Adsense

Khamis, 20 September 2012

Berita Harian: Hip

Berita Harian: Hip


Yuna, Qi sah putus

Posted: 19 Sep 2012 02:04 PM PDT

Teka-teki hubungan cinta Yunalis Zarai atau Yuna dengan Qi Razali terjawab apabila penyanyi terkenal itu mengaku dirinya kini solo.

Yuna mendedahkan keputusan membawa haluan masing-masing dibuat atas dasar bersama, namun dia dan Qi masih berkawan baik.

Menafikan campur tangan pihak ketiga menjadi faktor kasih berakhir, Yuna menjelaskan, mereka mahu fokus kepada kerjaya seni, selain faktor jarak dan masa.
"Yes, single but not available. Kalau ada jodoh tidak ke mana dan perhubungan bukan satu pilihan.

Kami mengambil keputusan bersama untuk menumpukan perhatian kepada kerjaya, tetapi masih mengambil berat sebagai kawan baik.

"Tiada komitmen dan bebas untuk melakukan apa saja. Dia bebas untuk melakukan apa saja termasuk menjalin hubungan dengan wanita lain," katanya pada sidang akhbar mengumumkan Konsert Yuna Homecoming di Kuala Lumpur, semalam.

Merasakan faktor jarak dan masa menyulitkan hubungan mereka, Yuna mahu menumpukan kepada kerjaya seninya yang makin meningkat, selain tanggungjawab kepada keluarga.
Khamis lalu, HIP melaporkan kerisauan peminat terhadap status hubungan pasangan ini.

Namun, Qi dilaporkan menyangkal dakwaan kononnya hubungannya dengan Yuna ibarat retak menanti belah.

Jumpa atas dasar kawan

Biarpun tiada hubungan istimewa, Yuna masih bertemu Qi. Dia menganggap hubungan baik dengan Qi tidak harus berakhir walaupun tanpa ikatan cinta.

"Saya nak peminat doakan yang terbaik untuk kami. Kami tidak boleh menggembirakan orang dengan perkahwinan, kalau bukan itu yang kami mahukan. Kami hormati keputusan masing-masing, tetapi masih berjumpa. Tiga hari lalu kami keluar bersama dengan keluarga saya.

"Saya tahu dia bekerja keras untuk membina kerjayanya. Qi juga tahu saya sedang berusaha keras dalam bidang ini. Saya sentiasa sibuk, jadi kita rest dulu daripada perhubungan ini dan fokus kepada kerjaya masing-masing," katanya.

Menganggap tekanan dan bebanan tugas dalam mempromosikan album dan siri jelajah di 20 tempat di Amerika syarikat (AS) cukup meletihkan, Yuna tidak mahu menambah kekusutan dengan hubungan cinta.

Konsert istimewa untuk peminat

Mengulas mengenai konsertnya, Yuna berkata, ia cukup istimewa kerana dibuat atas idea sendiri.

"Kebetulan November ini saya pulang ke Malaysia untuk memperbaharui visa persembahan.Jadi, dalam tempoh sebulan bercuti itu lebih baik diisi dengan konsert yang sudah lama dirancang. Ia juga akan diadakan di lokasi lain, tetapi bergantung kepada faktor masa," katanya.

Dia dijangka menyampaikan 20 lagu termasuk daripada album Yuna terbitan AS.

Menyorot kejayaan dalam tempoh 10 bulan lalu,Yuna berbangga apabila sebuah lagu daripada album itu dijadikan muzik latar program realiti berjudul Hollywood Exes.

Sambung siri jelajah AS, Kanada

Yuna berkata,dia akan kembali ke AS,Ahad ini bagi memulakan siri jelajah musim luruh bersama artis Michael Kiwanuka di enam lokasi, mulai Selasa ini, disusuli Vancouver, Kanada pada 5 Oktober.

Mengenai pencalonannya dalam kategori Artis Asia Terbaik, Anugerah Muzik Eropah MTV 2012, Yuna yang maklum mengenainya dua hari lalu terkejut dengan pencalonan itu.

"Peluang menang adalah tipis kerana bersaing dengan Super Junior. Namun, saya bangga dan rasa kelakar pun ada sebab saya masih baru," katanya.