Adsense

Khamis, 12 Julai 2012

Harian Metro: Rap

Harian Metro: Rap


Satu penghormatan besar

Posted: 11 Jul 2012 06:04 AM PDT

TAK kenal maka tak cinta. Inilah perkataan sesuai digambarkan buat penyanyi terkenal Sami Yusuf. Mungkin dilihat agak cerewet kerana sikapnya yang mementingkan kesempurnaan, namun segala tanggapan negatif hilang dengan sendirinya sebaik berbual dengannya.

Pertemuan dijadualkan selama 10 minit itu berlarutan melebihi 40 minit dan pelbagai isu disentuh. Paling ketara, penyanyi kelahiran Teheran ini tegas mengatakan dirinya bukan penyanyi dakwah seperti tanggapan ramai peminat.

"Saya tak pernah kata saya penyanyi lagu dakwah. Ia berbeza dengan Rabbani dan Raihan yang memang dekat dengan Islam dan berdakwah menerusi lagu mereka.

"Muzik saya diinspirasikan daripada agama Islam. Saya bukanlah seorang penyanyi yang tampil dengan kaca mata besar dan glamor. Saya juga bukan penyanyi pop seperti Justin Bieber tteapi saya lebih pentingkan mesej untuk dibawa kepada peminat.


"Saya kesal dengan sikap pihak yang menggunakan Islam untuk kepentingan peribadi dan bertujuan mengaut keuntungan. Berhati-hati apabila menggunakan nama Allah," katanya yang kecewa dengan bekas syarikat rakamannya yang menerbitkan albumnya, Without You pada 2009 tanpa kebenarannya kerana ia hanya dihasilkan dalam bentuk demo.


Diminta berkongsi perasaannya mengadakan konsert kali pertama di Asia Tenggara, Sami mengakui ia satu penghormatan besar buatnya.

"Saya sangat gembira kerana konsert ini bukan hanya eksklusif untuk golongan tertentu tapi terbuka kepada semua golongan dan semua orang boleh hadir menyaksikannya.

"Kalau ditanya apa yang saya harapkan daripada peminat di Kuala Lumpur, susah nak saya jelaskan. Tapi saya sangat ikhlas nak bersama mereka. Saya bersama pasukan saya datang untuk menghiburkan semua dan harap usaha ini diberkati.

"Kita tahu tak siapa pun sempurna dan pasti akan buat kesilapan. Yang penting ialah kehadiran kami di sini untuk bersama-sama peminat dan menjadi tanda aras untuk Konsert Salaam dan membawa mesej keamanan sejagat.

"Untuk konsert di Kuala Lumpur, saya fikir akan bertambah baik. Ini kerana konsert pertama (di Singapura) diibaratkan seperti latihan. Selalunya begitulah keadaannya. Insya-Allah keadaannya akan bagus di Kuala Lumpur," katanya yang membawa kira-kira 10 kru bagi menjayakan konsert yang akan berlangsung di Stadium Malawati, Shah Alam, Sabtu ini (14 Julai).

Mengakui cintakan muzik tradisional seperti yang ditunjukkan ketika bermain Santur, Sami memuji Datuk Siti Nurhaliza yang bergandingan dengannya menerusi lagu You Came To Me.

"Siti bukan saja mempunyai suara yang bagus, bahkan turut mempunyai personaliti menarik. Dia wanita sejati yang patut dibanggakan Malaysia dan negara Asia Tenggara.

"Identitinya buat semua orang bangga. Kita perlukan dia sebagai simbol perpaduan di antara semua. Saya gembira dapat bekerjasama dengan dia. Saya sangat menghormati dia," katanya.

Tidak terlepas Sami melahirkan perasaan simpatinya terhadap Siti yang dikecam hebat gara-gara muzik video mereka yang dimuatkan dalam YouTube.

"Pada saya muzik video itu tetap memberi impak dan mesejnya sampai kepada peminat. Ia tak perlu unsur flamboyan kerana yang penting ialah mesejnya. Kasihan Siti kerana jadi mangsa. Dia langsung tidak bersalah. Tuhan tahu segalanya. Siapa kita nak menilai dan menghukum.

"Saya sangat terbuka dalam perkara ini kerana yang penting ialah mesej yang disampaikan," katanya mengakui suka menampilkan pembaharuan dalam albumnya termasuk berduet dengan Siti dan mungkin menyanyi dalam bahasa Melayu.

Menjawab dakwaan mengatakan hubungannya dengan Maher Zain dingin, Sami pantas menafikan perkara itu dan mengakui dia tidak pernah ada masalah dengan penyanyi yang terlebih dahulu menempa nama di rantau ini. Mungkin ia tercetus kerana Maher bernaung di bawah bekas syarikat rakamannya.

Sementara itu, lebih 3,000 penonton Kota Singa terhibur menyaksikan konsert penyanyi digelar Bintang Rock Islam Terbesar oleh majalah Time ini yang berlangsung di Stadium Tertutup Singapura pada 8 Julai lalu.

Penyanyi berusia 31 tahun ini menyanyikan lagu Salaam diikuti My Ummah. Lagu lain nyanyiannya ialah Without You, The Source. Ya Muhammad, Fragile World, Mother, Al Muallim, Make Me Strong, Salawat, Hasbi Rabbi dan Allahu.

Sistem bunyi yang hebat serta penataan cahaya dan imej grafik yang disediakan Offshore Entertainment Production banyak membantu menghidupkan lagi persembahan Sami.

Turut memeriahkan suasana, penampilan Datuk Siti Nurhaliza yang berduet menyanyikan lagu You Came To Me. Siti menyanyikan lagu solo Lagu Rindu yang memukau penonton. Dia turut menampilkan Mohram yang dianggotai Mohar bermain seruling dan Ramli yang bermain rebana.

Konsert ini membuktikan Sami sememangnya mempunyai aura tersendiri dalam mengadakan konsert serta bijak memancing perhatian peminat dengan pelbagai elemen menarik dalam persembahannya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/07/11


Bengkel jeli selebriti

Posted: 11 Jul 2012 05:56 AM PDT

DALAM memacu industri hiburan, gelaran selebriti bukan saja diperlukan dalam lapangan masing-masing namun juga menjadi lesen untuk meraih kesedaran peminat serta masyarakat mengenai isu serius termasuklah kanser payudara.

Menjelang Bulan Kesedaran Kanser Payudara 2012 pada Oktober ini, semestinya pelbagai aktiviti diatur dan satu daripadanya siri bengkel membuat jeli anjuran Royal Selangor.

Bakal berlangsung pada bulan terbabit, beberapa selebriti dari pelbagai lapangan tidak ketinggalan untuk turut menyokong bengkel berkenaan termasuklah personaliti TV dan radio, Patrick Teoh dan Elaine Daly, pereka fesyen, Melinda Looi dan Khoon Hooi, pelawak muda, Kuah Jenhan dan juga Chef Anis Nabilah.

Bukan mereka saja, penyanyi terkenal, Atilia Haron dan pelakon, Tony Eusoff, Joanna Bessy, Vanidah Imran, Bernie Chan, serta figura terkenal lain termasuk Deborah Henry, Jojo Struys dan Jovian Mandagie juga bakal tampil mengendalikan bengkel berkenaan.


Bertujuan mengumpul derma untuk disalurkan kepada Persatuan Kebajikan Kanser Payudara, peserta bukan saja berpeluang beramah mesra dengan selebriti malah dapat membantu mereka yang memerlukan.


Menurut Pengurus Besar Selangor International, Yong Yoon Li, dia menyifatkan ia peluang terbaik untuk menyumbang kepada golongan tidak bernasib baik dan juga mempelajari resipi baru dalam pembuatan jeli.

"Kami sangat berbesar hati kerana dapat menarik pembabitan selebriti terkenal untuk bersama-sama menjayakan bengkel berkenaan. Oleh itu, saya amat berharap, kelebihan ini juga sekali gus menarik penyertaan peminat untuk bersama-sama meraikan kehidupan, kasih sayang dan keriangan.

"Bengkel ini istimewa kerana acuan jeli yang akan dijual kepada peserta adalah hasil rekaan pereka British terkenal, Nick Munro. Setiap peserta dikehendaki membeli acuan terbabit pada harga RM290 untuk mengikutinya. RM100 daripada hasil jualan setiap acuan akan disalurkan kepada persatuan berkenaan.

"Kami mengalu-alukan penyertaan daripada pelbagai lapisan tidak kira keluarga, kelab mahupun persatuan lain namun, tempatnya sangat terhad kerana hanya 30 peserta saja dipilih untuk setiap sesi. Bagaimanapun, bengkel ini akan diadakan selama empat sesi dan kepada yang berminat boleh menghubungi pihak kami mulai sekarang," katanya.

Ditemui pada sidang media pelancaran bengkel berkenaan, baru-baru ini di Royal Selangor, Setapak Jaya,

Yong berkata, resipi yang bakal diajarkan juga adalah hasil ciptaan chef terkenal seluruh dunia termasuklah Emmanuel Stroobant, Ken Hoh, Yvan Cadiou dan Jean-Pierre Wybauw.

Turut hadir dalam sidang media berkenaan, penaung Persatuan Kebajikan Kanser Payudara, Datin Seri Dr Akmal Abdul Salam; Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Kebajikan Payudara, Ranjit Kaur serta selebriti termasuklah Elaine Daly, Anis Nabilah, Patrick Teoh dan Khoon Hooi.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/07/11