Hip
DARI kiri, Anzalna, Tasha Shilla dan Neelofa.
Artis senior, peminat mahu tiga bintang muda selesai isu cara baikISU remeh, tidak perlu dibawa ke mahkamah dan selesai cara baik.
Begitulah reaksi peminat berhubung pertelingkahan tiga pelakon baru Neelofa, Anzalna dan Tasha Shilla yang hangat diperkatakan di media massa sejak tiga minggu lalu.
Zaman dulu bukan tidak ada artis yang bergaduh, tetapi mereka mengambil pendekatan dengan cara bersemuka. - Rosyam Nor
Ada peminat berpendapat, tiga bintang baru itu melakar 'sejarah' dalam industri seni tempatan tetapi bukan disebabkan pencapaian mereka yang boleh dibanggakan, sebaliknya kisah jelek yang hanya memalukan dunia artis.
Selain itu, ada peminat menyarankan Neelofa, Anzalna dan Tasha Shila bersua muka. Menurut peminat, biarpun peluang menjadi rakan baik mungkin tipis, namun sekurang-kurangnya, tiga bakat baru itu boleh bermaaf-maafan dan membuang perasaan dendam.
Malah, ada peminat menganggap dunia seni tidak seluas mana dan artis terbabit pasti dipertemukan dalam mana-mana produksi pada masa depan.
Komen peminat itu diterima HIP melalui laman sosial facebook, Anugerah Bintang Popular, semalam. Melalui laman sosial itu, HIP meminta pandangan peminat berhubung kemelut melanda Neelofa, Anzalna dan Tasha Shila.
HIP mendapatkan pandangan dua penggiat industri iaitu Presiden Karyawan, Datuk Freddie Fernandez dan pelakon berpengalaman, Rosyam Nor berhubung kontroversi melanda tiga artis terbabit. Freddie dan Rosyam menganggap isu Neelofa, Anzalna dan Tasha Shila hanyalah isu kecil yang tidak sepatutnya dipanjangkan.
Freedie menasihatkan tiga pelakon itu menyelesaikan masalah mereka di luar mahkamah tanpa perlu membabitkan kes saman menyaman.
"Tindakan mereka ibarat membasuh kain di tempat awam yang pada pendapat saya, tidak perlu sebenarnya. Keputusan untuk mengambil tindakan mahkamah hanyalah satu tindakan keterlaluan kerana masalah yang timbul antara mereka membabitkan isu kecil.
"Sekiranya merasakan masalah itu tidak boleh diselesaikan sendiri, gunakanlah orang tengah. Jika masalah ini berterusan, mereka boleh menjejaskan imej artis secara keseluruhan," kata Freddie.
Rosyam Nor yang sudah hampir tiga dekad bergelumang dalam industri hiburan pula menganggap, kemudahan laman sosial memberi kesan besar kepada masyarakat apabila segala isi hati diluahkan tanpa memikirkan impak.
Aktor yang mula menceburi dunia lakonan sejak 1985 menerusi filem Gila-Gila Remaja itu berkata, artis sepatutnya menggunakan laman sosial dengan bijak - bukan membiarkan 'kudis' mereka diketahui masyarakat.
"Bagi saya kes membabitkan kata mengata, aib-mengaib, pertikaman lidah tidak perlulah dibawa sehingga ke mahkamah. Mereka (mahkamah) mempunyai banyak kes yang perlu diselesaikan, kenapa kita hendak menambahkan beban mereka dengan perkara remeh temeh?
"Zaman dulu bukan tidak ada artis yang bergaduh, tetapi mereka mengambil pendekatan dengan cara bersemuka. Kes kecil tidak perlulah diheret hingga ke mahkamah kerana perkara itu boleh memalukan golongan artis. Nanti orang akan kata, artis tidak ada kerja lain, hal kecil pun hendak dibawa ke mahkamah," katanya.