Kosmo Online - Hiburan |
Serlah kehebatan bermain alat muzik Posted: Serlah kehebatan bermain alat muzik
SESEKALI, warna-warni industri muzik tanah air dihiasi dengan kedatangan penyanyi-penyanyi dari negara padang pasir. Lagu-lagu berentak Arab dendangan artis-artis terkenal Timur Tengah seperti Pascal Mashalani dan Amr Diab pernah meniti di bibir rakyat Malaysia. Namun, bak angin yang berlalu pergi, mereka tidak pernah meninggalkan kesan yang nyata, sehinggalah tibanya nama Maher Zain. Mula mencuri hati peminat-peminat tempatan sejak dua tahun lalu, penyanyi kelahiran Lebanon ini semakin komited dalam menyampaikan dakwah menerusi alunan muziknya. Usaha murni beliau terpapar jelas dengan konsert kali keduanya, Maher Zain - Forgive Me Live in Malaysia yang berjaya menghimpunkan para pencinta muzik nasyid dari seluruh negara. Konsert selama tiga jam yang berlangsung di Stadium Merdeka Kuala Lumpur itu menyaksikan beliau begitu bertenaga menghiburkan peminatnya dengan 22 buah lagu yang disusun rapi komposisinya. Ternyata penantian ribuan penonton yang membanjiri perkarangan stadium tersebut seawal pukul 5 petang terbalas apabila melihat raut wajah penyanyi tinggi lampai itu yang muncul sekitar jam 9.30 malam. Lontaran vokalnya sewaktu mendendangkan lagu pertama, Sepanjang Hidup, disambut sorakan gemuruh penonton yang sebelum itu dihiburkan dengan persembahan pembukaan oleh dua artis jemputan iaitu Irfan Makki dan Raef. Biarpun nama kedua-dua artis jemputan ini tidaklah semegah nama Maher Zain, kehebatan mereka dari sudut muzik tidak boleh disangkal terutamanya Raef yang berjaya menarik penonton untuk bersama-sama menyanyikan lagu Jumu'ah yang diadaptasikan daripada lagu Friday nyanyian Rebecca Black. Bagi Irfan Makki pula, pengalaman melakukan persembahan pembukaan bagi Maher Zain digunakan sepenuhnya untuk mempamerkan kebolehan vokalnya menerusi enam buah lagu termasuk lagu You Are Not Alone, lagu nyanyian asal Michael Jackson. Tampil dengan sepersalinan hitam dan putih, Maher yang tidak lekang dengan topinya kelihatan begitu bergaya semasa menyanyikan lagu-lagu popular beliau seperti Freedom dan Assalamu Alayka sambil diiringi lambaian penonton. "Apa khabar semua? Adakah anda semua sedang berseronok? Saya harap anda semua terhibur dengan persembahan saya," jeritnya kepada para penonton dalam bahasa Melayu. Kefasihannya bertutur dalam bahasa tersebut ternyata mengagumkan para penonton yang tidak henti-henti bersorak sewaktu penyanyi itu menyelitkan frasa-frasa bahasa Melayu di dalam nyanyiannya. Sekali-sekala, penyanyi yang sebelum ini pernah mencipta nama di Sweden itu turut memanjatkan kesyukuran kehadrat Ilahi dengan sambutan yang diterima daripada para penonton. "Terima kasih kerana datang ke konsert ini, saya benar-benar menghargainya." ujarnya di pertengahan konsert bagi menaikkan semula suasana di stadium tersebut. Kejutan Demi memberikan persembahan terbaik kepada para peminatnya, beberapa kejutan telah dibuat oleh penyanyi tersebut sepanjang konsert tajaan Etiqa Takaful Bhd. dan One Drop Perfumes itu. "Untuk persembahan seterusnya, saya akan menyanyikan sebuah lagu yang telah lama saya cipta. Ia merupakan ubahan muzik yang pertama saya tulis sepanjang karier sebagai penyanyi.
"Anda semua merupakan orang yang pertama mendengar lagu ini," ujar Maher menunaikan janjinya untuk memberikan kejutan kepada para peminat. Tidak dapat disangkal kejutan tersebut diterima baik apabila sebaik sahaja kru konsert terbabit muncul bersama sebuah piano, seluruh stadium tersebut bergema dengan sorakan para penonton. Lebih istimewa, ia merupakan kali pertama bagi penyanyi tersebut bermain alat muzik secara langsung dalam konsertnya. Sebaik sahaja beliau menekan nota pertama lagu Thank You Allah, keseluruhan pentas dimalapkan dengan limpahan lampu berwarna ungu, membangkitkan suasana yang begitu tenang. Alunan suaranya yang dipacu rentak seruling, ditambah dengan kelincahan jari-jemarinya menari di atas piano membuatkan para penonton terbuai seketika. Selain kemahirannya bermain piano, Maher turut memperlihatkan bakatnya dalam bermain alat muzik yang lain seperti gitar dan gendang. Malah, sewaktu beliau memperkenalkan kumpulan muzik yang mengiringinya dalam konsert tersebut, beliau sempat beraksi dengan set gendang yang tersedia di atas pentas. Melihat pemain-pemain muzik yang datang dari seluruh pelosok dunia seperti Belanda, Mesir, Sepanyol dan Malaysia, tidak hairanlah melihat pengaruh muzik yang pelbagai dalam karya tulisan Maher. Peminat Michael Jackson Sepanjang berlangsungnya konsert yang turut mendapat sokongan Tourism Malaysia itu, penyanyi yang meminati legenda pop terkenal, Michael Jackson, telah menyanyikan hampir kesemua lagu dalam album terbaharunya, Forgive Me. Bagaimanapun, demi menunjukkan minat terhadap idolanya itu, Maher telah menyelitkan sebuah lagu popular artis tersebut, Man In The Mirror, dalam persembahannya. "Saya akan menyanyikan sebuah lagu daripada Michael Jackson. Saya pasti anda semua akan terhibur dengan lagu ini. Beliau merupakan salah seorang daripada penyanyi kesukaan saya dan saya dedikasikan lagu ini kepada anda semua," ujarnya. WALAUPUN sudah dua kali mengadakan konsert di Malaysia, Maher Zain tetap mendapat perhatian dan sambutan hangat daripada penonton. Walaupun dipersembahkan di penghujung konsert, ternyata kebolehan vokal Maher serta kekuatan sedia ada lagu tersebut berjaya menghiburkan para penonton. Maher juga harus dipuji atas kebolehannya berinteraksi di atas pentas. "Saya ingin menguji anda semua. Anda perlu menyambung lirik yang saya nyanyikan," ujarnya bersemangat sebelum mengucapkan ayat You Know Who You Are? 'Ujian' itu disambut meriah oleh penonton yang kemudiannya menjerit beramai-ramai Number One For Me iaitu salah satu lagu paling popular milik penyanyi itu. "Bagi persembahan terakhir saya, saya mahu anda semua ikut sama menyanyi," ujarnya ketika muzik pembukaan lagu terakhirnya malam itu, Baraka Allah Lakuma mula berkumandang. Sejujurnya, jika dilihat daripada reaksi para penonton yang hadir, tidak mustahil kelibat Maher Zain akan muncul kembali dalam tempoh terdekat ini. "Terima kasih saya ucapkan atas segala sokongan yang diberikan. Semoga kita berjumpa lagi," ucap Maher sejurus menamatkan persembahannya. | ||
Posted: Amitabh bintang termahalKE tepi Shah Rukh Khan dan Salman Khan! Gelaran bintang termahal di Bollywood sebenarnya milik aktor veteran tersohor, Amitabh Bachchan. Amitabh juga telah mencatat sejarah apabila dia meraih kontrak bernilai puluhan juta ringgit yang disifatkan sebagai paling mahal pernah dicapai oleh pelakon di Bollywood. Ia berikutan program TV yang dihoskan Amitabh, Kaun Banega Crorepati kini meraih populariti menggunung dalam kalangan penonton. "Kaun Banega Crorepati adalah program TV yang sangat popular sekarang ini di India," ujar sumber kepada Daily Bhaskar. Tambahnya: "Sebab itu, penerbit tidak teragak-agak untuk menawarkan kontrak baharu yang cukup lumayan." Laporan tersebut menyebut Amitabh telah menandatangani kontrak untuk tiga musim baharu program yang menampilkan pertandingan kuiz itu. | ||
Posted: Zain Saidin jadi rapperOleh RONI HIDAYAT RIDWAN
Jika sekitar tahun 1990-an penyanyi dan pelakon kacukan Melayu-Inggeris, Sasha Saidin pernah popular bersama kumpulan Elite, kini adiknya iaitu Zain Saidin yang merupakan seorang pelakon, bakal mengikut jejak langkahnya untuk bergelar penyanyi. Sewaktu ditemui pada majlis pelancaran drama Naziha dan Bukan Bidadari di Subang Jaya, Selangor baru-baru ini, pelakon yang pernah dikaitkan dengan Rozita Che Wan itu memberitahu dia bakal muncul dengan album sulung. Menurut Zain, ketika ini proses rakaman berjalan dengan lancar dan berkemungkinan besar album sulungnya itu bakal menemui para peminat pada hujung tahun ini. KOSMO!: Sebelum ini kakak Zain pernah dikenali ramai sebagai penyanyi. Adakah Zain tidak mahu mengikut jejak langkahnya? ZAIN: Sebenarnya saya bakal melahirkan sebuah album tidak lama lagi yang berkonsepkan rap. Kini saya baru sahaja menyiapkan single pertama berjudul Transformasi dan saya sudah merancang untuk menghantarnya ke stesen-stesen radio. Mungkin ramai yang tidak tahu sebelum bergelar pelakon, saya memang mempunyai impian untuk menjadi penyanyi dan meminati lagu-lagu rap. Malah, saya hampir bernaung di bawah sebuah syarikat rakaman, tetapi tidak jadi atas beberapa sebab. Boleh ceritakan sedikit mengenai proses penghasilan album berkenaan? Setakat ini saya telah merakamkan sebanyak empat buah lagu iaitu Transformasi, Niat Khalifah, Cinta Jelita dan Oh Raya. Untuk album ini saya bekerjasama dengan abang ipar, Salyo Priyanto yang juga suami Sasha dan rakan saya iaitu DJ Anowl. Mengikut perancangan, terdapat sebanyak enam atau tujuh buah lagu yang terkandung dalam album tersebut dan semua lagu dihasilkan oleh kami bertiga. Kalau tiada sebarang halangan, album sulung saya akan menemui peminat hujung tahun ini. Kenapa anda memilih Transformasi sebagai single pertama? Tranformasi menjadi pilihan saya kerana lagu ini menceritakan mengenai transformasi yang saya lalui iaitu daripada bergelar pelakon kepada seorang penyanyi. Saya percaya lagu ini akan menjadi kegemaran ramai. Berkenaan dengan kerjaya lakonan, adakah anda pernah terfikir untuk mengembangkan karier di Indonesia memandangkan wajah kacukan seperti anda agak mudah untuk menembusi pasaran di sana seperti yang dilalui Ashraf Sinclair? Saya memang ada terfikir untuk berbuat demikian, tetapi mungkin selepas saya tidak lagi mendapat tawaran berlakon di Malaysia. Setakat ini tawaran lakonan yang diterima tidak putus-putus dan saya gembira untuk terus berlakon di negara sendiri. Baru-baru ini timbul gosip mengenai hubungan Rozita Che Wan dan Beego. Apa komen anda mengenai gosip tersebut? Kalau benar Rozita mempunyai hubungan dengan Beego, saya cuma boleh tumpang gembira. Malah, saya gembira kerana selepas ini saya tidak lagi dikaitkan dengannya, biarpun sudah banyak kali saya menjelaskan yang kami tidak mempunyai sebarang hubungan istimewa sebelum ini. Adakah anda masih lagi berhubung dengan Rozita? Sehingga kini kami masih lagi berhubung, tetapi tidaklah terlalu kerap sangat kerana saya dan Rozita sibuk dengan kerjaya masing-masing. Apa yang boleh saya katakan kami masih lagi berkawan seperti biasa. |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Hiburan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |