Adsense

Khamis, 20 September 2012

Harian Metro: Rap

Harian Metro: Rap


TOP 5 suatu kemenangan

Posted: 19 Sep 2012 05:39 AM PDT

PASTI ramai tertanya-tanya, relevan memaparkan tiga personaliti ini di muka depan Rentak Artis Popular (RAP). Mungkin mereka tidak begitu popular di kalangan peminat hiburan Melayu, namun nama ketiga-tiganya sangat terkenal di kalangan penonton televisyen Cina tempatan.

Buktinya, Baki Zainal, Soo Wincci dan Debbie Goh, adalah calon Top 5 untuk acara Golden Awards 2012, sebuah anugerah berprestij dan diiktiraf di dalam industri televisyen Cina Malaysia yang bakal berlangsung pada 22 September (Sabtu) nanti di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).

Baki Zainal, pemuda Melayu kelahiran Johor Bahru berkelulusan Ijazah Sarjana Muda dalam jurusan Komunikasi Massa, Universiti Teknologi Mara (UiTM), misalnya, dicalonkan menerusi dua kategori iaitu Pengacara Program Majalah Terbaik dan Pengacara TV Paling Popular.

Manakala, Miss World Malaysia 2008, Soo Wincci, yang semakin mencipta nama di kalangan penggemar hiburan Melayu, dicalonkan untuk kategori, Artis Baru Terbaik serta Pelakon Baru Popular.


Jika anugerah itu yang pertama buat Baki dan Wincci, berbeza pula dengan Debbie Goh, kerana pernah diumumkan sebagai penerima anugerah Aktres Paling Popular pada penganjuran pertama Golden Awards yang berlangsung 25 September 2010.


Di antara mereka bertiga, Debbie nampaknya lebih bertuah, meskipun ketiga-tiga mereka bergiat aktif sekitar tahun yang sama iaitu 2008.

Kekal dicalonkan menerusi kategori yang sama seperti dua tahun lalu iaitu Aktres Terbaik dan Aktres Paling Popular menerusi acara penganugerahan yang diadakan dua kali setahun itu, Debbie juga berasal dari Johor, mempersiapkan diri untuk menerima keputusan pada malam itu.

"Dua tahun lalu saya diangkat sebagai Aktres Paling Popular dan keputusan itu bukan pilihan juri sebaliknya peminat. Jadi susah untuk ramalkan apakah saya masih berpeluang untuk mengekalkan gelaran itu, kerana selera peminat terhadap seseorang artis kadang berubah-ubah.

"Sejujurnya, mestilah saya mahu menang dan tanyalah pada sesiapapun artis mereka pasti tidak mahu pulang dengan tangan kosong kerana kemenangan itu kayu ukur kecemerlangan seseorang sekali gus imbuhan kepada hasil usahanya.

"Apapun saya bangga kerana selain dicalonkan menerusi kategori Aktres Paling Popular, saya sekali lagi dipilih sebagai calon Top 5 Aktres Terbaik menerusi drama Glowing Embers. Tahun lalu, kategori ini dimenangi oleh Yeo Yann Yann dan dia memang seorang pelakon yang hebat.

"Bagaimanapun, merujuk lakonan saya menerusi Age Of Glory yang melayakkan saya dicalonkan menerusi kategori ini dua tahun lalu dengan pencalonan kedua melalui drama Glowing Embers, ia memang sangat berbeza.

"Menerusi Glowing Embers saya membawakan watak gadis miskin yang baik hati, mengharungi hidup sangat daif dan berkahwin. Kemudian menjadi wanita yang sangat jahat, sanggup mencurangi suaminya demi kesenangan hidup serta masa depan dua anaknya.

"Saya sukakan graf lakonan saya menerusi drama ini kerana ia berbeza dengan drama-drama atau telefilem yang pernah saya bintangi sebelum ini. Saya harap, juri dapat melihat lakonan saya dan segala kesungguhan yang saya letakkan untuk menghayati watak itu," katanya yang berlakon hanya sebuah drama setahun demi menjaga kualiti.

Beralih soalan kepada Soo Wincci, wanita jelita itu enggan meletakkan sebarang harapan untuk menang kerana ini adalah tahun pertama dia terbabit dalam acara yang membabitkan penjurian penggiat seni dari Hong Kong, China dan Taiwan.

"Seumur hidupnya dia tidak pernah terlintas langsung untuk menjadi pelakon bagaimanapun selepas beberapa kali mencubanya, dia bagaikan ketagih.

"Injustice juga adalah antara drama terawal saya, jadi dari segi lakonan saya akui masih banyak kekurangan kerana itu saya tidak menyangka layak membolosi calon Top 5.

"Berjaya ke peringkat ini saja sudah cukup membuatkan saya bersyukur. Saya tidak mahu fikir soal kemenangan kerana saya berharap hanya membuatkan seseorang kecewa.

"Yang pasti, saya melihat hal ini sebagai permulaan yang memberi inspirasi untuk lebih berjaya dalam bidang lakonan serta bidang seni yang lain. Di mana sedikit masa lalu saya pernah berasa putus asa dan serik untuk meneruskan perjuangan dalam bidang seni.

"Pencalonan menerusi Golden Awards, melengkapkan lagi profil seni saya daripada seorang penyanyi, menceburi seni masakan melalui pembabitan dalam rancangan MasterChef Selebriti serta seni lakon," katanya.

Satu-satunya calon berbangsa Melayu yang layak menyertai pertandingan itu, Baki Zainal, berkata, ia satu pengumuman yang mengejutkan juga pengalaman paling menakjubkan.

"Terus terang saya tidak pernah membayangkan akan tercalon sebagai Pengacara Program Majalah Terbaik dan Pengacara TV Paling Popular di dalam Golden Awards.

"Biar lima atau 10 tahun akan datang sekalipun, mungkin saya masih merasakan diri belum layak menyertainya apatah lagi memikirkan kehadiran saya dalam sebuah majlis penganugerahan yang majoritinya adalah Cina, bagaikan dominan.

"Bagaimanapun saya bersyukur, program Step Forward yang saya kendalikan diterima penonton selepas hampir empat tahun saya mengacarakannya dan kini masuk musim kelapan. Program itu banyak memperkenalkan saya selain memberi kenangan indah.

"Lucunya, sepanjang saya mengacarakan program berbahasa Mandarin itu, baik penonton Melayu mahupun Cina yang pernah mendengar saya bertutur dalam bahasa Melayu, menyangkakan saya budak Cina yang fasih berbahasa Melayu," katanya.

Ketika zaman kanak-kanaknya, Baki pernah mempersoalkan (dalam hati) tindakan bapanya menghantarnya ke sekolah Cina bukan sekolah kebangsaan seperti budak Melayu lain. Hendak mengajukan soalan itu kepada ayahnya, tidak sempat kerana bapanya sudah meninggal dunia.

"Bertanya pada emak pula, dia kata kalau belajar tak pandai nanti boleh kerja angkat gas dekat kedai Cina. Namun, segala pertanyaan itu kini sudah terjawab apabila saya bertemu Iman Besar di Masjid Xian, China, bagi menjayakan salah satu episod Step Forward.

"Dia membisikkan sesuatu ke telinga saya dan mula saya sedar kelebihan saya miliki ini adalah sesuatu yang berguna dan boleh dikongsi dengan masyarakat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/09/19


Alunan Bollywood Sukhwinder

Posted: 19 Sep 2012 05:28 AM PDT

BARANGKALI ramai tidak dapat mengagak siapa gerangan yang menyanyikan lagu-lagu hebat di Bollywood kerana acap kali si pelantun itu disembunyikan di sebalik wajah pelakon terkenal yang beraksi di depan layar lebar.

Itulah adat persembahan seni di Bollywood namun hakikatnya, mereka yang menyanyi makin luas popularitinya sebaik nama dan wajah mereka dikenali.

Antaranya yang begitu popular sebaris dengan ramai bintang Bollywood lain termasuk penyanyi Sukhwinder Singh yang lebih awal mencetus fenomena apabila lagu Chaiyya Chaiyya yang dinyanyikannya menjadi kegilaan ramai ketika itu.

Bukan sekadar lagu itu sendiri hebat dan tersendiri, malah kelebihan lainnya apabila Sukhwinder menyanyikan lagu dalam filem Dil Se itu untuk watak pelakon utamanya, aktor tersohor dunia Bollywood, Shah Rukh Khan.


Terbaru, penyanyi terkenal berusia 41 tahun ini menempa kemasyhuran antarabangsa dengan menyanyikan lagu Jai Ho daripada filem Slumdog Millionaire yang memenangi Academy Awards untuk kategori Lagu Asal Terbaik serta Grammy Awards bagi kategori Lagu Terbaik untuk filem, televisyen dan media visual lain.


Rezeki dan tuahnya berpanjangan dan kerana itu juga nama dan jenama penyanyi ini jauh tinggi ke atas.

Kini, bagai bulan jatuh ke riba, peminat di Malaysia yang begitu sinonim dengan naskhah Bollywood akan turut berpeluang untuk mendengar sendiri alunan vokal emas Sukhwinder apabila sebuah konsert hebat akan diadakan khas untuk mereka yang mengimpikan hiburan istimewa dan eksklusif bersamanya.

Konsert 'Jai Ho Sukhwinder Singh Live In Kuala Lumpur' yang dianjurkan oleh Netzah Productions Sdn Bhd akan diadakan pada 21 Oktober depan di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur.

Lelaki yang dikenali sebagai penyanyi '1000 Watt Voice' ini juga penyanyi paling terkenal Bollywood di persada antarabangsa hanya bersandar pada profil kejayaannya dan menjadi 'suara' selebriti superstar, Shah Rukh Khan untuk lagu-lagu blockbuster seperti Haule Haule (Rab Ne Bana Di Jodi), Dare-E-Disco (Om Shanti Om), Marjani Marjani (Billu Barber) dan Hockey Anthem Chake De (Chakde).

Sukhwinder juga berjaya menyentuh jiwa khalayak menerusi rangkaian lagu klasik seperti Laae Vi Na Gayee (Chalte Chalte), Aaj Mera Jee Karda (Monsoon Wedding) dan Zindagi Me Kabhi Koie Na Ayye Rabba (Musafir).

Selain dikenali dengan vokalnya yang memukau dan pesona antarabangsa, Sukhwinder adalah penyanyi Bollywood yang paling dicari dan konsert beliau adalah momen yang jarang berlaku kerana sekali sekala diadakan.

Konsert ini bakal mencipta pengalaman multimedia magik dengan skrin LED berukuran 14 meter yang menghasilkan kesan 3D surrealis, lampu yang menakjubkan dan rombongan penari Bollywood.

Konsert di Kuala Lumpur adalah salah satu daripada hanya dua pertunjukan yang akan diadakan di Asia. Jelas sekali, ia akan menjadi pengalaman seumur hidup dan para peminat Sukhwinder tidak harus melepaskannya.

Menyentuh profil dan perjalanan seni bintang terkenal ini, Sukhwinder terkenal dengan lagu Chaiyya Chaiyya di mana beliau memenangi anugerah Best Male Playback di Anugerah Filmfare (1999). Lagu yang dimasukkan dalam filem arahan Mani Ratnam yang bertajuk Dil Se itu digubah oleh A.R Rahman, ditulis oleh Gulzar dan dinyanyikan secara duet bersama Sapna Awasthi.

Ia juga dipaparkan dalam muzikal Bombay Dreams dan dalam susunan remixed dimasukkan ke dalam segmen kredit filem Spike Lee, Inside Man.

Penyanyi ini berasal dari Amritsar, Punjab. Persembahan pentas perdananya adalah pada usia lapan tahun dan mula mendapat perhatian ketika terbabit dengan filem Karma di mana dia menyanyikan beberapa baris bait dalam lagu.

Sukhwinder juga terbabit dengan filem aktres Madhuri Dixit berjudul Khilaaf, di mana beliau menyanyikan lagu hits berjudul Aa ja Sanam.

Bagi peminat yang tidak mahu melepaskan peluang mendengar kemerduan vokalnya dengan sebuah siri persembahan yang pastinya istimewa dan bersejarah, tiket Jai Ho Sukhwinder Singh Live In Concert boleh dibeli di www.myticket.asia pada harga RM999, RM499, RM399, RM299, RM199 dan RM129.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/09/19