Kosmo Online - Hiburan |
Posted: Sedang mengenali seseorangSUDAH menjadi lumrah buat mana-mana wanita yang bergelar seorang janda pastinya tidak pernah terlepas daripada perhatian ramai, apatah lagi sekiranya bergelar seorang selebriti atau artis. Begitulah yang turut dialami oleh pelakon cantik yang kini sudah empat tahun bergelar janda, Nora Danish Mohd. Hanif, 30, tidak pernah terlepas daripada berhadapan dengan gosip-gosip yang melanda dirinya. Pernah digosipkan bercinta dengan seorang kerabat diraja Terengganu, lebih menarik lagi Nora juga turut dikatakan mempunyai hubungan istimewa dengan pemain bola sepak Malaysia dan Kelantan, Khairul Fahmi Che Mat yang turut dikenali sebagai Apek sebelum ini. Bagaimanapun, segala gosip hangat yang melanda ibu kepada Putra Rayqal Ramli Rizal Ashram, 4, itu seolah-olah tidak cepat melatah dan akhirnya segala kisah yang berkaitan dengan dirinya berlalu begitu sahaja. Ketika ditanya sama ada dia sudah bersedia mendirikan rumah tangga semula memandangkan bekas suaminya sendiri sudah berkahwin lain, Nora menjelaskan semuanya terserah kepada jodoh. "Sebagai seorang wanita sudah tentu keinginan untuk berkahwin itu memang ada, tetapi ia bukan keutamaan buat diri saya kerana sudah selesa dengan kehidupan yang saya jalani sekarang. "Lagipun saya mahu memberi sepenuh perhatian terhadap anak saya yang semakin membesar, manakala kerjaya seni saya juga semakin berkembang. Jadi, saya jarang terfikir sangat mengenai perkahwinan," ujarnya ketika ditemui semasa rakaman program Irama di Shah Alam, Selangor baru-baru ini. Akui Nora, sepanjang dirinya bergelar janda tidak dinafikan memang ramai lelaki yang cuba untuk mendekati dirinya, malah ada yang menyatakan rasa sanggup untuk menerima status dirinya serta anak tunggalnya itu. Bagaimanapun, pelakon yang pernah popular menerusi drama Puteri itu menyatakan tidak mahu terlalu terburu-buru mencari teman hidup agar tidak tersalah dalam membuat pilihan. "Sejujurnya buat masa ini saya memang sedang rapat dengan seseorang dan dalam peringkat mengenali hati budinya, cuma saya tidak mahu mendedahkannya sekarang kerana hubungan tersebut masih lagi di peringkat awal. "Saya tidak berniat untuk merahsiakan identiti lelaki tersebut kepada umum, tetapi kalau sudah tiba masa yang sesuai dan hubungan tersebut benar-benar kukuh barulah saya akan bercerita," ujarnya yang tidak mahu mendedahkan lelaki yang sedang cuba menambat hatinya. Berhati-hati Selain digosip mempunyai hubungan istimewa dengan beberapa lelaki, Nora Danish juga turut berhadapan dengan kontroversi hangat beberapa bulan lalu gara-gara gambar seksinya yang tersiar di sebuah majalah.
Lebih menarik lagi, gambar tersebut telah disiarkan sewaktu pelakon tersebut sedang mengerjakan ibadah umrah di Mekah sehingga menimbulkan persepsi negatif ramai pihak. "Walaupun gambar-gambar yang disiarkan itu sudah lama diambil iaitu pada bulan Januari lalu, namun secara kebetulan ia telah disiarkan oleh majalah tersebut pada masa saya sedang mengerjakan umrah. "Apabila tersiarnya gambar-gambar tersebut memang banyak maklum balas negatif yang diterima, tetapi saya tidak mahu menyalahkan mana-mana pihak memandangkan semuanya dah berlaku," jelasnya. Bertitik tolak daripada peristiwa yang berlaku itu, Nora menjelaskan, kini dia akan lebih berhati-hati sebelum bersetuju untuk menjalani sesi fotografi dengan mana-mana penerbitan. Ujarnya, dengan kontroversi yang melanda dirinya itu akan dijadikan pengajaran yang lebih berguna, malah dia juga akan lebih mengambil berat terhadap soal pemakaian untuk fotografi. "Semenjak pulang daripada mengerjakan umrah saya memang sudah berhasrat untuk menjaga penampilan diri termasuk pakaian. Malah, segala kritikan dan teguran yang dilemparkan saya terima dengan hati terbuka untuk berubah ke arah yang lebih positif," ujarnya. Tolak tawaran Ditanya mengenai aktivitinya sepanjang bulan Ramadan, Nora menjelaskan pada bulan yang mulia ini dia akan berehat seketika daripada aktiviti seni serta tidak terbabit dalam sebarang penggambaran. Jelasnya, dia terpaksa menolak tiga tawaran berlakon drama yang sangat menarik memandangkan jadual penggambaran ketiga-tiga drama berkenaan dilakukan pada bulan puasa. "Pada tahun-tahun yang sebelumnya saya ada juga berlakon semasa bulan Ramadan, tetapi tahun ini saya buat keputusan untuk berehat buat sementara waktu kerana mahu meluangkan lebih banyak masa bersama keluarga. "Kali terakhir saya berlakon adalah menerusi filem 2 Kalimah bersama Shaheizy Sam dan selepas itu saya cuma menerima tawaran untuk mengacarakan program Irama yang akan disiarkan di TV3 pada hari raya ketiga," jelasnya. Berkenaan dengan kerjaya lakonan pula, Nora memberitahu, dia gembira kerana semakin diberi kepercayaan untuk membawakan watak-watak yang lebih berat seperti filem Aku Terima Nikahnya dan 2 Kalimah serta drama bersiri Tentang Dhia. "Sebelum ini saya kerap membawakan watak sebagai gadis remaja, kini saya berpeluang memegang watak yang lebih mencabar. Sebagai pelakon sudah tentu saya mahu membawakan watak yang berbeza dan sangat berterima kasih atas kepercayaan yang diberikan," ujarnya. | ||
Qari Junior mencari hafiz cilik Posted: Qari Junior mencari hafiz cilikOleh RONI HIDAYAT RIDWAN BARISAN 12 orang peserta dan pemenang Qari Junior bersama sijil penghargaan kerana penyertaan dalam program tersebut. Ia akan mula ditayangkan pada 23 Julai ini. SEMPENA kehadiran bulan Ramadan yang penuh dengan keberkatan, ternyata kebanyakan stesen televisyen akan menyiarkan lebih banyak program televisyen yang berbentuk keagamaan. Stesen televisyen TV3 buat julung-julung kalinya bakal tampil dengan sebuah program terbaharu yang cukup menarik iaitu Qari Junior yang berkonsepkan keagamaan untuk golongan kanak-kanak. Ia merupakan sebuah program yang mencungkil bakat kemahiran kanak-kanak yang berumur lingkungan antara tujuh hingga 12 tahun terhadap kebolehan mereka dalam menghafaz al-Quran. Penerbit Qari Junior, Shukri Ibrahim berkata, sesi uji bakat rancangan tersebut telah diadakan pada bulan April lalu di Sri Pentas, TV3 membabitkan 100 peserta dari seluruh Malaysia. Bagaimanapun, hanya 12 peserta sahaja yang dipilih untuk bersaing ke peringkat akhir. "Selama ini penonton sudah acap kali disajikan dengan pelbagai program realiti yang berbentuk hiburan. Jadi, sempena kehadiran bulan Ramadan ini penonton dapat menyaksikan kebolehan kanak-kanak menghafaz ayat suci al-Quran.
"Menerusi program ini juga ia memberi peluang kepada kanak-kanak untuk mengasah dan mengembangkan bakat mereka dalam hafazan serta mendekatkan diri mereka dengan al-Quran pada setiap masa," ujarnya. Menurut Shukri, dengan bakat yang ditonjolkan oleh peserta dengan konsep yang dibawa menerusi program tersebut, ia dilihat mampu memberi suntikan positif kepada anak muda masa kini dalam bidang keagamaan. Menggunakan konsep yang lebih kurang sama seperti program realiti yang lain, untuk setiap episod terdapatnya sesi penyingkiran dalam kalangan peserta dan pada penghujung episod hanya empat orang peserta yang bersaing ke peringkat akhir. Kesemua peserta yang bertanding turut diadili oleh dua orang juri yang berpengetahuan luas dalam bidang keagamaan iaitu Ustaz Zamri Zainuldin dan Sharifah Khasif Fadzilah Syed Mohd. Badiuzzaman. Juara sulung USTAZ Zamri Zainuldin dan Sharifah Khasif Fadzilah Syed Mohd. Badiuzzaman merupakan juri tetap program Qari Junior. Dalam sesi rakaman peringkat kemuncak Qari Junior yang berlangsung di Studio Glenmarie, Shah Alam, Selangor baru-baru ini, empat peserta iaitu Abdul Hadi Haris, 8, Syakirah Shahfuddin, 10, Fatimah Ahmad Zahid, 11, dan Nur Najwa Madihah Abdul Jalil, 9, bersaing untuk dinobatkan sebagai juara sulung dalam program tersebut. Bagaimanapun, kesemua peserta terlebih dulu perlu berhadapan dengan tugasan sukar apabila dikehendaki menghafaz surah yang diberikan seperti surah Al-Insan, Yaasin dan As-Sajdah serta surah tambahan seperti As-Saff, Al-Waqiah, Al-Mulk dan Ar-Rahman. Sistem pemarkahan pula di ambil kira berdasarkan kepada hafazan, tajwid, fasohah suara dan lagu. Kemuncak pada pertandingan tersebut menyaksikan Fatimah telah dinobatkan sebagai juara dan membawa pulang hadiah wang tunai RM10,000 beserta plak sumbangan TV3 dan pakej mengerjakan umrah tajaan Al-Fajr Travel, manakala saguhati pula menerima RM2,000 setiap seorang pakej mengerjakan umrah. Program Qari Junior akan disiarkan sebanyak 20 episod bermula pada hari ini, 23 Julai selama 30 minit setiap hari Isnin hingga Jumaat pada pukul 9 pagi, sementara episod akhir pula akan disiarkan pada 17 Ogos selama sejam. |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Hiburan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |