Gosip Artis Malaysia |
- Aaron Aziz Tidak Halang Anak-Anak Jadi Pelakon
- Iri Hati - Kenyataan Ahmad Idham Dipersenda
- Watie Elite Hamil?
- Artis Bertudung Pilihan Fazurina
Aaron Aziz Tidak Halang Anak-Anak Jadi Pelakon Posted: 03 Jul 2012 05:41 PM PDT PETALING JAYA: Pelakon popular, Aaron Aziz tidak akan menghalang jika anak-anaknya ingin mengikut jejak langkahnya sebagai pelakon atau cabang lain dalam dunia seni. Aaron berkata, dia tidak berhak untuk menentukan masa depan anak-anaknya kerana mereka berhak membuat keputusan terhadap masa depan masing-masing. "Sebagai seorang bapa saya tidak akan menghalang apa juga cita-cita mereka kerana itu adalah kehendak dan pilihan mereka. "Apa yang boleh saya boleh buat adalah menyokong setiap keputusan mereka apabila mereka besar nanti," ujarnya. Tambah Aaron, pihak produksi juga ada beberapa kali memberitahu ingin mengambil anaknya sebagai pelakon kanak-kanak namun merasakan masih terlalu awal untuk memberikan mereka bekerja. "Banyak dah orang mintak nak ambil mereka berlakon tetapi rasanya mereka masih kecil untuk bekerja. Mungkin suatu hari nanti saya benarkan," katanya. Dalam pada itu, Aaron tidak menafikan ada memberi pendedahan kepada tiga anaknya iaitu Danish Anaqi, 8, Dwi Ariana, 6 dan Dahlia Arissa, 2 tahun, apabila sering membawa mereka ke lokasi penggambaran. Aaron berkata, selain memberi pendedahan kepada anak-anaknya, dia juga mahu mereka memahami apa yang dilakukannya sebagai punca rezeki selain dapat menghabiskan masa bersama mereka. "Kadang-kadang jadual saya sangat sibuk sehingga tiada masa bertemu anak-anak jadi cara paling baik adalah bawa mereka sekali ke lokasi penggambaran. "Setakat ini mereka tidak merungut jika mereka ikut bersama malah jika sesebuah filem itu telah keluar, mereka boleh ingat lokasi yang mereka turut serta," katanya. Pun begitu kata Aaron, anak-anaknya hanya mengikutnya ke lokasi apabila hujung minggu atau cuti sekolah sahaja. Sementara itu, Aaron yang baru sahaja mendapat taraf penduduk tetap di negara ini berkata, dia sebolehnya ingin melihat anak-anaknya berjaya dalam bidang lain yang lebih terjamin. Atas dasar itu juga, Aaron memberitahu dia memastikan anak-anaknya mendapat pendidikan yang terbaik selain sentiasa memantau aktiviti persekolahan mereka. "Bukan kata jadi pelakon ni tak elok tetapi biasalah sebagai seorang bapa kita ingin melihat anak-anak lebih berjaya daripada diri kita dan berasa bangga dengan mereka. "Walaupun saya rapat dengan mereka tetapi dalam bab-bab disiplin dan belajar mereka cukup takut dengan saya," ujarnya. - --- |
Iri Hati - Kenyataan Ahmad Idham Dipersenda Posted: 03 Jul 2012 05:39 PM PDT PETALING JAYA: Pengarah dan produser filem Ahmad Idham Ahmad Nadzri berkata sikap iri hati dan tidak memahami perkara sebenar menjadi punca kenyataannya berhubung kutipan filem Mael Lambong sebagai satu fenomena di sebuah akhbar baru-baru ini dipersendakan pihak tertentu. Ahmad Idham berkata, kenyataannya yang menganggap kutipan filem sebanyak RM4.5 juta itu sebagai satu fenomena sejak ditayangkan 21 Jun lalu, bertujuan untuk meyakinkan masyarakat bahawa industri filem tanah air belum 'lumpuh' seperti didakwa segelintir pihak ekoran trend kutipan kebanyakan filem tempatan yang merudum pada tahun ini. "Saya tidak berniat untuk menunjuk-nunjuk atau bercakap kosong apabila mengeluarkan kenyataan kutipan filem saya adalah satu fenomena di akhbar tersebut. "Ia bagi meyakinkan peminat filem Melayu bahawa industri kita masih mampu mencapai kutipan yang baik pada waktu ini seperti filem saya dan Syamsul Yusof iaitu Bohsia 2, di kala majoriti filem Melayu lain kurang berjaya. "Pihak yang memperlekehkan kenyataan saya itu tidak faham tujuan saya berkata demikian atau mungkin mereka kurang senang dengan saya secara peribadi," katanya ketika dihubungi di sini. Ahmad Idham berkata, istilah 'fenomena' yang digunakan kepada Mael Lambong dan Bohsia 2 menggambarkan pencapaian dua filem itu mampu mendapat kutipan yang baik walaupun setiap filem Melayu perlu bersaing sengit sejak sistem tayangan dua filem seminggu diperkenalkan 24 Mei lalu. "Itu yang pihak tertentu tidak faham dengan apa yang saya maksudkan pada istilah 'fenomena'. Jangan bandingkan kutipan pecah panggung filem-filem yang ditayangkan pada tahun lepas dengan tahun ini. Ketika itu, filem-filem kurang persaingan di bawah skim tayangan lama. "Kita bercakap mengenai konteks kutipan filem dalam era skim tayangan baru ini. Jika diperhatikan sejak 24 Mei lalu apabila dua filem ditayangkan seminggu, majoriti filem kita gagal meraih kutipan yang baik. Sebab itu, saya sifatkan dua filem ini sebagai 'fenomena' dan penyuntik semangat kepada industri yang sedang tenat ini," katanya. Mengulas mengenai kutipan terkini Mael Lambong, Ahmad Idham berkata, dia percaya dan berharap filem genre komedi aksi itu mampu menarik lebih ramai penonton pada minggu kedua tayangannya. "Saya akui bukan mudah untuk Mael Lambong terus mendapat kutipan yang mendadak sebagaimana minggu pertama. Tetapi permintaan terhadap filem ini masih konsisten di kalangan penonton. "Saya yakin ia mampu mencecah RM5 juta jika tempoh tayangan dilanjutkan kerana reaksi peminat di laman sosial membuktikan masih ramai yang belum berkesempatan untuk menonton," katanya. Filem terbitan Excellent Pictures itu dibintangi antaranya Zizan Razak, Juliana Evans, Taiyudin Bakar dan Shenthy Feliziana. - --- |
Posted: 03 Jul 2012 05:36 PM PDT PETALING JAYA: Pelakon dan penyanyi Watie Sadali (Elite) yang sudah enam bulan berumah tangga dengan pelakon Joey Daud berkata dia perlu bersiap sedia jika ditakdirkan hamil dalam masa terdekat selepas mengalami kitaran haid yang tidak menentu kebelakangan ini. Pemilik nama Norwati Sadali, 36, ini berkata, dia tidak akan menolak rezeki daripada Allah walaupun pada hakikatnya dia masih belum bersedia pada tahun ini. "Saya mula berasa pelik dengan kitaran haid yang tidak menentu kebelakangan ini. Saya masih belum datang haid lagi untuk bulan ini, sekali gus membuatkan saya berasa ada sesuatu yang tidak kena. "Jika tiada perubahan dalam masa sehari dua, mungkin saya akan lakukan ujian kehamilan. Kalau benar ada rezeki saya hamil, saya tidak akan tolak tetapi terus-terang saya belum bersedia pada tahun ini," katanya petang Selasa. Watie dan Joey atau nama sebenarnya Zulkifli Daud, 38, bernikah secara rahsia pada 22 Disember tahun lalu di kediamannya di Bukit Antarabangsa dekat sini dengan berwalikan adiknya Mohd Nor Azni Sadali. Bercerita lanjut, Watie berkata selama ini dia bukan enggan untuk mengandung tetapi disebabkan komitmen kerja yang padat sepanjang tahun ini. "Saya tidak merancang kehamilan. Malah, suami saya juga mahukan anak secepat mungkin tetapi dia memahami kesibukan saya pada tahun ini. "Cuma, sebolehnya saya tidak mahu mengandung pada tahun ini, kalau boleh biarlah tahun depan. Namun, kalau sudah tertulis rezeki datang pada tahun ini, saya tidak keberatan menerimanya," akui Watie. Selain sibuk di lokasi penggambaran telefilem untuk musim Aidilfitri nanti berjudul Raya Bujang Sore untuk siaran RTM, Watie juga giat membuat persiapan terakhir untuk majlis resepsi perkahwinan keduanya pada Sabtu ini. "Saya sangat sibuk dan terkejar-kejar ke sana dan sini untuk memenuhi pelbagai urusan. Saya sedang menjalani penggambaran telefilem, menguruskan perniagaan serunding dan persiapan serba sedikit untuk majlis resepsi pada Sabtu ini. "Pada sebelah malam nanti (Selasa) saya akan mengukur baju pengantin untuk dipakai pada majlis kami nanti," katanya. Majlis resepsi Watie dan Joey, 38, akan diadakan pada pukul 8.30 malam, Sabtu ini di perkarangan Mydin Mall, Subang Jaya dekat sini bersempena Festival Kerja Kahwin ke-7. Majlis resepsi pertama pasangan itu diadakan pada 1 Mei lalu di kediaman Setiausaha Akhbar Menteri Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Ruhaidini Abd Kadir. Dalam perkahwinan sebelum ini Watie mempunyai dua orang anak tetapi seorang daripadanya meninggal dunia manakala Joey mempunyai seorang anak. - --- |
Artis Bertudung Pilihan Fazurina Posted: 03 Jul 2012 05:35 PM PDT PETALING JAYA: Pelakon yang kini bergelar penerbit, Fazurina berhasrat membantu pelakon wanita yang bertudung untuk berlakon di bawah syarikat penerbitannya iaitu Tripix Studios Sdn Bhd. Fazurina atau nama sebenarnya, Siti Fazurina Mohd Famir, 30, berkata, hasrat itu timbul apabila melihat banyak produksi yang enggan mengambil pelakon wanita sekiranya mereka bertudung untuk berlakon dalam produksi mereka. "Saya sendiri sudah bertudung dan merasai tempias produksi tidak berani untuk mengambil pelakon bertudung seperti saya. Bagaimanapun bukan semua yang berbuat demikian. "Menerusi syarikat produksi ini, saya boleh membantu artis wanita bertudung lain dari segi tawaran berlakon melalui projek-projek yang sedang saya usahakan, Insya-Allah," ujarnya . Tambah Fazurina, syarikat produksi yang baru ditubuhkan sejak awal tahun lalu turut mendapat kerjasama daripada rakan kongsi iaitu Hykal Zulkifli. Selain itu, Fazurina berkata, dia juga turut mengambil dua adiknya iaitu Mohamad Fauzy Mohd Famir, 24 dan Mohd Firdaus Mohd Famir, 22 untuk menguruskan produksi berkenaan selain beberapa orang kakitangan lain seperti penulis skrip tetap dan pengurus akaun. "Syarikat ini adalah perniagaan keluarga dan saya mahu dua adik saya yang baru tamat pengajian di universiti mendapat pendedahan dan membantu saya menjayakan produksi ini," katanya. Bercerita lanjut mengenai Tripix Studios, Fazurina menjelaskan dia telah lama memasang hasrat untuk bergelar penerbit dan memiliki syarikat produksi sendiri dan bersyukur impian itu tercapai. Fazurina berkata, sejak kemunculannya sebagai seorang pelakon kira-kira sembilan tahun lalu, dia telah mengutip pelbagai ilmu daripada pengarah yang pernah bekerjasama dengannya sebagai persediaan. "Alhamdulillahlah penantian selama sembilan tahun itu boleh dikira berbaloi kerana sepanjang tempoh tersebut banyak perkara yang telah saya belajar mengenai bidang penerbitan drama. "Kini tiba masanya untuk saya praktikal dan berasa lebih yakin untuk bergerak sendiri dalam merancakkan lagi industri seni di negara ini," katanya. Dalam pada itu, Fazurina berkata, syarikat produksinya itu bakal muncul dengan projek pertama iaitu sebuah drama bersiri berjudul Hana untuk siaran RTM. Katanya, drama yang mendapat sentuhan pengarah Zulkifli M. Osman itu bakal membariskan pelakon seperti Syed Ali, Tunku Anis, Yuswaizar, Liza Abdullah, Afida Es yang akan memulakan penggambaran di Alor Setar, Kedah pada hujung bulan ini. "Saya sangat mengagumi kredibiliti Zulkifli sebagai seorang pengarah dalam merealisasikan skrip yang berat kepada sebuah drama. "Sudah tentu saya teruja dengan projek pertama ini dan berharap ia akan berjalan dengan lancar," ujarnya. Sementara itu, Fazurina memberitahu dia baru sahaja selesai menjalani penggambaran musim terbaru drama Trilogi Cinta untuk RTM sebanyak 40 episod yang akan ditayangkan selepas Hari Raya Aidilfitri nanti. Selain itu, filem Baik Giler gandingannya bersama Zizan Razak dan Awie bakal menjengah pawagam pada 28 Jun manakala filem Hantu Bukit Cina bakal ditayangkan pada akhir tahun ini. - --- |
You are subscribed to email updates from Gosip Artis Malaysia To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |