Adsense

Selasa, 3 Julai 2012

Harian Metro: Rap

Harian Metro: Rap


Saling melengkapi

Posted: 02 Jul 2012 07:01 AM PDT

SEMUA insan bergelar manusia ingin mencintai dan dicintai. Bagaimanapun, ada cinta agak lama baru dimiliki dan tak terkecuali yang terjalin begitu pantas. Bagi pasangan Irma Hasmie Ibrahim, 30, dan suaminya, Redza Syah Azmeer Datuk Mohd Radzuan, 31, nyata cinta di antara mereka berputik tanpa diduga.

Niat mengerjakan umrah di Tanah Suci turut membuka ruang buat mereka mengenali satu sama lain. Bahkan, selepas lima bulan menjalin hubungan, kini Irma sah menjadi milik Redza selamanya. Pasangan sejoli ini selamat diijabkabulkan di Kompleks Perbadanan Putrajaya, petang Jumaat lalu.

Sesuci warna putih yang menjadi pilihan mereka, pihak Irma juga pada awalnya merahsiakan jumlah wang hantaran diterima. Namun, tatkala pertanyaan itu diajukan kepada Redza, ahli perniagaan kacak ini memaklumkan keluarga mentuanya tidak meminta langsung jumlah wang hantaran berkenaan.

"Jadi, memandangkan ia adalah pemberian ikhlas buat Irma, saya menetapkan jumlah sebanyak RM33,333,33. Malah, Irma sendiri pun tidak mengetahuinya. Kini, tiada apa yang lebih membahagiakan saya selain bersyukur dapat memperisterikan Irma sebagai teman hidup. Dia melengkapi hidup saya.


"Irma memiliki ciri-ciri isteri yang saya inginkan kerana dia baik, penyayang dan hormat pada orang tua. Bahkan, perjalanan jodoh kami juga lancar seperti dirancang. Oleh itu, semoga jodoh ini akan terus diberkati Allah yang sudah mempertemukan kami ketika menjadi tetamu-Nya di Tanah Suci," katanya.


Menyentuh soal karier Irma sebagai insan seni, Redza berkata, dia menerima kerjaya diceburi isterinya itu. Malah, sebagai suami, dia tidak akan menghalang Irma untuk terus aktif sebagai pengacara mahupun pelakon.

Katanya, apa yang penting, Irma tahu membahagikan masa antara keluarga dan karier.

Berbicara mengenai bulan madu, Redza berkata, buat masa sekarang, semuanya masih dalam perbincangan. Ada beberapa lokasi yang menjadi pilihan tetapi belum diputuskan kerana dia dan Irma sibuk dengan urusan kerja masing-masing.

Katanya, mereka turut merancang untuk ke Tanah Suci bersama.

Kata Redza, mereka juga ada memikirkan sama ada mahu mengerjakan umrah atau haji apabila ke Tanah Suci nanti. Katanya, perbincangan teliti akan dibuat lebih dulu.

Redza juga berkata, dia dan Irma tidak merancang bila mereka mahu menimang cahaya mata kerana bergantung pada rezeki.

Bagi Irma pula, dia bukan saja sudah bersedia berstatus isteri tetapi juga mahu bergelar ibu.

Katanya, sama seperti Redza, dia menerima dengan hati terbuka sekiranya Tuhan segera memberikan zuriat kepada mereka.

Kata Irma, anak adalah anugerah Allah dan sememangnya menjadi impian pasangan suami isteri.

"Harapan kami, supaya rumah tangga yang dibina ini akan kekal bahagia hingga ke akhir hayat. Saya akan sentiasa berdoa kepada Allah supaya dapat menjadi isteri bertanggungjawab kepada Redza dan ibu yang baik kepada anak-anak kami. Malah, saya juga berharap Tuhan memberikan kami zuriat yang baik.

"Apapun, saya gembira Allah mempertemukan jodoh bersama Redza. Saya menerima kehadirannya dalam hidup ini dengan hati terbuka kerana sedar kami mempunyai misi yang sama. Kini, kami lebih menjurus ke arah akhirat dan saya yakin Redza mampu memikul tanggungjawab untuk membimbing keluarga kami," katanya.

Menurut Irma, dia juga teruja untuk menjalani proses percintaan selepas kahwin.

Katanya, inilah takdir dirinya yang sudah ditetapkan Allah apabila menyulam cinta dengan suami tersayang sebaik saja bergelar isteri dan berlandaskan ikatan yang sah.

Akuinya, sukar untuk dia menjangkakan bagaimana perjalanan itu nanti.

Menyorot kisah pertemuan mereka, Irma berkata, dia bertemu suaminya ketika mengerjakan umrah pada 14 Februari lalu di Makkah. Pada awalnya, dia berkenalan dengan ibu mentuanya dan kemudian baru dipertemukan dengan Redza. Begitu pun, ketika pertemuan makan malam diatur itu, mereka tak banyak berbicara.

Irma berkata, ketika itu, dia dan beberapa teman diajak untuk menikmati makan malam bersama. Namun, sebelum pulang ke tanah air, mentuanya ada membisikkan ke telinga bahawa mereka sekeluarga mahu menjodohkan dia dan suami. Malah, tidak lama selepas itu, keluarga Redza datang untuk merisik.

Sebaik proses merisik, pasangan pengantin ini terus mengikat pertunangan pada 24 Mac lalu. Kurang dari tiga bulan majlis pertunangan itu dilangsungkan, Irma dan Redza selamat bernikah dengan diwalikan bapa Irma, Ibrahim Othman di hadapan Penolong Pendaftar Nikah, Cerai dan Rujuk Putrajaya, Ustaz Mohd Redha Ahmad.

Majlis resepsi mereka berlangsung di Dewan Malaysia Agro Exposition Park Serdang (MAEPS), malam Ahad lalu dengan tema 'vintage' moden.

Setia mengekalkan tema putih pada majlis resepsi itu, kira-kira 1,500 tetamu di kalangan keluarga, kenalan, sahabat sekolah, rakan artis dan wakil media hadir meraikan persandingan Irma dan Redza.

Ramai juga rakan artis yang kelihatan meluangkan masa hadir meraikan pasangan raja sehari itu antaranya Awal Ashaari dan isteri, Scha Al-Yahya, Rashidi Ishak serta Vanidah Imran, Tam Suhaimi, Sari Yanti dan Rabecca Nur Islam.


Kutipan RM4.5j

Posted: 02 Jul 2012 06:22 AM PDT

SEHINGGA Ahad lalu, filem arahan Ahmad Idham, Mael Lambong berjaya mengutip sebanyak RM4.5 juta. Filem itu mula berada di pawagam pada 21 Jun lalu.

Mael Lambung menampilkan Zizan Raja Lawak sebagai teraju utamanya di samping Juliana Evans (sebagai Maria), Taiyudin Bakar (Tai) dan pelakon baru, Shenthy Feliziana (Rozie).

Idham bersyukur kerana filem terbitan syarikatnya, Excellent Pictures Sdn Bhd terus mendapat sambutan walaupun ia bukan ditayangkan ketika musim cuti sekolah.

Pada waktu sama, Mael Lambung bersaing dengan tiga filem lagi iaitu Hanya Aku Cinta Kau Seorang, Aku, Kau dan Dia dan Baik Giler yang juga menampilkan Zizan sebagai hero. Bagaimanapun, khabarnya Baik Giler agak kurang mendapat sambutan.


Menurut Idham, dia sendiri sukar untuk menentukan cerita apa yang penonton suka.


"Saya akui dalam industri ini, ada pasang surut. Hari ini apa yang penting produser kena ada strategi pemasaran yang betul dan kejayaan sesuatu filem itu bukanlah terletak sepenuhnya pada pengarah ataupun pelakon filem itu. Adakala dalam sesebuah filem itu, semua pelakonnya bagus belaka, tetapi kalau jalan ceritanya tak bagus, orang tak datang tengok juga.

"Tiada satu formula khas dalam menentukan kejayaan sesuatu filem. Kalau memang benar kejayaan filem itu kerana pengarah dan pelakonnya, ia adalah penyebab saja. Untuk setiap filem saya, saya menyediakan strategi pemasaran yang agresif sehingga membuatkan orang tak sabar menontonnya.

"Penggiat seni tidak boleh berputus asa dan saya sendiri sentiasa mencari idea baru serta mencuba segala yang ada untuk memancing peminat filem Melayu. Sebagai orang industri kita tidak boleh patah semangat. Walaupun ada orang yang cuba menjatuhkan saya, saya akan terus bergerak. Orang di luar sana tak faham perjalanan industri yang sebenarnya.

"Kalau orang lama seperti saya cepat putus asa, habis industri kita. Sebelum ini, Finas (Perbadanan Kemajuan Perfileman Nasional Malaysia) pernah mengumumkan untuk memberi dana kepada orang muda sebagai penggerak industri tetapi saya tengok masih orang lama juga yang terus rancak berkarya.

"Bagaimanapun, saya tengok kebanyakan produser baru ini tiada hala tuju dan mereka tak faham apa itu industri filem yang sebenarnya. Justeru, ramai produser yang baru muncul dan ramai juga yang kecundang di tengah jalan," katanya.

Kembali bercakap mengenai Mael Lambung, Idham tak pasti sampai bila filem itu akan bertahan di pawagam, namun dia berharap hujung minggu yang akan datang ini dapat meningkatkan lagi kutipan filem itu.

"Euro 2012 pun sudah berakhir dan semoga perhatian peminat bola sepak beralih ke panggung pula. Saya selalu mengharapkan setiap filem terbitan saya dapat mengulangi kutipan filem Hantu Bonceng iaitu RM8.5 juta. Filem itu dilakonkan oleh Zizan dan Juliana Evans.

"Saya bernasib baik kerana sentuhan komedi saya boleh diterima peminat sehingga sekarang. Berdasarkan trek rekod filem komedi saya sebelum ini seperti Senario, Jangan Pandang Belakang Congkak, Adnan Sempit, Hantu Bonceng dan sekarang Mael Lambong, penonton dapat terima konsep komedi yang saya bawa. Saya juga tidak bergantung kepada seorang pelakon saja.

"Walaupun ia filem komedi, tetapi ia bukanlah dibuat secara semberono kerana peminat tak mahu lagi menonton filem lawak bodoh. Kerjasama dengan Zizan berjalan baik dan dalam kerjasama itu, kami saling 'menang' di mana filem saya menjadi 'box office' dan Zizan pula menikmati laluan sebagai pelakon yang popular serta menjadi rebutan pengarah," katanya yang akan memulakan projek terbarunya pada waktu terdekat ini.

Mael Lambung mengisahkan Mael Lambong seorang penarik kereta yang cukup dikenali di Kuala Lumpur. Hidupnya mula berubah dan menjadi kelam-kabut apabila bertemu Maria yang meminta pertolongan daripadanya untuk menyelamatkan diri daripada penjahat.

Pelarian mereka untuk menyelamatkan diri membawa Mael dan Maria ke Terengganu yang juga kampung halaman Mael. Rupa-rupanya Mael sudah lama meninggalkan negeri kelahirannya itu kerana membawa diri.

Di kampung, Mael bertemu semula dengan bekas kekasih, Rozie, yang kini bergelar tunangan kepada Tiger (Taiyudin Bakar). Konflik mula timbul apabila Tiger tidak menyenangi kepulangan Mael kerana cemburu dengan hubungan yang pernah terjalin
di antara Mael dan Rozie sebelum ini.

Penjahat memburu Maria kerana mereka mahukan mikrocip yang mengandungi maklumat tender projek kerajaan itu akhirnya dapat menjejaki mereka di Terengganu.