Adsense

Selasa, 3 Julai 2012

Kosmo Online - Hiburan

Kosmo Online - Hiburan


Sharnaaz, Nad saling memuji

Posted:

Sharnaaz, Nad saling memuji

DI sebalik kemunculan ramai pelakon baharu yang mewarnai industri hiburan tempatan, ternyata penampilan dua orang pelakon iaitu Sharnaaz Ahmad dan Nad Zainal tidak boleh dipandang sebelah mata.

Sharnaaz misalnya, merupakan antara pendatang baharu yang semakin menjadi sebutan ramai, manakala Nad Zainal atau nama sebenarnya Farah Nadia Zainal Abidin pula dilihat mampu memberi saingan sihat kepada pelakon sedia ada.

Ketika ditemui pada majlis pelancaran drama Bukan Bidadari di Subang Jaya, Selangor baru-baru ini, mereka berdua mengakui sangat gembira apabila ditawarkan untuk membintangi drama terbitan Filmscape Production itu.

Bagi Sharnaaz, dia mengakui sangat senang dengan hasil kerja pengarah Faisal Ishak dan yakin drama berkenaan mampu menarik minat penonton berdasarkan kepada kisah yang dipaparkan.

"Sepanjang penggambaran, semuanya berjalan dengan lancar dan saya gembira kerana dapat bergandingan dengan beberapa orang pelakon baharu serta yang sudah berpengalaman.

"Mengenai lakonan yang ditampilkan oleh gandingan saya iaitu Nad Zainal, saya akui dia memang pelakon wanita yang sangat bagus. Saya percaya dia mampu pergi jauh sekiranya lebih banyak peluang diberikan kepadanya," puji Sharnaaz.

Drama bersiri 13 episod itu mengisahkan tentang seorang gadis bernama Inas (Nad Zainal) yang mempunyai sikap manja dan sombong mendapati kehidupannya mula berubah setelah kematian bapanya.

Kemudian, ketika berada di Kuala Lumpur, Inas telah bertemu dengan Arif (Sharnaaz), anak seorang usahawan yang kacak dan mereka berdua telah mendirikan rumah tangga tanpa mendapat restu ibu Arif.

Disiarkan setiap hari Selasa pada pukul 9 malam di TV3, Bukan Bidadari turut menampilkan beberapa pelakon lain seperti Sara Ali, Azhar Sulaiman, Fiza Halim, Muniff Isa, Azlee Khairi, Liza Zain, Zuhairi Ibrahim dan Wan Raja.

Bercerita lebih lanjut mengenai watak yang dibawakannya, Sharnaaz memberitahu wataknya sebagai Arif bukanlah antagonis, tetapi ia mampu mengundang kebencian penonton.

"Saya tidak mahu mendedahkan terlampau banyak mengenai perwatakan saya, dan biarlah penonton yang menyaksikannya. Namun, secara keseluruhan, saya berpuas hati dengan lakonan saya dalam drama ini.

"Sekiranya ada penonton yang akan membenci saya selepas menontonnya, ia bermakna saya telah melaksanakan tanggungjawab sebagai pelakon dengan baik.

"Lagipun bukan mudah seseorang pelakon itu boleh memberi impak terhadap karakter yang dibawakan," ujarnya.

Sementara itu, Nad Zainal pula menyatakan dia terpaksa berhadapan dengan beberapa cabaran bagi menghidupkan lagi wataknya sebagai Inas yang memerlukannya tampil dengan permainan emosi.

Menurut pemegang Diploma Teater Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) itu, mendapat tawaran memegang peranan watak utama dalam sesebuah drama merupakan peluang yang tidak harus dilepaskan.

SHARNAAZ tidak pernah mendapat pendidikan formal dalam bidang lakonan, namun mampu berlakon dengan baik.


"Memang saya gembira kerana mendapat kepercayaan pengarah, namun saya akui memang sukar untuk mendalami watak Inas. Bagaimanapun, dengan tunjuk ajar pengarah serta kerjasama yang baik daripada para pelakon juga banyak membantu saya.

"Malah, saya sangat senang bekerjasama dan bergandingan dengan pelakon seperti Sharnaaz. Walaupun dia tidak pernah mendapat sebarang pendidikan formal dalam bidang lakonan, bagi saya dia memang seorang pelakon yang hebat," ujar pelakon berusia 22 tahun itu.

Arah klip video

Hubungan cinta yang terjalin antara Sharnaaz dan penyanyi Shila Amzah sudah pun diketahui umum. Menariknya, mereka juga pernah bergandingan bersama dalam sebuah telefilem berjudul Patah Seribu.

Ketika ditanya adakah dia tidak kisah apabila digandingkan dengan kekasihnya itu dalam mana-mana drama atau telefilem, pelakon kelahiran Pulau Pinang itu menyatakan dia tiada masalah seandainya mendapat tawaran yang sesuai.

"Sebagai pelakon saya perlu bersikap profesional dan tidak kisah untuk bergandingan dengan sesiapa pun termasuk kekasih sendiri. Buat masa sekarang belum ada lagi sebarang tawaran yang menggandingkan saya dan Shila.

"Saya juga sangat bersyukur kerana tawaran berlakon memang tidak putus-putus, cuma kini saya lebih selektif ketika memilih sebarang tawaran yang diperoleh dan kalau boleh saya inginkan watak yang berbeza," ujarnya.

Mengenai projek terbaharunya, jelas Sharnaaz, berkemungkinan besar dia akan mengarahkan sebuah klip video untuk salah sebuah lagu yang dinyanyikan oleh Shila.

"Sebenarnya saya memang mempunyai impian untuk bergelar seorang pengarah. Jadi, buat permulaan ini biarlah saya menghasilkan klip video terlebih dahulu dan ia akan dilakukan dalam masa terdekat ini." jelasnya.

Enggan bersaing

KIRI: Selain Nad Zainal (dari kiri) dan Sharnaaz, drama rantaian Bukan Bidadari turut dibintangi oleh Azlee Khairi dan Sara Ali.


Setelah tampil dalam drama bersiri Memberku Hawa beberapa bulan yang lalu, ternyata nama Nad Zainal semakin menjadi sebutan dan dilihat mampu meletakkan namanya sebaris dengan pelakon popular lain.

Pelakon itu memberitahu dia sebenarnya sudah lima tahun berkecimpung dalam bidang lakonan, tetapi hanya mula serius berlakon pada tahun lalu.

"Selepas menamatkan pelajaran di Aswara pada tahun 2010, saya mengambil keputusan untuk serius dalam bidang lakonan. Matlamat saya menjadi pelakon bukanlah mahu bersaing, sebaliknya saya ingin mempraktikkan apa yang telah saya belajar.

"Tidak dinafikan nama saya masih agak kurang dikenali ramai, tetapi saya sangat gembira dan bersyukur apabila semakin mendapat kepercayaan pengarah. Selain aktif berlakon drama, saya juga turut menerima tawaran berlakon filem," ujarnya yang pernah tampil di layar perak menerusi filem Jidin Sengal.

Menurutnya, pada penghujung bulan Julai ini, dia akan memulakan penggambaran filem berjudul Kami Histeria terbitan Red Communications Sdn. Bhd. bersama beberapa pelakon lain iaitu Sara Ali dan Diana Danielle.

Sebagai seorang pelajar jurusan teater, Nad Zainal memberitahu sebelum ini dia juga aktif berlakon teater dan kerap membuat persembahan bersama rakan-rakan di Stor Teater DBP, Dewan Bahasa Dan Pustaka.

"Sejujurnya saya memang rindu untuk berlakon teater bersama rakan-rakan lama saya, tetapi kesibukan sebagai pelakon di kaca televisyen membuatkan saya terpaksa melupakan teater buat seketika kerana mahu fokus dengan kerjaya sekarang," ujarnya mengakhiri perbualan.

Vidya, Sonakshi mengarut - Kareena

Posted:

Vidya, Sonakshi mengarut - Kareena

KAREENA Kapoor


KAREENA Kapoor merupakan salah seorang aktres Bollywood yang cukup terbuka untuk mengeluarkan pandangannya. Terkini, dia telah menangkis kenyataan yang telah dibuat oleh dua aktres Bollywood lain iaitu Vidya Balan dan Sonakshi Sinha.

Vidya dan Sonakshi yang diketahui umum memiliki badan yang sedikit berisi berbanding Kareena yang langsing sebelum ini menegaskan mereka selesa dan berasa seksi dengan tubuh mereka itu.

Namun, Kareena menangkis kenyataan Vidya dan Sonakshi itu dengan menegaskan bahawa sesiapa yang mengatakan gemuk adalah seksi merupakan sesuatu yang mengarut.

Apa yang nyata, Kareena yang pernah memiliki badan bersaiz kosong itu menyifatkan kenyataan Vidya dan Sonakshi itu sebagai mengarut.

Ujar Kareena kepada IANS: "Memiliki badan yang gemuk bukan sesuatu yang seksi! Sesiapa yang mendakwa gemuk adalah seksi, orang itu memang mengarut. Sebarang wanita yang mendakwa tidak mahu kelihatan kurus sebenarnya tipu. Menjadi kurus adalah impian setiap wanita."

Almy Nadia keliru

Posted:

Almy Nadia keliru

Oleh RONI HIDAYAT RIDWAN

ALMY NADIA kini mengambil sikap untuk lebih berhati-hati dalam mengeluarkan kenyataan tentang hubungannya dan Fizz.


SEBELUM ini pelakon Fizz Fairuz pernah membuat kenyataan untuk mendirikan rumah tangga dengan kekasihnya, aktres Almy Nadia setelah memenangi anugerah dalam sebuah acara yang berlangsung pada April lalu.

Bagaimanapun, kontroversi mula timbul apabila Almy menyatakan langsung tidak mengetahui mengenai perkara tersebut, malah Fizz sendiri langsung tidak pernah berbincang dengannya.

Kosmo! berkesempatan berdepan dengan Almy yang ditemui pada acara Viewing Party Semi Final Euro 2012 di Sapec U8, Bukit Jelutong, Shah Alam Khamis lalu untuk mengetahui tentang perkembangan terkini tentang hubungan mereka.

Kosmo!: Khabarnya sekarang hubungan Almy dan Fizz kembali pulih. Jadi, adakah kamu berdua sudah bersedia mendirikan rumah tangga?

ALMY: Saya minta maaf kerana tidak mahu lagi memberi sebarang komen mengenai perhubungan saya dan Fizz. Selepas ini biarlah saya tutup mulut dan tidak bercerita apa-apa pun tentang perkara ini. Kalau sebelum ini saya bersifat terbuka bercerita apa sahaja mengenai diri saya termasuk kisah cinta, kini saya akan lebih berhati-hati untuk membuat sebarang kenyataan.

Adakah Almy telah diberi amaran oleh Fizz supaya tidak bersuara tentang hubungan kamu berdua?

Saya ingin tegaskan bahawa keputusan yang dibuat ini langsung tidak dipengaruhi oleh mana-mana pihak termasuk Fizz. Malah, ibu juga sudah memarahi saya apabila terlalu kerap kisah percintaan saya didedahkan di media. Boleh dikatakan apabila bertemu dengan pihak media dalam mana-mana majlis, saya sering diajukan pertanyaan mengenai cinta berbanding kerjaya. Namun, saya tidak menyalahkan pihak media kerana itu sudah menjadi tanggungjawab mereka untuk mencari bahan berita yang menarik.

Jadi, apakah status hubungan Almy dan Fizz sekarang ini?

Entahlah, saya sendiri memang tidak tahu untuk menyatakan keadaan sebenar tentang hubungan kami. Saya tidak mahu segala kenyataan yang diberikan boleh menimbulkan salah faham pula hingga membuatkan para peminat keliru. Buat masa ini saya lebih gemar berdiam diri dan reda sahaja dengan apa yang berlaku. Sebelum ini saya sudah selalu dikritik oleh segelintir pihak apabila hubungan kami ini terlampau digembar-gemburkan. Apa yang boleh saya katakan sekarang, segala isu yang timbul sehingga menjadi persoalan ramai akan terlerai juga satu hari nanti. Cuma, saya tidak pasti bila masa itu akan tiba.

Bagaimana pula keadaan Almy setelah menjalani pembedahan apendiks baru-baru ini?

Keadaan saya sekarang sudah semakin pulih dan ketika ini saya lebih banyak berehat. Kini, saya sedang menantikan sebarang tawaran lakonan dan sudah bersedia kembali aktif berlakon semula.

Sebelum ini Almy pernah berlakon dalam beberapa buah filem seperti Dunia Baru, Jangan Tegur, Skrip 7707, Rasukan Ablasa dan 4 Madu. Adakah Almy tidak rindu untuk berlakon filem setelah dilihat kerap berlakon drama sekarang?

Bukan saya tidak mahu berlakon filem dan tawaran masih lagi ada, tetapi saya berasa sedikit fobia selepas berlaku satu masalah ketika berlakon dalam filem 4 Madu pada tahun 2010. Kalau boleh saya tidak mahu mengulas mengenai masalah yang berlaku. Namun, pada masa ini saya mahu lebih fokus berlakon drama dan telefilem dalam usaha untuk memantapkan lagi mutu lakonan saya.