Harian Metro: Rap |
Posted: 18 Jun 2012 08:04 AM PDT PUNYA suara lunak sebagaimana ibu mereka, namun kecenderungan dua bersaudara ini terarah kepada aliran yang berbeza cabang dengan skop kerjaya ibunda mereka sebagai penyanyi. Rack, jenama butik diinspirasikan bintang filem Hoore! Hoore!, Kilafairy atau nama sebenarnya, Syakila Nisha Jahangir Khan, 20, bersama kakaknya, Shakira Idora (Kira), 22, diusahakan dua beradik itu bukan sekadar menyokong 'trend' perusahaan butik oleh golongan muda. Sebaliknya Kilafairy juga pemegang Diploma Pengurusan dan Pemasaran Fesyen di Kolej Antarabangsa Raffles manakala Kira, pemilik Diploma Rekaan Fesyen dari Universiti Lim Kok Wing, ingin mengembangkan ilmu yang ditimba mereka untuk menjadikan Rack sebagai jenama terkenal. "Bagi saya perniagaan yang diusahakan Kila dan kakak ini tidak jauh bezanya dengan kerjaya mama sebagai penyanyi, kerana fesyen dan artis itu saling memerlukan dan melengkapi.
Beroperasi di The 19 USJ City Mall sejak sebulan lepas, pemilihan lokasi itu sebagai memanfaatkan lot kedai yang dibeli ibunya beberapa tahun yang lalu. Rack merangkumi produk-produk seperti hiasan aksesori, beg tangan, kasut tumit tinggi, skaf kepala, tali pinggang dan pakaian rekaan mereka sendiri seperti 'gaun koktel' dan pakaian sedia pakai untuk wanita. Jenama berkenaan, turut menghasilkan kasut khusus untuk pelanggan yang gemarkan tapak tinggi. "Susah sebelum ini nak cari kasut yang bertumit lebih daripada lima inci dan ini memberi idea kepada saya mereka sendiri kasut sebagai salah satu tarikan jenama Rack. Mana tahu, jika sambutan diberikan hangat, kami dapat membuka cawangan lain sekali gus memperkenalkan butik khas untuk lelaki," katanya. Memilih 'Rack' sebagai jenama, ia punya kaitan dengan imaginasi dua beradik itu yang juga anak dara kepada penghibur terkenal Rohana Jalil, yang sukakan kehidupan penuh fantasi. "Rack maksudnya adalah tanduk rusa. Kalau menonton filem fantasi, rusa sering digambarkan sebagai binatang yang ironi dengan dunia fantasi. Sebagaimana pakaian dan aksesori yang terdapat di dalam butik ini ia refleksi kepada imaginasi dan fantasi kami terhadap sesuatu fesyen. "Semua rekaan pakaian yang terdapat di dalam butik ini dipilih dan direka secara peribadi oleh Kila dan kakak. Walaupun Kira orangnya agak rock dan gemar pada motif dan corak abstrak atau artistik, sementara saya pula menjurus gaya elegan namun citarasa kami seiring. "Pendek kata, mereka yang membeli jenama Rack ini ibarat mereka sedang bergaya cara Kila dan Kira. Kami sukakan rekaan yang ringkas namun dalam setiap rekaannya itu haruslah memberi impak kepada si pemakai. "Sasaran jualan adalah untuk kategori 'Yuppies' khusus buat remaja manakala 'Bums' untuk golongan dewasa. Keistimewaan label Rack ini terletak pada rekaannya yang eksklusif dan berbeza daripada butik sedia ada. "Hampir semua pakaian yang terdapat di Rack adalah jenama antarabangsa antaranya dari Jepun, Eropah dan Amerika termasuk yang direka sendiri oleh Kira," katanya. Gadis terkenal dengan jolokan Angelina Jolie Malaysia itu, menjelaskan pembukaan butik Rack adalah sebagai satu permulaan untuk masa depan yang lebih terjamin. Untung nasib sebagai pelakon dan penyanyi belum pasti, justeru Kila optimis di usia semuda inilah mereka harus membuat persediaan untuk merancang masa depannya dengan mengaplikasi pengetahuan di universiti dalam kehidupan yang sebenar. "Pun begitu, saya akan tetap aktif dalam bidang seni, cuma dengan ada butik ini saya harus memberikan tumpuan yang lebih. Kebetulan sampai sekarang saya belum menerima tawaran berlakon yang menepati citarasa saya. "Tawaran yang diberi selalunya watak jahat dan perempuan gedik yang seksi. Saya rasa kurang selesa sebenarnya membawakan watak sedemikian kerana ia memberi persepsi negatif pada kehidupan harian saya di luar set penggambaran. "Apapun, sekarang ini selain sibuk menguruskan butik, saya akan muncul dengan single terbaru selepas Roman iaitu Pasti. Ditulis dalam dua versi Inggeris dan Melayu, lagu itu dicipta Amylea AF3 juga penulis untuk lagu Roman. "Saya suka bekerjasama dengan Amylea kerana dia faham konsep muzik yang saya inginkan. Berbeza Roman yang disampaikan secara duet bersama Tihany, Pasti adalah sebuah lagu solo balada istimewa daripada saya buat pendengar," ujar Kila. Sementara itu, Kira yang menyambut ulang tahun ke-22 pada hari pelancaran butik berkenaan, memaklumkan, selepas ini dia mahu menghasilkan lebih banyak rekaan sendiri. Keberangkatannya ke Australia bagi melanjutkan pengajian peringkat Sarjana Muda di Universiti RMIT pada 2 Julai nanti, tidak menghalangnya untuk membantu Kila menguruskan Rack dari kejauhan. "Saya akan berangkat ke Australia pada 2 Julai nanti. Sambil menumpukan perhatian pada pengajian, saya akan tetap membantu Kila dari segi stok pakaian juga rekaan terkini. "Saya berharap dapat menghasilkan lebih banyak lagi rekaan, bermula daripada pakaian santai hinggalah ke majlis penganugerahan. Setakat ini beberapa gaun dan pakaian di sini saya hasilkan sendiri," katanya. |
Posted: 18 Jun 2012 07:51 AM PDT MESKIPUN filem arahan pertamanya, Aku Terima Nikahnya belum ditayangkan di pawagam, namun keberanian wanita ini menyahut cabaran David Teo selaku penerbit dengan mengarahkan filem keduanya, 2 Kalimah dijadikan bukti wanita juga mampu menjadi seorang pengarah yang hebat. Memulakan penggambaran semalam, filem terbitan Metrowelath (MIG) yang ke-80 itu mengambil sekali lagi Eyra Rahman sebagai pengarah dengan menggandingkan pelakon popular Shaheizy Sam dan Nora Danish sebagai watak utama. Mengetengahkan genre Islamik, Eyra berkata, banyak mesej berkaitan percintaan ditonjolkan dalam filem ini bagi memberi kesedaran kepada masyarakat bahawa perhubungan tanpa ikatan yang sah boleh mendatangkan mudarat dan memberi kesan kepada orang sekeliling. Malah, setiap dosa besar yang dilakukan tidak perlu menunggu hari kiamat ketika masih di dunia lagi Tuhan sudah memberikan pembalasan.
"Syukur segala idea yang saya curahkan turut mendapat sokongan penuh daripada ahli panel skrip malah gandingan dua pelakon hebat Sam dan Nora juga diharap mampu menarik penonton ke pawagam. Memilih Sam dan Nora sebagai gandingan buat pertama kali pastinya dinantikan oleh peminat mereka, Sam yang semakin popular dan mempunyai kelompok peminatnya sentiasa muncul dengan projek terbaru manakala Nora pula semakin ligat menerima pelbagai tawaran drama dan filem. Bercerita mengenai kedua-dua bintang itu, Eyra berkata, kerjasama yang pernah dilakukan dengan dua pelakon berkenaan meyakinkan dirinya mereka mampu memberikan lakonan yang hebat dan mantap. "Saya baru saja selesai mengarahkan filem Aku Terima Nikahnya yang dilakonkan oleh Nora bersama Adi Putra, melihat kejujurannya dalam menghayati watak yang diberikan membuatkan saya yakin Nora boleh melakonkan watak Selena dalam filem ini dengan berkesan. "Seperti Sam, melihat lakonan dan filemnya semua orang sudah tahu dia serba boleh. Walaupun terlalu banyak filem dan dramanya yang ditayangkan, saya yakin peminat tidak akan bosan malah akan sentiasa menantikan lakonan terbaru daripadanya. "Ketika melakukan bacaan skrip, saya melihat sendiri bagaimana Sam dan Nora mencari keserasian bagi menghidupkan watak masing-masing dalam filem ini, justeru saya yakin kebolehan mereka tambahan pula kerjasama daripada semua krew, saya yakin akan berjaya," katanya. Sementara itu, Nora yang pertama kali digandingkan bersama Sam merasa terharu dan gembira apabila dapat bersama-sama beraksi dengan pelakon hebat dan berkaliber seperti Sam. "Siapa yang tidak mahu berlakon di samping Sam, puluhan drama dan filem sudah dilakonkan sehingga melayakkan dia memenangi beberapa anugerah. "Pastinya pengalaman digandingkan bersama akan saya gunakan sebaiknya dan saya berharap keserasian dapat kami wujudkan sepanjang penggambaran filem ini demi menghidupkan perjalanan cerita. "Saya juga teruja apabila seumur hidup sangat takut melihat mayat yang sudah berulat, tetapi untuk filem ini saya buang rasa takut dan fobia dengan menonton Youtube menyaksikan kejadian mayat berulat dan hancur bagi menghayati watak yang saya lakonkan," katanya. Dua Kalimah mengisahkan sepasang kekasih Aiman (Sam) dan Selena (Nora) gadis kacukan Melayu-Inggeris pulang ke kampung halaman Aiman, sepanjang perjalanan mereka berdua menghadapi tiga kematian daripada orang yang berlainan dan melihat sendiri azab yang diberi Tuhan secara tunai kepada si mati yang mana semasa hayat si mati pernah mengamalkan ilmu sihir, berzina dan tidak menghormati orang tua. Selena yang melihat sendiri kejadian berkenaan berasa takut dan tahu itu adalah petanda Allah yang menyuruh mereka bertaubat, malah dia sendiri berharap Aiman yang dipandang tinggi ilmu agamanya oleh semua orang akan membawa Selena kembali ke jalan Allah namun mereka semakin terpesong akidahnya. Aiman yang masih cintakan Humaira, tidak mahu mengahwini Selena, namun disebabkan kandungan Selena semakin membesar, dia terpaksa menipu Haji Idrus (Ustaz Dini) bahawa mereka sudah berkahwin. Tibanya di kampung Aiman, semua orang menyambut gembira kepulangan mereka berdua kerana Aiman adalah anak kesayangan orang kampung oleh kerana akhlaknya yang baik. Hari demi hari, Selena semakin dihimpit rasa bersalah dan nekad untuk menceritakan hal yang sebenar kepada keluarga Aiman. Malangnya Aiman bertindak mengugut Selena. Satu hari, ditakdirkan Aiman jatuh sakit dan setiap pergerakannya terbatas malah dia juga sukar untuk mengucapkan dua kalimah syahadah. Apakah nasib Aiman seterusnya? Masih sempatkah untuk Aiman bertaubat atas segala dosa-dosanya? Adakah Selena masih setia untuk menanti Aiman menunaikan janjinya? |
You are subscribed to email updates from Harian Metro: Rap To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |