Adsense

Khamis, 20 September 2012

Gosip Artis Malaysia

Gosip Artis Malaysia


Shila Amzah menang Asian Wave 2012 di Shanghai, China

Posted: 20 Sep 2012 07:15 PM PDT


Tahniah Shila Amzah kerana berjaya mengharumkan nama Malaysia dengan memenangi Pertandingan Azian Wave yang diadakan di Shanghai China. Pertandingan ini disertai oleh ramai penyanyi daripada seluruh Asia.
Tahniah Shila!!!
- ---

Fikiran Fouziah Gous Masih Celaru

Posted: 20 Sep 2012 06:55 PM PDT

Fouziah Gous
PETALING JAYA: Aktres Fouziah Gous mengakui kesedihan terhadap kematian bapanya Mohd Gous Agulam Dastagir pada 11 Ogos lalu menyebabkan dia hilang fokus pada kerjaya pada waktu ini.
Fouziah, 30, berkata, fikirannya masih terganggu dan sukar memberi tumpuan sepenuhnya pada komitmen lakonan walaupun selepas 20 hari berehat.
"Saya baru sahaja kembali bekerja selepas lebih dua minggu berehat di rumah kerana kematian bapa. Alhamdulillah, emosi saya makin stabil sekarang tetapi perasaan sedih itu tentulah masih ada.
"Walaupun saya sudah mula berlakon, tumpuan terhadap kerja itu tidak sepenuhnya. Fikiran saya masih bercelaru dan tidak boleh fokus berbanding komitmen yang biasa saya berikan sebelum ini," katanya.
Fouziah berkata demikian ketika ditemui selepas pelancaran drama Dendam Sarakit di Sri Pentas Bandar Utama, di sini, Khamis.
Dalam drama bersiri arahan Fairuz Loy ini, Fouziah bergandingan dengan Zain Hamid, Noniswara, Adam Shah dan Saiful Nizen.
Ia akan ditayangkan bermula 27 September ini pada setiap Khamis, pukul 10 malam menerusi slot Seram di TV3.
Fouziah berkata, dia terpaksa mengatasi kedukaannya dan berusaha mengembalikan rentak dan tumpuan kerana sudah terikat dengan pelbagai komitmen yang tertangguh sebelum ini susulan kematian tersebut.
"Saya terpaksa lunaskan tanggungjawab pada beberapa projek lakonan kerana ia sudah tertangguh sebelum ini apabila bapa saya meninggal dunia.
"Mahu tidak mahu, saya perlu fokus dan mencari kekuatan agar dapat bekerja seperti sedia kala," katanya yang baru pulang dari Maghribi untuk penggambaran telefilem Siapa Di Hatimu, minggu lalu.
Mengenai watak sebagai Sarakit dalam Dendam Sarakit, Fouziah berkata, cabaran terbesar untuk menjiwai karakter itu adalah kesukaran mengungkapkan dialog yang menggunakan ayat bahasa Malaysia baku.
"Sukar sebenarnya untuk mengungkapkan dialog drama ini kerana saya perlu bertutur dengan bahasa Malaysia yang lengkap seperti ayat rasmi dan baku, bukan bentuk perbualan harian.
"Lagipun pembabitan dalam drama ini yang menjalani lebih 90 peratus penggambaran di Bentong, Thailand selama 32 hari merupakan pengalaman pertama saya berjauhan daripada keluarga untuk tempoh yang panjang.
"Akibat tidak tahan menanggung rindu pada ibu, saya curi-curi peluang juga balik ke Kuala Lumpur apabila penggambaran tidak melibatkan adegan melibatkan saya," katanya.
Bapa Fouziah meninggal dunia pada 11 Ogos lalu akibat sakit tua pada usia 75 tahun.
- ---

Tangan Syafie Naswip Lebam Perbuatan Pelakon Muda

Posted: 19 Sep 2012 10:35 PM PDT

Syafie Naswip
PETALING JAYA: Pelakon Syafie Naswip terkilan dengan sikap seorang aktor remaja yang enggan memohon maaf selepas menyebabkan kecederaan kepadanya ketika penggambaran telefilem Neraka Abah beberapa hari lalu.
Syafie atau nama sebenarnya Mohammad Syafie Naswip, 20, berkata, kecederaan pada lengan kirinya itu terjadi akibat terterhentak pada akar pokok selepas ditendang dengan kuat oleh pelakon berkenaan ketika penggambaran berlangsung.
"Lengan kiri saya menjadi bengkak dan lebam teruk kerana terhentak pada akar pokok selepas ditendang pelakon itu ketika adegan pergaduhan bagi penggambaran.
"Saya pelik mengapa dia menendang saya seperti pergaduhan sebenar sehingga mendatangkan kecederaan kepada saya. Walhal dia sudah berlakon sejak zaman kanak-kanak lagi. Takkanlah dia tidak tahu teknik lakonan?
"Apa yang saya kesalkan dia langsung tidak meminta maaf dengan tindakannya itu sehinggalah hari ini (Rabu) sedangkan dia tahu saya benar-benar mengalami kecederaan," katanya ketika dihubungi  di sini, Rabu.
Syafie bagaimanapun mengambil pendekatan untuk tidak memaklumkan siapakah pelakon tersebut.
Telefilem arahan Heykal Hanifah itu turut dibintangi Amyza Aznan, Azhan Rani, Zarina Zainoordin (AF2) dan adik Raikal. Ia bakal ditayangkan pada 17 Oktober depan di TV9.
Beginilah keadaan lengan kiri Syafie yang lebam selepas terhentak pada akar pokok akibat ditendang seorang aktor muda ketika penggambaran telefilem Neraka Abah.
Aktor yang popular menerusi filem Mukhsin ini berkata, insiden tersebut meninggalkan tanda tanya kepadanya mengenai alasan di sebalik tindakan pelakon remaja yang disifatkannya sebagai tidak profesional itu.
"Saya masih tertanya-tanya sama ada dia sengaja atau tidak apabila menendang saya dalam penggambaran itu? Saya tidak tahu apa yang cuba dibuktikan dan niat di sebalik tindakannya tersebut?
"Malah, lebih mengecewakan apabila dia tergelak dan menganggap kejadian itu bukan sesuatu yang serius selepas melihat saya mengerang kesakitan akibat perbuatannya itu," kongsinya.
Ditanya adakah berlaku perselisihan faham antara mereka sebelum itu, Syafie berkata, mereka tidak rapat dan hanya bertegur sapa ketika di lokasi sahaja.
"Kalau diikutkan ini adalah kali ketiga kami berlakon bersama tapi hubungan kami memang tidak rapat pun. Bila berjumpa di lokasi, kami hanya bersalam, berbual ringkas dan membuat hal masing-masing.
"Jadi, saya sendiri hairan mengapa dia bertindak demikian. Kalau kita bertindak atau berlakon yang agak kasar kepada orang lain pun kita akan segera minta maaf, apatah lagi selepas mengakibatkan kecederaan," luahnya.
Mengenai kecederaan itu, Syafie berkata, bengkak pada lengannya kini beransur susut dan dia perlu berehat di rumah selama empat hari selepas menamatkan penggambaran pada Selasa lalu.
Syafie yang akan memulakan penggambaran telefilem Takbir Yang Terlerai terbitan Filmscape selepas ini turut memberitahu dia mahu lebih berhati-hati jika menerima tawaran berlakon di samping aktor itu pada masa akan datang.
- ---