu. Pesan saya, jangan sesekali cuba menabur pasir dalam periuk nasi saya," katanya.

Apabila ditanya adakah dia bercadang untuk mengambil tindakan undang-undang, jelas Zaiton, pada peringkat awalnya dia punya niat untuk berbuat demikian.

"Bagaimanapun, selepas difikirkan saya melupakan niat asal itu kerana saya fikirkan kita sesama artis mahu cari makan. Bagaimanapun, saya mahu memberikan peringatan kepada mana-mana pihak jangan diulangi apa yang telah dilakukan Sobri dengan melakukan lawak bodoh dan merendah-rendahkan kerjaya seni saya," katanya.

Menceritakan mengenai kerjaya seninya, jelas Zaiton dia baru saja selesai menjalani rakaman lagu terbaru yang didendangkan bersama Adam Ahmad. Waktu sama, dia turut menyanyikan satu lagu baru.

"Lagu baru ini akan diterbitkan dalam album khas yang turut menghimpunkan lagu popular saya sebelum ini antaranya Menaruh Harapan dan Serabut Serangkai Mawar.
Saya mengharapkan ia mampu menghilangkan rindu peminat kepadanya. Dan album yang dihasilkan akan mendapat sambutan sebagai tanda sokongan untuk dia terus aktif sebagai penyanyi," katanya.

Beralih kepada soal filem Zaiton yang mengangkat kisah hidupnya, kata Zaiton dia diberitahu produksi bahawa kerja-kerja penggambaran sudah pun selesai dijalankan dan kini mereka sedang dalam proses suntingan.

"Saya berasa bangga kerana ada pihak mengambil inisiatif untuk mengangkat kisah hidup saya dalam filem. Ia secara tidak langsung saya anggap sebagai satu penghargaan dan semoga apabila ditayangkan kelak ia akan mendapat sambutan dari peminat setia," katanya.

Full content generated by Get Full RSS.