Kosmo Online - Hiburan |
Posted: Omar penyeri hidup NadiyaPERJALANAN lebih tiga jam dari ibu kota Kuala Lumpur ke puncak Brinchang, Tanah Tinggi Cameron, Pahang awal minggu lalu dihadiahkan dengan kejutan bukan kepalang! Tanpa berita, cerita dan gosip, figura Nadiya Nisa, 25, nampak sudah berbadan dua. Tidak mampu lagi sosok badan seorang wanita sedang mengandung itu berjaya disorok daripada pandangan mata umum. Terkejut kerana beberapa minggu sebelumnya, Nadiya bertandang ke Studio Utusan Jalan Chan Sow Lin Kuala Lumpur untuk sesi fotografi mempromosikan filem Jiwa Taiko bersama beberapa rakan artis lain dan ketika itu bentuk badannya masih langsing. Ingin mendapatkan kesahihan dalam keadaan masih kaget, Kosmo! menyapa si manis yang mesra dipanggil Nadiya. Ditanya berapa bulan usia kandungan dia ketawa besar. "Ini fake pregnancy! (hamil tipu). Mana ada saya mengandung. Lagipun, anak pertama saya masih kecil dan perlukan lebih perhatian daripada saya. "Watak saya dalam drama Adam & Hawa yang memerlukan saya 'mengandung' dan syukur Alhamdulillah hari ini merupakan hari terakhir penggambaran drama bersiri 80 episod ini," luah pemilik nama Nadiyatul Nisaa' Kamaruddin ceria. Ain Hawani Pertemuan dengan pendukung watak utama Ain Hawani dalam drama adaptasi novel Adam & Hawa tulisan Aisya Sofea itu mengundang derai tawa tanpa henti. Ketika penggambaran meniti detik akhir sebelum proses penyuntingan untuk disiarkan pada 27 Ogos nanti di saluran Mustika HD (Astro 134), bagaimanapun faktor hujan tanpa henti membantutkan proses melunaskan baki beberapa babak. Pada waktu itu kesempatan diambil untuk bercerita mengenai pengalaman Nadiya sepanjang pembikinan drama rantaian itu serta perkembangan kariernya yang nampak semakin terang. "Drama ini mencabar dari segi teknikal, tapi mujurlah saya bekerja bersama sepasukan produksi yang sangat bagus. Kadang-kadang diakui saya akan hilang tumpuan kerana penggambaran yang memakan masa lima bulan, tapi sehingga hari ini semua berjalan lancar," katanya memanjat syukur. Menerusi drama arahan Mohd. Feroz Kader itu, Nadiya berpadu tenaga dengan pelakon popular Aaron Aziz yang mendukung peranan Adam Mukhriz. Bagaimanapun, kata kedua-dua pelakon yang pernah bergandingan dalam filem Ombak Rindu itu, mereka sukar membina hubungan kimia sebagai suami isteri kerana kebanyakan babak dalam drama itu memerlukan mereka bercakaran. "Sangat susah hendak membina keserasian bersama kerana kebanyakan babak kami hanya bergaduh. Kalau ada pun, ia hanya pada akhir-akhir cerita apabila Adam dan Ain bertemu secara tidak diduga. "Rujukan utama saya adalah novel kerana perilaku fizikal dan penyampaian emosi lebih banyak ditonjolkan melalui tulisan dalam novel. Kelakar juga kerana kali terakhir membaca novel berbahasa Melayu adalah untuk subjek Kesusasteraan Melayu SPM (Sijil Pelajaran Malaysia) lebih kurang lapan tahun lalu," cerita Nadiya. Berehat Adam & Hawa mengisahkan sepasang suami isteri yang bernikah secara salah sangka apabila mereka ditangkap khalwat. Ain Hawani tidak merelakan perhubungan itu membawa diri daripada suaminya, Adam Mukhriz yang sentiasa berdiam diri serta pasrah dengan perkara berlaku.
Setelah bertahun berlalu, mereka dipertemukan semula dalam keadaan ego yang masih memuncak tapi perasaan yang mendambakan diri masing-masing. Sementara itu, Nadiya bagaimanapun menegaskan tidak akan menerima tawaran watak berat seperti mana Ain Hawani dalam masa terdekat kerana ingin memperlahankan rentak permainan emosi. "Watak Ain Hawani berat sebenarnya kerana sentiasa berendam air mata, buat masa sekarang saya tidak akan menerima watak-watak berat tapi cuma memfokuskan karakter ringan seperti komedi," ujar pelakon drama Donut itu lagi. Dalam perkembangan lain, Nadiya kini sedang menjalani penggambaran beberapa buah telefilem dan sebuah filem komedi romantik berjudul Pengapit yang dijadualkan memulakan penggambaran pada bulan Ramadan kelak. "Saya membawakan watak Zara seorang pengapit pengantin kepada seorang kawan baik saya, karakter itu melucukan dan banyak berkisar perjalanan seseorang menempuh hari persandingan," katanya. Omar Cahaya mata sulungnya, Omar Saiful Razman yang kini berusia sembilan bulan mengubah wajah serius berhujah perihal karier Nadiya jadi berseri-seri. Seakan-akan permata hatinya itu benar-benar mencetuskan gejolak perasaan gembira bukan kepalang. Benar, ketika penggambaran drama itu Nadiya membawa bersama Omar yang ditemani seorang pembantu rumah untuk membantunya. "Omar budak lelaki yang sangat lasak walaupun masih kecil, bijak dan kelakar. Dia penghibur sejati di kala saya dan suami penat bekerja," cerita Nadiya teruja. Nadiya yang mendirikan rumah tangga dengan seorang pelukis Saiful Razman Mohd. Kassim, 32, pada bulan Julai 2009 mendapat sokongan sepenuhnya untuk tambah ligat dalam bidang lakonan. "Kami menyokong kerjaya masing-masing dan asalkan saya menghormati norma sebagai seorang isteri orang dia izinkan saya berlakon," katanya yang masih belum memikirkan untuk memperoleh cahaya mata lain dalam masa terdekat. | ||
Posted: Konsert percuma Ramli SaripOleh KHAIRUL AMRI HASSAN
USAI mengadakan Konsert Sadaqa di Esplanade Singapura pada pertengahan bulan Jun lalu bersama kumpulan Raihan, Ramli Sarip kembali mengadakan konsert berkonsep kerohanian di Dewan Besar Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Kuala Lumpur pada hari Sabtu ini, 14 Julai. Konsert yang diberi nama Konsert Alunan Kalbu itu diadakan secara percuma bermula pukul 8.30 malam sempena sambutan 20 tahun IKIM beroperasi. Menurut Pengarah Radio IKIMfm, Nik Roskiman Abdul Samad, pembabitan Ramli Sarip untuk program IKIM kali ini adalah yang pertama sejak beroperasi. "Selama ini kami sentiasa memainkan lagu-lagu Ramli Sarip di radio IKIMfm yang sudah memasuki tahun ke-11 beroperasi dan kami teruja mendapat reaksi positif beliau untuk menghiburkan pengunjung sempena Karnival 20 Tahun IKIM. "Kami memilih Ramli Sarip sebagai fokus konsert sementara penyanyi jemputan Iwan Syahman mewakili muzik generasi muda," katanya ketika sidang akhbar pengumuman Konsert Alunan Kalbu di IKIM Kuala Lumpur baru-baru ini. Tambahnya, sempena karnival tiga hari bermula 13 hingga 15 Julai itu, pelbagai aktiviti menarik disajikan termasuk gerai jualan, pertandingan melukis, persembahan simfoni dram, demonstrasi memasak dan siaran langsung mukmin profesional dan usrati. Selain itu, persembahan dan sukaneka bersama artis-artis seperti Deevotees dan Unic akan turut diadakan sepanjang karnival. Bagi Ramli, konsert yang akan dijayakannya menerusi konsep akustik berbekalkan alat muzik rebana, gambus, seruling dan rabuka itu mementingkan perasaan, rasa, sejarah dan pengalaman. "Saya akan berkongsi kisah perjalanan hidup saya sebagai anak seni berselang-seli sambil menyampaikan lagu-lagu berkonsep ketuhanan. "Memilih konsep akustik rasanya elemen yang paling tepat untuk mendekatkan jiwa pendengar dengan muzik yang lebih sensitif berbanding biasa, jadi penonton perlu duduk dan dengar dengan teliti untuk lebih menghayati," ujarnya. Ramli diberikan masa selama 45 minit untuk mempersembahkan rangkaian lagunya seperti Senandung Hidup Berbudi, 'Iqra, Bukan Kerana Nama, Nyanyian Serambi serta beberapa buah lagu yang dipetik daripada album terbaharunya Sadaqa iaitu Qasidah Kampungan, Anugerah Nabi, Kekasihku dan Bahasa Terindah. Iwan pula akan menyanyikan lima buah lagu antaranya Semua Allah Yang Punya, Solatlah Dulu dan Segalanya Allah. Dalam perkembangan lain, Ramli kini sedang dalam proses rangka kerja untuk mengadakan siri jelajah Sadaqa yang dijadualkan selepas Hari Raya Aidilfitri. "Saya mempunyai koleksi lebih 30 buah lagu ketuhanan, jika ada modal apa salahnya untuk saya berkongsi pengalaman saya. "Buat masa sekarang saya masih dalam proses perbincangan dengan beberapa badan bukan kerajaan untuk menjayakan siri jelajah itu," tambahnya. Untuk sebarang maklumat lanjut, sila hubungi pihak IKIM di talian 03-6204 6320. | ||
Posted: Syarat aktif Susan LankesterOleh HARYATI KARIM
RAUT wajah aktres Susan Lankester yang pernah membintangi filem Mekanik, Femina dan Sutera Putih masih sama seperti 20 tahun dahulu, ketika mula-mula berkecimpung dalam bidang lakonan. Cuma bezanya kini, Susan lebih matang sesuai dengan usianya kini menginjak angka 50 tahun. Jarang-jarang muncul dalam drama televisyen, apatah lagi acara hiburan menyebabkan kurangnya publisiti. Selepas sekian lama menyepi tanpa khabar berita kini, wajah Susan boleh disaksikan menerusi drama Keluarga Iskandar yang ditayangkan di Astro Prima bermula 3 Julai lalu. Namun, ketika ditemui pada majlis pengumuman program Ramadan Astro di Restoran Seri Melayu, Kuala Lumpur, Susan menyatakan dia tidak pernah menghilangkan diri, sebaliknya dia sekarang ingin membuat kemunculan semula dalam industri lakonan. Bagaimanapun, buat pelakon yang berjiwa seni sepertinya, Susan meletakkan syarat untuk kembali aktif kerana nilai seni baginya tidak boleh dibandingkan dengan wang ringgit. Ikuti temu bual Kosmo! bersama Susan yang baru sahaja menamatkan penggambaran telefilem Syurga Buat Melisa arahan Rashid Shibir. Kosmo!: Mengapa selama ini Susan menghilangkan diri daripada dunia seni? SUSAN: Saya tidak pernah menghilangkan diri, saya masih ada di sini, masih bekerja dalam bidang seni cuma kurang terlibat dengan karya berbentuk komersial. Lebih 10 tahun kebelakangan ini saya aktif dengan teater, juga sibuk dengan produksi serta perniagaan hiasan dalaman dan landskap. Selepas sekian lama, mengapa baru kini mengambil keputusan untuk membuat kemunculan semula? Saya menunggu waktu yang tepat untuk muncul semula. Kalau boleh saya tidak mahu melakonkan watak-watak yang biasa saya lakonkan pada zaman muda. Kebetulan, terdapat pengarah yang beria-ria mahukan saya dan karya yang mereka tampilkan juga berbeza menyebabkan saya terbuka hati untuk kembali semula ke gelanggang seni tempatan secara aktif. Bagaimana perasaan anda apabila kembali aktif dalam dunia lakonan? Memang seronok sebab dunia lakonan bidang yang saya cintai, tetapi dalam masa yang sama agak kekok sebab saya seperti orang baharu. maklumlah jarang-jarang berlakon kalau ada pun setahun sebuah telefilem, tetapi sekarang saya akan kembali aktif. Ada meletakkan sebarang syarat untuk kembali berlakon? Syarat spesifik tidak ada, cuma saya seorang yang amat selektif. Saya tidak akan melakonkan kembali watak yang pernah saya bawa waktu muda-muda dahulu, kurang sesuai. Kalau boleh saya inginkan watak baharu yang memberi cabaran kepada saya untuk berlakon. Bukan itu sahaja, saya juga memandang karya yang berkualiti. Maknanya anda meletakkan harga yang tinggi untuk terlibat dalam mana-mana karya? Tidak, hakikat sebenarnya bayaran pelakon sejak saya mula berlakon sehingga ke hari ini tidak pernah berubah. Saya juga masih menerima bayaran yang sama, tetapi saya tidak kisah tentang harga kerana selepas 20 tahun berlakon, wang ringgit sudah tidak penting, apa yang penting adalah kepuasan diri dan kualiti sebuah karya itu. Perbezaan kehidupan sewaktu zaman kegemilangan dengan kehidupan hari ini? Dulu sangat sibuk, sekarang masih sibuk dan saya lebih matang. Peminat masih sama seperti dahulu, walaupun saya kurang publisiti dan berlakon, ke mana sahaja saya pergi ada peminat yang masih menegur. Mungkin penampilan saya berubah, tetapi peminat akan segera mengenali saya apabila saya bercakap, kerana nada suara saya tidak berubah dari dulu. Boleh kongsikan perkembangan kehidupan peribadi? Kehidupan saya gembira, sibuk dengan kerja. Kehidupan peribadi, saya masih belum berkahwin tetapi berulang-alik antara Malaysia dan Singapura kerana kekasih saya selama lima tahun menetap di sana. |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Hiburan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |